Adsense

Jumaat, 2 November 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Detik cemas Liyana

Posted: 01 Nov 2012 02:44 PM PDT

Kediaman di New York hampir dihempap pokok

Pelakon, Liyana Jasmay, 24, tidak terkecuali berdepan detik cemas apabila New York dilanda Taufan Sandy, beberapa hari lalu.

Liyana, yang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang pengarahan dan lakonan selama enam bulan di Akademi Filem New York (NYFA) sejak Julai lalu, sempat mengemas kini perkembangan dan keadaan dirinya di sana menerusi laman Twitter miliknya, @LiyanaJasmay.

Saya terkejut kerana pada mulanya tidak menyangka bunyi dentuman kuat itu sebenarnya datang daripada sebatang pokok yang tumbang," - Liyana Jasmay, Pelakon


Menerusi laman sosialnya itu juga Liyana menceritakan pengalamannya berdepan keadaan mencemaskan itu kepada HIP.

Katanya, seperti kebanyakan kawasan lain yang dilanda ribut besar terbabit, tempat tinggalnya di Kips Bay terpaksa bergelap apabila bekalan elektrik terputus.

Dia yang ditemani ibu, Habsah Simpon, sepanjang berada di negara Uncle Sam itu turut dikunjungi kakaknya, Faradilla, saat berdepan situasi berkenaan. Keluarga mentua kakaknya juga sama-sama berada di New York ketika itu.

Saat ini, Liyana memberitahu, mereka terpaksa menginap di Hotel Lexington, di Midtown, sejak Rabu lalu demi keselamatan diri.
"Kawasan tempat tinggal saya, termasuk beberapa lagi tempat, turut terjejas. Kami terpaksa bergelap di rumah, malah lebih teruk ia turut mengganggu isyarat telekomunikasi. Kawasan tempat tinggal saya sudah seperti bandar kosong yang ditemani angin.

"Malah bahagian bumbung dan tingkap bilik tidur saya sendiri hampir ditimpa pokok tumbang. Saya memang berada dalam bilik ketika itu. Saya terkejut kerana pada mulanya tidak menyangka bunyi dentuman kuat itu sebenarnya datang daripada sebatang pokok yang tumbang.

Situasi cemas

"Bunyi itu membuatkan kami terjaga daripada tidur dan ketakutan. Keesokan harinya apabila kami periksa, pokok itu tumbang bersebelahan rumah. Tak dapat saya bayangkan kalau pokok itu jatuh atas tingkap, yang kesemuanya dibuat daripada kaca," katanya.

Menurut bintang Khurafat ini, dia bersyukur apabila diri dan keluarganya selamat, serta tidak berdepan musibah besar. Tunang kepada Fathuddin Mazlan itu juga bercampur-baur - takut, gementar dan pada masa yang sama bersyukur - kerana tidak berdepan situasi cemas itu bersama ibunya saja. Sebaliknya, ada ahli keluarga lain bersama.

"Cuba bayangkan kalau saya dengan Mama saja berada di sini. Tapi Mama sendiri sangat tabah. Kami berdoa supaya sentiasa dilindungi Tuhan, begitu juga mereka yang berdepan situasi sama.

Keluarga di KL risau

"Alternatif keluar dari rumah dan tinggal di hotel perlu dilakukan kerana mahu mendapatkan isyarat telekomunikasi dalam memastikan interaksi kami serta keluarga di Kuala Lumpur (KL) berterusan. Keluarga di KL termasuk babah (bapa), kakak dan abang risau dengan keadaan kami hingga tak dapat lelapkan mata.

"Babah sendiri sangat sedih kerana sempat menerima kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) terakhir sebelum kami terputus interaksi, selepas perkhidmatan telefon mengalami gangguan. Din (tunang) juga mengikuti perkembangan keadaan ini di CNN, selain berhubung dengan kakak saya," katanya yang memberitahu, bekalan makanan mereka mencukupi.

Kata Liyana, ketika ini, pengajiannya tergendala seketika akibat bencana itu. Pelakon ini dijangka kembali ke ibu kota Disember depan, sekali gus menguruskan persiapan hari bahagianya, yang dijadualkan pada Januari 2013.

Konsert Sepultura di KL dibatalkan

Posted: 01 Nov 2012 02:38 PM PDT

Konsert Sepultura Asian Relentless Tour 2012 yang sepatutnya berlangsung di Auditorium Chinwoo, Kuala Lumpur, hari ini terpaksa dibatalkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Pembatalan berkenaan diumumkan penganjur konsert terbabit, Netzah Productions Sdn Bhd, dalam kenyataan yang dihantar kepada HIP.

"Dengan rendah diri, kami ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama peminat, rakan, rakan media dan penaja yang memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada kami sejak beberapa bulan lalu. Kami amat kagum dan tersentuh dengan segala sokongan yang diberi.

"Peminat yang sudah pun membeli tiket konsert secara online boleh mendapatkan kembali wang mereka daripada Myticket. Bagi tiket yang dibeli daripada ejen dilantik pula, wang boleh didapatkan semula menerusi mereka. Sila hubungi ejen terbabit untuk tuntutan semula itu," kata kenyataan itu.

Selain Kuala Lumpur, kumpulan terkenal ini turut dijadualkan mengadakan persembahan di lima lokasi berbeza di Indonesia bermula dari 3 hingga 11 November.

Sepultura ialah kumpulan metal terkemuka dari Belo Horizonte, Brazil, yang ditubuhkan pada 1984. Mereka amat dikenali dalam dunia muzik death metal, thrash metal dan groove metal pada akhir 1980-an dan awal 1990-an.

Kumpulan ini menghasilkan 12 album studio sehingga kini, dengan buah tangan terakhir berjudul Kairos diterbitkan tahun lalu. Antara album popular mereka ialah Arise (1991), Chaos A.D. (1993) dan Roots (1996). Setakat ini, Sepultura sudah pun menjual lebih 3 juta unit album di Amerika Syarikat dan hampir 20 juta unit di seluruh dunia.
Info: Ejen tiket
Myticket Hotline: 03-80766700, 03-80766500, 03-80808700
Website: www.myticket.asia