Adsense

Isnin, 24 September 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Belum sedia kahwin

Posted: 23 Sep 2012 05:17 PM PDT

Sedekad jalin kasih bersama jejaka pilihan, Farawahida mahu kumpul aset dulu

MASIH belum ada isyarat menandakan penyanyi Farawahida bakal menamatkan zaman bujang tahun ini. Dulu dia pernah menyatakan 2012 adalah tahun sesuai untuk menamatkan status solonya kerana usianya menginjak 27 tahun.

Farawahida atau lebih akrab disapa Fara pernah menyatakan usia itu paling sesuai untuk dirinya bergelar isteri orang. Namun, soal jodoh adalah rahsia Allah. Rancanglah apa pun, jika tidak mendapat keizinannya, pastinya tidak akan berlaku. Disebabkan itulah, hubungan Fara bersama jejaka yang dikenali sedekad lalu kekal sebagai pasangan kekasih.

Mengulas lanjut, Fara mengakui bukan niat mereka untuk menangguhkan hari bahagia yang diimpikan.
Cuma kata penyanyi mula dikenali melalui lagu Tanpamu ini, jika boleh, biarlah sebelum berkahwin, segala keperluan asas disediakan mereka.

Mahu miliki rumah sendiri

"Bukan kami tidak pernah berbincang soal perkahwinan. Malah sepatutnya dalam usia 27 tahun ini, Fara sudah bergelar isteri. Kebanyakan ahli keluarga Fara mendirikan rumah tangga pada usia ini. Cuma Fara harap, sebelum kami berkahwin, kami sudah ada rumah sendiri.

"Fara tak mahulah selepas kahwin, Fara masih menumpang di rumah keluarga Fara atau mentua. Kami mahu belajar berdikari dan menguruskan rumah tangga sendiri. Bagaimanapun, bukanlah bermakna kalau tak ada rumah, kami tak boleh kahwin. Jika sudah sampai seru, kahwin saja," katanya.
Cinta dari bangku sekolah

Ditanya tidakkah risau berkawan lama-lama kerana dalam situasi seperti itu, dugaan sentiasa datang menghampiri, gadis yang berasal dari Taiping, Perak ini berkata, perkara itu tidak pernah menggusarkannya.

"Alhamdulillah, setakat ini hubungan kami baik-baik saja. Lagi pun, kami sudah saling mengenali hati budi masing-masing sejak 10 tahun dulu iaitu ketika di bangku sekolah lagi. Andai jodoh kami tiba, kami mahu kahwin terus, tak perlu nak bertunang.

"Kalau bertunang pun mungkin dalam tempoh yang singkat seperti tunang kemudian terus bernikah. Senang tak payah nak buat banyak majlis," kata Fara.

Cari idea terbit single baru

Mengulas kerjaya seninya, Fara berkata, ketika ini, dia sedang mencari bahan untuk menghasilkan single keduanya. Sebelum ini single pertamanya, Jangan Tanya Aku Lagi mendapat sambutan hangat dan sering diputarkan di corong radio.

"Memandangkan single ini dibuat menggunakan wang saku Fara sendiri, jadi Fara mahukan yang terbaik. Cuma sekarang Fara berdepan dilema iaitu single bagaimana yang sesuai untuk Fara hasilkan. Jika zaman bersama Julfekar dulu, lagu Fara kebanyakannya rancak.

"Namun selepas bergerak sendiri dan menghasilkan lagu Jangan Tanya Aku Lagi, ramai peminat mahu lagu berentak slow. Tengoklah nanti," katanya yang merancang menghasilkan single terbaru awal tahun depan.

Terdahulu, penyanyi berkulit hitam manis ini ditemui pada majlis pelancaran program masakan Variarasa Sunquick Celebrity Cook Show di Petaling Jaya, minggu lalu. Pada majlis itu, Fara menyediakan hidangan berbentuk minuman berasaskan kordial terkenal itu yang diubah suai mengikut resipi disediakan.

Program 13 episod terbitan Sabatham's Vision Sdn Bhd itu akan disiarkan setiap hari Ahad, jam 12.30 tengah hari mulai 7 Oktober depan di saluran TV1.

Ayai bangkit semula

Posted: 23 Sep 2012 05:15 PM PDT

Pernah lalui zaman sukar apabila suara hilang enam tahun, muncul dengan single terbaru

BENTUK fizikal figura ini sudah banyak berubah. Rambut yang dulu mencecah bahu kini dipotong pendek. Tubuh yang kurus kini makin berisi. Namun, hanya ada satu saja yang masih kekal seperti dulu iaitu vokalnya yang tersendiri.

Memang benar, suara pemilik nama penuh Zahruddin Kamaruddin atau lebih dikenali dengan nama komersial Ayai ini masih lunak seperti dulu.

Masih terngiang-ngiang alunan gemersik vokal Ayai sewaktu mendendangkan lagu popularnya, Puisi Cinta pada majlis pelancaran Festival Muzik Antarabangsa Johor 2012 di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, minggu lalu. Persembahan Ayai mendapat tepukan gemuruh tetamu malah kemunculannya mengubat rindu peminat.
Namun, siapa sangka penyanyi yang berasal dari Johor Bharu ini pernah kehilangan suara selama enam tahun gara-gara peti suaranya rosak. Sebaik mendapat perkhabaran sedih itu, Ayai mengaku dia sangat kecewa. Mengapa tidak, bagi dirinya vokal adalah periuk nasinya.

"Saya tidak boleh menyanyi selama enam tahun bermula 1996. Saya mengalami masalah peti suara koyak. Doktor beritahu perkara itu berlaku kesan berhenti merokok serta impak terlalu kerap mengambil panadol.

"Saya ini seorang yang kuat bekerja, jadi jika badan saya sakit-sakit, saya akan telan panadol. Tak sangka pula ia boleh menjejaskan kesihatan. Namun, selepas berulang alik ke hospital mendapat rawatan, akhirnya penyakit saya dapat dipulihkan. Sekarang, saya boleh menyanyi seperti biasa," imbaunya.

Masih aktif di Johor Bahru
Meskipun mengakui sedih dan kecewa apabila ditimpa penyakit itu, namun siapa sangka musibah itu membawa rahmat buat bekas finalis Bintang RTM 1986 ini.

"Bila diingat kembali peristiwa itu, saya memang kecewa dan sedih kerana hilang punca pendapatan. Namun benarlah kata orang, setiap kedukaan itu ada hikmah di sebaliknya. Disebabkan itu, saya mula berjinak-jinak dalam bidang pembinaan dan mengambil lesen kelas F.

"Sehingga sekarang saya dapat menjalankan perniagaan dalam bidang pembinaan selain menubuhkan syarikat pengurusan acara untuk menyara keluarga," kata lelaki berusia setengah abad ini.

Walaupun publisiti terhadap Ayai tidak sehebat dulu, namun tidak dia melupakan terus bidang nyanyian. Kata penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Segalanya ku Terima, Suara Cinta dan Inang Bujang dan Dara ini, dia masih mendapat undangan nyanyian.

"Saya masih lagi menyanyi bersama kumpulan Ilusi tetapi di sekitar Johor Bharu saja. Mungkin sebab tiada publisiti membuatkan ramai yang menyangka saya sudah tidak aktif lagi.

"Saya baru mengeluarkan single terbaru berjudul Berbalas Balas hasil ciptaan Fauzi Marzuki. Lagu ini sudah mula diputarkan di corong radio," katanya gembira.

Darah seni mengalir ke anak

Bercerita mengenai tiga permata hatinya, Ayai berkata, dia tidak menggalakkan anak-anak menjadi artis. Namun, dia merestui apa juga karier yang ingin diceburi mereka selepas memperoleh ijazah.

Bukanlah Ayai memandang rendah kerjaya seni, cuma jika boleh, biarlah mereka mencari ilmu ke peringkat tertinggi.

"Bagaimanapun, saya lihat darah seni mengalir dalam diri anak saya terutama kecenderungan mereka bermain alat muzik. Sebagai bapa, saya hanya mengharapkan anak-anak saya berjaya dalam pelajaran," katanya penuh harapan kepada buah hatinya iaitu Aimie Nadia, 21, Aimie Nurin Asyiqin, 16, dan Azmeer Arshad, 12.

Sempena Festival Muzik Antarabangsa Johor 2012, Ayai akan terbabit dalam persembahan Muzikal Hidayah yang akan berlangsung pada 5 dan 6 Oktober ini di Dewan Jubli Intan Johor Bharu. Turut menjayakan persembahan itu adalah Ustaz Nazrey Johani, Ramli Sarip dan Habibah (Al-Jawaher).

Diskografi

Album

Ayai (Illusi)
Ayai '95 (1995)
Illusi - Menggapai Pelangi '93 - (1993)
Illusi - Dalam Illusi '88 - (1988)
Keunggulan 1999

Lagu-lagu:

Puisi Cinta
Segalanya Kuterima
Menggapai Pelangi
Inang Bujang Dan Dara

INFO

Festival Muzik Antarabangsa Johor 2012

Tarikh: 8 September hingga 20 Oktober
Aktiviti : Bengkel Keroncong (8 hingga 9 September)
Kolaborasi Tari Ombak (23-24 September)
Pertandingan Kompang Kebangsaan (22-23 September)
Pertandingan Keroncong (28-30 September)
Konsert Legenda Retro (28 September)
Konsert Simfono Ghazal Johor (14 Oktober)
Persembahan Poket (18-19 Oktober
Malam Gala (20 Oktober)