Adsense

Sabtu, 3 November 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Sedia berpecah bila di puncak

Posted: 02 Nov 2012 07:48 AM PDT

KEMUNCULAN mereka ke persada hiburan dilambangkan sebagai kebangkitan semula band penyanyi yang semakin samar selepas beberapa kumpulan seperti Westlife, N'Sync, Backstreet Boys dan banyak lagi menyepi.

Bahkan, mereka juga antara fenomena dunia yang kian digeruni dengan prestasi cemerlang bukan saja pada muziknya malah setakat 2012 saja, pelbagai anugerah berjaya dibolot mereka.

Siapa tidak kenal dengan penyanyi lagu What's Make You Beautiful, One Direction (1D)? Kemunculan mereka antara yang sering dinanti setiap kali melintasi karpet merah sesebuah acara berprestij, belum lagi persembahan mereka.

Tidak dinafikan, pakej bersama yang dibawa mereka, berwajah tampan, muda dan 'funky' serta tata rias serba terkini, turut menjadi faktor utama mereka digilai di setiap pelusuk dunia sekarang ini.


Sekitar tahun ini saja, nama mereka juga meledak selepas menjadi antara artis yang membuat persembahan di acara penutupan Olimpik, London, selain menang besar di anugerah Muzik Video MTV, September lalu.


Jadual mereka terlalu padat apatah lagi kini sedang dalam proses merakamkan album kedua berjudul Take Me Home yang dibuat di Stockholm, Sweden sementara mempersiapkan diri untuk siri jelajah mereka bermula April tahun depan.

Besar kemungkinan disebabkan hambatan kesibukan sepanjang tahun ini yang mereka lalui, kumpulan dianggotai Harry Styles, Niall Horan, Louis Tomlinson, Liam Payne and Zayn Malik berkenaan mengumumkan satu kejutan besar, baru-baru ini.

Seakan terlalu awal untuk mengambil keputusan itu, mereka bagaimanapun seperti nekad untuk mengikut jejak band lama terkenal, Take That yang berpecah pada tahun 1996 selepas Robbie William keluar dan bergerak solo.

Menurut Niall, mereka akan melunaskan 'perpecahan' itu sebaik saja mereka berada puncak kejayaan dan hanya akan bergabung semula selepas beberapa tahun.

"Jangan melenting dulu mengenai hal itu kerana bukanlah dalam masa terdekat kami akan berbuat demikian sebaliknya suatu hari kelak apabila kami semua sudah bersedia.

"Kalau berpecah pun nanti, hal itu bukanlah untuk selama-lamanya kerana kami bercadang hanya untuk mengambil rehat yang panjang sebelum kembali bersatu.

"Kami sekadar mahu jadi seperti Take That atau lebih tepat, Gary Barlow yang meninggalkan sebentar kumpulannya dan menyanyi solo namun selepas 10 tahun, dia kembali kepada mereka semula," katanya.

Memperjuangkan muzik pop, kumpulan yang dilahirkan daripada rancangan realiti popular, the X-Factor United Kingdom (UK) pada 2010 itu juga semakin berdebar tetapi teruja dengan pelancaran album mereka 12 November ini.

Biarpun kali ini, selepas What' Make You Beautiful dan One Thing, lagu Live While We're Young masih ligat berkumandang di corong radio, sebuah lagi single terbaru, Little Things daripada album kedua itu nampaknya sudah pun dilancarkan lagi.

Mendapat sentuhan komposer juga penyanyi muda tersohor, Ed Sheeran, menurut Niall lagi, sebaik diperdengarkan lagu berkenaan, mereka terus sukakan lagu itu dan bersetuju untuk merakamkannya.

"Lagu itu sangat ringkas namun kami percaya ia bakal mengulangi kejayaan single kami sebelum ini. Sebab itulah kami tidak menunggu lama dan terus merakamkan lagu berkenaan.

"Begitu juga video muziknya, kami menggunakan konsep yang sangat ringkas iaitu dengan hanya duduk di dalam sebuah studio rakaman sambil berpura-pura sedang membuat rakaman," katanya memberikan sedikit bayangan terhadap video lagu berentak balada berkenaan.

Ogos lalu, mereka mengumumkan mengenai kemunculan album terbaru itu dan tidak lama selepas itu, pengumuman senarai lagu yang akan dimuatkan termasuklah Kiss You, C'mon C'mon, Last First Kiss, Heart Attack, Rock Me, Change My Mind, I Would, Over Again, Back For You, They Don't Know About Us dan Summer Love pula menyusul.

1D bakal memulakan konsert jelajah yang dinamakan One Direction 2013 World Tour itu di lokasi pertamanya, The O2 Arena, London dan meneruskan di destinasi lain sekitar Eropah, Amerika dan Australasia saja sehingga Oktober tahun depan.

Pernah mengumumkan akan turut singgah ke Asia juga, nampaknya siri jelajah
berkenaan masih samar-samar lagi walaupun berkata kemungkinan ia akan dibuat sekitar musim luruh tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/02


Edisi ke-3 lebih menjerit

Posted: 02 Nov 2012 06:54 AM PDT

DALAM tempoh tiga minggu lagi, peminat bakal menyaksikan majlis anugerah Shout Awards yang menampilkan acara lebih hebat dan meriah. Apa lebih menarik, upacara memasuki tahun ketiga ini membawakan dua pembaharuan berupa dua anugerah baru yang tidak pernah diadakan pada mana-mana dua edisi acara kemuncak berprestij itu sebelum ini.

Anugerah terbabit adalah kategori media sosial, Wired Celebrity Award dan Shout! Aloud Award. Acara kemuncak Shout! Awards 2012 juga menampilkan kelainan menerusi Discovery Stage. Pentas ini akan bertindak sebagai platform buat bakat-bakat baru mempamerkan muzik mereka.

Antara bakat-bakat kreatif terbabit menampilkan muzik mereka adalah Meliha Faisal, The Aggrobeats, Tres Empre, Man Under Zero Effort, Rosevelt, Wanted Symphony, DJ Bing dan Salam Muzik.

Barisan penyampai anugerah juga diserikan dengan kehadiran ramai nama besar dalam bidang seni, penganjuran konsert dan lakonan. Antaranya Yuna, Jason Lo, Patricia K, Sazzy Falak, Atilia, Sharifah Amani, Bunkface, Farid Kamil dan Amy Search.


Bercakap pada majlis pengumuman pengacara, penyampai dan artis membuat persembahan di The Stage Avenue K, Kuala Lumpur, Rabu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar berkata, pihaknya sentiasa membawa pembaharuan bagi menjadikan majlis itu menarik setiap tahun.


"Acara kemuncak Shout Awards 2012 yang akan berlangsung pada 23 November ini paling menarik, paling 'happening' dan meriah pernah dianjur berbanding dua edisi sebelum ini.

"Dengan pengenalan anugerah baru dan Discovery Stage, bakat-bakat tempatan berpeluang menonjolkan muzik mereka.

"Tidak ketinggalan, penyertaan dua kumpulan K-Pop Korea, Nu'Est dan Vixx akan menghangatkan lagi Shout Awards 2012. Peminat bukan saja menonton bakat tempatan tetapi fenomena artis K-Pop yang turut mencetuskan peminat mengikuti perkembangan mereka di Malaysia.

"Shout Awards menyaksikan kehadiran Sean Kingston pada 2009 dan Iyaz pada 2010. Peminat hadir pasti lebih ramai memandangkan Shout Awards 2012 akan diadakan di Surf Beach, Sunway Lagoon Petaling Jaya," katanya.

Hadir sama pada majlis adalah Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7, Airin Zainul dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communication, Jacob Yeoh.

Pada majlis itu juga, pengacara popular, Henry Golding diberi tanggungjawab mengacara anugerah bersama Hannah Tan dan pengacara terkenal dengan aksi spontan, Razif Hashim.

Bukan itu saja, barisan artis menjayakan persembahan nanti adalah Altimet, Go Gerila, Liyana Fizi, Yuna, Goldfish dan Blink, Ze!, Diandra Arjunaidi, Kyoto Protocol dan ramai lagi.

Pada masa sama, sebuah program khas, The Show Before Shout! Awards akan disiarkan sehari sebelum acara kemuncak Shout Awards. Program ini membawa penonton ke belakang tabir persiapan dan mengimbas kembali majlis pernah diadakan sebelum ini.

Majlis kemuncak akan disiarkan secara siaran langsung dari lokasi Surf Beach Sunway Lagoon pada jam 8.30 malam secara eksklusif di saluran 8TV.

"Melihat senarai finalis dan artis-artis bakal membuat persembahan sudah cukup membuatkan saya teruja dan tidak sabar untuk menyaksikan malam kemuncak Shout! Awards," kata Airin.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/02