Adsense

Rabu, 14 November 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Tempoh rehat Syafie tamat

Posted:

Tempoh rehat Syafie tamat

Tempoh rehat Syafie tamat

MENGENALI aktor Syafie Naswip sejak berusia 14 tahun dan kini telah berusia 20 tahun, orangnya tidak pernah berubah.

Apa yang berubah hanya ketinggian dan kematangan dirinya. Selebihnya Syafie masih kekal seorang anak muda yang pemalu, pendiam dan cukup berbakat sebagai aktor.

Syafie yang dihubungi Kosmo! sehari selepas dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2012 menewaskan aktor yang lebih senior seperti Zahiril Adzim, Zaidi Omar, Bront Palarae dan Soffi Jikan, cukup ramah ketika sesi temu bual berlangsung.

Ucapan tahniah dilayangkan kepadanya disambut dengan ucapan terima kasih. Rasanya sudah berbakul ucapan tahniah diterima selepas majlis ASK 2012 berakhir.

Namun, segala ucapan itu tiada tandingannya dengan ucapan tahniah daripada dua insan kesayangannya, ibu dan ayah yang setia menonton detik kemenangannya di depan kaca televisyen.

"Saya sedikit sebak ketika menerima anugerah sebab ibu saya teringin datang ke majlis ASK 2012. Sebelum ini, ibu langsung tidak pernah datang ke mana-mana majlis hiburan.

"Namun, saya hanya ada dua tiket sahaja. Jadi, ibu terpaksa menonton dari rumah. Itu yang membuatkan saya sedikit sedih. Keesokan harinya, ibu membelek-belek anugerah yang saya dapat sambil mengucapkan tahniah," kata Syafie yang merupakan anak tunggal kepada pasangaan Norsiah Ahmad, 47, dan Naswip Abu Nawas, 50.

Sebelum berlakon dalam filem Songlap pada tahun lalu, semangat lakonannya hilang selama dua tahun selepas pemergian pengarah dan gurunya, arwah Yasmin Ahmad.

Kemudian, selepas filem Songlap, Syafie berehat selama setahun daripada lakonan untuk memberi tumpuan kepada peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang diambilnya pada tahun lalu.

Ruang kosong yang ditinggalkan Syafie terlalu lama, sehingga ada yang lupa kewujudannya dalam industri lakonan.

"Mungkin lama sangat saya tidak muncul dalam mana-mana majlis hiburan, sampai ada orang yang sudah lupakan saya.

"Sebenarnya saya jarang datang ke majlis besar bukan tidak mahu, tetapi saya tidak tahu nak buat apa dan bawa diri," katanya tanpa berselindung.

Disoal apakah yang dilakukan dalam tempoh rehat yang terlalu panjang kerana jarang sungguh wajahnya muncul di kaca televisyen, Syafie memberitahu dia melakukan banyak perkara di luar bidang seni.


SYAFIE NASWIP memberitahu dia kini sudah bersedia untuk memberi komitmen sepenuh masa terhadap dunia lakonan.


"Filem terakhir lakonan saya adalah Juvana. Selepas itu belum ada sebarang tawaran lagi. Jadi, masa yang kosong itu saya isi dengan bantu kawan berniaga burger dan baju Melayu selain bekerja di kedai makan," ceritanya penuh jujur.

Meskipun jarang muncul dan kini kurang menerima tawaran lakonan, hasil wang yang diterima daripada kerja lakonan sebelum ini disimpan dengan baik.

Kebanyakan wang yang diterima digunakan untuk keperluan keluarga, memandangkan ibunya hanya seorang suri rumah dan bapanya bekerja sebagai seorang buruh kasar.

"Saya banyak habiskan wang untuk keluarga dan saya bukannya jenis yang suka menghabiskan wang untuk perkara yang bukan-bukan.

"Sekarang saya dalam proses mengambil lesen kereta dan selepas itu bolehlah saya beli kereta. Mudah untuk saya ke lokasi penggambaran dan juga bawa ibu bapa ke mana-mana.

"Kalau boleh saya ingin beli kereta yang selesa dan tahan lama. Biar tahan sampai saya berkeluarga kelak. Buat masa ini, untuk ke mana-mana saya hanya menggunakan teksi atau naik motosikal sahaja," tuturnya.

Enggan menangis lagi

Berehat daripada dunia lakonan dalam tempoh yang lama mewujudkan tanda tanya dalam dirinya apakah dia sesuai untuk bidang lakonan?

"Sebelum ini saya sendiri was-was dengan pilihan saya sama ada berlakon atau menceburi bidang yang lain.

"Tempoh berehat itu telah membuatkan saya sedar. Belajar sesuatu yang teori tidak kena dengan jiwa saya sebaliknya saya perlukan sesuatu yang praktikal seperti lakonan. Jadi, tahun ini saya ingin kembali aktif berlakon," beritahunya penuh semangat.

Sungguhpun dia dikurniakan bakat lakonan, tegas Syafie, dia mahu menjadi seperti arwah Yasmin Ahmad dan idolanya, Faizal Hussein yang jarang-jarang muncul dengan filem atau drama, tetapi sesekali kemunculannya bakal memberi impak yang besar.

"Saya terlibat dalam lakonan secara tidak sengaja dan saya berlakon kerana arwah Yasmin. Arwah pernah kata gunakan bakat yang ada pada saya, tetapi jangan keterlaluan.


DISEBABKAN tiada tawaran berlakon, Syafiq pernah membantu rakannya menjual burger.


"Maksudnya, saya ingin jadi sepertinya. Saya tidak mahu terlalu banyak sangat berlakon dan cepat naik sehingga sampai satu tahap saya sendiri tidak tahu apa lagi yang ingin diberi ketika berlakon," katanya.

Akuinya, kebanyakan watak yang diterima semuanya sama. Selalunya, Syafie diberi watak air mata dan orang susah sedangkan dia ingin sesuatu yang lebih daripada itu.

"Memang saya tidak suka dan agak kecewa apabila orang kata, watak air mata dan orang susah hanya sesuai untuk saya. Lama-lama saya juga bosan.

"Saya sendiri harus berusaha untuk pelbagaikan karakter. Setakat hari ini, saya tidak memilih watak asalkan watak yang diberi saya mampu bawa dan sesuatu yang baharu. Mungkin belum rezeki saya untuk terlibat dalam naskhah yang berbeza dan lebih mencabar," ungkapnya.

Hakikat kehidupan yang harus diterima Syafie, demi kelangsungan hidup, ada kalanya dia terima sahaja tawaran lakonan.

"Kalau nak tahu, itulah dilema yang dihadapi oleh kami yang bergelar pelakon. Jika di Hollywood, pelakon mereka boleh pilih watak dan muncul setahun sebuah filem sahaja sebab bayaran tinggi dan pasaran filem mereka cukup luas.

"Pelakon Malaysia tidak ada semua itu. Minggu ini terima skrip, minggu depan sudah penggambaran. Tidak ada masa untuk mengkaji watak dengan sepenuhnya, tetapi harus terima juga demi cari makan. Sebulan empat drama, itu perkara biasa buat pelakon Malaysia.

"Jadi, saya pun tidak boleh terlalu memilih. Ada kalanya, saya ambil sahaja tawaran walaupun tidak puas berlakon hanya kerana itu sahaja sumber pendapatan saya sekarang," jelasnya penuh serius.

Lana kisah jika kena bogel

Posted:

Lana kisah jika kena bogel

Lana kisah jika kena bogel

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA


BABAK dalam filem Pontianak vs Orang Minyak yang memerlukan Lana mendedahkan lurah payudaranya kerana mengikut kehendak jalan cerita tersebut.


PELAKON kontroversi, Lana Nodin yang pernah mendapat jolokan Pamelan Anderaon Malaysia dan pernah didakwa menjalani pembedahan membesarkan payudara, nampaknya tidak habis-habis lagi dengan isu seumpama itu.

Terbaharu, Lana dikatakan tidak kisah membawa watak yang dikatakan mengeksploitasi tubuh badannya apabila payudaranya dijadikan bahan jenaka dan memakai baju yang menampakkan lurah dada dalam filem terbaharu arahan Afdlin Shauki bertajuk Pontianak vs Orang Minyak yang bakal ditayangkan hujung bulan ini.

Namun, dia mendakwa kenyatannya berhubung perkara itu telah disalah ertikan oleh sebuah portal hiburan tempatan dengan menyatakan dia tidak kisah tubuh badannya dieksploitasi.

Pelakon yang dikenali menerusi drama Gol dan Gincu tersebut menerangkan perkara sebenar yang diperkatakan olehnya ketika terlibat dalam filem itu selepas ditemui pada majlis Anugerah Skrin 2012 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, (PWTC), Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Lana turut menjelaskan hubungannya dengan seorang model lelaki kelahiran Republik Czech seperti yang pernah tersiar dalam kolum gosip baru-baru ini.

