Berita Harian: Hip |
Posted: 06 Nov 2012 02:53 PM PST Juliana nafi lelaki dalam foto tersebar di internet kekasih Pelakon, pelawak dan pengacara, Zizan Razak, tidak terkejut dengan penyebaran gambar intim Juliana Evans bersama lelaki yang didakwa sebagai kekasih baru aktres itu, di internet, sejak Jumaat lalu. Ketika dihubungi Zizan berkata, dia tidak pernah menjalinkan hubungan istimewa bersama pelakon kacukan itu. Justeru, dia tidak perlu berasa terkejut dengan kewujudan gambar terbabit. Menurut Zizan, sejak gambar itu tersebar, dia dihujani pelbagai pertanyaan daripada peminat menerusi laman Twitternya. Rata-rata ingin mendapatkan pengesahannya mengenai hubungan Juliana dengan jejaka kaukasia itu. "Bagaimanapun, saya tidak tahu hendak jawab apa. Jadi saya memilih untuk mendiamkan diri saja. "Saya juga tidak terkejut sebab kami memang tidak mempunyai ikatan, malah tidak pernah janji apa-apa. Kalau benar dia sudah ada teman lelaki, itu bukanlah masalah bagi saya. "Memang saya tidak pernah meletakkan sebarang harapan sebaik saja dia ke luar negara. Saya kurang percaya pada hubungan jarak jauh. Jadi biarlah dia jalani hidupnya sendiri," kata Zizan. Sejak Juliana berangkat ke Universiti Michigan, Amerika Syarikat, Zizan langsung tidak terfikir untuk serius dengan pelakon Hantu Bonceng itu. Bahkan, hubungan mereka tidak lebih sekadar teman baik. Akui Zizan, dia pernah bertanya pada Juliana, bagaimana jika dia mahu menjalinkan hubungan yang serius dengan wanita itu. Namun ia tidak dipersetujui pelakon cantik itu, yang sudah mempunyai perancangan untuk menyambung pengajian ke luar negara. "Dia memiliki ciri-ciri wanita yang saya mahukan - cantik dan gila-gila. Karakter dia sesuai dengan saya, tetapi secara jujur kami tidak pernah serius. "Saya akui, kami pernah melafazkan kata-kata sayang, tetapi ia tidak lebih daripada ungkapan untuk seorang sahabat baik. Walaupun saya pernah menangis sewaktu menghantarnya ke lapangan terbang pada Januari lalu, tetapi itu bukanlah petanda yang kami bercinta. "Saya menangis ketika itu sebab bakal kehilangan seorang sahabat baik," kata artis yang semakin sibuk ini. Percaya rakan disabotaj Pada awal pemergian Juliana dulu, mereka sering berhubung, terutama melalui Skype. Namun lama-kelamaan Zizan mula terfikir masing-masing perlu ada kehidupan sendiri serta tidak lagi boleh menunggu. "Lagipun saya sibuk bekerja dan dia pula dengan pengajiannya. Manalah kami ada masa sangat hendak berhubung? Lama kelamaan, masing-masing mula faham," katanya yang kali terakhir bertemu dengan Juliana ketika promosi filem Mael Lambung, penghujung Jun lalu. Zizan bagaimanapun mempersoalkan, bagaimana gambar terbabit boleh tersebar? Dia percaya, foto itu bukan dimuat naik oleh Juliana, sebaliknya mungkin ada pihak yang sengaja mensabotaj pelakon itu. Sementara itu, Juliana menerusi Twitternya menjelaskan, lelaki kulit putih yang dirakam bersamanya dalam beberapa foto itu bukanlah kekasihnya. "Hakikatnya, lelaki itu bukanlah kekasih saya," katanya ketika menjawab pertanyaan seorang peminat berhubung foto keintimannya bersama pemuda berkenaan. |
Posted: 06 Nov 2012 02:46 PM PST Liyana kepenatan, tapi seronok sambung belajar di New York Walau dihambat jadual harian padat ditambah tugasan lapangan, Liyana Jasmay yang kini bergelar penuntut jurusan lakonan dan perfileman di Akademi Filem New York tetap sedia memenuhi permintaan untuk ditemubual. Tetap ramah seperti biasa, Liyana yang selesa disapa Nana mengaku, begitulah rutin hariannya sepanjang enam bulan di kota itu, dengan kelas bermula seawal jam 9 pagi dan hanya pulang selepas mata hari terbenam. Namun tidak sesekali dia merungut kerana wanita muda ini semakin seronok mendalami ilmu dalam bidang dicintai.
"Dua bulan terawal saya mendalami ilmu lakonan dan sekembali bercuti sebulan, kursus bersambung pula dengan penerbitan. Pembelajaran berlangsung secara intensif, cepat namun banyak ilmu yang saya peroleh," katanya yang mempunyai syarikat produksi sendiri. Pilih putih sebagai tema Sementara itu, berkongsi persediaan hari bahagianya yang berkonsepkan cinta, gadis kecil molek berusia 24 tahun yang sememangnya dikenali dengan sikap manja memaklumkan, dia meletakkan rona putih sebagai tema utama, terutama dalam pemilihan busana pengantin. Bakal mengenakan persalinan sentuhan Jovian Mandagie untuk akad nikah dan resepsi, selain rekaan Rizman Ruzaini bagi acara memotong kek, bagi Nana putih melambangkan kesucian cinta abadi.
Berdasarkan perancangan, tamat saja kuliah sekitar pertengahan Disember nanti Nana yang setia ditemani ibu, Datin Habsah Simpon sejak memulakan pengajian Julai lalu, akan terus pulang ke tanah air bagi menguruskan persediaan kenduri yang masih berbaki. Tunang, bapa akrab Menganggap ibu tersayang sebagai sahabat paling akrab, dia bersyukur apabila ibu bapanya turut menyenangi bakal suaminya, Fathudin Mazlan, 28, apatah lagi bagi Nana, sikap lelaki itu yang menghormati orang tua dan pandai mengambil hati membolehkannya mudah 'masuk' dalam keluarga mereka. "Awal dulu Fathudin takut juga dengan Babah (ayah) sebab tengok luaran nampak serius. Lagipun sebagai ayah tentu dia bersifat pelindung tambahan pula berhadapan lelaki yang bakal mendampingi anaknya," tambahnya sambil tertawa kecil. Namun sambung Nana lagi, hubungan kedua-duanya semakin rapat sejak ayahnya mempunyai tugasan di Sabah dan di sana Fathudin banyak membantu malah sejak itu bakal suami dan ayahnya umpama sahabat karib. "Dari situ saya nampak keikhlasan hati Fathudin yang bukan sekadar menyayangi saya, malah memenangi hati semua, sekali gus menerima semua insan yang saya sayangi bagai keluarga sendiri," ulas pelakon Khurafat ini. Info: * Majlis perkahwinan Liyana-Fathuddin akan diadakan pada 2 Februari 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. * Seramai 300 tetamu termasuk keluarga terdekat serta teman media bakal menyerikan majlis pernikahan pada sebelah pagi manakala pada acara resepsi pula dianggarkan kira-kira 1,000 tetamu diundang. * Majlis menyambut menantu di pihak keluarga Fathudin yang juga usahawan itu dijadualkan berlangsung di Dewan Perdana Felda pada 9 Februari depan. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |