Adsense

Jumaat, 21 September 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Sayonara buat kekasih

Posted: 20 Sep 2012 07:18 AM PDT

GELORA di dalam jiwa bukan lagi persoalan sebaliknya akur pada status selebriti yang ada padanya, Yuna tabahkan hati bersuara meskipun jauh di dalam lubuk jiwanya, ia begitu peribadi dan berat untuk disembangkan.

Bibir yang awalnya terkunci sempurna perlahan-lahan mengatur bicara, namun jelas sekali, pemilik vokal memukau dengan bakat nyanyian yang tidak perlu diperkenalkan lagi ini begitu berhati-hati agar apa yang terucap tidak silap jauh sekali mengusik perasaan sesiapa.

Bagai sudah mengagak apa yang ditanya, Yuna yang mula dikenali menerusi lagu Dan Sebenarnya ini tenang menyusun alasan.

"I'm single but not available," kesimpulan yang diluahkan sambil berseloroh.

Realitinya, gadis yang mencetus fenomena sebagai bintang muda pertama ligat di pentas antarabangsa ini mengakui hubungan cintanya dengan pelakon juga pengacara, Qushairi Razali sudah berakhir.

Entah bila mulanya dan apa pula sebab-musabab yang mendesak, cinta yang acap kali diperkatakan sejak lebih dua tahun lalu menemui jalan buntu hingga memaksa anak seni berusia 26 tahun tunduk mengakuinya.

"Kami sepakat memberi ruang dan peluang berehat untuk terus memikul komitmen yang ada. Kiranya inilah jalan terbaik untuk kami menumpukan pada haluan dan hidup sendiri. Namun, kami berdua masih berkawan dan berhubung cuma tidak lagi berlandas pada komitmen pasangan kekasih," katanya tersenyum.

Tambahnya lagi, keputusan untuk berundur dari terus memikirkan masa depan hubungan yang sudah terjalin lebih dua tahun ini adalah persefahaman bersama dan tiada kena-mengena dengan sebarang spekulasi lain.

"Jujurnya, jarak jauh antara kami berdua memang terkesan yang mengundang rasa tertekan. Mana tidaknya, kebetulan kami berdua sibuk meletak sepenuh fokus pada kerjaya masing-masing. Jelas, kesibukan itu membuatkan berundur seketika adalah penyelesaian terbaik.

"Saya sendiri terikat dengan jadual konsert jelajah seluruh Amerika bersama syarikat rakaman, Fader Label bagi mempromosikan album terbaru. Tiada langsung waktu rehat sepanjang di sana dan Qi pula kini makin sibuk dengan jadual lakonannya di Kuala Lumpur selain rezeki pengacaraan yang melimpah-ruah.

"Itulah yang membuatkan kami berdua mengambil keputusan berehat seketika. Jika ada jodoh dan rezeki, ia tidak akan lari ke mana. Doakan saja yang terbaik untuk saya," katanya yang optimis dan terbuka dengan ketentuan yang disuratkan.

Petang itu, pemegang beberapa pengiktirafan dan terbaru Anugerah Ikon Generasi Muda Kategori Seni ini sempat mengingatkan agar kisah ini tidak terus berlanjutan hingga mengaburi kerjayanya.

"Saya faham tugas media dan akur dengan senario ini cuma saya amat berharap agar kisah ini tidak terus diperkata hingga menyembunyikan kerja dan usaha saya. Itu lebih penting dan soal seperti ini hanyalah sisi peribadi yang lambat-laun akan hilang juga. Biarlah fokus itu diberikan kepada perjuangan saya dalam dunia muzik," katanya.

Yuna juga graduan jurusan Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA kini gigih meletak sepenuh kesungguhan dan jiwanya untuk menyelinap masuk membina nama di pentas antarabangsa.

Meninggalkan keluarga, hidup dan segala rutin hariannya di Malaysia semata-mata ingin mengejar impian jauh di bumi Amerika, apa yang menjadi keutamaan dan paksi hidupnya kini adalah kejayaan menjadi penghibur di sana.

Berpangkalan sejak dua tahun lalu di Los Angeles dan berulang-alik menjelajah bumi Uncle Sam itu, Yuna perlahan-lahan mengukuhkan empayar perjuangan muziknya di bawah pengurusan di sana.

Jelasnya berkali-kali, itulah impian yang sudah lama digenggam dan kini tambahnya penuh syukur, peluang untuknya makin luas dibuka.

"Alhamdulillah apa yang pernah saya angan-angan dulu kini mula direalisasikan. Namun, masih jauh lagi perjalanan untuk terus mencari apa yang lama saya inginkan. Lantas apa yang penting untuk saya adalah terus berusaha dan usah patah semangat.

"Saya ingin sekali melihat pengorbanan yang saya lakukan ini berbaloi dan memberikan jaminan buat saya," katanya yang bangga selepas melancarkan album perdananya di sana April lalu.

Enggan terus membelit si pemilik senyuman manis ini dengan persoalan yang sama, soal cinta dan jiwanya, lekas perkembangan kerjaya dan episod perjuangan muzik anak muda ini dialih menjadi topik utama pula.

Riak wajahnya kembali tenang, mengukir senyum panjang, tampak Yuna begitu bersemangat ingin berkongsi cerita.

"Saya menyifatkan 2012 bagai satu permulaan untuk kerjaya nyanyian di Amerika. Selepas dua tahun berusaha, memperdagangkan karya dan bakat, saya bersyukur kerana ada pihak yang menghargainya. Fader Label banyak membantu dan mencorak langkah saya untuk terus ke depan.

"Setiap hari saya bekerja. Pengalaman mempromosikan album dengan melakukan konsert jelajah seluruh Amerika memberikan satu perspektif yang berbeza buat saya. Saya bersyukur kerana sentiasa dipermudahkan, namun peluang untuk membina nama itu terbuka walaupun hakikatnya saya gadis Asia biasa.

"Bayangkan, selepas ini saya akan sibuk pula dengan siri konsert musim luruh pula dan seterusnya memenuhi segala jadual yang disediakan pihak pengurusan. Walaupun penat dan sesekali terbit rasa rindu kerana bersendirian di sana, namun saya yakin dan percaya usaha ini bukan sia-sia," katanya yang bakal pulang ke Amerika Ahad ini untuk memulakan pengembaraan promosi albumnya ke enam buah bandar lagi termasuk Kanada.

Pulang dari pengembaraannya ke enam bandar untuk siri konsert musim luruh nanti, penyanyi lagu Terukir Di Bintang ini akan kembali ke Malaysia bagi melengkapkan misinya.

Apa pula perancangan Yuna?

"Saya akan mengadakan sebuah konsert ekslusif buat peminat di Malaysia. Inilah tempat asal saya dan peminat saya adalah pembakar semangat dan inspirasi untuk saya terus bekerja keras hingga ke tahap sekarang. Lantas saya mengaturkan sesuatu untuk mereka," katanya.

Yuna akan tampil dengan Konsert Yuna Homecoming 2012 yang dibawakan oleh Canon di dua lokasi iaitu Times Square, Pulau Pinang pada 10 November dan Sarawak Cultural Village pada 16 November bagi menghargai sokongan peminatnya selama ini.

Konsert yang berkonsepkan biografi diri dan muziknya ini adalah julung kalinya buatnya.

"Saya akan menyampaikan lebih kurang 20 buah lagi dari kesemua album EP saya sebelum ini sepanjang lebih sejam setengah nanti. Peminat dapat mendengar kesemua karya saya termasuk dari lagu pertama dulu, Backpacking Around Europe hinggalah yang terbaru. Ini adalah cenderahati istimewa buat mereka.

"Saya sudah bersedia memperdengarkan susunan muzik yang segar dan berbeza buat mereka nanti. Gimik atau kejutan biarlah mereka lihat sendiri nanti," katanya yang mengakui Yuna Homecoming adalah ruang terbaik mendekati peminatnya.

Peminat yang ingin menyaksikan Konsert Yuna Homecoming bolehlah melayari www.ticketpro.com.my atau menghubungi talian 03-78807999 dan 017-5912009 (Pulau Pinang) serta 011-12001834 (Kuching).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/20


JKKN semarak bangsawan

Posted: 20 Sep 2012 06:55 AM PDT

NASKHAH ini pernah diterbitkan dalam bentuk filem oleh KRU Studios pertengahan 2010 dan kehebatannya sehingga menembusi pasaran Eropah. Karya yang diperkatakan ini tidak lain tidak bukan adalah Merong Mahawangsa.

Bagaimanapun, naskhah itu bagai sudah lama tidak bermain di pentas teater dan bersempena Program Siri Semarak Bangsawan 2012, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menyahut cabaran dengan mementaskan Bangsawan Tragedi Merong Mahawangsa yang bakal berlangsung di Panggung Bandaraya, Jalan Raja, Kuala Lumpur pada 21 hingga 23 September ini.

Berskala kecil dan tidak setara untuk dibandingkan dengan filem, pun begitu JKKN menjanjikan sebuah pementasan hebat dan meninggalkan kesan di hati penonton.

Dibintangi Kumpulan Bangsawan Seri Kedah, Bangsawan Tragedi Merong Mahawangsa digarap berbeza daripada apa yang pernah dipertontonkan kepada umum sebelum ini.


Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, Bangsawan Tragedi Merong Mahawangsa diarahkan oleh seorang pengarah yang juga tokoh bangsawan yang terkenal di utara tanah air, Morad Ibrahim dan ia mengisahkan pengembaraan Baginda Merong Mahawangsa mencari Putera anak Raja Rom.


"Morad Ibrahim namanya cukup terkenal di kalangan penggiat teater bangsawan dan apabila tahun ini beliau mementaskan kisah epik Bangsawan Tragedi Merong Mahawangsa, pasti hasilnya cukup menarik.

"Selain bangsawan Tragedi Merong Mahawangsa, terdapat beberapa lagi karya yang dipentaskan oleh pengarah teater bangsawan yang tidak kurang hebat.

"Kesemua teater yang dipentaskan kali ini, menjadi pengisian juga kesinambungan kepada program Siri Semarak Bangsawan yang mula diperkenalkan pada 2007. Usaha ini terus diperkasakan kerana kami mendapati sejak 2007 sampai sekarang kini hampir 50,000 orang penonton membanjiri Panggung Bandaraya bagi menyaksikan pementasan bangsawan.

"Manakala sebanyak 26 kumpulan berpeluang mementaskan 46 naskhah bangsawan. Rentetan daripada itu, program ini juga dilihat berjaya mengembalikan era kegemilangan seni bangsawan melalui kewujudan banyak kumpulan baru. Apa yang membanggakan adalah kebanyakannya dipelopori oleh generasi muda.

"JKKN percaya perkembangan ini adalah satu kejayaan kepada program penyemarakan bangsawan ini. Program Semarak Bangsawan 2012 berkonsepkan persembahan bangsawan oleh kumpulan teater yang masih aktif yang dipilih seluruh Malaysia," katanya.

Sebanyak sembilan kumpulan akan terbabit membuat persembahan selama tiga hari. Persembahan bangsawan akan diadakan pada minggu kedua setiap bulan oleh kumpulan bangsawan yang terpilih dan dikenal pasti keaktifannya di seluruh negara.

"Setiap kumpulan yang dipilih perlu menyediakan pameran seperti sejarah bangsawan di Malaysia, tokoh-tokoh bangsawan negara, busana teater bangsawan dan pengenalan kepada kumpulan yang membuat persembahan serta aktiviti-aktiviti yang pernah dijalankan," tambahnya.

Bangsawan Tragedi Merong Mahawangsa dipilih sebagai pembuka acara dan pementasan seterusnya disusuli Kelab Teater Seri Teja Kuala Lumpur yang mementaskan Bangsawan Sumpah Lantara Bijaya pada 12 hingga 14 Oktober, diikuti Majlis Kebudayaan Selangor dengan Bangsawan Ahmad Albab (16-18 November) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang merahsiakan judul teater mereka (14-16 Disember).

Istimewanya tahun ini, JKKN turut mengambil inisiatif untuk mengadakan Bazaar Seni Industri Budaya yang diadakan serentak sempena Siri Semarak Bangsawan.

Program ini antara pengisiannya adalah seperti program mencungkil bakat (aktiviti ini diadakan pada setiap bulan akan memfokuskan kepada pencarian bakat dalam bidang muzik dan lawak jenaka) dari jam 3.00 petang hingga 6.00 petang.

Turut diadakan permainan tradisional (4.00 hingga 6.30 petang), persembahan jalanan (8.00 hingga 11.30 malam), Santai Puisi yang diselaraskan bersama Persatuan Penulis Nasional Wilayah Persekutuan (9.00 hingga 11.00 malam), Dendang Rakyat, Persembahan Kesenian pelbagai kaum, Ekspresi Pameran Motosikal Berkuasa Tinggi, Pertunjukan basikal fixie dan banyak lagi aktiviti yang sesuai dikongsi bersama seisi keluarga.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang Siri Semarak Bangsawan melalui laman sesawang rasmi,www.jkkn.gov.mydan rangkaian media sosial facebook fan page Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Bagi memastikan pementasan bangsawan ini dapat ditonton dengan selesa, mereka yang berminat bolehlah mendapatkan pas masuk berharga RM5.00 yang boleh ditempah di talian 013-2266830 atau datang terus ke kaunter Panggung Bandaraya. Manakala bagi Bazaar Seni Industri Budaya, masuk adalah percuma.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/20