Harian Metro: Rap |
Posted: 17 Oct 2012 09:19 AM PDT UNTUK Dia, single hasil kolaborasi duo Sleeq bersama komposer dan penyanyi remaja, Najwa Latiff, 17, pada dasarnya bukanlah sebuah karya baru. Pernah diketengahkan pada 2009 dalam album kedua mereka (Sleeq), namun fenomena itu tidak sehebat sebelum berlakunya gabungan mereka bersama Najwa. Justeru, ia boleh dianggap satu bonus buat Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah (Syarif) dan Muhammad Alif Abdullah (Alyph) yang kedua-duanya berusia 22 tahun, apabila semakin dikenali, namun timbul pula isu kononnya Sleeq menumpang populariti Najwa. Sebelum single Untuk Dia menyusul, Sleeq pernah berkolaborasi dengan penghibur 1980-an, Ramlah Ram menerusi lagu Sesaat Kau Datang.
"Isu sebegini memang sudah kami jangkakan, tapi kalau dikatakan menumpang itu membawa kebaikan kepada kerjaya kami, ia satu strategi yang berkesan daripada tidak mendatangkan hasil. Sekurang-kurangnya usaha kami untuk memperkenalkan muzik kami ada impaknya. "Walau bagaimanapun, tidak semua kerjasama yang terjalin Sleeq yang mulakan. "Begitu juga dengan Najwa yang diwakili pihak syarikat rakamannya yang menghubungi kami untuk berduet dalam single terbarunya, Sahabat. Memandangkan kami kenal rapat dengan Eksekutif Promosi Najwa, kami sempat bertanya kalau-kalau Najwa ingin berduet menerusi lagu Untuk Dia dan mendapat reaksi positif. "Kebetulan Abang Aaron juga pemilik syarikat, Aaronaziz Productions yang kami naungi berkata, melodi dan rentak lagu Untuk Dia masih relevan untuk diperdengarkan kepada penggemar muzik biarpun lagu itu dihasilkan beberapa tahun lalu. "Justeru, kami melamar Najwa dan dia menerima pelawaan kami tanpa sebarang masalah. Maka terhasillah kerjasama ini. Sementara kolaborasi dengan Abang Aaron pula, sebenarnya dia mahu mencuba sesuatu yang baru, sekali gus menunjukkan sisi lain yang tidak pernah diperlihatkan kepada ribuan peminatnya. "Kami rasa sangat gembira dan dirahmati. Walaupun masih baru, tapi ada pihak yang memandang bakat kami meskipun sejak dari 2009, perjalanan seni Sleeq agak terbatas," ujar Alyph kepada Rap, baru-baru ini. Menjelaskan kenyataannya, perjalanan seni mereka bagaikan terbatas, selain tidak mempunyai syarikat rakaman selepas tamat kontrak dengan Metadome Sdn Bhd ketika itu, kedua-dua anggota Sleeq ini terikat dengan program Khidmat Negara (National Service) di negara kelahiran mereka, Singapura. Syarif yang mengikuti pengajian tahun pertama dalam bidang Komunikasi Massa di Singapore Institute of Management (SIM) sudahpun bebas daripada latihan yang mengambil masa dua tahun itu. Alpyh pula masih mengikuti kursus itu yang berbaki setahun lagi. Bercerita lanjut mengenai lagu duet bersama Aaron Aziz yang berjudul Salam Semua, pemuda yang memasang impian untuk berduet dengan Malique, kumpulan Too Phat, Datuk Sheila Majid dan Yuna berkata, lagu itu menceritakan pengorbanan Aaron dan mereka yang merantau mencari rezeki di bumi Malaysia. "Industri seni di Singapura tidak sebesar negara ini dan ramai artis Singapura berhijrah untuk mencari rezeki di Malaysia. Kami dan Abang Aaron adalah sebahagian daripada mereka. "Lagu ini menceritakan pengorbanan anak perantau meninggalkan kampung halaman untuk berkarya dan mencari kehidupan yang lebih baik. "Lagu ini amat menyentuh perasaan dan semestinya peminat Abang Aaron perlu dengar suaranya sendiri. Sebagai individu yang kali pertama memasuki studio rakaman, Abang Aaron membanggakan. Cuma dia masih segan-segan sewaktu rakaman dijalankan," katanya. Diundang menjayakan persembahan pada Anugerah Blokbuster 2011, baru-baru ini, Sleeq yang ditubuhkan pada 2005, bakal melancarkan album ketiga mereka tidak lama lagi. Memuatkan enam lagu yang semuanya adalah karya duet. "Ketika album pertama dan kedua, kami tidak mempunyai kesempatan untuk menjalinkan kerjasama dengan penyanyi dari Malaysia yang berbakat besar. "Selepas Salam Semua, kemungkinan besar kami akan bekerjasama dengan penyanyi baru yang semakin dikenali, Qaqa. Mungkin apa yang dilakukan ini, sesetengah pihak melihatnya sebagai menumpang nama tetapi kami mempunyai pendirian tersendiri di mana ini salah satu cara kami meluahkan kekaguman kami kepada penghibur ternama di Malaysia. "Kami berharap kemunculan kami diterima dan apa yang paling menarik mengenai album ini selain kolaborasi dengan artis dikenali ramai, penghasilan lirik dan muzik kami juga semakin matang berbanding dua album sebelumnya," kata Shariff mengakhiri perbualan. Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17 |
Wajah sandaran ‘rating’ Posted: 17 Oct 2012 09:00 AM PDT MIMPI Sampai Ke Bintang sehingga kini masih memegang rekod telefilem dengan jumlah penonton paling ramai (rating) di Astro apabila meraih 3/4 daripada dua juta pelanggan stesen televisyen berbayar itu. Kejayaan karya berdurasi 90 minit arahan Michael Ang yang dibarisi pelakon remaja popular Indonesia, Randy Pangalila dan aktres muda berbakat tempatan, Elfira Loy, satu percubaan baru yang sememangnya sudah dijangka mendapat sambutan khalayak. "Strategi untuk menerbangkan Randy ke dalam produksi ini membuahkan hasil kerana sebelum dia membintangi filem itupun, Randy memang sangat popular di kalangan penonton tempatan yang menggemari lakonannya menerusi siri Cinta Kirana. "Selain Randy, kejayaan Mimpi Sampai Ke Bintang juga didorong pelakon lain seperti Elfira yang juga mempunyai ramai peminat.
Turut menampilkan Amor Rizan sebagai pengarah, siri yang turut dibintangi Amy Mastura, Riezman Khuzaimi, Amar Asyraf, Hanez Suraya, Sharifah Sakinah dan Didie Alias, itu bakal bersiaran pada 29 Oktober 2012, setiap Isnin jam 9.30 malam. Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, gandingan Randy dan Elfira dikembalikan kepada khalayak sebagai memenuhi permintaan penonton yang juga pelanggan Astro. "Penggabungan semula dua pelakon itu bukan ditentukan pihak Astro tetapi suara itu dinyatakan pelanggan kami sendiri. Justeru, sebagai stesen berbayar, selain mengutamakan kualiti sesebuah karya, kami juga perlu muncul dengan produk yang digemari mereka. "Memang benar, sebelum ini wakil sebuah persatuan hiburan pernah menimbulkan isu permit pekerjaan Randy di negara ini. Malah, kerjasama Astro dengan pelakon itu dalam sebuah lagi program turut dipertikai. "Bagaimanapun, kami melihatnya di sudut perniagaan. Jika itu yang pelanggan kami inginkan, justeru, kami harus menghasilkan produk menepati keinginan mereka," katanya. DHAT mengisahkan kehidupan seorang gadis remaja, Bella (Elfira) yang matang berbanding usianya kerana perangai ibunya, Amy yang sanggup melakukan apa saja untuk wang kecuali menjual tubuh badannya di kota Paris. Dalam kesempitan mencari penyelesaian masalah kewangannya, Amy terserempak kawan lamanya, Sam dan anaknya, Danial di Paris. Daripada pertemuan ini, Amy mendapat idea untuk menyatukan Bella dan Danial (Amar Asyraf) apabila mengetahui Sam seorang jutawan. Perbuatan Amy amat mengecewakan Bella sehingga dia sanggup menipu ibunya dengan mengatakan dia sudahpun bertunang. Untuk melaksanakan helah ini, Bella meminta pertolongan Randi (Randy Pangalila), rakan sekerjanya yang berasal dari Indonesia walaupun sebenarnya Bella tidak menyukai lelaki itu. Bagaimanapun, Randi rupa-rupanya amat menyukai Bella. Amy memberi Bella masa selama tiga bulan untuk mempertimbangkan pilihan hatinya. Apa yang menarik, naskhah Michael kali ini berbeza dengan Mimpi Sampai Ke Bintang yang disifatkannya lebih ringan sedangkan DHAT mempunyai pelbagai konflik. "Bella dipaksa berkahwin dengan Danial oleh ibunya tetapi Bella enggan. Lantas membuat alasan kononnya dia sudah bertunang dengan rakan sekerjanya, Randi yang sudah lama menyimpan hati kepada Bella. "Bagaimanapun, satu hari dia bertemu Danial tanpa mengetahui bahawa lelaki itu adalah lelaki yang ingin dijodohkan mama dengannya. Helah Bella dan Randi yang berpakat sebagai pasangan tunangan, tanpa disedari Bella menimbulkan kasihnya kepada pemuda itu," kata Michael. Hampir 60 peratus penggambaran diadakan di Paris dan Kota Cinta itu dipilih Michael kerana mahu menimbulkan suasana romantis dan memanfaatkan keindahan Paris di dalam persembahan visual DHAT. Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |