Harian Metro: Rap |
Posted: 06 Nov 2012 06:25 AM PST LUPAKAN saja kisah silamnya dulu kerana ia sudah pun menjadi sejarah. Bagi anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini, kontroversi yang pernah melanda hidupnya dulu sedikit sebanyak mematangkannya dalam meniti perjalanan sebagai anak seni. Selepas tiga tahun mendiamkan diri dan mengumpul kekuatan dalam diri, bekas juara One In A Million (OIAM) musim kedua, Ayu yang juga pemilik nama sebenar, Norayu Damit, 23, percaya, sampai masanya dia bangkit semula untuk buat 'comeback' sekali gus merancakkan kembali persada hiburan tanah air. Ternyata, status isteri dan ibu kepada dua cahaya mata bukan penghalang buatnya kembali meneruskan cabang seni yang sudah sebati dalam dirinya sejak dulu. "Sebelum ini, saya memperlahankan aktiviti seni sebaik saja OIAM berakhir kerana fokus pada rumah tangga dan bisnes bersama suami menerusi syarikat Kenali Pura Network yang membekalkan peralatan makmal di sekolah, lebih setahun lalu.
Walaupun ingin kembali dalam dunia glamor, keutamaan Ayu tetap pada rumah tangganya. "Saya tak kisah orang kata tidak popular berbanding rakan seperjuangan lain kerana yang penting hidup saya bahagia sekarang. Suami dan anak-anak tetap nombor satu dalam hidup dan karier seni pula jatuh nombor dua. "Saya juga yakin untuk kembali dalam bidang seni kerana anakk sudah besar sikit dan suami juga merestui dan memberi sokongan padu kerana dia tahu minat saya yang mendalam dalam bidang nyanyian," katanya. Hasil perkongsian hidup dengan Syed Fauzi Syed Baharuddin, 25 tahun, Ayu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syed Nasrul Haikal, 3 tahun dan Sharifah Alya Adriana, 1 tahun, 3 bulan. Mengenai gosip dirinya yang dikatakan ada masalah 'tingkah laku' hingga menyebabkan namanya tenggelam dalam bidang seni, Ayu mengakui dia sendiri tidak tahu dari mana datangnya cerita seperti itu. "Ini kali pertama saya dengar gosip seperti itu. Selepas Anugerah Planet Muzik 2009, saya perlahankan aktiviti seni kerana fokus pada rumah tangga. "Sepanjang terbabit dalam bidang seni, saya tidak pernah menimbulkan masalah pada orang lain. Apa yang saya tahu hanya menyanyi dan buat 'show' saja kerana segala urusan lain diserahkan pada pengurusan 8 Unit sebelum ini. "Namun, saya akur, tidak tahu macam mana nak berhubung dengan pihak media tempatan pada awal pembabitan dalam bidang seni dulu. Mungkin sebab itu saya kurang publisiti berbanding rakan seperjuangan lain. Tapi, saya tidak kecewa pun dengan apa yang berlaku kerana menyedari diri tidak diberi peluang ketika itu," katanya. Ayu mula belajar erti berdikari DALAM diam rupa-rupanya, sudah setahun Ayu keluar dari syarikat rakaman Monkey Bone Records dan pengurusan 8 Unit. Ketika bernaung di bawah Monkey Bone selama tiga tahun, Ayu juga sempat menghasilkan dua album. Bagaimanapun, album penghargaannya dengan Monkey Bone yang mengandungi lagu hits 80-an belum dilancarkan lagi. Lebih menarik, album 'tribute' yang juga cover version Melayu itu memuatkan lagu seperti Kabut Serangkai Mawar (Zaiton Sameon), Flora Cinta (Min Malik), Setia Kasih (Haleeda), Salam Buat Kekasih (Nadia), Dendam Dalam Diam (Nora) dan Penghujung Rindu (Jamal Abdillah). "Selepas tamat kontrak, saya putuskan untuk belajar berdikari dan menguruskan sendiri karier seni dengan dibantu pengurus, Jeff Wai. Terus terang, saya keluar dari Monkey Bone dan 8 Unit bukan kerana ada masalah sebaliknya saya keluar secara baik kerana ingin belajar berdikari demi jaminan masa depan. "Dari segi imej pula, saya tidak merancang buat perubahan mendadak kerana selesa dengan imej ringkas dan sesuai dengan status sebagai isteri dan ibu. Ia memang cabaran besar bagi saya untuk menjual vokal dan bukan imej seksi. Bagi mengubati kerinduan peminatnya, Ayu juga mempertaruhkan single barunya berjudul Hati Ini yang juga terbitan Global Records Sdn Bhd. Single genre balada ini ciptaan Mohd Atlas. "Saya a sudah berhenti menyanyi di Glass Lounge, Hotel Crowne Plaza Mutiara, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur kerana ingin memberi fokus pada single ini. "Buat masa ini, saya muncul dengan single terlebih dulu khusus untuk peminat yang masih menyokong sampai sekarang. Single ini juga menepati cita rasa sendiri. Selain itu, saya masih mencari material sesuai untuk bingkisan album penuh nanti," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/06 |
Posted: 06 Nov 2012 06:11 AM PST BAGAIKAN kelaziman, penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) pasti mencetuskan kontroversi tersendiri. Saban tahun ada sahaja cakap-cakap belakang diperkatakan sebaik majlis yang bertujuan meraikan karyawan filem ini selesai. Ada-ada saja isu tidak puas hati ditimbulkan penggiat seni sendiri. Sudah dapat diagak penganjuran FFM bersempena sambutan jubli perak mengundang kontroversi apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bertindak mengambil alih penganjurannya daripada Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) yang dikatakan mempunyai hak penuh menganjurkannya. Paling melukakan Gafim ialah Finas bertindak mengadakan kerjasama dengan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang bukan ahli gabungan mereka untuk penganjuran FFM25 yang berlangsung pada 30 Disember ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Dalam hal ini, individu yang dilihat menjadi mangsa keadaan tentunya penerbit Datuk Yusof Haslam yang muncul pada sidang media FFM25 oleh Finas sebelumnya. Justeru, Gafim tampil dengan sidang akhbar khas bagi membantah penganjuran FFM25 oleh gabungan dua pihak ini pada 25 Oktober. Persoalannya, apakah perkara ini menjejaskan komitmen PFM dalam bekerjasama dengan Finas? Wartawan RAP, Ridzuan Abdul Rahman (mohamadridzuan@hmetro.com.my) mendapatkan penjelasan daripada Yusof sendiri. Menariknya, jawapan yang diberikan cukup berlapik dan penuh hati-hati kerana beliau bimbang rakan lamanya dalam industri berkecil hati. RAP: Bagaimana PFM boleh terbabit dengan FFM25? YUSOF: Kami hadir menerusi surat jemputan daripada Finas. Saya sebenarnya mewakili Presiden PFM, Datin Paduka Shuhaimi Baba yang tak dapat menghadirkan diri. Sebagai Timbalan Presiden saya perlu pikul tanggungjawab yang diberikan. RAP: Maksudnya PFM tidak tahu perkara sebenar sebelum sidang media itu? YUSOF: Saya memang tak tahu butir lengkap. Namun, sebagai penerbit filem, sudah tentulah kami harus bergandingan dengan Finas dalam penganjuran majlis ini. RAP: Adakah Datuk terkejut Gafim tak terbabit sama? YUSOF: Ya saya sebenarnya terkejut. Saya kata pada Ketua Pengarah Finas, Mohd Naquib Razak supaya panggil Gafim juga untuk turut serta. Beliau setuju dan kata ini hanya sidang media dan berikutnya akan buat mesyuarat dengan Gafim. Dia mengaku terlepas pandang perkara ini. RAP: Gafim kata berhak anjurkan FFM kerana sudah dipatenkan sebagai hak mereka. Apa komen Datuk? YUSOF: Saya tak pasti sama ada itu sudah dipatenkan sebagai milik Gafim atau tidak. Mereka sebenarnya pun daripada gabungan persatuan seni. Kalau penerbit tak bagi filem untuk dipertandingkan pun susah juga. Apapun saya lebih suka pilih jalan tengah dan nak semuanya bergabung. Apa salahnya kita sama-sama menganjurkan dan memeriahkan majlis untuk meraikan anak seni. RAP: Ketika sidang media itu, apakah Datuk rasa akan berlaku kekecohan mengenai FFM25? YUSOF: Ya, itulah yang saya rasa dan perkara ini terus saya beritahu kepada Naquib. Dia kata akan panggil semua dalam mesyuarat yang akan diadakan. Seperti yang saya kata, Naquib mengaku terlepas pandang perkara ini. RAP: Perasaan Datuk apabila perkara ini menjadi kecoh? YUSOF: Saya memang berharap kemelut ini diselesaikan cara baik. Kita perlu duduk semeja untuk kepentingan industri. Sebagai orang lama yang bergiat lebih 40 tahun dalam seni, saya harap FFM akan berjalan lancar. Sesiapa yang tak puas hati sila luahkan dan jangan bercakap belakang. Saya tak nak orang seni diketawakan oleh masyarakat. RAP: Selepas keluar Gafim, apakah PFM menyokong penganjuran FFM? YUSOF: Kami tetap menyokong FFM kerana ia membawa manfaat kepada perkembangan industri. Itu langsung tak jadi masalah buat kami. RAP: Apakah Datuk lihat FFM25 akan ditunda? YUSOF: Sama ada penganjurannya terlajak atau tidak, ia mesti dilangsungkan juga sekurang-kurangnya Januari nanti. Kalau tidak nanti, akan berlaku lambakan filem kerana difahamkan 75 filem cereka akan dipertandingkan. RAP: Setuju kalau dikatakan FFM tak lekang daripada kontroversi? YUSOF: Kontroversi tak salah kalau bertujuan memeriahkan. Tapi janganlah keterlaluan sehingga orang hilang hormat terhadap penggiat seni. PFM tidak akan tarik diri dalam penganjuran FFM. Saya juga difahamkan Finas sudah bertemu dengan Gafim pada Isnin lalu. Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama menganjurkan FFM25. Ini satu perkembangan yang baik kerana kita perlu bersatu membangunkan industri seni. RAP: Apa komen mengenai Majlis Tindakan Bersama tiga persatuan iaitu FDAM, Seniman dan Profima yang minta Finas menguatkuasa kembali Padu Citra pada 1 Januari 2013? YUSOF: Mereka kena bincang dengan PFM sebagai penerbit dan tak boleh pandai-pandai buat keputusan. Jangan buat budaya sendiri kerana perbincangan ini perlu membabitkan PFM dan Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM). Kerja filem ibarat kamikaze kerana tak menentu masa. Ini budaya semula jadi orang seni yang tak sama dengan orang kerja kerajaan. Sebelum buat keputusan semua pihak perlu duduk berbincang. RAP: Datuk menyokong Padu Citra? YUSOF: Saya tak nafikan Padu Citra bagus, tapi sebelum itu perlu ada tindakan proaktif daripada pelbagai pihak. Kadangkala saya malas nak bagi komen, tapi melihatkan situasi sekarang saya rasa perlu juga bercakap. Bukan nak menidakkan pentingnya Padu Citra, tapi sebarang perbincangan perlu membabitkan PFM dan PTVM sebagai penerbit. Bagaimana kalau penerbit ambil orang baru bekerja dalam produksi? Perlu ada mekanisma lengkap dalam perkara ini. Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/06 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |