Adsense

Khamis, 18 Oktober 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Konsep kasih kawan

Posted:

Konsep kasih kawan

LETUSAN api cinta antara Afiq Hakim Ahmad dan Stracie Angie Anam sudah lama bermula usai kedua-dua mereka menyertai program realiti TV, Akademi Fantasia masing-masing untuk musim keenam dan ketujuh.

Bagaimanapun, baik Akim mahupun Stacy tidak pernah mengakui hubungan rapat terjalin antara mereka yang jelas kelihatan pada pandangan orang luar itu sebagai cinta.

Sebaliknya, mereka lebih selesa melabelkan hubungan mereka dengan istilah, berkawan rapat.

Kata Akim, 21, dia tidak pernah mengiakan hubungan yang terjalin antara dirinya dan Stacy berlandaskan konsep cinta. Ini kerana, ujar Akim, sejak dulu lagi tahap kemesraan mereka berdua hanya sekadar berkawan.

"Bukan bosan apabila diajukan soalan yang sama mengenai kisah saya dan Stacy, cuma penjelasan yang sama akan kami berikan iaitu kami berkawan baik.


STACY mengakui selesa berkolaborasi dan bertukar-tukar pandangan dengan Akim.


"Untuk meneruskan hubungan ke peringkat yang lebih tinggi (bercinta atau berkahwin) saya rasa belum sampai masa lagi, memandangkan kami masih muda dan karier pula masih jauh untuk dikembangkan," jelas anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu.

Celah Stacy, hubungan kimia yang mudah terjalin antara dia dan Akim banyak membantu menaikkan nama mereka, apatah lagi perkembangan karier. Maka, dia juga lebih selesa meluangkan masa bersama Akim.

"Gosip kami bercinta membantu melariskan produk atau lagu yang menggabungkan kami berdua. Asalkan ia bukan gosip negatif, maka saya tidak perlu melenting.

"Saya selesa bekerja dengan Akim dan kami banyak berkongsi pendapat. Saya tidak menolak andai gosip kami bercinta diperkatakan semula kerana memang semua sudah tahu kami hanya berkawan," tegas Stacy.

Pasangan itu pernah mencipta fenomena menerusi duet dalam lagu Jahatnya Cinta sempena iklan aiskrim Wall's Cornetto tahun lalu dan terbaharu, mereka juga merakamkan sebuah single berjudul Kembali yang dimuatkan dalam album terbaharu Akim yang berjudul, Akim Ahmad.

HUBUNGAN kimia yang mudah terjalin antara Akim dan Stacy dikatakan banyak membantu menaikkan nama mereka.


Tambah Akim, pada mulanya tidak terlintas dalam fikirannya untuk merakamkan lagu itu bersama Stacy.

"Lagu Kembali merupakan pilihan terakhir untuk dimuatkan dalam album pertama saya dan ketika proses rakaman sebenarnya tidak terfikir pun untuk berduet dalam lagu itu.

"Untuk memberikan sedikit kelainan, saya hanya terfikir Stacy ketika itu yang saya rasa hanya dia mampu berduet dengan saya memandangkan kami sudah mempunyai pengalaman berkolaborasi sebelum ini. Jadi, saya cadangkan kepadanya (untuk berduet) dan dia bersetuju.

"Stacy berjaya menghayati lagu itu dengan penuh perasaan malah tiada siapa meragui vokalnya yang sempurna," ujar Akim.

IU nafi kembali berlakon

Posted:

IU nafi kembali berlakon

PENYANYI solo terkenal Korea Selatan, IU, menafikan khabar angin mengenai kemunculan semula dirinya dalam dunia lakonan.

Pada 13 Oktober lalu, IU menulis dalam laman web kelab peminatnya, Uaena's dengan mengatakan: "Hampir setiap hari ada sahaja cerita mengenai saya akan kembali berlakon. Namun sebenarnya, saya sendiri tidak memutuskan apa-apa dan tidak ada sebarang tawaran daripada mana-mana syarikat produksi buat masa ini."

Tambahnya: "Saya tidak menipu dan memang benar, saya belum membuat sebarang keputusan lagi (terjun semula ke dunia lakonan)."

IU sebelum ini pernah muncul dalam drama, Dream High melakonkan karakter utama sebagai Kim Pil Sook.

Menerusi drama tersebut, IU telah meraih banyak pujian.

Sebelum itu, IU juga pernah muncul sebagai bintang undangan khas dalam beberapa buat drama seperti Welcome to the Show dan Salamander Guru and The Shadows.

