Adsense

Selasa, 18 September 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Syazwan bebas kontroversi

Posted:

Syazwan bebas kontroversi

KEJAYAAN drama berjudul Juvana tidak dinafikan boleh dianggap sebagai fenomena dalam industri seni tempatan kita. Lebih menambah fenomena tersebut, rata-rata pelakon yang terlibat, berjaya menempah nama dan menambat hati masyarakat Malaysia dengan lakonan yang ditonjolkan.

Jika disebut nama, pasti ramai yang telah mengenali jejaka berkulit hitam manis, Syazwan Zulkifly yang memegang watak sebagai Apek dalam drama bersiri tersebut. Hari demi hari, bintang Syazwan kelihatan bersinar menerangi industri seni tanah air melalui bidang lakonan.

Sepanjang bergelumang dalam bidang lakonan selama hampir dua tahun, Syazwan dilihat sebagai seorang pelakon yang setakat ini bebas daripada kontroversi.

Ternyata, namanya dikenali melalui bakat yang dicurahkan melalui bakat lakonan yang dianggapnya sebagai tidak sengaja.

"Saya sebenarnya tidak sangka akan menemui kejayaan dalam bidang lakonan. Ia secara tidak sengaja dan mungkin rezeki saya di sini.

"Sebelum ini, saya berpendapat, jika saya punya karier lain, maka saya memang akan terlibat dengan industri perhotelan kerana sebelum menjadi pelakon, saya merupakan seorang bellman di Hotel Le Meridien dan Novotel, Kuala Lumpur.

"Minat menjadi pelakon mula timbul apabila saya menonton KL Drift. Saya akui pelakon lelaki yang saya minat selain aktor-aktor lama ialah Aaron Aziz.

"Melihatkan minat serta keterujaan saya terhadap lakonan Aaron, seorang teman menyarankan saya agar menghadiri sesi uji bakat sebagai pelakon baharu," imbau pemegang diploma jurusan Pemasaran dan Multimedia dari Kolej Multimedia TM, Jalan Semarak, Kuala Lumpur itu mengenai titik permulaan dirinya dalam industri seni.

Perjalanan karier

Tidak menafikan Juvana banyak membantu dirinya dikenali, tutur pemuda berusia 25 tahun ini, dia mengakui semakin lama menceburi bidang lakonan ini, minatnya semakin mendalam.

"Ini semua rezeki bukan buat saya seorang, namun bagi pelakon-pelakon Juvana sendiri yang turut mendapat banyak peluang berlakon selepas drama rantaian tersebut berakhir.

SYAZWAN tidak malu untuk mengaku hakikat dia pernah bekerja di hotel sebagai bellman dan tidak menyangka rezekinya semakin luas dalam bidang lakonan.


"Alhamdulillah, rezeki saya sendiri semakin murah, barangkali kerana selain saya benar ikhlas mahu menjadi pelakon, saya telah dipertemukan dengan orang-orang yang tepat dalam industri ini yang banyak membantu saya menjadi lebih baik lagi hari ini," jelas Syazwan bersyukur dengan apa yang dikecapinya.

Memulakan karier dengan produksi Filmscape melalui drama Gemilang dan seterusnya Juvana, bekerja bersama produksi tersebut, membuatkan dirinya berasa selesa. Bagi empunya diri, pelakon seperti Bront Palarae, Beto Khusyairi, Tiz Zakiah, Azhanrani serta Zahiril merupakan antara pelakon yang hebat.

"Dapat bekerjasama dengan mereka merupakan salah satu pengalaman yang bagus.

"Ini kerana bagi pendapat saya, mereka merupakan barisan pelakon yang bagus dan menjadi terkenal bukan sebab publisiti murahan semata-mata, sebaliknya kerana keberkesanan dalam setiap karakter yang mereka bawa.

"Justeru, apabila bekerja bersama orang-orang begini, saya sebagai pelakon baharu, terikut dengan rentak kerja mereka. Makin lama, saya makin suka dan ingin lebih tahu dan mendalami ilmu lakonan," jelas Syazwan yang nyata sudah jatuh cinta benar dengan dunia seni yang baru menjadi padang permainan buatnya.

Impak watak

Bercerita lanjut tentang kariernya yang semakin berkembang, jelas anak jati Kuala Lumpur ini, biar masih ramai yang memanggilnya dengan karakter Apek lakonan dalam Juvana, namun harus diingat, dia kini telah berlari pantas meninggalkan sosok Apek.

"Jika dalam Juvana mungkin orang memanggil saya Apek. Namun setelah berlakon dalam Jangan Ambil Padang Kami, ada pula yang menggelar saya Arai.

"Kini, nama Loco mula melekat selepas drama rantaian Mana Hilangnya Juwita? ditayangkan. Begitu juga dengan drama dan telemovie yang lain," katanya yang tidak kisah dipanggil dengan nama watak yang dimainkan kerana beranggapan telah berjaya meninggalkan impak kepada peminat.

Biarpun begitu, hampir semua watak yang dimainkan Syazwan merupakan watak hitam seperti seorang gangster atau budak nakal. Ia dilihat agak stereotaip. Sedar akan senario tersebut, Syazwan punya penjelasan tersendiri.

"Sebenarnya saya memang seorang yang berperwatakan sedikit kasar, tidak kiralah apabila saya bersama rakan perempuan mahupun lelaki.

"Sejujurnya, saya memang gemarkan karakter yang jahat seperti watak gangster, namun ada yang pernah bertanya tentang karakter yang dianggap stereotaip sepanjang bergelar pelakon.

"Tapi sebenarnya, jika diteliti semula, memang watak yang saya bawa dalam beberapa buah drama atau telemovie ialah seorang yang kasar. Namun, watak kasar tersebut hadir dalam beberapa sub karakter yang dipelbagaikan dan hakikatnya, ia berbeza," jelas Syazwan.

Tomok tidak kecewa

Posted:

Tomok tidak kecewa

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


TOMOK kini sedang diulit bahagia bersama isteri dan anak sulungnya, Arrian Shah Akid.


SELAMA ini Shah Indrawan Ismail atau lebih popular dengan panggilan Tomok memang cukup sinonim sebagai seorang penyanyi, tetapi kini dia juga sudah mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan.

Setelah tampil dengan filem sulung berjudul Mantera pada Mei lalu, penyanyi yang sudah bergelar bapa sejak empat bulan lalu itu bakal tampil pula dengan filem terbaharu iaitu Istanbul Aku Datang yang akan dijadualkan tayangannya di pawagam hujung tahun ini.

Ketika ditemui pada majlis rumah terbuka anjuran Utusan Karya di Bangi, Selangor baru-baru ini, Tomok menyatakan, bidang nyanyian masih menjadi keutamaan biarpun merasakan semakin seronok berlakon.

Pada masa yang sama, juara program One In A Million musim ketiga itu mempunyai keyakinan yang cukup tinggi, filem terbaharunya itu bakal mendapat sambutan yang lebih baik daripada penonton.

Kosmo!: Bagaimana kehidupan Tomok selepas bergelar seorang bapa?

TOMOK: Sudah tentu kehadiran Arrian Shah Akid dalam kehidupan saya dan isteri, Siti Rahayu Abas sejak 29 Mei lalu telah menceriakan lagi kehidupan kami sekeluarga. Biarpun tanggungjawab saya kini semakin besar apabila menjadi bapa, tetapi ia langsung tidak menjejaskan kerjaya saya. Malah, tawaran membuat persembahan masih lagi banyak terutamanya pada hujung minggu.

Apakah projek terbaharu anda sekarang?

Buat masa ini saya, sedang dalam proses untuk menghasilkan album solo kedua selepas album sulung yang berjudul Tomok dua tahun lalu. Setakat ini baru satu lagu sahaja dihasilkan berjudul Aku Datang yang merupakan single pertama dan menjadi lagu tema filem Istanbul Aku Datang. Untuk lagu-lagu yang lain pula, ia masih lagi dalam proses pemilihan dan saya memang tidak mahu terlalu tergesa-gesa untuk penghasilan album baru ini. Saya mahu memilih lagu-lagu yang dapat diterima pendengar.

Sebelum ini filem lakonan anda berjudul Mantera kurang mendapat sambutan penonton. Adakah Tomok kecewa dengan situasi tersebut?

Bagi saya filem Mantera cuma mendapat kutipan tiket yang tidak memberangsangkan, namun saya tetap mendapat banyak komen yang positif daripada penonton tentang lakonan saya dalam filem berkenaan. Bagaimanapun, saya akui masih banyak lagi yang perlu saya pelajari mengenai lakonan. Malah, segala kritikan yang diterima akan saya ambil sebagai sesuatu yang positif untuk memperbaiki lagi mutu lakonan saya pada masa akan datang.

Adakah anda meletakkan harapan yang tinggi untuk filem kedua anda iaitu Istanbul Aku Datang?

Setiap pelakon pastinya memang berharap filem lakonan mereka dapat diterima penonton. Jadi, saya juga meletakkan harapan yang tinggi dan saya yakin sambutan terhadap filem ini lebih baik memandangkan barisan pelakon yang cukup mantap seperti Lisa Surihani dan Beto Kushairy.

Sekiranya filem Istanbul Aku Datang mengalami nasib yang sama seperti Mantera, adakah anda masih lagi mahu berlakon filem?

Sudah tentu saya akan terus berlakon sekiranya mendapat tawaran yang sesuai, meskipun kalau filem lakonan saya masih lagi gagal memikat hati penonton. Saya tidak perlu berasa kecewa kerana apa yang lebih penting saya kena terus berusaha memberikan yang terbaik dan tidak boleh berputus asa.

Kenangan Konsert Untukmu Loga

Posted:

Kenangan Konsert Untukmu Loga

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

NING BAIZURA (dua dari kiri) yang tidak ketinggalan hadir memberi sokongan untuk Konsert Untukmu Loga dengan turut mendendangkan beberapa buah lagu bergambar dengan (dari kiri) David Arumugam, Susan serta dua orang anaknya Priyadashinidan Vigneshwaran.


BARU-BARU ini, Alleycats telah mengadakan konsert amal bagi mengutip dana untuk keluarga mendiang Datuk Loganathan Arumugam atau Loga yang pernah menjadi salah satu aset penting buat kumpulan legenda negara itu.

Konsert Untukmu Loga yang dibawakan oleh Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) itu ternyata telah mendapat sambutan hangat daripada peminat kumpulan tersebut.

Walaupun keluasan lokasi konsert diadakan yang bertempat di Kelab Hits, Kompleks Scott Garden di Jalan Klang Lama, Selangor itu tidak begitu besar, namun kelab tersebut dipenuhi peminat setia yang menyifatkan konsert tersebut mampu membangkit nostalgia terhadap lagu-lagu mereka selain sebagai tanda sokongan untuk mendiang Loga.

Biarpun pada mulanya lokasi konsert kelihatan begitu lengang, namun sebaik ia bermula, khalayak mula memenuhi ruang kelab tersebut.

Konsert yang dimulakan pada pukul 9 malam itu menyaksikan persembahan daripada Rabbit dan Shezay, diikuti oleh Mista G yang mendendangkan lagu bergenre hip hop sebagai pemanas pentas.

Acara kemuncak yang dinanti-nantikan peminat Alleycats bermula setengah jam selepas acara pembukaan yang sememangnya mendapat tepukan gemuruh daripada peminat yang menantikan persembahan mereka.

Tidak dinafikan konsert berskala kecil itu mampu mengubat rindu peminat setia Alleycats yang hadir.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat yang sudi hadir dan menyumbang kepada dana yang ingin diberikan kepada keluarga Loga.

"Saya sangat menghargainya dan terimalah persembahan istimewa daripada kami, Alleycats," tutur Datuk David Arumugam sejurus naik ke pentas memberi seiring menerima tepukan gemuruh daripada peminat yang hadir.

PEMINAT setia Alleycats tetap hadir memberi sokongan kepada kumpulan legenda tersebut biarpun Loga sudah meninggal dunia pada tahun 2007.


Antara lagu hit yang didendangkan kumpulan lagenda itu ialah Andainya Aku Pergi Dulu, Senandung Semalam, Hingga Akhir Nanti dan Senyumlah Kuala Lumpur.

Selain itu, anak perempuan mendiang Loga, Priyadashini atau Dasha juga sama-sama menyumbang suara dalam konsert tersebut. Mengikut jejak langkah bapanya, Dasha menyampaikan beberapa buah lagu yang pernah didendangkan oleh bapanya ketika zaman kegemilangan Alleycats.

"Saya tidak sangka ramai yang hadir ke showcase ini untuk membantu kami sekeluarga. Jutaan terima kasih dari pihak keluarga saya kepada semua yang sudi membantu.

"Menyanyikan kembali lagu-lagu yang dipopularkan bapa dan Alleycats mengingatkan saya betapa bapa seorang yang cintakan muzik sepenuh hatinya," tutur Dasha terharu sebelum memulakan persembahannya di pentas kelab tersebut.

Sejurus selepas itu, pentas Kelab Hits dimeriahkan lagi dengan kehadiran penyanyi, Ning Baizura yang juga menyampaikan beberapa buah lagu Inggeris serta medley lagu-lagu mendiang Whitney Houstan sebagai pembuka.

Sebagai penutup, Ning menyampaikan sebuah lagu yang katanya sentiasa menjadi permintaan peminat setiap kali dia mengadakan persembahan iaitu Awan Yang Terpilu.

"Saya memang meminati dan mengagumi kumpulan legenda ini. Saya juga membesar bersama lagu-lagu nyanyian Alleycats.

"Jadi, saya berbangga untuk berdiri di atas pentas yang sama serta terima kasih diucapkan kepada yang sudi menjemput sama untuk sama-sama memeriahkan konsert ini," tutur Ning yang kelihatan sedikit berisi namun sentiasa ceria melayan peminat.

Sementara itu, dalam ratusan peminat yang hadir, ahli keluarga mendiang Loga seperti isterinya, Datin Susan Lovie serta anak lelakinya, Vigneshwaran turut hadir sebagai tanda sokongan dan terima kasih kepada pihak penganjur serta peminat yang prihatin terhadap nasib mereka.

Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi sumbangan sebanyak RM100,000 kepada keluarga mendiang Loga.

Datuk Loganathan atau lebih dikenali sebagai Loga meninggal akibat penyakit kanser pada 4 Jun 2007. Walaupun begitu, legasi kumpulan Alleycats tetap diteruskan oleh abang kandungnya, Datuk David Arumugam.

Kini, Alleycats Alleycats dibarisi Datuk David Arumugam Shanmugam, Frank Ong , Khoo Fok Sin, Tan Chin Hock dan Chester Danielle Pasarella.