Adsense

Isnin, 3 September 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


HIP Global: Aktor India pertama di muka depan Time

Posted: 02 Sep 2012 04:22 PM PDT

Bintang terkemuka India, Aamir Khan, berjaya menjadi pelakon lelaki pertama negara itu yang menghiasi muka depan majalah tersohor, Time, kerana usahanya menangani isu sosial menerusi program televisyennya, Satyamev Jayate.

Rancangan yang baru saja tamat siarannya itu menyaksikan Khan memilih beberapa masalah sosial dan menawarkan penyelesaiannya menerusi perbincangan dan perdebatan.

Dengan pencapaian berkenaan, Khan meletakkan dirinya sebaris dengan pelakon Bollywood yang pernah menjadi penghias muka depan majalah terkenal berkenaan, iaitu Parveen Babi dan Aishwarya Rai Bachchan.
Khan tampil di muka depan bagi keluaran terbaru majalah itu.

Program kesedaran sosial, Satyamev Jayate, yang disiarkan selama 13 minggu menyaksikan aktor terbabit membincangkan isu yang membelenggu masyarakat India. Selain mendapat pujian dan rating yang bagus, aktor berkenaan juga terpaksa berdepan dengan kemarahan sesetengah kelompok masyarakat dan persatuan.

Rancangan televisyennya itu berjaya menyelesaikan beberapa isu membabitkan kes pembunuhan janin perempuan, pembukaan kedai ubat generik di negeri Maharashtra, yang diikuti beberapa negeri lain, serta beberapa isu lain. Pelakon itu turut menemui Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh, dalam usahanya membincangkan isu pembersihan longkang oleh manusia.

Selain Khan, Parveen Babi dan Aishwarya Rai Bachchan, rakyat India lain yang pernah ditampilkan di muka depan majalah itu termasuklah Rajiv Gandhi, Narendra Modi, Indira Gandhi, Sachin Tendulkar, Sania Mirza dan Dr Manmohan Singh.

Pak Kus masuk hospital lagi

Posted: 02 Sep 2012 04:06 PM PDT

SELEPAS 10 hari dibenarkan pulang, pelakon veteran, Kuswadinata atau nama sebenarnya, Kuswadi Bujang, 74, sekali lagi dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) akibat pendarahan usus kecil.

Sebelum ini, selama hampir sebulan, Kuswadinata atau lebih mesra dipanggil Pak Kus, menjalani rawatan di HKL akibat masalah prostat.

Isteri Pak Kus, Kamariah Mohd Said berkata, suaminya masih lemah selepas dimasukkan ke wad.
"Dia baru saja keluar daripada HKL pada raya kelima. Namun, Selasa lalu, berlaku pendarahan pada usus kecilnya. Dalam keadaan cemas saya menghubungi ambulans, doktor mengesahkan dia mengalami ulser pada usus kecil," katanya kepada HIP.

Selain penyakit itu, pelakon era 1950-an itu mengalami masalah buah pinggang yang teruk sehingga sukar buang air kecil secara normal.

Kamariah berkata, masalah suaminya itu mungkin berpunca daripada kanser yang dihidapinya pada 2008.

"Suami saya pernah menjalani pembedahan akibat kanser usus dan dipercayai penyakit itu melarat pada buah pinggangnya. Doktor juga mendapati dia mengalami kanser darah yang menjadi punca kepada semua penyakit.
"Jika dulu, dia berpeluang menjalani rawatan kemoterapi mungkin penyakitnya tidak melarat. Sekarang sebelah buah pinggangnya sudah tidak boleh berfungsi manakala sebelah lagi makin membengkak," katanya.

Kamariah berkata, sejak dimasukkan ke hospital, suaminya tidak pernah dikunjungi mana-mana wakil persatuan seni.