Adsense

Jumaat, 7 September 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Hilang suara kerana Penunggu

Posted: 06 Sep 2012 06:07 AM PDT

PERTENGAHAN Ramadan lalu membuka satu episod manis dalam karier pendatang baru, Ramona Zam Zam apabila produser dan pengarah filem Penunggu, Aziz M Osman mengambilnya menerajui filem itu selaku heroinnya bergandingan dengan aktor hebat, Rizman Khuzaimi.

Memegang peranan sebagai isteri yang dirasuk ketika hamil amat menepati impian Ramona yang idamkan watak mencabar selain watak biasa yang pernah dipegangnya seperti perempuan cantik, isteri, adik dan pelajar kolej.

"Sudah selalu sangat bawa watak yang biasa-biasa saja dan saya perlu menguji kemampuan diri sendiri. Saya harap watak saya dalam Penunggu akan memberi ruang dan kepercayaan kepada pengarah lain untuk memberi watak yang lebih mencabar lakonan saya," katanya.

Menurut Ramona, filem itu menjalani penggambaran pada pertengahan Ramadan lalu selama 14 hari yang dirakamkan di kawasan kelapa sawit di daerah antara Klang dan Banting, Selangor.


"Lokasinya sangat jauh dan saya memang tak berani nak memandu seorang diri ke sana. Setiap hari kru yang mengambil dan menghantar saya balik. Kalau saya perlu pergi sendiri mesti tak 'sampai' ke sana, apatah lagi penggambaran biasanya dimulakan selepas berbuka puasa dan tamat penggambaran jam 2 atau 3 pagi.


"Oleh itu, walaupun penggambaran dilakukan dalam bulan puasa, ia tidaklah meletihkan sangat kerana sampai saja di rumah, sebelah siangnya saya boleh berehat dan tidur. Tidaklah memenatkan untuk saya melakonkan watak isteri hamil yang dirasuk kerana sudah berbuka puasa. Cuma melakonkan watak itu memerlukan tenaga untuk menzahirkan gambaran sedang dirasuk.

"Setiap hari saya terpaksa mengeluarkan suara 'dalam' dan 'kasar', sehingga selepas tamat penggambaran, saya hilang suara seminggu dan ramai yang bertanya sebabnya. Dalam filem ini, lebih banyak aksi daripada dialog dan watak saya dirasuk itu sangat menakutkan.

"Apapun saya berpuas hati kerana tercapai hasrat untuk membawakan watak yang mencabar dan lain daripada yang saya pernah lakonkan. Aziz juga memuji lakonan saya," katanya.

Cerita Ramona atau nama sebenarnya, Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam, misteri bermula apabila dia yang sedang hamil balik ke kampung suaminya yang terletak di ladang kelapa sawit dan di sana ada penunggu yang mahukan bayi dalam kandungannya. Sejak itu, hidup Ramona dan suaminya menjadi huru-hara kerana gangguan itu dan setiap kali dirasuk, dia akan lari ke dalam hutan.

"Alhamdulillah, walaupun keadaan sekitar menyeramkan tetapi kami semua tidak pula pernah mengalami gangguan atau bermimpi benda yang pelik. Kami sentiasa berhati-hati iaitu sebelum penggambaran dimulakan, diadakan bacaan doa agar dijauhkan daripada segala bahaya dan gangguan," katanya yang cantik menggayakan baju rekaan O'oi Couture.

Penunggu akan ditayangkan pada penghujung tahun depan.

Rezeki Ramona tidak terhenti setakat itu saja apabila selepas ini, dia akan ke lokasi drama 26 episod untuk siaran TV9 yang bertajuk Cinta Jangan Kau Pergi. Dia akan berlakon bersama Remy Ishak dan Tiz Zaqyah. Dia membawakan watak antagonis yang cuba merebut cinta Remy daripada Tiz.

Drama arahan Kabir Bhatia itu akan turut dirakamkan di London tetapi watak Ramona tiada dalam babak yang bakal dirakamkan di kota metropolitan itu.

"Ada juga tawaran berlakon drama lain tetapi saya terpaksa menolaknya kerana mahu memberi komitmen yang sepenuhnya pada drama ini. Saya dengar Kabir sangat teliti dalam setiap pembikinan drama atau filemnya, jadi pihak produksi mahu saya tumpukan pada drama ini dulu yang mungkin penggambarannya akan berlarutan sehingga hujung tahun ini.

Imbas kembali awal Ramadan yang lalu, memandangkan aktiviti seni kurang ketika itu, Ramona lebih fokus kepada pengajiannya dalam jurusan kewangan di sebuah kolej swasta dan berbuka puasa bersama ibunya, Rusmawati Mohd Yusof, 52, di rumah.

Sejak bergelar anak seni tiga tahun lalu, ibunya yang bertugas sebagai guru sanggup berkorban minta ditukarkan mengajar di Kuala Lumpur dari Ipoh semata-mata untuk menemaninya. Sementara bapanya yang bertugas sebagai Pengurus Kem PLKN Sentosa, Tapah, Perak, menetap di sana sendirian.

"Walaupun saya tinggal dengan mama tetapi saya jarang ada di rumah kerana sibuk berlakon dan ke kolej. Jarang saya dapat menemani mama dan nak makan bersama pun tak sempat. Namun pada bulan puasa, aktiviti seni kurang. Saya cuma ke kolej dan sebaik saja habis kuliah, saya terus balik rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/06


JLO nak gegar KL

Posted: 06 Sep 2012 05:53 AM PDT

AURA penyanyi ini memang mengagumkan bukan saja tatkala tampil di atas pentas, malah jika di luar pun, gayanya menjadi perhatian. Masih lagi berada di carta artis wanita paling seksi di dunia, Jennifer Lynn Lopez atau JLo, 43, tidak dinafikan dia memang digilai di seluruh dunia.

Bukan saja jelita dan seksi, bakatnya yang mula dicungkil dalam bidang nyanyian seiring cemerlang dengan aksinya di lakon layar. Terbaru, dia berjaya menduduki kerusi juri rancangan realiti nyanyian nombor satu di Amerika Syarikat (AS), American Idol, namun selepas dua musim, kemudiannya menarik diri.

Mula mengukir nama di persada hiburan sejak 1997, di mana lakonannya menerusi filem Selena menjadi bualan sehingga berjaya meraih beberapa anugerah, pada 1999, ibu kepada dua cahaya mata ini mencuba nasib dalam bidang muzik pula.

Jelas, tuah memang menyebelahi JLo apabila lagu-lagu seperti If You Had My Love, Waiting For Tonight, Let's Get Loud, Jenny From the Block, Love Don't Cost A Thing, Ain't It Funny dan banyak lagi pantas menangkap halwa telinga pendengar. Berbekalkan suara yang fleksibel kepada pelbagai genre, JLo memang layak digelar diva!


Apa yang pasti, kehadirannya ke sini Disember ini pastinya antara topik paling hangat diperbualkan pada saat ini. Mana tidaknya, sekian lama menanti untuk melihat sendiri kelincahan, kehebatan dan kejelitaan JLo secara langsung, kini mimpi peminat tegar di sini bakal menjadi kenyataan.


Akan menggegarkan Stadium Merdeka menerusi konsert sulungnya berjudul JLo Dance Again World Tour itu tidak lain tidak bukan sebagai rangka promosi album terbarunya, Dance Again yang menghimpunkan kompilasi lagu-lagu hit nyanyiannya. Jika beberapa bulan lalu, kedatangannya itu sekadar khabar angin, akhirnya kelmarin, penaja konsert berkenaan, Galaxy mengesahkan perkara itu.

Selepas menakluk dunia dengan lagu On The Floor hasil kolaborasi dengan penyanyi rap kelahiran Cuba, Pitbull, nampaknya JLo semakin selesa dengan rapper terkenal itu dan menghasilkan lagu hit terbaru, Dance Again.

Bercakap mengenai single terbaru itu, JLo menyifatkan dia sangat bertuah kerana sekali lagi dapat berkolaborasi dengan Pitbull serta produser, RedOne.

"Pertama sekali, saya memang sudah 'jatuh cinta' dengan hasil kerjasama bersama dua individu terbabit. Sebenarnya sejak berkolaborasi sebelum ini lagi, keserasian yang kami cipta memang luar biasa. Mengambil kira perspektif itu, saya terfikir, kami mesti melakukan sesuatu yang lebih besar lagi selepas ini.

"Maka dengan itu, terhasillah lagu Dance Again yang bagi saya liriknya saja sungguh bermakna walaupun disampaikan dalam rentak 'dance'. Mesej dalam lagu ini mendalam iaitu biar buruk sekalipun sesuatu perkara yang berlaku, tidak bermakna hidup ini sudah tamat. Kita kena bangkit semula untuk meneruskan hidup dan menjadi lebih baik serta boleh menari semula.

"Bekerjasama dengan RedOne, saya bertuah kerana dia bukan calang-calang produser dan cukup memilih artis yang ingin bekerjasama dengannya. Saya melihat keserasian yang kami cipta banyak membantu untuk menyambung lagi kerjasama antara kami. Saya juga mendapati dia sukakan artis yang mempunyai visi mengenai hidup.

"Oleh itu, walaupun ketika menghasilkan lagu berkenaan awal tahun ini saya sedang berhadapan dengan masa yang sangat sukar, namun disebabkan mereka, saya berjaya juga melaksanakan single terbabit.

"Bagaimanapun, saya tidak pasti sekiranya lagu ini bakal dimuatkan dalam album Greatest Hits yang akan dilancarkan nanti. Saya masih memilih lagu-lagu yang terbaik untuk dikompilasikan dalam album itu namun buat masa sekarang, nikmatilah single Dance Again ini terlebih dulu," katanya.

Penyanyi kesukaan ramai ini membuat pengumuman mengenai konsert jelajah seluruh dunia pada Mac lalu dan destinasi pertamanya adalah di Panama. Menjadi satu daripada konsert terbesarnya setakat ini, seramai 60 penari juga akan beraksi sewaktu persembahannya. Manakala, pereka tersohor dari Lubnan, Zuhair Murad pula dipertanggungjawabkan mereka kostum sepanjang siri jelajah itu.

Selama bergelumang dalam dunia glamor sejak dua dekad lalu, album Jlo sudah terjual lebih daripada 11.8 juta unit di Amerika Syarikat dan lebih daripada 70 juta unit di seluruh dunia.

Bagi yang tidak mahu ketinggalan untuk menyaksikan persembahan JLo di konsertnya 2 Disember nanti, tiket-tiket berharga RM168, RM288, RM368, RM268, RM658, RM528 dan RM628 sudah boleh dibeli dengan menghubungi talian 03-22822020 atau melayari laman web www.galaxy.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/06