Adsense

Selasa, 11 September 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Tun Dr. Siti Hasmah ditangan Sofea

Posted:

Tun Dr. Siti Hasmah ditangan Sofea

SELAMA ini ramai yang mengenali Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa tokoh negarawan yang kini berusia 86 tahun itu mencipta sejarah sebagai doktor wanita Melayu pertama di negara ini.

Dengan peranan sebagai seorang doktor telah memberi peluang kepada beliau menaburkan khidmat dan baktinya kepada masyarakat, terutamanya buat penduduk luar bandar.

Maka, sebagai langkah supaya orang ramai dapat lebih mengenali sisi hidup isteri bekas Perdana Menteri ini, World Islamic Network Television mengambil inisiatif dengan menerbitkan sebuah teater berjudul Tun Dr. Siti Hasmah yang akan dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Menariknya, watak sebagai tokoh negarawan itu akan digalas oleh dua orang pelakon hebat iaitu Datin Sofia Jane dan Lisa Surihani yang menggantikan Erra Fazira. Erma Fatima pula bertanggungjawab sebagai pengarah, menggantikan posisi pengarah asal, Adlin Aman Ramlie.

Bagi Sofia, peluang membawakan watak sebagai Siti Hasmah dalam pementasan teater tersebut sangat bermakna buat dirinya. Dia sendiri sangat teruja untuk mendalami karakter tokoh wanita kelahiran Klang, Selangor itu.

"Beliau merupakan tokoh yang begitu saya kagumi kerana tanggungjawab yang dipikulnya sebagai seorang isteri pemimpin, doktor dan ibu. Saya rasa ia bukanlah satu tanggungjawab yang mudah buat seorang wanita.

"Malah, ramai generasi sekarang yang tidak tahu beliau banyak menabur bakti kepada masyarakat di luar bandar semasa bergelar doktor perubatan dahulu," ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar di Istana Budaya baru-baru ini.

Menurut Sofia, peluang membintangi teater tersebut telah membuatkan dirinya begitu teruja untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang keperibadian Siti Hasmah.

Ujarnya, masih terdapat banyak kisah-kisah menarik tentang tokoh berkenaan yang tidak pernah dipaparkan media dan itulah yang akan cuba didedahkan menerusi pementasan teater berkenaan.

"Apa yang saya tahu, Siti Hasmah meminta supaya jalan cerita yang dipaparkan nanti tidak terlalu menjurus kepada peranannya sebagai isteri mantan perdana menteri, tetapi usaha dan khidmatnya kepada masyarakat supaya ia boleh menjadi inspirasi kepada orang ramai," ujar pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu.

Ketika ditanya apakah yang membuatkan dirinya tertarik untuk membintangi teater berkenaan, Sofia memberitahu dia gemar membawakan watak tokoh biografi wanita terkenal.

"Ini merupakan kali ketiga saya membawakan karakter sebegini selepas melakonkan watak Mak Lijah dalam teater Malam Ini Penyu Menangis pada tahun 1995 dan Natrah menerusi pementasan teater berjudul Natrah dua tahun lalu," ujarnya.

Pernah tolak

Mengikut jadual asal, pementasan teater Tun Dr. Siti Hasmah sepatutnya mula dipentaskan pada 30 Ogos lalu, tetapi terpaksa ditunda pula ke tarikh 14 September ini.

Namun begitu pada sidang akhbar tersebut, World Islamic Network Television telah mengumumkan tentang tarikh baharu pementasan yang telah ditetapkan iaitu pada 9 hingga 19 November ini.

"Saya akui pada mulanya memang pernah menolak tawaran yang diberikan oleh Erma Fatima apabila pementasan teater ini dijadualkan berlangsung pada 14 September ini kerana merasakan masa yang ada sangat singkat.

"Walaupun pernah membintangi teater sebelum ini, saya merasakan tempoh dua minggu tidak sesuai memandangkan persiapan untuk pementasan teater memang mengambil masa yang lama," jelasnya.

Menurut Sofia, dengan penundaan tarikh pementasan ke satu tarikh yang baharu iaitu pada 9 November, ia telah memberikan kelegaan kepada dirinya. Itu yang membuatkan dia bersetuju untuk terbabit dengan pementasan berkenaan.

"Dengan tempoh selama dua bulan ini, saya akan menggunakan peluang sebaik-baiknya untuk menghayati watak yang diberikan serta mengenali dengan lebih mendalam karakter Siti Hasmah," ujarnya.


TEMPOH dua bulan akan digunakan sepenuhnya oleh Sofia untuk mengenali dan mendalami karakter Siti Hasmah.


Pengalaman baharu

Bagi Lisa pula, peluang untuk terbabit dengan pementasan teater tersebut telah membuka lembaran baharu buat dirinya untuk menguji kemampuan sebagai seorang pelakon serta mengembangkan lagi bakat lakonannya.

Menurutnya, dengan pembabitannya itu pasti ia memberi pengalaman baharu buat dirinya dan bersedia untuk menghadapi apa sahaja cabaran memandangkan lakonan teater sangat berbeza dengan berlakon drama atau filem.

"Selama ini bukan saya tidak berminat berlakon teater, malah pernah mendapat tawaran daripada beberapa pihak. Namun, saya terpaksa menolaknya kerana terikat dengan jadual yang agak ketat.

"Secara kebetulan apabila saya dihubungi oleh pihak Istana Budaya yang mewakili produksi, memang saya tidak mempunyai sebarang kerja lain dan akhirnya saya bersetuju untuk berlakon," jelas isteri kepada Yusry Abdul Halim itu.

Ujar Lisa, pada mulanya dia menyangka hanya ditawarkan untuk membawakan watak kecil dalam pementasan tersebut dan sangat terkejut apabila perlu melakonkan watak seorang tokoh negarawan yang terkenal.

"Pastinya peranan yang diberikan ini merupakan satu tanggungjawab yang sangat besar, apatah lagi saya tiada pengalaman beraksi di pentas teater. Namun, saya akan menggunakan peluang yang diberikan ini dengan sebaik-baiknya," ujarnya.

Raudhah Di Hatiku kembali

Posted:

Raudhah Di Hatiku kembali

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

BARISAN selebriti yang terlibat dengan Raudhah Di hatiku musim baharu bergambar pada majlis sidang akhbar pelancaran program tersebut baru-baru ini.


SEKALI lagi TV9 melalui jenama Raudhah Di Hatiku akan mengimarahkan masjid sekitar Lembah Klang dan Selangor di samping mengambil inisiatif memperkenalkan masjid sebagai hab komuniti para remaja dan masyarakat setempat.

Kata Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar mengenai acara itu: "Raudhah Di Hatiku akan menjadi acara tahunan stesen TV9 berikutan menerima impak positif ketika penganjuran kali pertama tahun lalu."

Pelbagai program menarik disediakan sepanjang acara padang Raudhah Di Hatiku buat penganjuran kali kedua tahun ini antaranya Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah, Halaqah, Semanis Kurma, Usrah dan Safiyya.

Menurut Pengurus Penjenamaan Kumpulan TV9, Mazliffah Ismail pula, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk mengeratkan ukhuwah antara satu sama lain dan paling utama untuk menjinakkan para remaja kepada masjid.

"Sepanjang acara berlangsung pelbagai aktiviti menarik boleh disertai pengunjung yang hadir antaranya siaran langsung Nasi Lemak Kopi O (NLKO), rakaman program 4 dan hafazan, pembukaan khemah Lin Nisa yang menyediakan pelbagai aktiviti khas untuk wanita sahaja, persembahan nasyid kumpulan Al-Mawlid, jualan bazar cufica, kanvas dan kaligrafi serta banyak lagi," katanya yang ditemui ketika sidang akhbar pelancaran Raudhah Di Hatiku di Sri Pentas baru-baru ini.

Menarik kali ini, pihaknya menyediakan khemah tertutup Lin Nisa khusus buat muslimah sahaja untuk melakukan pelbagai aktiviti termasuk peragaan fesyen tudung terbaharu, cara memakai tudung dan skaf, jubah malah beberapa aktiviti lain yang ternyata bermanfaat.

Sementara itu, Penerbit Program Dokumentari dan Majalah Primeworks Studios Sdn. Bhd., Ahmad Noor Sulaiman berkata, acara Raudhah Di Hatiku secara tidak langsung mengubah persepsi orang ramai terutama golongan bukan muslim akan kepentingan masjid sebagai hab sejagat yang bersifat penyatuan.

"Ramai yang kurang faham akan kepentingan masjid sebagai lokasi pertemuan yang menyatukan pelbagai kelompok masyarakat dan program seumpama ini memacu tujuan ke arah itu sebenarnya. Lantas ia mengetepikan persepsi masjid yang hanya dianggap sebagai tempat beribadat sahaja," ujarnya.

Tambahnya sokongan tidak jemu dan padu daripada golongan selebriti untuk menjayakan acara itu pada tahun lalu memberikan peluang sekali lagi tahun ini untuk pengunjung bertemu dengan beberapa orang selebriti tempatan yang akan hadir meluangkan masa sepanjang acara tahun ini.

Antara selebriti yang akan hadir terdiri daripada Saiful Amir Abdul Wahab (Pot Innuendo), Lah VE, Zaf VE, Azan Ruffedge, Amer Ruffedge, Amer Munawer, Yatt Hamzah, Diana Amir dan kumpulan hijabista Scarlets yang diwakili Maria Elena.

Maka jangan ketinggalan untuk datang beramai-ramai ke tiga buah masjid terpilih sekitar Lembah Klang dan Selangor untuk merasai kemeriahan aktiviti yang telah disediakan bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang pada setiap hari Sabtu sepanjang tiga minggu.

Tiga masjid tersebut adalah Masjid Al-Hidayah Taman Melawati (8 September),Masjid Al-Falah, USJ 9, Subang Jaya (29 September) dan Masjid As-Salam, Puchong Perdana (13 Oktober).

Kuasa Shah Rukh Khan

Posted:

Kuasa Shah Rukh Khan

PENGARUH dan kehebatan Shah Rukh Khan nampaknya bukan sekadar di layar televisyen atau filem, tetapi ia turut mempengaruhi masyarakat.

Buktinya, Shah Rukh telah berjaya membuat pihak polis di kawasan kediamannya menutup sebatang jalan yang dikenali sebagai Cement Road menuju ke sebuah gereja iaitu Mount Mary Church yang terletak berhampiran banglo miliknya bagi mengelakkan suasana bising sewaktu perarakan ke gereja tersebut berlangsung!.

Tindakan tersebut telah membuatkan banyak pihak tidak berpuas hati, terutamanya penganut agama Kristian yang mengikuti perarakan keagamaan tersebut. Ini kerana jalan yang ditutup pihak berkuasa itu merupakan jalan mudah ke gereja tersebut.

"Ia mengambil masa lima minit jika melalui jalan itu ke gereja, tapi ia telah ditutup atas permintaan Shah Rukh kerana tidak mahu diganggu bunyi bising," ujar satu sumber.

Justeru, para pengikut perarakan telah membuat bantahan terhadap tindakan Shah Rukh yang dianggap sebagai keterlaluan itu.