Adsense

Selasa, 11 September 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Ahmad Idham Latih Adik Jadi Pengarah

Posted: 10 Sep 2012 10:39 PM PDT

Ahmad Idham
PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon Ahmad Idham Ahmad Nadzri sedang berusaha membina nama adiknya iaitu Ahmad Khalid Nadzri sebagai pengarah berkaliber di negara ini.
Ahmad Idham berkata, ia merupakan tanggungjawabnya sebagai seorang abang untuk memperbaiki diri adiknya tidak kira dalam apa juga bidang.
"Kalau saya tidak membantu dia siapa lagi yang boleh menolongnya?
"Tambahan pula dia memang berminat dalam bidang pengarahan dan sebagai seorang abang rasanya tidak salah saya mengajarnya dalam mencapai cita-citanya itu," ujarnya selepas pelancaran drama Runtun Qalbu di sini pada Isnin.
Drama bersiri 13 episod itu diarahkan oleh Khalid sepenuhnya bakal menemui penonton menerusi slot Zehra mulai 21 September ini.
Ia akan disiarkan pada pukul 9 malam setiap Jumaat di TV3.
Dalam pada itu, Idham memberitahu dia yakin dengan kebolehan adiknya mengarah selepas drama bersiri Apa Celop! mendapat sambutan hangat daripada penonton.
Kata Idham, sebagai seorang pengarah yang telah berpengalaman dia perlu meletakkan kepercayaan kepada pengarah muda untuk berkarya dengan sentuhan berbeza.
"Budak muda sekarang lain bukan macam dulu kerana idea mereka berbeza dan lebih maju daripada orang lama macam saya.
"Mengapa tidak kita percayakan mereka kerana bakat yang mereka ada tambahan pula Khalid mempunyai ijazah dalam bidang pengarahan," jelasnya.
Tambah Idham, dia bukan sahaja mendidik Khalid tetapi mengambil dua lagi pengarah muda sebagai protegenya.
"Orang nampak saya angkat Khalid kerana dia adik kandung saya tetapi sebenarnya ada dua lagi pengarah muda yang sedang saya gilap bakat mereka," katanya.
Sementara itu, Idham memberitahu dia berpuas hati dengan hasil kerja Khalid namun masih memantau proses pasca produksi yang masih dijalankan.
Katanya, walaupun tidak menggangu kerja-kerja pengarahan di lokasi tetapi dia ingin memastikan produk yang dihasilkan adalah yang terbaik.
Dalam perkembangan lain, Runtun Qalbu membariskan pelakon terkenal seperti Fasha Sandha, Kamal Adli, Shah Iskandar dan Fida Ibrahim.

- ---

Sheera Iskandar Sudah Sedia Dirikan Rumah Tangga

Posted: 10 Sep 2012 10:39 PM PDT

Sheera sudah bersedia bergelar isteri.
PETALING JAYA: Pelakon Sheera Iskandar berhasrat untuk menamatkan zaman bujangnya pada tahun hadapan dan mengakui sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri.
Sheera yang juga anak kepada pelakon Aznah Hamid berkata, dia dan kekasihnya yang hanya mahu dikenali sebagai Syan sudah lima tahun bercinta dan sudah tiba masanya mereka melangkah setapak lagi dalam perhubungan mereka.
"Hampir lima tahun saya dan Syan bercinta, saya cukup selesa bersamanya dan berharap hubungan ini akan berakhir dengan sesuatu yang indah.
"Umur saya sekarang 27 tahun dan Syan 28 tahun, saya rasa sudah tiba masanya untuk kami menamatkan zaman bujang dan melangkah ke alam perkahwinan," ujarnya.
Dalam pada itu, Sheera memberitahu kekasihnya itu belum melamarnya sebagai isteri tetapi mereka ada berbincang mengenai perkahwinan impian mereka.
Tambah Sheera Syan bukan seorang yang romantik namun senang dengan cara kekasihnya itu yang sering berada di sisinya ketika dia memerlukan.
"Memang dia tidak romantik tetapi dia sering menunjukkan rasa kasih dan sayang dengan cara berbeza. Itu menyenangkan saya.
"Walaupun dia belum melamar saya tetapi kami sering berbual mengenai perkahwinan dan merancang untuk menamatkan zaman bujang pada tahun hadapan, Insya Allah," katanya.
Tambah Sheera, dia bagaimanapun tidak mahu menekan soal perkahwinan terhadap kekasihnya itu kerana dia baru sahaja menamatkan pengajian dan membina kerjaya sebagai kontraktor.
Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan kerjaya seninya, Sheera memberitahu sepanjang Syawal dia akan berehat sebelum kembali ke beberapa lokasi penggambaran drama.
- ---

Fasha Alah Pada Ubat Gigi

Posted: 10 Sep 2012 10:38 PM PDT

Fasha Sandha
PETALING JAYA: Pelakon Fasha Sandha mula alah kepada ubat gigi selepas hamil hampir tiga bulan.
Fasha, 28, berkata, walaupun alah terhadap bahan tersebut tetapi dia terpaksa bertahan kerana tidak berasa selesa jika tidak menggosok gigi setiap hari.
"Kalau muntah-muntah pada waktu pagi itu biasa tetapi sekarang mula alah pada ubat gigi.
"Bagaimanapun saya terpaksa tahan kerana kita memang perlu memberus gigi setiap hari," ujarnya selepas ditemui pada pelancaran drama Runtun Qalbu di sini pada Isnin.
Drama terbitan Excellent Pictures itu akan bersiaran menerusi slot Zehra pada 21 September ini pukul 9 malam setiap hari Jumaat di TV3.
Dalam pada itu, Fasha berkata, dia juga mudah kepenatan dan memerlukan rehat walaupun mendapat tidur secukupnya.
Atas alasan itu juga, dia mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia lakonan sehingga kandungannya benar-benar stabil.
"Drama bersiri Runtun Qalbu adalah yang terakhir sebelum saya berehat sebentar sehingga November depan.
"Selepas itu saya akan mengambil satu projek drama sebelum bercuti sepenuhnya sehingga bersalin," ujarnya.
Tambah Fasha, dia belum mengidam sebarang benda-benda pelik sebaliknya suaminya iaitu Rizal Ashram Ramli (Jejai).
"Memang pelik tetapi itulah yang berlaku apabila suami yang mengidam nak makan macam-macam. Sehingga kini saya belum teringin apa-apa lagi," ujarnya.
Sementara itu, Fasha memberitahu seronok dapat berlakon dibawah arahan pengarah muda iaitu Khalid Nadzri yang juga adik kepada Ahmad Idham.
Jelas Fasha lagi, Runtun Qalbu juga akan menjadi fenomena dan akan mengangkat nama pelakon gandingannya iaitu Kamal Adli ke tahap yang lebih tinggi.
"Pertama kali saya berlakon dengan Kamal tetapi dia seorang pelakon yang bagus dan saya yakin menerusi drama ini namanya akan lebih menyerlah," jelasnya.
- ---