Kosmo!: Adakah benar Lana rela menjadikan payudara anda sebagai 'bahan pelaris' dan tontonan umum dalam filem Pontianak vs Orang Minyak yang bakal ditayangkan hujung bulan ini?

LANA: Saya rasa isu ini tidak timbul sebab Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) benarkan semua babak yang melibatkan saya, jadi tiada apa-apa masalah.

Apakah yang ingin anda jelaskan soal isu ini?

Sebenarnya kostum watak saya dipilih Afdlin setelah perbincangan dibuat. Saya setuju ia dipilih oleh beliau memandangkan Afdlin orang lama dalam bidang ini dan berpengalaman.

Bagaimanakah pula dengan laporan anda rela dieksploitasi terutama untuk mendedahkan payudara asalkan dapat terbabit dalam filem tersebut?

Bukan saya tidak kisah atau rela perkara itu berlaku. Sebenarnya, apa yang saya cakap telah disalah erti oleh penulis. Tajuk berita itu tidak kena dengan apa yang saya cakap. Gambarannya seperti saya kalau dapat watak bogel pun saya okey. Realitinya, itu tidak betul.

Jadi apakah sebenarnya yang anda cakap? Jika anda tak cakap, bagaimana laporan tersebut boleh ditulis sedemikian?

Saya cakap saya bukan tidak kisah, tetapi sebagai seorang pelakon saya kena jiwai watak. Jadi untuk filem tersebut, soal pakaian saya serahkan kepada pengarah dan produksi sebab saya percaya mereka.

Kenapakah anda terima watak itu?

Saya tak pernah dapat watak komedi, sebagai seorang pelakon saya kena cuba macam-macam watak yang ditawarkan.

Bagaimanakah pula mengenai hubungan anda dengan seorang model luar negara seperti yang tersiar dalam blog dan ruangan gosip baru-baru ini?

Kami tengah mengenali hati budi masing-masing, dia bukan Islam, jadi saya bagi masa dia kenal Islam dan Melayu. Saya tidak paksa dia apa-apa.

Adakah itu bermakna lelaki itu teman lelaki anda?

Entah, rahsia. Selagi saya tidak tanda tangan surat jadi suami isteri, saya masih berstatus solo.

Gomez tinggalkan Bieber

Posted:

Gomez tinggalkan Bieber

Gomez tinggalkan Bieber


SELENA GOMEZ dikatakan sudah tidak mempercayai Bieber.


KINI ia bukan sekadar gosip, namun memang sebuah kenyataan bahawa hubungan cinta pasangan selebriti remaja Justin Bieber dengan Selena Gomez telah benar-benar berakhir.

Ia merupakan berita yang agak mengejutkan kerana mereka sebelum ini dilihat semakin serius terhadap hubungan cinta yang dibina sehingga membeli aset yang berupa kediaman bersama, selain Bieber mengaku dia jatuh cinta dengan Gomez.

Banyak spekulasi yang timbul tentang perpisahan pasangan tersebut selepas dua tahun mereka bercinta.

Antaranya, dakwaan yang mengatakan Bieber, 18, curang terhadap Gomez, 19. Maka Gomez telah mengambil keputusan untuk berpisah walaupun ia menyakitkan dirinya sendiri.

"Gomez mengambil keputusan untuk berpisah dengan Bieber pada minggu lalu. Ini kerana dia sudah semakin sukar untuk mempercayai Bieber, jadi dia minta untuk berpisah," ujar satu sumber kepada majalah People.

Bieber didakwa curang apabila gambarnya keluar berpesta dengan model Barbara Palvin tersebar. Malah, mereka turut dilihat keluar menonton teater muzikal The Lion King bersama.

Selain isu curang, faktor lain yang dikatakan menjadi punca perpisahan mereka ialah jadual kerja kedua-duanya yang terlalu sibuk.

Sebelum ini, pada awal perhubungan cinta mereka dihidu media, Gomez menyifatkan Bieber yang muda setahun tidak ubah seperti seorang adik baginya.

"Dia macam adik lelaki buat saya," katanya. Malah pada awal tahun 2011, mereka masih menafikan hubungan yang terjalin.

Namun Gomez akhirnya harus akur bahawa dia telah jatuh cinta dengan Bieber.

Dalam satu temu bual pada awal tahun ini, Gomez memberitahu: "Kehidupan saya sangat bahagia dengan kehadiran orang yang menyayangi saya."