Adsense

Rabu, 14 November 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Impian Alyah

Posted: 13 Nov 2012 05:24 AM PST

KETIKA hadir untuk sesi fotografi di Balai Berita bagi mempromosikan program realiti nyanyian kanak-kanak, Idola Kecil musim kelima (IK5), selaku juri tetap, Alyah kelihatan kepenatan dan wajahnya tampak lesu kerana katanya kebelakangan ini dia sangat sibuk namun digagahinya juga kerana dia ada tanggungjawab untuk dilangsaikan.

Dia juga baru sembuh daripada sakit tulang belakang akibat ditimpa lampu spot light pada satu acara anjuran Hot FM. Bagaimanapun kata Alyah kesannya masih terasa kerana empat tahun lalu dia pernah ditimpa kemalangan di tempat sama.
Oleh itu kemalangan yang baru dialaminya menambahkan lagi kesan kesakitan sedia ada.


Sekarang katanya dia tak boleh minum minuman sejuk kerana pada sebelah malam tulang belakangnya terasa nyilu. Dia juga terpaksa menggantikan tilam yang digunakannya selama ini dengan tilam khas untuk mengurangkan sakit belakang.

"Sebelum ini saya jarang minum minuman sejuk hanya sesekali saja apabila rasa teringin tetapi sejak kejadian baru-baru ini, langsung saya tak boleh minum.
Terasa berbisa. Makan pun terpaksa memilih, yang mana sayuran 'sejuk' akan saya elakkan. Tilam juga terpaksa beli baru, kalau tidak saya tak boleh tidur.


"Tidur malam juga saya terpaksa memakai stokin kerana tapak kaki akan terasa sejuk. Allah SWT sudah mengambil sedikit nikmat daripada saya. Pun begitu saya bersyukur kerana masih boleh bekerja seperti biasa," katanya.

Alyah juga baru menceburi perniagaan online menjual turban dan shawl.
Perniagaan yang dikongsi bersama dua rakan karibnya itu dinamakan Gaya Alyah.

"Sejak tahun lagi saya bercadang untuk membuka perniagaan ini tetapi kesuntukan masa. Setiap minggu ada show. Untuk memastikan perniagaan berjalan lancar, saya mesti memberikan komitmen. Mujur rakan saya itu bersetuju memberi sepenuh tumpuan barulah saya boleh memulakannya.

"Sebagai permulaan Gaya Alyah menumpukan kepada keperluan Muslimah dan selepas itu barulah akan saya perluaskan untuk pakaian biasa yang mana peminat selalu bertanya di mana saya beli baju. Selalunya mereka berasa hampa kerana tiada ukuran baju yang sesuai untuk mereka.

"Peminat teringin nak pakai apa yang saya pakai tetapi masalah sukar mencari saiz. Saya akan mencari baju yang sama seperti saya pakai tetapi dalam pelbagai saiz. Semua baju itu saya akan pilih sendiri.

"Perniagaan ini beroperasi menerusi online dan edaran katalog. Saya akan mencari butik di seluruh negara menjadi ejen Gaya Alyah. Dengan cara itu mudah untuk peminat saya walau di mana mereka berada mendapatkan produk yang saya jual. Ramai pemilik butik berminat bekerjasama tetapi saya belum berkesempatan bertemu mereka.

"Sebelum usaha sama dibuat, saya perlu melihat butik mereka dan mengenali pemiliknya dengan lebih rapat. Saya akan pastikan di setiap negeri ada wakil dan peminat boleh beli terus daripada mereka. Selepas itu saya sendiri akan pergi ke setiap butik untuk membantu mereka mempromosikannya," katanya.

Alyah belum bersedia membuka butik sendiri kerana kos yang tinggi.

"Biar saya berniaga dengan cara begini dulu. Kalau saya nak buka butik sendiri, saya mahukan konsep berbeza dan paling penting memberi keselesaan kepada pelanggan. Impian saya untuk memiliki butik seperti itu memerlukan kos yang besar dan buat masa sekarang belum berkemampuan.

"Kalau buka butik tanpa dapat memberikan komitmen tak boleh juga. Sebagaimana kerjaya seni saya naik dengan perlahan-lahan, saya mahu proses perniagaan ini begitu juga. Tak mahu terlalu drastik, saya mahu membuat persediaan rapi sebelum bergelar pemilik butik," katanya.

Dia yang sudah lama tidak ada album baru penuh akan mula memasuki studio pada Januari depan bekerjasama dengan Warner Music.

"Saya akan mengurangkan persembahan pentas untuk memastikan album itu siap pada masanya. Kalau saya terus menerima undangan pada setiap minggu, nescaya album itu akan tertangguh. Sudah lima tahun saya tidak menghasilkan album penuh dan memang teringin sangat nak buat.

Perkembangan lain, pada Anugerah Planet Muzik yang akan berlangsung pada Disember ini di Singapura, dia antara artis yang menerima banyak pencalonan iaitu Artis Serantau Popular, Lagu Serantau Popular, Artis Wanita Terbaik, Lagu Terbaik dan Ikon Media Baru.

Bercerita mengenai penampilannya dalam IK5, dia dilantik sebagai juri tetap setiap minggu yang berlangsung selama lapan minggu.

"Tahun lalu kawan baik saya, Atilia menjadi juri tetap IK4. Sebagai juri saya akan berkongsi pengalaman saya yang tidak seberapa ini dengan peserta cilik itu. Setiap minggu saya akan mengikuti aktiviti dan kelas yang mereka sertai dan saya juga melihat rakaman IK4.

"Walaupun pesertanya kanak-kanak suara mereka sangat bagus. Apa yang saya lakukan lebih kepada perkongsian ilmu. Untuk melihat bagaimana juri melontarkan pandangan mereka, saya menonton The Voice, American Idol dan melihat Ziana Zain yang kini juri tetap program Vokal.

"Orang sekarang senang jadi penyanyi, tidak seperti saya dulu yang belajar menyanyi dengan pak cik dan orang di sekeliling saya. Kalau mereka belajar menyanyi macam orang dulu-dulu (belajar), saya yakin mereka tak akan tahan.
Cara pembelajaran orang dulu sangat 'keras'," katanya.

Konsert minggu pertama IK5 sudah pun bermula pada 10 November lalu, setiap Sabtu, jam 8.30 malam di TV9.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/13


Soseh Soseh: Cakap tak serupa bikin

Posted: 13 Nov 2012 04:09 AM PST

CAKAP lain tapi buat lain. Yang meluatnya apabila kata-kata yang diungkapkan oleh seorang artis lelaki ini macam menampakkan dia 'suci' sangat. Yang nyata ramai yang tertipu dengan lakonannya.

Begitulah yang boleh SS kata mengenai tindak tanduk artis yang dikenali dengan imej bersih ini. Orangnya memang dikenali ramai dan kalau SS boleh sebut namanya di sini, pasti ramai yang akan terkejut.

Tapi, mereka yang pernah kenal dia secara dekat memang maklum dengan sikap kasanovanya ini. Maklumlah orang kacak, tentu dia ingat semua wanita akan mudah tunduk kepada pujuk rayunya.

Menurut sumber SS, seorang artis wanita yang pernah diajak buat perkara tak senonoh oleh kasanova ini berkata, dia macam nak termuntah apabila baca kenyataan mamat ini yang ingin mencari isteri yang baik, solehah dan macam-macam lagilah.


Sedangkan di belakang tabir, sikapnya bagaikan buaya kelaparan yang sering memburu bangsa. Dia ingat semua orang boleh diburunya, namun dia silap apabila mangsa itu menolak mentah-mentah ajakannya membuatkan dia terlopong sendiri.


Bagi SS, artis ini memang sengaja menggali lubang kuburnya sendiri. Mungkin dia lupa peribahasa yang pelanduk sering lupakan jerat tapi jerat tak lupakan pelanduk. Selicik mana dia nak sembunyikan kegiatannya, satu hari nanti pasti akan terbongkar juga.

SS rasa dia mungkin berada dialam fantasi kerana anggap dirinya akan terselamat. Maklumlah hubungan dia dengan pihak media juga dilihat macam lancar. Namun dia kena ingat kami takkan berkompromi atau bersubahat dengan perangai buruk yang dilakukan.

Apabila sampai masanya dan cukup bukti, kegiatan buruknya pasti akan tersebar juga. Sesekali difikirkan pelik juga kerana dia hendakkan isteri yang baik, tapi dalam masa sama perangainya pun tak betul juga.

Artis lelaki yang berangan ini perlu merenung pada ayat lelaki yang baik akan dikurniakan wanita yang baik. Jadi, kalau diri sendiri tak betul, jangan haraplah nak dapat isteri yang menepati ciri-ciri yang diinginkan.

SS: Takut nak buat jahat kerana percaya setiap perbuatan kita akan dibayar tunai oleh Allah SWT.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/13