Sebelum ini banyak laporan media menyebut, penyanyi yang memenangi pelbagai anugerah nyanyian tersebut sedang meneliti beberapa skrip drama yang bakal menampilkan dirinya sebagai teraju utama. Dia dikatakan hanya akan memilih salah satu daripada tawaran tersebut.

Filem angkasawan Sheikh Muszaphar

Posted:

Filem angkasawan Sheikh Muszaphar

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
ashreen.ismail@kosmo.com.my

PENGALAMAN berada di angkasa ingin dikongsi Sheikh Muszaphar dengan para peminat filem.


TANGGAL 10 Oktober 2007, seorang rakyat Malaysia telah dipilih mewakili negara untuk bergelar angkasawan pertama yang naik ke angkasa lepas.

Selepas lima tahun bergelar pakar motivasi dengan memberi ceramah di sekolah-sekolah tentang pengalaman di angkasa lepas, kini tiba masanya untuk mendedahkan gambaran sebenar Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie ketika berada di ruang yang masih dipenuhi pelbagai misteri itu.

Filem berbentuk rencana itu bakal menemui penonton di Malaysia secara eksklusif pada tahun hadapan.

Diberi judul No 1 - 10 Hari: 21 Jam: 14 Minit Di Pintu Ajal, ia digarap oleh pengarah, Imran Ismail.

"Cerita ini adalah berdasarkan pengalaman dan kisah benar angkasawan negara pertama kita, yang dirakamkan ketika berada dalam kapal SOYUZ TMA-11.

"Rakaman selama 10 jam itu akan disunting menjadi 90 minit mengikut format sebuah filem.

"Kami juga membuat penambahbaikan sebanyak 30 peratus dan menyelitkan elemen suspen, seram dan juga emosi. Itulah sebabnya, kami memilih untuk membuat filem berbentuk rencana dan bukan dokumentari," tutur Imran ketika ditemui pada sidang akhbar yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Jalan Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.

Idea asal penghasilan filem ini merupakan hasrat arwah bapa Sheikh Muszaphar sendiri iaitu Datuk Sheikh Mustapha Abdul Shukor untuk menunjukkan kepada dunia tentang bagaimana perjalanan angkasawan pertama ini ketika berada di angkasa.

Bagi Sheikh Muszaphar sendiri, setelah lima tahun menyimpan rakaman video tersebut, sudah tiba masanya untuk dia menunjukkan kepada dunia, khususnya masyarakat di Malaysia tentang segala persoalanan yang sering diajukan kepadanya.

SHEIKH MUSZAPHAR (enam dari kanan) dan Amran Ismail (enam dari kiri) bersama kru teknikal yang terlibat dengan projek filem, No 1 - 10 Hari: 21 Jam: 14 Minit Di Pintu Ajal.


"Apabila saya mengadakan motivasi serta ceramah, ramai yang bertanyakan saya tentang perasaan dan apa yang saya lihat ketika berada di atas sana.

"Sejujurnya, memang ia sesuatu yang sukar dijelaskan. Namun melalui filem ini, mereka bakal melihat apa yang dapat saya lihat semasa berada di angkasa selama 10 hari itu," jelas Sheikh Muszaphar.

Tambahnya, ia merupakan janjinya terhadap rakyat Malaysia dan hasratnya yang ingin menyebarkan mesej kepada dunia tentang kebesaran Allah.

"Saya harap selama 90 minit itu, penonton akhirnya akan sedikit sebanyak merasai perasaan yang selama ini saya gambarkan melalui ucapan-ucapan saya.

"Semasa saya menjadi angkasawan, ramai yang mendoakan kejayaan saya. Maka, inilah masa saya membalas semula jasa mereka dengan memberikan tontonan eksklusif kepada rakyat Malaysia.

"Selepas ini, memang kami ada menyasarkan untuk membawa filem ini untuk ditayangkan di luar negara, khususnya di negara-negara Islam kerana mereka ingin mengetahui banyak perkara, sebagai contohnya, cara bersolat di ruang angkasa," tutur Sheikh Muszaphar yang ingin memberikan paparan terbaik buat rakyat Malaysia melalui filem tersebut.

Buat masa ini, No 1 - 10 Hari: 21 Jam: 14 Minit Di Pintu Ajal masih lagi dalam proses pembikinan. Ia bakal menggabungkan rakaman asal Sheikh Muszaphar sendiri serta eleman tiga Dimensi (3D) dan teknik imej janaan komputer (CGI).

Dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember ini, filem tersebut bakal menemui penonton di pawagam tempatan pada awal tahun 2013.