Harian Metro: Rap |
Posted: 04 Sep 2012 07:33 AM PDT IRONINYA, dua wajah ini sedang gigih membuat persiapan untuk beraksi di pentas teater Kawan-Kawan Yang Kita Suka meskipun profil kerjaya mereka sudah jauh menyimpang. Berbeza personaliti dan lain pada sudut identiti dan gaya yang ditampilkan, baik Anas Ridzuan mahupun Karl Shafek mampu mencari titik persefahaman untuk menghidupkan kesungguhan mereka di pentas teater. Anas terlebih dulu dikenali sebagai penyanyi apabila berjaya membina nama dalam program Mentor musim keenam di bawah penyanyi popular, Faizal Tahir. Lain pula Karl yang namanya mula bersinar sebagai pengacara televisyen selepas berjaya memancing perhatian umum menerusi program Hip TV dan kemudiannya On Air. Hakikatnya, mereka berdua anak muda yang penuh semangat dan dinamik sebagai pemain teater.
"Bagaimanapun peluang untuk saya ke depan sebagai penyanyi datang lebih awal dan saya terima rezeki itu dengan hati terbuka. Alhamdulillah saya sudah boleh merangkak perlahan-lahan untuk membina nama dalam industri tempatan ini. Walaupun bukan sebagai pelakon teater, namun nyanyian juga satu cabang seni yang memang saya minat sejak dulu. "Justeru, dengan adanya populariti dan sekurang-kurangnya wajah mula dikenali, ia mampu membantu projek khas teater skala kecil seperti ini untuk diberi peluang ke depan. Saya lihat itu satu tanggungjawab pula buat saya untuk memaut sekali nama teater pada saya bagi memastikannya dikenali dan mendapat sambutan baik," katanya. Graduan jurusan Filem, Teater dan Animasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini bagaimanapun meletakkan keutamaannya pada nyanyian yang jelas menyerlahkan namanya ke tahap hari ini. "Teater adalah aktiviti seni yang saya perjuangkan ketika di UiTM dan saya dapat rasakan bakat dan minat itu ada. Mana tidaknya, teater memberikan satu dimensi berbeza yang menterjemahkan keikhlasan dan rasa jujur daripada dalam jiwa. Membaca skrip, memahami mesej dan emosinya, saya menyifatkan pementasan teater adalah seni lakon paling realistik dan mengundang rasa puas yang berbeza. "Namun selepas berjaya menyertai Mentor dan kini saya memikul komitmen kerja dengan Faizal Tahir terutamanya dalam proses pembikinan album dan rangka promosi, sudah tentu nyanyian ini dijadikan fokus utama. Teater pula saya letak sebagai hobi yang menjadi ruang terbaik untuk melepaskan tekanan dan pastinya hobi adalah sesuatu yang tidak mampu untuk kita tinggalkan. "Faizal sendiri tidak pernah mempunyai masalah untuk saya sesekali berlakon cuma tidak kerap dan selagi tidak mengganggu fokus pada nyanyian," katanya yang kini sedang sibuk mempromosikan lagu terbarunya, Hanya Dirimu sentuhan Omar K dan Audi Mok. Melakonkan watak Nuar, teman serumah Agus, lakonan Karl Shafek dalam teater terbitan MASK Team itu, anak muda berusia 23 tahun kelahiran Perak ini yakin ia satu lagi naskhah yang telus dan mudah diterima penonton. Kawan-Kawan Yang Kita Suka mengangkat tema persahabatan namun dalam suntikan seni berlapik untuk menyindir yang mampu mencerminkan satu sisi berbeza daripada Anas. Tambahnya, plot cerita dan pembangunan watak yang ingin disampaikan dalam Kawan-Kawan Yang Kita Suka jarang sekali dipersembahkan dan bukan produk sembarangan. "Cabarannya kali ini saya perlu lebih berhati-hati bermain dengan emosi Nuar kerana perwatakannya sedikit misteri dan aneh, namun ada suntikan komedi dan ringan. Apa yang penting adalah karakter ingin cepat senang padanya membuatkan Nuar pentingkan diri sendiri. Penonton yang menyaksikan teater ini nanti akan nampak apa yang ingin diceritakan di sebalik sikap dan personaliti Nuar ini nanti," katanya. Alih topik perbualan kepada Karl, jejaka berusia 32 tahun yang murah senyuman. Peluang menyertai sekali lagi dalam teater terbitan MASK Team selepas 1 Plastik Hitam tahun lalu adalah pengalaman paling manis kerana setidak-tidaknya dapat merealisasikan impiannya mengasah bakat lakonan. Meskipun jadual hariannya padat dengan komitmen selaku pengacara dan lakonan, Karl yang popular ketika menyertai program Masterchef Selebriti, baru-baru ini mengharapkan Kawan-Kawan Yang Kita Suka mampu membuka peluang untuknya memperbaiki kesilapan lalu. "Saya memang minat untuk berlakon teater kerana ia adalah institusi terbaik untuk belajar berlakon. Memahami skrip dan menterjemahkan mesej itu satu tanggungjawab yang besar dan di sini juga saya belajar melakukannya. Kawan-Kawan Yang Kita Suka memang satu naskhah hebat dan menarik dan saya bertuah kerana dipilih menyertainya. "Kali ini saya melakonkan watak Agus, anak orang kaya namun bersahaja dan rendah diri. Ironinya, walaupun anak orang kaya, Agus masih terikat dengan kemelut berhutang iaitu dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Lantas mesej ingin disampaikan pada Agus adalah konflik berhutang yang kini bagai menjadi satu senario biasa kepada kebanyakan mahasiswa. "Saya yakin dan percaya Kawan-Kawan Yang Kita Suka mampu memberikan sesuatu yang segar dan baru kepada penonton secara lebih telus dan jelas," katanya yang mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon kerana meletakkan fokus pada sesi latihan teater ini. Menyentuh soal kerjaya pengacaraan dan lakonannya, anak muda berjiwa besar yang muncul menerusi drama Dan Bila Esok, Lemang Sebatang dan program Ketupat Drop ini bersyukur kerana rezekinya murah sejak akhir-akhir ini. Kawan-Kawan Yang Kita Suka yang menterjemah ideologi penulis skrip dan pengarahnya, Fasyali Fadzly ini mula dipentaskan di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 9 September 2012. Teater yang turut menampilkan dua lagi pelakon hebat, Fazleena Hishamuddin sebagai Fara dan Ameera Ramly menghidupkan watak Huda ini akan dipentaskan bermula jam 8.30 malam. Sesiapa yang berminat ingin menyaksikan teater menarik ini boleh mendapatklan pas masuk dengan harga RM30 pada hari persembahan atau menghubungi Ajun di talian 012-2789352. Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04 |
Posted: 04 Sep 2012 07:14 AM PDT SEDANGKAN lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Bagi penyanyi pop soprano popular, Ning Baizura, kontroversi yang pernah melanda rumah tangga dan suami, Omar Sharif Christopher Layton Dalton (Chris) sebelum ini ternyata mengukuhkan lagi ikatan sedia ada. Malah, pemilik nama sebenar Ning Baizura Sheikh Hamzah, 37, mengakui sampai masa–nya rumah tangga yang dibina selama enam tahun itu diserikan dengan kehadiran cahaya mata yang diimpikan setiap pasangan yang berumah tangga. "Secara peribadi, saya dan Chris sepakat tahun ini adalah masa yang sesuai untuk kami merancang memiliki cahaya mata dan membesarkan lagi keluarga. Maklumlah, selama ini, saya dan Chris terlalu sibuk bekerja hingga kami belum bersedia untuk memikirkan soal anak. "Bagaimana kami ingin memiliki anak jika tidak mempunyai rehat yang cukup dan sentiasa sibuk terkejar ke sana ke mari dengan pelbagai agenda seni yang sudah diatur? Nak dapat anak bukannya perkara yang boleh dibuat main-main kerana ia memerlukan perancangan yang betul.
"Saya dan Aylwin sudah kenal lama dan setakat ini, dia berjaya mengatur karier seni saya dengan baik seperti direncanakan. Aylwin tidak dapat hadir pada sidang media ini kerana dia terbabit dengan satu konsert yang tarikhnya sama dengan sidang media pelantikan saya sebagai duta produk Dr Backbone. "Aylwin juga baru mengambil alih tugas menjadi pengurus saya daripada Chris, baru-baru ini. Chris menguruskan sementara karier seni saya dulu kerana dia lebih pakar dalam menyusun strategi pemasaran untuk mengukuhkan lagi karier seni saya sebagai duta produk dan sebagainya," katanya. Bagaimanapun, kata Ning, selepas berbincang mereka juga putuskan untuk Chris kembali bekerja demi masa depan yang lebih terjamin. "Kini, Chris bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Sumatec Resources Berhad (syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia Securities Berhad). Saya juga percaya, kami lebih serasi berada di rumah berbanding dia menguruskan karier seni. "Kami juga ada lebih banyak kualiti masa untuk bersama sebagai pasangan suami isteri di rumah apabila Chris kembali bekerja dan pada masa sama boleh serius memikirkan soal anak pula," katanya. Ditanya soal pembikinan album solonya pula, kata Ning yang pernah muncul dengan bingkisan album Dewa, ia masih dalam proses perancangan lagi. "Saya memang tak suka nak heboh kalau cerita itu masih dalam proses lagi dari segi pemilihan material dan komposer yang terbabit dalam album solo itu nanti. Bila sampai masanya, pasti saya beritahu pihak media dan peminat nanti," katanya. Ning ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk kesihatan Dr Backbone daripada Million Board Industries yang berlangsung di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hadir sama, penasihat produk yang juga pakar bedah tulang, Dr Mohd Ismail Maulut dan pencipta produk, Jay dan pemilik syarikat, Nur Hafiza Zakaria. Penyanyi terkenal ini turut menghiburkan tetamu dengan lagu raya pada petang itu. Pada majlis petang itu, pihak Hard Rock juga mengadakan kejutan dengan meraikan hari jadi Chris yang ke-38 tahun yang jatuh pada 30 Ogos lalu. Ning juga meraikan majlis hari jadi Chris di sebuah restoran kegemaran suaminya di Bangsar bersama keluarga terdekat pada sebelah malamnya. "Pada mulanya, saya nak buat kejutan untuk majlis hari jadinya tapi nampaknya sudah tak ada kejutan lagilah sekarang. Majlis hari jadi ini ringkas saja bersama keluarga terdekat. Saya juga ada 'hadiah istimewa' untuk suami tapi apa hadiahnya biarlah ia menjadi rahsia kami," katanya. Mengulas pelantikannya sebagai duta Dr Backbone dengan kontrak selama dua tahun, Ning berkata, dia sudah mencuba produk itu selama enam bulan sebelum bersetuju untuk menjadi dutanya, sekali gus mempromosikan cara hidup sihat kepada masyarakat. "Produk kesihatan ini membantu memudahkan kehidupan seharian kita yang sentiasa sibuk dan selalu terkejar-kejar ke sana sini. Jika kita dapat Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |