Adsense

Khamis, 15 November 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Impian jadi nyata

Posted: 14 Nov 2012 01:43 PM PST

Menjadi orang penting dan tulang belakang kepada projek teater Tun Siti Hasmah yang sedang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya di Kuala Lumpur hingga Isnin depan, Datin Paduka Umie Aida, 38, mengakui berdepan tekanan.

Mengemudi teater arahan Erma Fatima ini bersama suami, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan melalui syarikat penerbitan, World Islamic Network Television Sdn Bhd, teater ini diketahui ramai berdepan pelbagai kontroversi.

Daripada penarikan diri pengarah hinggalah pelakon, teater ini tak pernah sepi dengan berita sensasi. Namun, biar apa pun terjadi, pementasan tetap berlangsung. Malah lebih daripada itu, pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2011 ini berpeluang mendekati insan yang menjadi idolanya iaitu Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

"Bukan saja menghasilkan teater, kalau bikin filem atau drama pun pasti ada cabaran yang perlu kita lalui. Umie tak boleh patah semangat mahupun berputus asa. Apatah lagi teater ini dihasilkan untuk generasi zaman dulu dan baru.

"Pengorbanan dan perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad dibantu sokongan padu Tun Siti Hasmah cukup banyak hingga membanggakan Malaysia, sekali gus dikenali di serata dunia.

"Sekalipun tidak terbabit sebagai pelakon, Umie bangga menjadi sebahagian daripada teater ini," kata Umie yang ditemui di belakang pentas, Ahad lalu beberapa jam sebelum pementasan sebelah malam berlangsung.

Eksklusif untuk pembaca HIP, Umie sudi berkongsi gambar kenangan indahnya bersama Tun Siti Hasmah. Kedua-duanya seperti ibu dan anak.
Solek tokoh idola Sepanjang bersama Tun Siti Hasmah, Umie berpeluang makan semeja dan menyolek wanita dihormati ramai ini.

"Umie ingat lagi masa majlis resepsi perkahwinan di Hotel One World, Bandar Utama (iaitu dua minggu selepas majlis pernikahan di Tanah Suci Makkah pada 14 Mac 2010), Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah membuka tirai majlis itu dengan menepung tawar. Umie mula kenal rapat Tun Siti Hasmah menerusi suami.

"Dari situ, termasuklah dalam hal membabitkan urusan temu janji di Putrajaya semasa menghasilkan teater, Umie berpeluang mendekatinya dengan lebih dekat. Idea menghasilkan teater mengangkat ketokohan mereka pun bermula daripada suami.

Biarpun kali pertama kenal, Tun Siti Hasmah seperti sudah kenal bertahun-tahun," katanya.

Umie berkata, Tun Siti Hasmah yang dikenalinya adalah seorang mudah mesra dan sangat baik.

"Jika berada dekat dengannya, terserlah sikap keibuannya. Umie pernah dua kali menyolek Tun Siti Hasmah. Menggigil juga pada mulanya. Dengan izin beliau, Umie secara sukarela menawarkan diri menyoleknya.

"Sifat beliau yang peramah membuat kerja menyolek jadi mudah," kata Umie bangga sambil memberitahu Tun Siti Hasmah sebenarnya gemar berborak dan ada saja topik atau ilmu yang mahu dikongsi.

Ketokohan cukup disenangi Umie berbesar hati apabila Tun Siti Hasmah sudi datang pada sebelah tengah hari pada 9 November lalu sebelum pementasan matinee pertama teater Tun Siti Hasmah .

"Sejak di bangku sekolah lagi, Umie melihat bagaimana ibu bapa menghargai perjuangan Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah.

Sokongan itu akhirnya berterusan kepada Umie. Aura dan ketokohan mereka cukup disegani ramai.

"Umie tahu faktor masa antara yang menjadi kekangan untuk kedua-dua mereka mencuri masa memberi sokongan kepada teater ini. Umie masih ingat lagi kata Tun Siti Hasmah, maklum balas terhadap pementasan teater ini sama ada positif atau tak adalah biasa.

"Katanya lagi, cukuplah niat kita baik dalam menghasilkan sesuatu, maka insya-Allah perkara baik juga akan menyusul. Umie begitu terharu dan melihat kepada komitmen pelakon, penari, pelakon tambahan dan kru sekitar 100 orang, insyaAllah kami semua mengharapkan yang terbaik untuk pementasan ini," kata Umie mengenai teater dibarisi pelakon Lisa Surihani, Eja, Esma Daniel, Nazim Othman, Syanie Hisham dan ramai lagi.

Erma selain mengarah dan menghasilkan skrip teater ini turut menjadi bidan terjun menggalas watak setiausaha Tun Mahathir, Datuk Badariah. Erma mengakui berdepan tekanan apatah lagi menghasilkan teater berkisar idola dan tokoh yang disayanginya.

Erma mengakui tanggung jawab ini termasuk perlu melakukan penyelidikan cukup membebankan saatnya sibuk mengarah drama , apatah lagi pada saat akhir menggantikan pengarah asal, Adlin Aman Ramlie.

"Sukar untuk saya mementaskan teater ini kerana Tun Siti Hasmah seorang yang sangat baik.

Konflik hidupnya tak banyak dan pada masa yang sama, saya bimbang kerana cerita Tun Mahathir sendiri lebih kuat berbandingnya.

"Apabila tidak banyak konflik, maka tidak banyak yang boleh diangkat ke teater ini. Tetapi di sebalik itu, saya cuba menghasilkan sebaik mungkin kerana sedikit sebanyak konflik yang melanda Tun Mahathir ketika perjuangannya turut memberi tempias kepada Tun Siti Hasmah.

"Di sebalik itu juga, ada sisi tersendiri yang ada pada Tun Siti Hasmah seperti pengorbanan, ketabahan, kekuatan dan ketaatannya kepada suami yang boleh saya katakan cukup luar biasa. Kalau tanya kepada wanita mana pun, pasti menginginkan impian bergelar First Lady. Tapi mampukah kita menjadi sekuat Tun Siti Hasmah.

Tak semua wanita boleh bersabar seperti yang dilalui beliau," kata Erma.

Mengenai pelakon, Erma memuji komitmen dan semangat yang ditunjukkan semua pelakon. Esma Daniel cukup cemerlang memegang watak Tun Mahathir dewasa.

Begitu juga dengan Eja yang buat kali pertama ke pentas teater, wajar dipuji kerana mampu menghayati watak Tun Siti Hasmah ketika dewasa.

Umie juga berkali-kali memuji pembabitan sulung Eja yang disifatkan cukup tepat dan sesuai dengan perwatakan Tun Siti Hasmah. Begitu juga lakonan Nazim Othman dan Lisa Surihani yang masing-masing menjayakan watak Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah pada zaman muda. Tiket menonton pementasan teater ini juga laris.

Artis main sorok-sorok kantoi

Posted: 14 Nov 2012 01:38 PM PST

Baru-baru ini, teman Cik Normah yang bertubuh mungil pergi ke sebuah hotel terkemuka untuk menghadiri sebuah majlis. Selesai majlis, dia pun menuju ke tempat letak kereta. Dalam kelam kabut mengheret gaun yang meleret rekaan seorang pereka terkemuka, masih sempat lagi mata teman Cik Normah ini melilau ke sana ke mari. Manalah tau kot-kot ada bahan menarik yang boleh dikongsi dengan Cik Normah.

Ternyata sikap suka mengambil tahu yang cukup menebal dalam dirinya itu tidak sia-sia apabila seorang artis wanita tiba-tiba 'menyerah' diri. Sebenarnya, Cik Normah sendiri keliru artis ini dalam bidang apa. Nak kata pelakon, Cik Normah tak perasan pun drama lakonannya. Memang sebelum ini dia pernah mencuba bidang nyanyian, tetapi seakan tak ke mana pula kerana yang lebih sensasi adalah kisah peribadinya.

Berbalik kepada kisah di hotel tadi, sewaktu kawan Cik Normah sedang sibuk mengangkat gaun leretnya untuk membayar tiket letak kereta, dia tiba-tiba ternampak artis wanita ini berjalan beriringan dengan seorang lelaki berstatus 'warga emas'.

Kenapa Cik Normah labelkan sebagai warga emas? Lelaki itu kelihatan sangat tua berbanding artis ini yang baru menginjak usia awal 20-an. Dia kelihatan cukup bahagia di sisi lelaki itu yang mungkin layak dipanggil bapa atau barangkali atuk.

Bagaimanapun, sebaik ternampak teman Cik Normah, dia menjadi bungkam. Bagai ternampak hantu, saat teman lelakinya sedang membayar tiket letak kereta, dia cuba menyorok di sebalik temannya itu. Yang kelakarnya, teman lelakinya yang berusia itu pun siap tolong cover-line sekali.

Macamlah kawan Cik Normah nak ambil gambar mereka curi-curi dan sebarkan ke laman sosial.

Selepas membayar tiket letak kereta, teman Cik Normah pun berlalu pergi dan menuju ke keretanya.
Bagaimanapun, dia tidak terus balik, sebaliknya sengaja menantikan merpati dua sejoli itu di dalam keretanya.

Mungkin si artis ini menyangka teman Cik Normah sudah pergi, dia pun kembali berseronok dan kelihatan cukup bahagia. Namun, tekaannya silap, sebaik ternampak kembali kelibat teman Cik Normah, dia terus gelabah dan tak tentu arah. Tanpa dirancang kedua-dua kekasih itu berjalan berlainan arah mungkin takut teman Cik Normah syak yang bukan-bukan.

Ala dik, apa yang nak ditakutkan sangat. Kalau tak buat salah, tak payah nak menggelabah. Atau dia takut orang terhidu perkara yang buruk? Tepuk dada tanya selera!