Adsense

Khamis, 25 Oktober 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Keluarga jadi keutamaan

Posted:

Keluarga jadi keutamaan

KREDIBILITINYA sebagai seorang penghibur di atas pentas nyanyian memang tidak perlu dipertikaikan lagi. Kualiti vokal, lenggok alunan suara yang unik serta bakat yang dikurniakan kepadanya menjadi kunci utama kejayaan yang diterima sebagai seorang anak seni sehingga ke hari ini.

Tidak hairan jika bakat nyanyian dan hasil kerja Krisdayanti atau KD sering kali mendapat pengiktirafan pada majlis-majlis anugerah tempatan mahupun antarabangsa.

Bagaimanapun, kejayaan yang dikecapi oleh penyanyi yang popular dengan lagu Cobalah Untuk Setia ini tidak mungkin datang tanpa sebarang kontroversi.

Sejak beberapa tahun lalu, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini kerap menjadi sasaran utama ruangan-ruangan gosip akhbar dan majalah ekoran isu penceraiannya dengan bekas suami, Anang Hermansyah.

Setelah isu penceraiannya selesai, KD akhirnya mendirikan rumah tangga dengan Raul Lemos. Hasil daripada perkongsian hidupnya dengan usahawan yang berasal dari Timor Leste itu, KD dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Ariannha Amora Lemos.

Ketika ditemui pada acara Persembahan Konsert Diraja dan Majlis Penutupan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2012 minggu lalu, KD kelihatan sungguh anggun dalam persalinan serba mewah hasil rekaan Anne Avanthi, pereka yang sama mereka busana perkahwinannya dengan Raul tahun lalu.

Menambahkan seri, wanita itu kini sedang sarat hamil tujuh bulan. Ia merupakan anak kedua baginya bersama Raul.

Berasa amat bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan oleh Allah, KD mengaku tidak sabar untuk menanti kelahiran cahaya mata keempatnya itu.

"Kandungan saya kini sudah menjangkau usia tujuh bulan dan insya-Allah dengan izin-Nya, Ariannha bakal mendapat seorang adik lelaki pada hujung tahun ini," katanya penuh teruja ketika membuka bicara.

Ditanya mengenai pengalaman hamil anak kedua bersama Raul, KD memberitahu, dia berasa sedikit penat dan sering mengalami kesakitan pada bahagian belakang badannya.

Begitupun, perkara remeh-temeh itu tidak menghalangnya daripada memenuhi sebarang undangan nyanyian.

"Ketika mengandungkan anak pertama iaitu Aureile, saya masih boleh menyanyi walaupun pada waktu itu usia kandungan telah mencecah sembilan bulan.

"Berbeza sekarang, saya cepat berasa letih dan keadaan ini memaksa saya untuk tidak melakukan tugas-tugas yang berat selain memperlahankan sedikit aktiviti seni saya," katanya yang ditemui usai menghiburkan pengunjung konsert tersebut dengan rangkaian lagu-lagu popularnya.

Menyorot kembali saat-saat manis ketika mendapat tahu dia hamil untuk kali yang kedua, KD berkata, dia yang sedang menghabiskan masa dengan keluarga mertuanya di Timor Leste ketika itu sering menjadikan gabungan buah mangga, kicap masin dan cili sebagai salah satu pilihan menu hariannya.

"Pembantu rumah di sana (rumah mertua) sungguh hairan kerana saya sering meminta mereka membelikan buah mangga. Ketika itu, saya sedang berdiet dan tidak terfikir langsung akan hamil buat kali yang kedua.

BAHAGIA. Krisdayanti atau KD bersama suaminya, Raul Lemos dan anak sulung mereka, Ariannha Amora Lemos.


"Bagaimanapun, lama-kelamaan, saya mula merasakan perubahan yang ketara pada tubuh saya. Justeru, saya nekad untuk menjalankan ujian kehamilan di rumah. Alhamdulillah, selepas itu memang sah, saya hamil lagi," ujarnya tersenyum lebar.

