Adsense

Isnin, 3 September 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Atur langkah jadi anak seni berjaya

Posted: 02 Sep 2012 10:37 AM PDT

BUKAN sejam dua rasanya duduk bersembang dengan ketiga-tiga anak muda ini. Sejak mula berbuka puasa sama sehinggalah tiada siapa lagi tinggal di kafe hotel, borak nampaknya kian rancak bagai tiada hentinya.

Apa yang pasti, fokus lewat malam itu banyak berkongsi soal prinsip diri dan pengalaman mereka dalam mengatur langkah menjadi anak seni.

Tidak mudah, sukar mencari penyelesaian dan ada kalanya membuatkan rasa kecewa dan putus asa jauh dalam jiwa, itulah hakikat menjadi orang baru yang sentiasa perlu akur dengan senario industri.

Jelas Mohd Saifullah Roslin atau Gambit, tekanan dan rasa marah memang ada, namun sebagai pendatang baru, apa yang mampu dilakukan.


"Luarannya, saya memang sudah dilabelkan sebagai seorang yang sombong, memberontak dan keras kepala, namun semua itu andaian semata-mata. Saya akur dengan segala persepsi orang terhadap saya kerana ini bukanlah kali pertama dan jujurnya saya tidak kecewa dengan keadaan itu, sebaliknya sentiasa percaya mereka akan kenal siapa saya apabila di beri peluang mengenali saya terlebih dulu.


"Bagaimanapun, siapa sangka, sudah enam tahun saya dalam industri ini membina nama sebagai pelakon walaupun kritikan dan kontroversi tidak lekang menghentam. Fokus saya hanya satu, sabar dan terus pandang ke depan," katanya membuka bicara.

Kali pertama berpeluang duduk berbual empat mata dengan anak muda berusia 27 tahun ini, prinsip diri dan perjuangan besarnya dalam industri menjadi topik utama. Bukan sekadar ingin berlakon, malah jelas Gambit, dia inginkan kejujuran dan penghargaan setimpal buat anak seni.

Gambit yang sebelum ini pernah membintangi beberapa filem termasuk Misteri Jalan Lama, Cinta, Susuk, Rasukan Ablasa, Hantu Bukit Cina dan Karipap Karipap Cinta bagaimanapun keliru dengan hak dan nasib anak seni hingga membuatkannya membina jurang agar tidak terus ditindas.

"Memang jika mendengar secara kasar, bunyinya seperti 'demand' dan cerewet, namun melihat dari perspektif yang lebih luas, apa yang saya ingin lakukan hanya untuk memastikan pelakon tidak terus ditindas terutama pada aspek hak eksklusif dan bayaran yang diletakkan. Bukan cakap kosong atau sengaja mencetuskan isu, sebaliknya saya sendiri banyak kali berdepan masalah seperti ini.

"Sayangnya, apabila saya menolak kerana bayarannya tidak setimpal dengan naskhah, ada pula pelakon lain yang sanggup menggantikannya walaupun dibayar lebih rendah. Sikap sebegitu hanya membunuh industri seni dan makin meletakkan taraf seseorang pelakon itu jauh ke bawah. Mengapa harus kita dilayan begini sedangkan soal bakat dan kerja seni bukanlah sesuatu yang mudah.

"Lama saya senyap daripada pentas lakonan bukan kerana tiada undangan atau tawaran kerana alhamdulillah, ada saja pihak yang meletakkan kepercayaan kepada saya. Namun, saya sendiri yang menolak kerana inginkan skrip yang benar-benar menguji kemampuan diri sebagai seorang pelakon. Walaupun dianggap masih baru, namun impian dan agenda saya jauh ke depan.

"Saya ingin sekali memberi inspirasi kepada penonton. Watak yang diberikan dan lakonan saya itu adalah satu tanggungjawab yang besar kepada masyarakat dan itulah yang ingin saya lakukan. Saya tidak mahu hanya ambil saja tawaran yang diberikan sedangkan kepuasan tiada. Apa yang penting adalah cabaran dan watak yang mampu menterjemah satu sisi lain sebagai seorang pelakon pada saya.

"Insya-Allah jika ada skrip yang bagus, pastinya saya tidak akan menolak. Belum lagi jika tenaga produksi dan pengarah sendiri yang begitu bertenaga dan terbuka menerima pandangan untuk kebaikan sesebuah karya itu, saya akan memberikan sepenuh komitmen," katanya yang kali terakhir muncul dalam drama siri Tanah Kubur.

Anak kelahiran Kuala Lumpur yang turut pernah membintangi banyak drama termasuk Siong, Datang Bulan, Kau Laksana Bulan dan Awan Dania ini sudah meletakkan sasaran untuk hanya berlakon pada naskhah yang benar-benar baik dan berkualiti. Namun ketika ini, Gambit yang sebelum ini banyak dikaitkan dengan sikap 'cakap lepas' lebih banyak memberi tumpuan kepada syarikatnya, Eightball Production Sdn Bhd.

"Alhamdulillah, syarikat saya makin berkembang dengan pelbagai tanggungjawab terutama dalam pembikinan video korporat, acara rasmi, dokumentari dan rancangan televisyen yang lain. Sekarang ini, saya sibuk dengan program berbentuk majalah sukan, Di Sebalik Jersi yang ditayangkan bermula Aidilfitri lalu di Astro.

"Ini adalah minat dan kesungguhan saya sejak dulu lagi. Di Sebalik Jersi adalah program yang meletakkan pemain bola terkenal, Safee Sali dan Khairul Fahmi Che Mat sebagai subjek utamanya. Insya-Allah ia akan menjadi satu kayu ukur kepada pihak stesen televisyen untuk menilai kredibiliti dan komitmen saya dalam melakukan kerja penerbitan program," katanya yang pernah menerbitkan program The Hoppers tayangan 8TV, kira-kira empat tahun lalu.

Syawal lalu Gambit pulang ke rumah neneknya di Kota Bharu, Kelantan, selama seminggu.

Lain pula bagi pelakon kacak yang awalnya bermula dari program realiti Mentor, Aiman Hakim Ridza Abdoh. Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, anak muda berusia 22 tahun yang kini drama lakonannya, Indera Joned ditayangkan lekas menyampuk berkongsi mengenai kerjaya lakonannya.

"Vanilla Coklat memang satu fenomena yang membawa saya ke tahap sekarang. Selepas raya, saya akan kembali ke lokasi filem, Vanilla Coklat The Movie. Itulah yang dikatakan rezeki walaupun ramai yang tertanya-tanya mengenai kerjaya nyanyian saya. Alhamdulillah rezeki dalam lakonan datang mencurah dan saya tidak mahu melepaskannya," katanya.

Bercerita pula mengenai sambutan Syawal, anak ketiga daripada empat beradik yang berdarah kacukan Melayu - Arab ini berkata, dia mengadakan majlis rumah terbuka buat sanak saudara bagi menghargai sokongan mereka selama ini dengan membeli seekor kambing sebagai menu utama," katanya yang sudah mempunyai sebuah lagu berjudul Isyarat Hati ciptaan Adi 6ixth Sense.

Mohamad Zain Mohd Saidin atau mesra disapa Zain tidak perlu diperkenalkan lagi. Wajahnya makin sinonim di bibir peminat seni tempatan terutama ketika ini lakonannya sedang hangat ditayangkan menerusi slot Zehra berjudul Naziha di TV3 dan siri sitkom Oh My English! di Astro.

Jelas Zain, tiada apa yang diutamakan ketika ini selain sibuk dengan pembikinan album penuhnya.

"Itulah impian saya sekarang. Selepas ada rasa yakin dengan pengalaman dan kepuasan membina nama sebagai pelakon, sekarang masa paling sesuai untuk saya mencuba sesuatu yang sudah lama saya impikan iaitu menyanyi. Alhamdulillah jalan itu dipermudahkan. Setakat ini, saya sudah mempunyai sebuah lagu berjudul Transformasi dan semuanya akan menemui peminat selepas raya ini," katanya.

Zain yang kini sibuk di lokasi drama KL Drift The Series, hanya bersederhana membuat persiapan Aidilfitri lalu.

"Saya berehat saja sepanjang cuti raya kerana itu saja rasanya masa yang ada kerana sebelum ini saya terlalu kuat bekerja dan akan kembali ke lokasi lagi selepas raya, selain sibuk dengan proses pembikinan album pula. Jadi peluang cuti beraya selama seminggu yang lalu saya habiskan dengan bersantai dan duduk berehat saja," katanya berseloroh.

Zain beraya di Batu 5, Gombak bersama keluarganya ketika Aidilfitri yang lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Sabri promosi BB Plaza

Posted: 02 Sep 2012 10:28 AM PDT

KEMELUT yang melanda peniaga Kompleks Bukit Bintang Plaza (BB Plaza) sebaik mendengar ura-ura kompleks ini bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada kerja pembangunan projek stesen Transit Pantas Massa (MRT), memaksa mereka bingkas melakukan sesuatu.

Menerusi kepercayaan yang diberikan ahli, barisan Jawatankuasa Persatuan Penyewa-Penyewa BB Plaza yang diterajui oleh Pengerusinya, Hassan Saad, tampil mengadakan pelbagai promosi agar kompleks ini terus menerima kunjungan pelanggan tempatan selain pelancong asing.

Sepanjang Ramadan lalu, mereka menganjurkan persembahan membabitkan ramai artis terkenal di situ. Namun di antara semua, persembahan Sabri Yunos paling mendapat tempat di hati penonton apabila ramai hadir menyaksikannya.

"Kami kagum dengan kemampuan Sabri yang kini popular menerusi program Karoot Komedia yang disiarkan menerusi Astro Warna. Dia berjaya menggamatkan suasana di BB Plaza. Ini membuatkan timbul idea untuk bekerjasama dengannya bagi mempromosi tempat ini.


"Sempena sambutan Hari Merdeka Ke-55, kami terfikir untuk menganjurkan Pertandingan Dikir Barat Piala Merdeka BB Plaza dan melantik Sabri sebagai penyelaras yang menguruskannya.


"Kami serahkan segala-galanya kepada dia termasuk jumlah penyertaan, juri dan format pertandingan. Manakala wang hadiah disediakan oleh kami berjumlah RM3,000 untuk juara, RM2,000 (tempat kedua), RM1,000 (ketiga) dan RM500 (tempat keempat)," kata Hassan.

Bercerita lanjut, Hassan yakin kerjasama ini kena pada tempatnya dan dengan populariti Sabri, BB Plaza akan menerima kunjungan ramai pelanggan yang akan hadir menonton, sekali gus membeli-belah di situ.

"Saya menjangka ramai yang akan hadir menyaksikan pertandingan ini. Sebelum ini kami tak pernah bawa kapasiti penghibur yang ramai ke BB Plaza dan ini kali pertama berbuat demikian.

"Prinsipnya mudah iaitu peserta akan bawa kawan-kawan untuk menyaksikan persembahan mereka, peminat dikir barat juga akan hadir menonton. Kami berharap promosi mulut ke mulut serta bantuan media akan membuatkan ramai peminat hadir nanti.

"Sebenarnya BB Plaza dahulunya popular di kalangan orang kita, tapi sekarang hanya dikenali di kalangan pelancong. Kami harap menerusi program ini, pelanggan tempatan akan kembali berkunjung ke sini. Selain itu, inilah masa untuk tampilkan budaya kita kepada pelancong.

"Pertandingan ini diadakan selama 4 hari iaitu peringkat saringan pada 8 dan 9 September, 15 September (separuh akhir) dan 16 September (final). Satu saringan membabitkan 4 pasukan dan jumlah semuanya 8 pasukan.

"Dari situ 4 yang terbaik akan dipilih bertanding di separuh akhir dan hanya dua pasukan akan dipilih layak ke final. Jumlah peserta tak boleh terlalu ramai kerana kawasan ruang legar untuk persembahan agak terhad. Kami hanya ada masa dua jam untuk mengadakannya," katanya yang berpuas hati dengan idea Sabri dan bercadang mengadakan kerjasama lanjut dengannya selepas ini.

Sabri yang turut hadir berkata, peserta yang bertanding tidak dikenakan sebarang bayaran. Memandangkan pertandingan ini berkaitan Hari Merdeka, tema yang ditetapkan juga berunsur patriotik tapi tak terikat kepada tema tertentu.

"Permintaan memang banyak untuk masuk bertanding, tapi kami perlu memilih 8 kumpulan kerana masa agak terhad. Pertandingan diadakan dua sesi iaitu dua kumpulan bertanding pada sebelah petang dan dua lagi pada sebelah malam.

"Biasanya persembahan mengambil masa selama 15 minit tapi saya bercadang bagi masa selama 20 minit kepada mereka. Pertandingan ini diadakan dengan kerjasama Akademi Arjuna Sukma yang diwakili oleh tenaga pengajarnya, Muslih Aling.

"Lembah Klang mempunyai kumpulan dikir barat yang bagus. Persembahan mereka akan menggunakan bahasa Melayu standard selain dialek Kelantan. Yang penting tukang karut mesti menggunakan dialek Kelantan kerana kelebihan dialek Kelantan ialah rimanya banyak.

"Lagipun peminat dikir barat memang suka dengar ia dinyanyikan dalam dialek Kelantan. Pertandingan ini akan diadili oleh tiga juri profesional. Penggiat dikir barat terbahagi kepada tiga iaitu kumpulan biasa yang cintakan dikir, kumpulan pelajar IPT dan pelajar sekolah.

"Bagaimanapun, kami buat keputusan pilih kumpulan dikir barat biasa dan mereka yang berpontensi dipilih sebagai peserta. Setiap kumpulan akan diwakili oleh 18 hingga 20 peserta," katanya yang mengakui popularitinya mencanak naik selepas tampil menerusi Karoot Komedia.

Ditanya perkembangan terbarunya, Pengarah Terbaik Drama Anugerah Skrin 2011 menerusi Sanggul Beracun ini berkata, dia sudah ditawarkan untuk mengarahkan drama terbaru, namun masih meneliti skripnya sebelum memberikan persetujuan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03