Adsense

Khamis, 15 November 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Berkorban demi kerjaya

Posted: 14 Nov 2012 05:45 AM PST

TAKWIM Tahun Baru Islam 1434 Hijrah mula dibuka hari ini. Ia sesungguhnya diharapkan mampu membawa sejuta rahmat kepada seluruh umat Nabi Muhammad SAW tidak kira di mana berada di muka bumi ini.

Tahun Baru Islam juga detik penting bagi mengenang penghijrahan Rasulullah SAW dari Kota Makkah ke Madinah pada 622 Masihi yang berlaku pada 1 Muharam.

Bagaimanapun, masih ramai umat Islam hari ini kurang mengambil berat pengertian Awal Muharam atau disebut sebagai Maal Hijrah. Mereka lebih gemar meraikan detik 1 Januari setiap tahun dan menganggap 1 Muharam tidak lebih daripada cuti umum semata-mata.

Apa yang seharusnya difahami, Maal Hijrah sebenarnya menjadi suatu bibit penghijrahan yang besar kepada semua umat Islam menuju kebaikan.


Hijrah menurut pengertian umum adalah meninggalkan larangan Allah SWT dan melaksanakan segala perintah-Nya. Bagaimanapun, dalam pengertian yang lebih luas, ia juga membawa maksud keluar daripada medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas.


Inilah yang cuba difahami dan diamalkan, termasuklah dua insan yang sedang mencipta nama dalam bidang seni tanah air.

Bagi mereka, perjuangan yang dilakukan dengan penuh ikhlas sambil mendapat restu orang tua adalah yang terbaik bagi membangunkan seni untuk masyarakat. Namun kejayaan yang mereka kecapi bukanlah datang dalam sekelip mata, tetapi menuntut banyak pengorbanan.

Apa yang jelas, selepas 12 tahun berjuang dalam industri, baru sekarang Nur Shahila Amir Amzah merasai nikmat kejayaan yang diimpikan selama ini manakala Wawa Zainal pula terpaksa berpisah jauh daripada keluarganya di Sabah, demi mengejar impiannya menjadi seorang pelakon.

Ketika ditemui dalam sesi foto di Balai Berita, NSTP, baru-baru ini, Shila akui terpaksa mengorbankan zaman kanak-kanak dan remaja demi cita-citanya untuk menjadi penyanyi yang berwawasan.

"Saya tidak sempat melalui zaman kanak-kanak seperti kawan-kawan sebaya lain. Begitu juga dengan zaman remaja saya kerana saya anak orang seni. Jiwa seni saya sangat menebal dan sejak kecil saya suka menyanyi dan bermain muzik.

"Namun apabila melihatkan apa yang saya kecapi sekarang, saya tidak menyesal kerana saya mendapat kejayaan pada usia yang masih muda berkat usaha dan tunjuk ajar orang tua saya yang tidak pernah jemu-jemu membantu. Kami pernah susah dan sekarang kami gembira dengan rezeki yang Tuhan limpahkan.

"Keluarga saya sangat tegas. Sejak kecil lagi Abah dan Mama mendidik kami adik-beradik dengan penuh disiplin. Sampai sekarang pun Mama masih menemani saya termasuklah kalau saya berjumpa dengan teman lelaki saya. Mama tidak pernah biarkan saya bersendirian dan keadaan itu membuatkan saya rasa lebih selamat.

"Apabila patuh dengan cakap ibu bapa kita, insya-Allah kita akan selamat di dunia dan akhirat. Saya tidak pernah rasa diri saya dikongkong malah saya lebih selesa kalau orang yang menguruskan saya adalah ibu saya sendiri.

"Jadi apa saja fitnah atau tohmahan yang datang tidak membuatkan saya jadi tertekan kerana Mama selalu ada dengan saya. Jadi saya tidak perlu menjelaskan apa-apa kepada keluarga kerana mereka lebih tahu siapa saya dan apa yang saya buat.

"Alhamdulillah juga, berkat restu abah dan mama, saya mula berjaya. Perjuangan saya selama 12 tahun mula menampakkan hasil positif," katanya.

Shila juga tidak menafikan kejayaan lebih banyak dikecapinya selepas dia mengenakan tudung pada Ramadan lalu.

"Berkat penghijrahan saya, Allah SWT kurniakan saya lebih rezeki dan nikmat. Saya yakin semua ini ada hikmahnya dan saya saya gembira dengan kehidupan saya sekarang.

Namun pada masa yang sama saya mestilah berhati-hati dalam perjuangan saya.
"Faham sajalah, apabila kita sudah berjaya, ada pula pihak yang cuba menjatuhkan kita. Bagaimanapun, saya pasrah dan bertawakal kepada Tuhan dan bekerja macam biasa," kata Shila yang menolak gaya hidup bebas dan liar.
Shila yang sedang melebarkan sayapnya ke China selepas memenangi Asian Wave 2012 di Shanghai, baru-baru ini, berkata dia tahu kejayaan tidak akan datang bergolek.

"Pada sambutan Maal Hijrah kali ini, saya berdoa agar kita semua rakyat Malaysia khususnya umat Islam diberikan petunjuk dan hidayah serta diselamatkan daripada sebarang bencana. Saya juga sangat berbangga menjadi rakyat Malaysia kerana kita dapat hidup dalam suasana aman dan damai. Saya sebenarnya sangat terharu kerana golongan bukan Melayu juga mula memberikan banyak sokongan kepada saya untuk berjaya sebagai artis," kata penyanyi Beribu Sesalan, Patah Seribu dan Memori Tercipta ini.

Bagi pelakon cantik ayu, Wawa Zainal atau Nur Hawa Zainal Abidin, penghijrahannya dari Lahad Datu adalah dengan satu tujuan iaitu menjadi anak seni yang berjaya dan paling penting membantu keluarganya.

Wawa yang juga pelakon filem Pe3 sedar dia perlu memberanikan diri untuk mencari rezeki di tempat orang dan melakukannya dengan ikhlas dan sabar. Selama dua tahun menjadi pelakon, namanya semakin dikenali ramai hingga ke segenap ceruk kampung. Bukan saja berlakon, namanya itu menjadi pelaris iklan dan duta produk.

"Saya semakin selesa menetap di Kuala Lumpur sejak berhijrah ke sini kira-kira dua tahun lalu. Alhamdulillah, berkat doa orang tua juga, usaha saya semakin berhasil.

"Bukan senang menjadi pelakon dan saya sendiri masih banyak belajar daripada mereka yang berpengalaman. Rezeki kini datang bertali arus dan terbaru saya dilantik jadi duta produk kecantikan dan penjagaan diri, Shahirah, selama dua tahun. Dulu duta produk itu adalah Farah AF dan sekarang mereka memberi peluang kepada saya pula.

"Di Kuala Lumpur saya berada di bawah pengawasan syarikat pengurusan, MIG. Bos saya, David Teo selalu menasihati saya dalam segenap segi dan saya hormat dengan tunjuk ajar serta kepercayaan yang diberikan kepada saya. Pegawai Perhubungan Awam (PRO) di MIG juga baik-baik dan kami macam sebuah keluarga yang besar.

"Keluarga di kampung selalu menghubungi saya dan kalau ada kelapangan ibu bapa sendiri saya akan datang ke Kuala Lumpur. Bagi saya walau duduk berjauhan daripada keluarga kandung, ia bukan lesen untuk kita membuat apa saja dengan sesuka hati. Kalau jadi apa-apa yang tidak elok nanti, nama keluarga saya juga akan terjejas. Memang saya sendiri tidak suka dengan cara hidup liar.

"Apabila ada kelapangan yakni tidak terbabit dengan penggambaran dan sesi foto, saya lebih suka duduk di rumah menonton pelbagai DVD dalam dan luar negara, sambil itu saya boleh belajar serba sedikit teknik lakonan. Sebagai artis, saya tak boleh berpeleseran di luar sana kerana ia boleh mengundang fitnah," jelasnya.

Wawa berkata, dia sebenarnya baru kembali dari Agra, India selepas menjalani penggambaran tiga drama menarik di sana, Cinta Kasih, Serindu Taj Mahal dan Nur Qaisha. Wawa berharap peminat akan menonton ketiga-tiga drama itu apabila ia ditayangkan di kaca TV kelak.

"Pada kesempatan ini, saya dan Shila ingin mengucapkan Salam Maal Hijrah kepada semua umat Islam dan pembaca Harian Metro," ujarnya sambil tersenyum.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/14


Ahmad Albab versi teater

Posted: 14 Nov 2012 05:19 AM PST

KEHEBATAN filem komedi Ahmad Albab arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Kekuatan cerita inilah yang mencetuskan inspirasi buat Raja Azrey untuk menterjemahkannya dalam bentuk teater pula yang akan dipentaskan di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur selama tiga hari bermula 16 hingga 18 November ini, jam 8.30 malam.

Paling utama, ini teater pertama arahannya sejak terbabit dalam teater selepas beralih arah daripada lakonan. Ia pengubat kecewa selepas percubaan pertamanya mengarah teater bangsawan Siti Zulaikha sebelum ini tidak menjadi kenyataan apabila dipinggirkan penganjur pada saat-saat akhir.

Menurutnya, teater ini diterbitkan di bawah Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MTS) bagi mengisi program Semarak Bangsawan yang diperkenalkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

"Saya puji usaha JKKN adakan slot ini kerana menyuntik semangat penggiat teater genre bangsawan untuk terus berkembang. Ahmad Albab yang ditulis oleh saya adalah satu idea baru dan bukan diceduk bulat-bulat daripada filem.


"Ia mengupas kisah Ahmad Albab ketika dewasa iaitu berusia 21 tahun kerana apa yang ditampilkan dalam filem berkaitan ibu bapanya. Bahasa yang ditampilkan perlu ikut lenggok bangsawan kerana itu ditetapkan JKKN.


"Dengan pengalaman yang ada sepanjang terbabit dengan teater, saya yakin dapat mementaskan Ahmad Albab dengan baik. Saya banyak menimba ilmu sebagai pembantu pengarah di bawah Khusiary Mahyuddin. Jadi, ia akan digunakan sebaiknya," katanya yang baru menggondol anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam Festival Teater Malaysia 2012 (FTM 2012).

Sebagaimana kebiasaan, Raja Azery masih mengekalkan barisan pelakon yang sinonim dengan MTS. Mereka yang terbabit ialah Ezad Lazim dan Jihan Raja Lawak.

Bagaimanapun seperti teater lain, pendekatan popular diambil dengan penampilan kumpulan Cuit dari Raja Lawak, Iz Anak Wayang serta dibantu pelakon lain seperti Fairuz Selamat, Eita Rahim dan ramai lagi.

Ezad melahirkan perasaan terujanya melakonkan watak Ahmad Albab ketika dewasa. Ini teater bangsawan ketiga lakonannya selepas Siti Zubaidah dan Laksamana Do Re Mi.

"Buat masa ini, saya hanya diberikan watak pembantu kerana tanggungjawabnya agak kurang. Saya bercadang nak serius selepas ini dan insya-Allah ia akan jadi kenyataan," katanya.

Jihan pula melakonkan watak Puteri Mastura, isteri Syawal. Baginya, lakonan dalam Ahmad Albab ada kelainan kerana ia pengalaman pertamanya berlakon teater bangsawan.

"Ini teater pertama saya bersama MTS kerana sebelumnya saya hanya terbabit dengan kumpulan Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani). Rutin teater sebenarnya sama, namun ibarat masuk gelanggang orang lain, saya kena ikut cara mereka,"katanya.

Shazli Hashim dan Azmir dari kumpulan Cuit melakonkan watak Sultan Al Mashood Al Buaya dan Syawal. Mereka yang aktif berlakon teater di Pulau Pinang menganggap pembabitan dalam Ahmad Albab adalah pengalaman baru dalam karier.

Solekan & Lokasi Galeri Zaifie Zainal Kuala Lumpur (019-2939023/ zaifiezainalkualalumpur.blogspot.com)

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/14