KD juga memberitahu bahawa suaminya begitu terkejut ketika dikhabarkan mengenai berita gembira tersebut.

Jelasnya: "Raul seperti tidak percaya ketika itu kerana julat masa kehamilan pertama dengan yang kedua adalah sangat singkat. Dia ternyata gembira dan tidak sabar menanti kelahiran putera pertama kami."

Rawatan tradisional

Jika ditanya mengenai persiapan dan rawatan selepas bersalin, sudah pasti adik kepada penyanyi Yuni Shara yang berusia 37 tahun ini mempunyai cara yang tersendiri dalam menyediakan diri untuk melalui proses berpantang.

"Sama seperti sebelum ini, saya akan menghabiskan tempoh berpantang selama 40 hari dengan mendapatkan rawatan tradisional.

"Rawatan-rawatan seperti lulur seluruh badan dan bengkung bersama ramuan akar kayu berserta herba tradisional merupakan antara rawatan yang wajib untuk saya ketika melalui tempoh berpantang," katanya.

KD juga berkata, dia harus mengamalkan cara pemakanan yang seimbang agar mampu untuk menghabiskan proses itu dalam masa yang telah ditetapkan.

Dalam masa yang sama, dia mahu kembali cergas bagi menyambung semula aktiviti seninya yang tergendala.

"Cara pemakanan juga perlu dititikberatkan, terutamanya selepas bersalin. Saya tidak boleh memilih makanan dan perlu mengikut jadual pemakanan yang telah ditetapkan oleh pengamal perubatan tradisional di sana.

"Doktor juga ada menasihati saya supaya mengambil beberapa jenis suplemen tambahan ketika ini agar saya kekal bertenaga, tidak mudah letih dan senang ketika melahirkan bayi kelak," katanya lagi.

2NE1 gegar Malaysia Disember ini

Posted:

2NE1 gegar Malaysia Disember ini

2NE1


BERITA baik buat para peminat K-pop di Malaysia apabila kumpulan popular 2NE1 bakal membuat persembahan di Malaysia dalam satu konsert yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 8 Disember ini.

Kehadiran kumpulan tersebut ke negara ini diumumkan sendiri oleh Pengarah Kreatif Running Into The Sun, Beatrice Chia Richmond selaku penganjur 2NE1 Global Tour - New Evolution Concert.

"Sudah tentu kami sangat berbesar hati kerana berjaya membawa 2NE1 membuat persembahan di Malaysia memandangkan ini kali pertama mereka berpeluang menghiburkan para peminat di sini.

"Pihak kami percaya kumpulan tersebut juga sangat teruja dan bakal menampilkan satu persembahan yang menarik kerana Malaysia merupakan salah satu lokasi yang menjadi pilihan dalam siri jelajah mereka pada tahun ini," ujar Beatrice.

Dianggotai empat orang gadis jelita iaitu Lee Chae-rin (CL), Sandara Park (Dara), Park Bom (Bom) dan Gong Minji (Minzy), 2NE1 merupakan antara kumpulan K-pop yang sukses di Korea Selatan serta sudah merangkul pelbagai anugerah.

Menurut Beatrice, tiket untuk menyaksikan konsert tersebut akan mula dijual pada 27 Oktober ini. Bagi peminat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh melayari laman Facebook www.facebook.com/runningintothesun.

MLM 2012 tawar RM500,000

Posted:

MLM 2012 tawar RM500,000

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
kamilah.mustapha@kosmo.com.my

BARISAN peserta MLM 2012 yang akan berentap bermula 16 November ini menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).


PROGRAM pencarian pelawak terunggul di rantau Asia Tenggara, Maharaja Lawak Mega atau MLM yang masuk musim kedua cuba membuat kelainan dengan menampilkan pula pelawak-pelawak veteran yang tidak pernah menyertai pertandingan itu sebelum ini.

Selain juara pertandingan akan membawa pulang sebanyak RM500,000 berbanding RM300,000 pada tahun lepas, beberapa pertukaran kumpulan dan muka baharu ditonjolkan pada musim kali ini.

