Kosmo Online - Hiburan |
Kontroversi permitdan cium Randy Posted: Kontroversi permitdan cium RandySEJUJURNYA, sebelum nama Randy Pangalila menjadi satu topik hangat kerana isu permit yang dibangkitkan oleh Presiden Seniman, Zed Zaidi, bukan satu industri, jauh sekali satu Malaysia mengenali pelakon tersebut. Mendengar namanya sahaja sudah pelik. Jika ada yang mengenalinya pun, golongan tersebut merupakan pelanggan saluran berbayar Astro yang menyiarkan kisah romantik pasangan kekasih antara dia dengan pelakon genit Elfira Loy menerusi telefilem Mimpi Sampai Ke Bintang yang ditayangkan pada tahun lalu. Namun, selepas isu tersebut dibangkitkan, nama Randy naik mendadak. Dalam laman blog dan internet, ramai yang mencari siapa gerangan pelakon Indonesia yang dipertikai permit kerjanya di Malaysia oleh Presiden Persatuan Seniman (Seniman), Zed Zaidi. Maka, hari ini, semakin ramai yang mengenali, malah terus jatuh cinta dengan sosok kacak Randy. Randy, 22 tahun, berasal Surabaya, Indonesia cukup bertuah. Dia masuk ke dalam bidang seni Indonesia secara tidak sengaja apabila dipelawa oleh sebuah agensi yang melihat potensi dirinya mampu menjadi seorang pelakon yang baik beberapa tahun lalu. Maka, sejak itu, dengan bakat lakonan yang ada, Randy mendaki populariti menerusi banyak sinetron termasuk yang telah mempopularkannya, sinetron Nada Cinta dan Cinta Fitri yang dibuat sebanyak 1000 episod selama empat tahun. Pada pandangan mata kasar dalam pertemuan pertama kali pada sidang media drama bersiri Dalam Hati Ada Taman yang bertempat di Flora Café, Amp Walk, Kuala Lumpur, baru-baru ini, tidak hairan mengapa dia boleh menjadi begitu popular. Seorang yang cukup merendah diri, sopan dan peramah, Randy petang itu melayan segala persoalan yang dilontarkan dengan cukup baik. Antara yang dijawab Randy adalah berkenaan isu permit, tentang kekasih hati, serta kepuasannya berlakon bersama produksi di Malaysia, khususnya bekerjasama dengan penerbit Michael Ang serta Elfira Loy. Isu pertama yang diajukan kepadanya berkaitan dengan kontroversi permit. Sambil menghela nafas, dengan tenang Randy mula memberi hujah bagi mempertahankan dirinya. Mengaku dia sedar tentang isu permit yang ditimbulkan, ujar Randy, ia sebenarnya tidak lebih daripada salah faham sahaja. "Saya melihat isu ini sebagai satu salah faham sahaja. Jadi saya tidak mahu memperbesarkan isu ini. Sebenarnya, daripada pihak produksi Micheal Ang, mereka telah mendapatkan semua keizinan untuk saya berlakon di sini kerana bagi saya itu perkara paling utama buat diri saya. "Sebelum hadir ke Malaysia untuk berlakon, soalan pertama yang saya tanyakan ialah adakah saya telah mendapat keizinan berlakon di sini (Malaysia). "Ini kerana saya sedar saya pelakon luar dan tidak mahu menjadi seperti pendatang. Saya rasa semuanya telah jelas dan permasalahan ini hanyalah salah faham," jelas Randy panjang lebar. Sementelah, akui Randy, dia begitu selesa berlakon di Malaysia. Bukan kerana mendapat layanan istimewa, jauh sekali menerima bayaran lumayan melebihi bakat seni anak tempatan, sebaliknya, cara kerja produksi di sini membuat dia jatuh cinta dan tidak menolak untuk berlakon dengan mana-mana produksi tempatan. "Sebagai seorang pelakon, mengikut dari segi kepuasan bekerja, saya akui lebih gemar dengan cara di Malaysia. Ini kerana saya mampu membaca skrip dan menghayati serta menjiwai watak yang diberi dengan lebih baik kerana waktu kerja yang tidak terburu-buru membuat saya boleh lebih fokus. "Namun, pada hakikatnya, di mana-mana juga (bekerja di Indonesia atau Malaysia) sama. Cuma di sini, saya suka kerana dapat mengetahui pengakhiran cerita berbanding di Indonesia," ujar Randy yang telah terlibat dalam dua buah karya Michael Ang setakat ini. Randy bagaimanapun kemudian memberitahu, secara jujur, dia memperoleh pendapatan yang lebih lumayan di Indonesia. Katanya: "Jika mengikut bayaran pula, bayaran yang diterima di Indonesia lebih lumayan kerana kami menerima bayaran setiap hari. Ini kerana penggambaran dilakukan dalam tempoh yang lama sehingga boleh mencecah setahun atau dua tahun." Beralih bicara kepada soalan peribadi, dia saat diajukan tentang teman wanita, Randy hanya tersenyum. Tanpa berselindung, dia mengaku sudah punya kekasih hati dan telah dua tahun menyulam cinta dengan seorang pelakon sinetron. "Ya, saya sudah punya cewek (teman wanita) di Indonesia dan kami sudah berpacaran sejak dua tahun lepas. Dia juga merupakan seorang aktres di Indonesia dan kami pernah berlakon bersama dalam sinetron Nada Cinta," ujar Randy tenang. Randy yang pada mulanya agak keberatan dan segan untuk berkongsi siapa sebenarnya wanita yang telah mencuri hatinya, akhirnya akur dengan 'peluru soalan' media. Jelas Randy sedikit segan: "Namanya Michella Putri dan berumur 19 tahun. Tapi, kami sudah sebulan tidak bertemu kerana masing-masing sibuk dengan jadual karier. Sudah tentu saya rindukannya dan mengerti kesibukan masing-masing. Kini kami hanya berhubung melalui Skype." Ditebak persoalan tentang perancangan masa depannya bersama aktres muda itu, bicara Randy, walaupun mereka serius bercinta, namun perancangan untuk ke fasa seterusnya belum direncanakan lagi. Tambahnya, dia sendiri menyasarkan untuk berkahwin dalam masa tiga tahun, namun tetap menyerahkan segalanya pada Tuhan. Adegan cium RANDY berduet dengan Marsha Milan Londoh untuk lagu tema Dalam Hati Ada Taman yang berjudul Selalu Milikmu. Bercerita tentang penampilan terkininya bersama Elfira Loy dalam drama bersiri Dalam Hati Ada Taman, Randy terpaksa berhadapan pula dengan isu salah satu babak bercium bersama pelakon tersebut. Menjawab isu tersebut, tutur Randy, drama tersebut berlandaskan genre romantik komedi. Jadi, kewujudan babak cium tersebut dilihat relevan dengan genre romantik yang diketengahkan. "Saya bukan mencium Elfira betul-betul, kerana itu hanyalah sudut kamera yang pintar dan kreatif yang telah menampakkan seperti saya mencium dia. Ini merupakan sebuah naskhah romantik komedi, jadi mungkin babak seperti itu hanya mahu meperlihatkan sisi romantik itu sendiri. Itu sahaja. Tidak lebih daripada itu," jelas Randy tentang kontroversi tersebut. Drama bersiri 13 episod yang turut menampilkan Amy Mastura, Sharifah Shakinah, Rizman Khuzaimi dan Amar Asyraf akan mula bersiaran pada 29 Oktober ini di saluran Astro Ria, pukul 9.30 malam. | ||
Posted: Eja sahut cabaranOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
KONTROVERSI Teater Tun Dr. Siti Hasmah bermula apabila Adlin Aman Ramlie menarik diri sebagai pengarah dan digantikan dengan Erma Fatima beberapa bulan lalu. Malah, tarikh asal pementasan yang sepatutnya berlangsung pada 30 Ogos lalu itu turut ditunda dua kali iaitu pada 14 September dan terbaru pada 9 hingga 19 November depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Tidak hanya membabitkan pengarah dan tundaan tarikh pementasan, beberapa episod pengunduran pelakon utamanya juga terjadi. Entah kenapa pelakon utama yang membawakan peranan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali ketika dewasa sering sahaja bertukar tangan. Selepas pengunduran Erra Fazira pada penghujung Ogos lalu yang dikhabarkan disebabkan faktor jadual, terkini Datin Sofia Jane pula disahkan mengambil langkah serupa atas alasan yang sama. Ingin mengetahui cerita di sebalik pengunduran Sofia, Kosmo! cuba menghubungi dan menghantarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya, tetapi malangnya tiada jawapan yang dapat kami terima daripada pelakon filem Perempuan, Isteri dan .....? itu. Bagaimanapun Kosmo! berjaya menemu bual pengganti Sofia iaitu pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24, Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, 40. Eja berbicara tentang persiapan dan kesanggupan menjadi Siti Hasmah sebelum teater tersebut dipentaskan sebulan dari sekarang. Kosmo!: Apa perasaan Eja ketika ditawarkan membintangi peranan utama teater Tun Dr. Siti Hasmah? EJA: Bohong jika saya tidak berasa gementar. Perasaan saya bercampur baur. Teruja dan dalam masa yang sama gementar. Namun saya akan pastikan perasaan gementar itu bukan menjadi halangan untuk saya melakukan yang terbaik. Sebenarnya perasaan gementar itu bagus untuk menjadikan diri saya lebih bersedia memikul peranan itu nanti. Apa yang membuatkan anda menerima tawaran ini, sedangkan sudah dua pelakon asal (Erra Fazira dan Sofia Jane) mengundurkan diri? Saya sahut cabaran Datin Paduka Ummi Aida dan Erma Fatima, malah saya cabar diri untuk terima dan menjayakan peranan ini. Saya tidak mahu ambil tahu kenapa dua pelakon sebelum ini mengundurkan diri. Apa yang penting, saya akan buat yang terbaik. Bagi saya, tiada satu produksi yang sempurna. Tidak kira ia filem, drama mahupun teater, pasti akan berlaku masalah. Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk membawakan watak Tun Dr. Siti Hasmah. Ini merupakan pementasan pertama anda sejak bergelar anak seni. Kenapa baru sekarang terpanggil untuk menyahut cabaran beraksi di atas pentas teater? Ya, ini adalah pengalaman pertama saya beraksi di atas pentas teater. Sebelum ini, saya pernah menolak beberapa tawaran untuk berlakon teater kerana faktor masa. Dahulu, sewaktu tidak ada anak, saya terlalu banyak terima tawaran berlakon drama dan filem. Jadi saya tidak mampu untuk buat teater. Kini, sudah ada masa dan ruang yang sesuai, saya terima tawaran berlakon teater. Berapa lama latihan yang dibuat sebelum pementasan? Adakah sebarang masalah yang timbul? Saya cuma ada masa sebulan sahaja untuk latihan. Tiap-tiap malam kami akan menjalani latihan. Semuanya berjalan dengan lancar. Saya kena berkorban masa demi anak dan juga pementasan. Kedengaran sekarang suara anda seperti tidak sihat? Benarkah? Ya, memang tidak sihat dan tidak cukup tidur, tetapi bila sudah terima sesuatu pekerjaan, saya akan fokus dan lakukan 100 peratus. Anda sudah bersedia untuk menerima kritikan dengan penampilan sulung di atas pentas teater? Saya bersedia untuk ditegur dan dikritik, tetapi janganlah menghentam. Kalau mahu tegur, biarlah dengan cara yang berhemah. Saya kena cuba berlakon teater dan tidak perlu takut jika gagal. Apa yang penting, saya kena berusaha beri yang terbaik. Bila kita buat dengan bersungguh-sungguh Allah akan membantu. Apa harapan anda untuk teater Tun Dr. Siti Hasmah? Saya mohon pada Allah agar pementasan hari pertama dan seterusnya nanti berjalan dengan lancar. | ||
Rockaway Festival 2012 lebih rock Posted: Rockaway Festival 2012 lebih rockSEBAHAGIAN anggota band yang terlibat dalam Rockaway Festival 2012 di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor pada 20 September ini bergambar pada sesi sidang akhbar baru-baru ini. TAHUN lalu kemuncak festival rock Rockaway dihangatkan dengan kemunculan band The Used mengubat rindu peminat mereka di pekarangan Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Pada tahun ini pula, empat buah band antarabangsa diterbangkan khas buat peminat muzik rock, pop punk, heavy metal dan indiependent untuk festival yang sama. Bagi memeriahkan Rockaway Festival 2012, Soulfly, MXPX All Stars, Unearth dan Set Your Goals bakal membuat persembahan dan bakal disertai dua buah kumpulan Pee Wee Gaskin dan Plainsunset masing-masing dari Indonesia dan Singapura. Selain itu, barisan band rock tempatan seperti Go Gerila, Akta Angkasa, Guba, Gerhana Ska Cinta, Hujan, Love Me Butch, Bunkface, Massacre Conspiracy, The Padangs, Koffin Kanser dan Twilight Actiongirl akan turut sama terlibat sepanjang festival yang berlangsung pada 20 Oktober ini di Litar Antarabangsa Sepang bermula pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam. Menurut Pengarah Urusan Livescape Sdn. Bhd., Iqbal Ameer, sebanyak 30 buah band akan menggegarkan pentas utama Rockaway Festival 2012 bersama buah tangan terbaharu. "Setiap band yang bakal beraksi perlu memenuhi kriteria yang kami tetapkan sejak kali pertama penganjuran Rockaway Festival tiga tahun lalu iaitu mereka perlu mempunyai album atau single terbaharu untuk dipersembahkan. "Sudah pasti kemeriahan festival tahun ini akan lebih bermakna dengan kehadiran empat buah band antarabangsa serta beberapa legenda rock tempatan," katanya ketika sidang akhbar Rockaway Festival 2012 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini. Sementara itu, tambah pengarah bersama Rockaway Festival 2012, Rahul Kukreja, menjelang tarikh sebenar festival tersebut, pihaknya akan membawa muzik rock mendekati peminat-peminat di Kelantan, Johor dan Perak menerusi siri jelajah khas. "Menerusi sedikit kajian berdasarkan tahun-tahun sebelum, kami mendapati pengikut irama rock turut tertumpu di beberapa kawasan lain selain Kuala Lumpur. Jadi kami membawakan muzik ini mendekati mereka," tambahnya. Tiga lokasi yang terlibat dengan jelajah tersebut adalah Hotel Rebana Kota Bharu, Kelantan (5 Oktober), Ipoh Rainhouse, Perak (6 Oktober) dan The Wall Johor Bahru, Johor (13 Oktober). Peminat tegar muzik rock usah bimbang akan faktor pengangkutan sepanjang festival berlangsung kerana pihaknya akan menyediakan bas ulang-alik percuma untuk pemegang tiket dari KL Sentral ke Litar Antarabangsa Sepang. Tiket sudah mula dijual dengan harga RM138 hingga RM178 beberapa rakan pengedar seperti Mukha Cafe, Mollydookers Coffee Bar dan Dolls Store sekitar Lembah Klang. Maklumat lanjut di www.rockawayfest.com. – KHAIRUL AMRI HASSAN |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |