Adsense

Selasa, 11 September 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


'Kami bahagia'

Posted: 10 Sep 2012 03:37 PM PDT

Fasha Sandha kongsi kegembiraan hidup dikelilingi keluarga besar, aktif sekalipun alami alah hamil anak pertama

PELAKON Nur Fasha Sandha Hassan, 28, berkata hidupnya kini makin bahagia dikelilingi keluarga besar. Ditemui pada majlis ramah mesra drama Runtun Qalbu di Kuala Lumpur, semalam, aktres yang sedang hamil bayi sulung itu gembira kerana hubungan dengan keluarga baik - di belah suami atau dirinya cukup baik.

"Alhamdulillah, kami mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua keluarga. Keluarga mentua melayan saya dengan baik, malah mereka keluarga yang sangat merendah diri," jawab Fasha.

Hubungan baik aktres itu dengan keluarga suaminya, Rizal Ashram Ramly terpancar melalui beberapa keping gambar yang dimuat naik di laman sosial twitter serta Instagram pelakon berkenaan.
Namun, Fasha menafikan tujuan gambar terbabit dimuat naik adalah bagi menepis spekulasi kononnya hubungannya dengan keluarga mentua bermasalah.

"Tidak, saya tidak berbuat demikian untuk menunjuk-nunjuk. Sebaliknya, suami yang memuat naik di laman sosialnya. Saya tidak berniat berbuat demikian semata-mata hendak membuktikan kepada masyarakat bahawa hubungan kami memang baik.

"Saya tidak ada masalah dengan keluarga mentua. Selepas berkahwin, memang saya kerap berulang alik ke rumah mentua, cuma takkanlah setiap kali berkunjung ke rumah mentua saya perlu war-warkan pada semua," katanya.

Fasha berkata, pada Ramadan lalu, dia sempat meluangkan masa beberapa kali berbuka puasa dengan keluarga suami.
"Malah, baru-baru ini pun saya turut serta dalam rumah terbuka yang dianjurkan keluarga suami," kata pelakon kelahiran Johor Bahru itu.

Alah bau ubat gigi

MASIH pada peringkat awal kandungan, Fasha berkata, dia baru saja mengalami alahan tidak boleh terbau ubat gigi.

Malah sejak kebelakangan ini, Fasha mudah mengah. Biarpun dalam keadaan diri yang tidak larat, pelakon yang terkenal dengan komitmen tinggi pada kerjaya itu tidak betah duduk di rumah.

Fasha akan kembali ke set penggambaran November ini untuk drama Janji Shirah terbitan Jalena Rejab. Sementara menantikan tarikh untuk kembali ke set, pelakon itu akan menemani suaminya ke Guangzhou, China mewakili negara untuk sukan lumba kereta.

"Suami adalah penyokong kuat kerjaya saya, jadi saya juga harus memberikan sokongan kepada suami. Alhamdulillah, walaupun kandungan masih dalam peringkat awal, doktor mengizinkan saya pergi ke China," katanya.

Pelakon baru tak gugat populariti

Ketika ditanya tidakkah tercabar dengan kehadiran wajah baru yang mewarnai industri seni, jawab Fasha, dia sedar dirinya sudah berkahwin serta bakal bergelar ibu.

Malah akui Fasha, keutamaannya bukan lagi pada kerjaya, sebaliknya keluarga. Jadi, bagi Fasha, dia tidak perlu berasa tercabar dengan kehadiran muka baru.

"Saya pernah bergelar memegang trofi Pelakon Televisyen Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sebanyak enam kali.

"Saya juga pernah melalui episod kegelapan kemudian kembali semula membina nama. Jadi, saya tidak perlu berasa tergugat dengan kehadiran pelakon baru," katanya.

Jamal pernah suka Khaty

Posted: 10 Sep 2012 03:22 PM PDT

Raja Pop teringat zaman sebelum jadi penyanyi, hafal semua lagu anak didik Datuk Ahmad Nawab

KEINTIMAN Raja Pop, Jamal Abdillah dan Datuk Khadijah Ibrahim bagai ada perasaan menguntum dalam hati mereka. Gelak tawa dan gurau senda tatkala bertemu jadi petanda eratnya hubungan dua penyanyi senior ini.

Siapa sangka, ada cerita antara mereka yang tersimpan kemas selama ini. Dalam diam, Jamal cukup mengagumi Khatijah atau mesra dipanggil Khaty sehingga pernah menyimpan perasaan terhadap penyanyi ketika awal kemunculannya.

Namun, lebih 30 tahun kemudian barulah rahsia itu terbongkar. Ini mengejutkan Khaty yang selama ini menganggap Jamal seperti ahli keluarganya sendiri.
"Saya tidak tahu Jamal pernah menyimpan perasaan pada saya hinggalah rahsia ini dipecahkan Abang Mad (Datuk Ahmad Nawab) yang amat rapat dengan kami. Kalau tidak, sampai sekarang saya tidak tahu.

"Memang kami rapat dan kami sering berjumpa. Kami menjadi rapat selepas bernaung di bawah syarikat rakaman sama dan kebanyakan lagu yang didendangkan adalah ciptaan Abang Mad," kata Khaty.

Rahsia yang tersimpan lama itu didedahkan Ahmad Nawab pada majlis sidang media Konsert Gemilang yang bakal menggandingkan Khaty dengan Jamal di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Saya tahu Jamal tidak ada masalah dengan sesiapa dan dia seorang yang baik. Berbanding dulu, saya lihat Jamal sekarang kembali ceria dan bersemangat jadi orang lupa kisah silamnya.
"Saya yakin peminat terus menyokong Jamal. Saya pasti Jamal mampu jadi tarikan untuk Konsert Gemilang," kata Khaty lagi.

Jadi idola hingga muncul juara Bintang RTM

Menyedari kakak ipar Khadijah, Masriah Mahadan iaitu isteri kepada Allahyarham Latiff Ibrahim bekerja di tempat sama sebagai artis budaya di Pentarama, Jabatan Penerangan Malaysia pada 1978, Jamal teruja untuk bertemu Khaty.

Selama ini, Jamal menganggap Khaty sebagai idolanya. Buktinya, Jamal menyanyikan lagu Khaty, Janjimu sehingga muncul juara Bintang RTM 1979.

Namun, enggan bercerita lanjut mengenai perasaannya terhadap Khaty, Jamal menganggap ia sekadar usikan kerana cukup menyanjungi Khaty.

Jika tidak kerana lagu Janjimu itu, Jamal menganggap dirinya mungkin tidak berada di tahap sekarang.

"Khaty amat digilai ramai hinggakan setiap lagunya saya hafal. Ketika separuh akhir Bintang RTM, saya bawakan lagu Ku Sangka Siang Kiranya Malam sehingga melayakkan saya ke peringkat akhir.

"Apabila berakhirnya Bintang RTM banyak tawaran diterima daripada syarikat rakaman. Tetapi saya hanya mahu berada di bawah syarikat WEA Records yang turut dinaunginya.

"Saya sangat teruja kerana dapat berada di bawah satu bumbung dengan Khaty ditambah pula bekerja dengan Ahmad Nawab," katanya.

Pertama kali digandingkan dalam siri konsert bersama, Jamal dan Khaty akan menghiburkan peminat di Kuantan pada 29 September ini. Manakala persembahan di Kuala Lumpur menyusul pada 13 Oktober sebelum menyeberang Tambak Johor.

Melalui syarikatnya, Bintang Channel Sdn Bhd, Jamal dijangka tampil dengan 20 mini konsert di Istana Budaya, tahun depan.

Jamal juga akan menganjurkan muzikal Tribute To P Ramlee di Istana Budaya pada 29 April hingga 4 Mei tahun depan dengan menampilkan artis seangkatan seperti Azlina Aziz, Musly Ramlee dan Ahmad Fauzee.