Kumpulan Dadidu misalnya, menampilkan pelawak veteran AR Badul yang disertai pelawak dari Singapura, Arif Sudin dan Bobo.

Kesemua mereka termasuk AR Badul yang berasal daripada Singapura akan memberi saingan kepada para pelawak baharu kali ini.

AR Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie, 62, ketika ditemui pada majlis sidang program MLM 2012 di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini berkata, walaupun paling senior dalam program tersebut, dia merasakan seperti orang baharu.

"Saya dan kumpulan Dadidu terpanggil untuk menyertai program ini kerana merasakan ia juga gelanggang kami yang sememangnya golongan pelawak. Tiada istilah lama atau baharu, kami semua sama," jelasnya.

Badul menambah, dia merasakan satu penghormatan apabila ditawarkan sebagai kumpulan jemputan kerana sebelum ini hanya melihat program berkenaan di kaca televisyen sahaja.

"Saya mahu beri saingan kepada kumpulan jemputan negara lain dan bukan hanya menyaingi kepada kumpulan tempatan," ujarnya yang pernah menjadi juri program Raja Lawak musim pertama.

Sementara itu, kumpulan Boboi yang dianggotai oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik bakal tampil dengan ahli baharu mereka iaitu Nabil yang sebelum ini tampil solo dalam MLM musim pertama.

Kata Nabil, dia menyertai Boboi kerana merasakan adalah terlalu sukar untuk membuat lawak setiap minggu secara solo.

"Saya rasa dapat pergi jauh dengan menyertai Boboi," ujarnya yang pertama kali bersama Boboi dalam pementasan Lawak Ke Der 2 di Istana Budaya baru-baru ini.

KUMPULAN Saywho yang terdiri daripada Eko, Bocil dan Vicha juga mahu mencuba nasib merebut gelaran juara MLM 2012, sekali gus membawa pulang habuan RM500,000.


Satu lagi kelainan pada musim kali ini ialah apabila salah seorang anggota Osbon yang menjuarai Raja Lawak Mega musim pertama iaitu Abon kini bersama Sathia muncul dengan kumpulan baharunya yang dikenali sebagai Sabon.

Kata Abon, Osbon yang turut dianggotai Mr. Os tidak menyertai program itu kerana kumpulan itu pernah menjadi juara Raja Lawak Mega musim pertama.

Abon juga menafikan wujud masalah antara dia dan Os.

"Tidak wujud sebarang permasalahan antara saya dan Os. Sabon muncul untuk buat kelainan dan saya tiada masalah bersama Sathia kerana kami sudah kenal lebih 20 tahun," jelasnya.

Boboi, Dadidu dan Sabon bakal bersaing dengan tujuh buah kumpulan pelawak tempatan lain iaitu Pimai (Imuda dan Mat Over), Jozan (Johan dan Zizan), Jambu (Taukeh dan Yus), R2 (Rahim dan Wan Lopez), Shiro (Shahrol dan Ajak).

Mereka akan turut menerima saingan daripada kumpulan jemputan luar negara, masing-masing dari Indonesia dan Filipina iaitu The Bandung Jokers (Dodon, Amin dan Aman) dan Saywho (Eko, Bocil dan Vicha).

Tiga kumpulan lain yang telah memenangi peluang yang dikenali sebadengan istilah 'kerusi panas' baru-baru ini iaitu Balas, Kecik dan Mamu pula akan menyertai sebuah lagi pertandingan pada 14 November ini bagi menempatkan diri mereka dalam kalangan 10 kumpulan terpilih.

Sementara itu, menurut Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani, program itu masih mengekalkan sistem pemarkahan juri sebanyak 70 peratus dan selebihnya undian penonton.

"Juri tetap pula akan ada empat orang yang dirahsiakan sehingga program berkenaan, tetapi dua dari negara ini dan dua lagi masing-masing dari Indonesia dan Singapura," ujarnya.

MLM 2012 akan bersiaran secara langsung bermula 16 November ini, pada setiap Jumaat di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Ia akan di adakan Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor.