Berita Harian: Hip |
Posted: 04 Sep 2012 04:19 PM PDT Alunan lagu merdu retro bergema dengan iringan MPO Usaha Dewan Filharmonik Petronas (DFP) membawakan artis popular semasa dan malar segar ke pentas berprestij mereka seharusnya mendapat pujian semua pihak. Apatah lagi apabila penyanyi mahupun kumpulan tempatan berpeluang mengadakan persembahan dengan iringan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), ia penghormatan yang dianggap cukup besar buat insan seni terbabit. Jika pentas itu sering didominasi penyanyi dan pemuzik antarabangsa, dengan persembahan yang dilihat lebih menjurus kepada muzik daripada komposer Barat, dengan adanya slot yang memberikan ruang buat penggiat seni tempatan berkongsi bakat mereka, ia sedikit sebanyak mengangkat martabat karya negara ke tempat lebih tinggi.Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, lebih banyak peluang diberikan kepada penyanyi, pemuzik dan penggiat seni tempatan menonjolkan kemampuan mereka di pentas gah itu. Terbaru, menerusi acara Festival Seni DFP, persembahan keroncong dan retro masing-masing dipersembahkan di dewan berkenaan, pada 31 Ogos dan 1 September. HIP yang turut berpeluang menonton persembahan Jay Jay daripada kumpulan Carefree, Fredo (Flybaits) dan Alleycats dapat berasakan, betapa artis tempatan amat menunggu peluang mengadakan pertunjukan di pentas hebat ini, seterusnya menyaksikan muzik mereka digubah semula dalam bentuk orkestra. MPO Goes Retro pula sememangnya rezeki buat tiga nama popular era 70-an dan 80-an itu. Dewan yang dipenuhi peminat, terutama golongan penonton dewasa, sesuai dengan tema konsert, kerap kali bergema dengan tepukan gemuruh setiap kali lagu cukup dikenali mereka dipersembahkan. Ada ketikanya pula ia bertukar sayu, sebaik saja dendangan mendayu diperdengarkan si penyanyi. Tampak agak kurang selesa pada mulanya, apabila menyanyi dengan iringan orkestra, namun persembahan Jay Jay menghiburkan sekali. Bahkan, dia sendiri sempat berceloteh sambil memohon maaf jika nyanyiannya malam itu ada salah dan silap di sana-sini. "Menyanyi di dewan ini, dengan iringan MPO ibarat mimpi yang menjadi kenyataan. Ia penghargaan yang tidak terkira besarnya. "Kali pertama mendengar susunan muzik orkestra untuk lagu saya, ia nyata berbeza. Sampaikan saya tidak kenal lagu itu sebenarnya lagu sendiri. Saya artis berkumpulan, jadi muziknya cukup berlainan sekali," ujar Jay Jay. Malam itu, Belaian Jiwa yang digubah semula muziknya oleh Datuk Ramli MS, pemimpin orkestra bagi konsert terbabit, memang kuat menangkap pendengaran. Begitu juga dengan Rindu Bayangan, yang tidak syak antara lagu paling ditunggu-tunggu peminat. Suara Jay Jay pula usah dipertikaikan lagi. Sarat emosi Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta, juga gubahan Ramli, pula boleh dianggap detik terbaik apabila Fredo mengambil alih pentas. Bukan saja iramanya cukup indah, disokong vokal merdu penyanyi lelaki berusia 62 tahun ini, muzik yang amat berkesan oleh penggubah terkenal itu ibarat melengkapkan lagi kesempurnaan lagu ini. Fredo sendiri menyampaikannya dengan penuh emosi. Dia membawa penonton jauh menerawang ke dunia yang sarat dengan jiwa serta rasa, tatkala melagukan irama indah terbabit. Ia umpama saat istimewa yang sukar untuk diulang kembali. Sebaik saja selesai mendendangkannya, Fredo mendedahkan, suatu masa dulu, dia tidak dapat menyanyikan lagu itu selama tujuh, selepas kematian anaknya. Bak katanya juga, ia pengalaman yang nyata berbeza dan mampu membawa penonton mengembara ke sebuah alam lain. Benar bagai dikata, lagu dendangan Fredo malam itu ada ketikanya kuat dengan elemen muzik filem fantasi, umpama petikan filem Disney. Kerana Kau memukau Namun, suasananya berubah sekali lagi sebaik saja Alleycats yang diketuai Datuk David Arumugam melangkah masuk ke pentas utama, ketika bahagian kedua konsert bermula. Dari awal persembahan, ada saja celoteh selambanya yang menggeletek hati. Lupa seketika penonton berada di dewan berprestij, David dan rakannya, Glen, melayan mereka seperti mana dia menghiburkan peminat di persembahan lain. Bermula dengan agak perlahan, namun muzik semakin berat dan penuh, seiring perkembangan lagu. Ditambah gemersik suara David, apa lagi yang ingin penonton pinta daripada persembahan vokalis veteran ini? Biarpun ada sedikit kesilapan ketika mendendangkan lagu Senandung Semalam dan lagu terakhir, Kuala Lumpur, mereka pada dasarnya berjaya menghiburkan khalayak malam itu. Bukan sekadar jenaka spontan serta muzik yang baik, vokal David yang tetap ampuh turut membantu catatan kenangan indah buat seluruh peminat kumpulan ini. Cuma, mungkin latihan lebih pesat harus dititikberatkan oleh pihak penganjur mahupun artis sendiri, supaya kesilapan mengikut muzik orkestra cuma berlaku pada tahap minimal, apabila ada lagi konsert menampilkan penghibur tempatan dipersembahkan nanti. Bukan apa, kurang enak rasanya apabila muzik tempatan diberikan ruang untuk diperdengarkan di lokasi gah seperti ini, kesilapan kecil seumpama itu pula yang dibualkan, sedangkan usaha DFP sendiri sesuatu yang jauh lebih bermakna dalam memartabatkan karya seni negara.
|
Posted: 04 Sep 2012 04:12 PM PDT Aktor Hollywood, Michael Clarke Duncan, 54, menghembuskan nafas terakhir kelmarin di Cedars-Sinai Medical Center, Los Angeles berikutan komplikasi jantung. Menerusi jurucakapnya, kesihatan pelakon itu dikatakan semakin teruk selepas mendapat serangan jantung beberapa bulan lalu dengan kali terakhir pada 13 Julai lalu. "Tunangnya, Reverend Omarosa Manigault mengucapkan terima kasih kepada ingatan dan doa orang ramai namun memohon masa sebelum memberi apa jua komen," katanya. Sejak 1995, Duncan sudah membintangi lebih daripada 30 judul filem dan kerjaya seninya semakin menyerlah selepas bergandingan dengan Tom Hanks menerusi The Green Mile empat tahun kemudian.Lakonan mantap dalam filem itu membolehkannya dicalonkan di Academy Awards |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |