Adsense

Selasa, 2 Oktober 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Tolak tawaran berlakon

Posted: 01 Oct 2012 03:10 PM PDT

Dek jadual penggambaran terlalu padat hingga mengabai masa untuk diri sendiri, pelakon muda, Neelofa atau nama penuh, Noor Neelofa Mohd Noor, 23, mengambil keputusan bercuti sebulan.

Belum habis penat selepas terikat dengan komitmen menjayakan drama bersiri Kau Yang Terindah, gadis yang mesra disapa sebagai Lofa ini terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon berikutan keputusannya untuk berehat.

"Saya baru habis menjayakan drama Kau Yang Terindah. Drama ini mengambil masa yang agak lama. Ia bermula sebelum Ramadan dan berakhir dua minggu lalu.
Sejak itu, saya tidak mempunyai rehat yang cukup dan tiada masa untuk diri sendiri.

"Saya rehat tidak lama, bukanlah setahun, hanya sebulan. Sekarang saya tidak mengambil banyak tawaran pun, hanya muncul untuk beberapa projek iklan dan menjadi pengacara program bual bicara, Nona," katanya.

Reda dengan kontroversi

Mengenai kisahnya bercuti di Koh Samui, Thailand yang dikatakan disertai pelakon, Hans Isaac, Lofa memberitahu dia tidak tergugat dengan isu itu.
Baginya, kisah sensasi seperti itu menambahkan warna dalam perjalanan hidupnya sebagai insan seni.

"Dari segi kerja, kontroversi seperti itu tidak memberi apa-apa kesan. Saya banyak belajar daripada kisah saya bersama pelakon Anzalna dulu yang mana timbulnya pelbagai persepsi, tapi ia tidak berlarutan kerana kerja saya lebih mengaburi isu berkenaan.

"Boleh dikatakan kerjaya saya yang lebih diperkatakan dan ia membersihkan nama saya semula," katanya.

Lofa berkata, sebagai artis, dia perlu menerima kontroversi seumpama itu dengan reda.

"Sebab saya tahu bergelar artis, kita kena terima semua itu dan saya tidak boleh lari. Seperti artis lain, kehidupan peribadi mereka juga bagai tiada privasi. Memang saya marah sebab gosip begini timbul tapi saya terima," tambahnya.

Namun, ditanya tahap hubungannya dengan Hans, Neelofa pantas memberitahu, "tiada komen."

Tidak mahu berbicara lanjut mengenai hubungan mereka, Neelofa memikirkan tidak adil untuk dirinya dihambat persoalan itu.

"Dia (Hans) pun tidak mahu bercakap mengenai soal ini. Saya fikir macam tidak syok untuk saya berkata apaapa.

Saya hormat tindakan dia, tambah lagi dia baru saja kehilangan ibu dan mahu berehat untuk seketika," katanya pada sidang media mengumumkan pelantikannya sebagai duta tilam King Koil di Damansara Heights, Petaling Jaya.

Sambung belajar Disember

Dalam perkembangan lain, Neelofa bakal muncul dalam filem arahan Osman Ali, berjudul Pilot Cafe, yang dirancang memulakan penggambaran, Januari depan.

Pelakon merangkap pengacara ini juga kembali sibuk apabila memulakan pengajian di kampus, Disember ini. Pelajar tahun kedua jurusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dan Pemasaran Antarabangsa di Kolej Sunway ini akan menyusun jadual seni supaya pengajiannya tidak terganggu.

Malique tenang

Posted: 01 Oct 2012 03:06 PM PDT

Tidak seperti selebriti lain, bekas anggota kumpulan hip hop popular era 1990-an, Too Phat, Malique Ibrahim, 35, atau Malique lebih gemar berdiam dan membiarkan kontroversi membabitkan dirinya berlalu.

Enggan ditemu bual sekalipun menerusi telefon, Malique yang hanya mahu dikenali di sebalik tabir sebagai pencipta lagu dan penulis lirik, tetap aktif menyumbangkan karya seni.

Mendapatkan perkembangan terbaru Malique dari wakil syarika pengedar, Warner Music Malaysia (WMM) iaitu melalui Pegawai Promosi WMM, Anne Mukthar, Malique bakal muncul dengan album baru dalam masa terdekat.
Dengar cerita, album kompilasi itu akan mengandungi kira-kira 20 lagu ciptaan Malique iaitu campuran naskhah lama dan baru.

"Malique seorang yang gemar berahsia, jadi dia tidak menceritakan banyak perkara mengenai dirinya. Kita tunggu sajalah apa yang akan muncul daripada dia kelak.

"Sekarang dia baru saja selesai merakamkan klip video lagu duet bersama Black, Teman Pengganti.

Selepas itu, Malique akan muncul dengan album baru tidak lama lagi. Tarikh sebenar belum diputuskan, tapi ia dijangka dalam masa terdekat," kata Anne kepada HIP.
Himpun karya terbaik

Naskhah terbaru yang diperkatakan itu adalah dalam bentuk album kompilasi memuatkan semua karya Malique. Lebih menarik, Malique turut memuatkan lagu baru ciptaannya selepas Teman Pengganti.

Walaupun wajahnya jarang menghiasi dada akhbar mahupun media lain, Malique begitu popular dengan hasil nukilannya. Lihat saja lagu duet popularnya seperti Kau Yang Punya bersama Najwa Mahiaddin, Aku Maafkan Kamu (duet bersama Jamal Abdillah) dan Mantera Beradu (bersama Datuk M Nasir) yang menjadi siulan ramai serta hangat diputarkan di radio tempatan.

Tidak kurang juga dengan impak lagu Bawaku Pergi iaitu duet bersama Zizan Raja Lawak dan Kaka selain Cemburu yang dinyanyikan oleh penyanyi baru, Amanda Imani.

Pasti ramai penyanyi yang mahu bekerjasama dengan Malique kerana tidak dinafikan karyanya mampu menarik ramai pendengar.

Senyum hadapi semua

Mengenai kontroversi dirinya yang dikatakan sudah meninggal dunia hingga hangat diperkatakan di laman sosial baru-baru ini, Malique ternyata tidak marah malah menghadapi kontroversi itu dengan tenang.

"Bagi Malique, orang ramai boleh bercakap mengenai apa saja. Hal ini tidak sepatutnya dijadikan permainan.

"Mungkin penyebar maklumat salah faham dengan lirik lagu Teman Pengganti yang mengatakan penyanyi itu mempunyai barah otak. Mungkin dia terbawa-bawa dengan apa yang dimaksudkan dengan lirik lagu berkenaan.

"Isterinya, Melissa terkejut dengan berita itu tapi mereka tidak terlalu memandang berat, malah menghadapinya dengan senyuman.

Bagi Malique, berita buruk itu dianggap sebagai publisiti baik yang mana ia menandakan masih ramai orang yang mengingati dirinya," tambah Anne.