Adsense

Selasa, 7 Ogos 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Harap tuah drama Suri

Posted: 05 Aug 2012 07:37 AM PDT

DIA bukanlah orang baru dalam bidang seni tetapi kerana tidak begitu serius mengejar cita-cita, maka dia 'hilang' seketika dari dunia hiburan. Hanez Suraya Abdul Aziz, 27, mula menjadi model dan berjinak-jinak dalam bidang lakonan pada usia 18 tahun dan dengan raut wajah yang menawan pasti tidak sukar untuknya 'menguasai' industri.

Namun orang muda yang hatinya mudah tertawan dengan perkara lain, lalu nama yang kian dikenali itu tiba-tiba seakan-akan senyap dan sunyi, tiada lagi kelibatnya di layar kaca. Bukan tiada produser dan pengarah yang mahu melamar tetapi Hanez leka dengan perkara lain.

Bagaimana kedewasaan mengajarnya menjadi manusia yang matang dan mula memikirkan masa depan dengan bertanya kepada diri sendiri apakah selamanya dia mesti tenggelam dalam gelora jiwa mudanya? Perlahan-lahan dengan bantuan rakan-rakannya yang mahu melihat dia berjaya sebagai anak seni, Hanez bangkit semula dengan azam baru.

"Alhamdulillah saya dipertemukan dengan rakan yang baik. Mereka mahu tengok saya berjaya kerana sebenarnya saya sudah lama terbabit dalam peragaan dan lakonan tetapi saya jauh ketinggalan di belakang artis yang ada sekarang.

Mereka masih baru tetapi bakat mereka sangat menyerlah dan mempunyai peminat yang ramai.

"Sekiranya saya terus bekerja keras dari dulu, nescaya saya sudah lebih berjaya daripada mereka kerana hampir 10 tahun saya berada dalam industri. Dulu saya lebih suka bergembira dan mengabaikan kerja. Apabila sudah hampir tenggelam, agak sukar untuk timbul semula. Mujur saya ada ramai kawan yang sudi membantu.

"Saya berkawan rapat dengan ramai jurusolek artis dan kru yang bekerja di belakang tabir produksi. Merekalah yang 'mempromosikan' nama saya semula kepada produser dan pengarah drama. Syukur, bermula tahun lalu, saya kembali berada di gelanggang seni dengan menerima banyak tawaran berlakon.

"Dengan bermulanya episod baru dalam hidup saya, sepanjang tahun lalu dan tahun ini saya sentiasa bertukar-tukar lokasi penggambaran. Drama Suri yang baru saja tamat siaran di TV3 yang disiarkan menerusi slot Azalea, memberi sinar baru dalam kerjaya seni saya. Saya tak sangka sama sekali yang stesen televisyen itu sudi mengambil saya sebagai pelakon utama.

"Peminat sayangkan watak saya sebagai Suri yang dianiaya saudara tiri. Mulanya saya bimbang juga kerana slot itu pada sebelah petang (jam 4.30 petang). Waktu itu orang masih berada di pejabat dan kalau ada yang dalam perjalanan balik ke rumah pun mungkin tersekat dalam kesesakan jalan raya.

"Sangkaan saya meleset kerana apabila saya melayari facebook dan twitter, ramai yang meminati Suri dan ada yang tidak pernah ketinggalan mengikuti drama itu untuk mengetahui apa yang terjadi pada Suri. Ada juga saya terbaca dalam twitter, ada penonton sanggup ambil cuti kerana tak mahu ketinggalan untuk menonton kemuncak drama itu.

"Sebelum itu saya muncul dalam drama 3 Janji yang mengetengahkan Liyana Jasmay dan Shahrizal Jaszle sebagai pasangan kekasih. Saya pula diberi watak sebagai Mak Su kepada Liyana. Peminat pun suka melihat watak saya itu dan suasana itu membuatkan saya semakin lega kerana industri dan peminat dapat menerima saya," katanya.

Sekarang tambah Hanez, sehari tanpa penggambaran drama membuatkan dia rimas.

"Saya tidak betah duduk di rumah goyang kaki kerana saya kian dapat merasakan nikmat bekerja dan lebih menyeronokkan apabila dapat bayaran daripada hasil penat lelah. Saya lebih rela berada di lokasi daripada duduk termenung di rumah.

"Tiada lagi istilah 'enjoy' dalam diari hidup saya sekarang kerana saya sudahpun menikmati semua itu. Sekarang adalah masa untuk bekerja dan merancang masa depan yang gemilang. Saya seronok bekerja dengan kru produksi yang 'sporting' dan juga pelakon lain. Apabila kita mencintai kerja yang kita buat dan melakukannya dengan seikhlas hati, segalanya akan jadi mudah.

"Dulu rezeki yang dapat tidak lama 'lekat' di tangan. Hari ini dapat bayaran, esok lusa dah habis. Mungkin ketika itu niat di hati saya tidak betul. Kini dengan segala rezeki yang Allah berikan, saya mendidik diri tidak mahu menjadi orang yang riak dan bongkak kerana segala yang kita ada adalah milik-Nya yang pada bila-bila masa boleh diambilnya semula.

"Dalam perjalanan hidup ini juga saya berhati-hati dalam berkawan kerana saya tak mahu mencari musuh. Kalau kita terlampau baik dengan orang, segala rahsia hati mahu dikongsi bersama dan itu mengundang bahaya kerana apabila bergaduh, orang itu boleh menggunakan peluang itu untuk mengenakan kita semula.

"Jadi lebih baik saya berhati-hati dan jalan terbaik, habis kerja balik rumah.
Kalau sesekali saya keluar minum dengan kawan-kawan, mesti balik rumah sebelum jam 12 tengah malam," katanya.

Jelas Hanez, dia juga menyedari yang hubungannya dengan media juga semakin baik.

"Sebelum ini apabila saya menghadiri sebarang acara, saya lebih suka menyendiri dan rasa serba salah mahu bertegur sapa dengan wartawan. Tetapi sekarang sudah berbeza apabila saya mula bersikap terbuka dan ke mana pergi, kalau saya lambat menyapa mereka, wartawan menegur saya dulu. Syukur sangat kerana keadaan sekarang jauh lebih baik berbanding dulu dan berharap hubungan baik dengan wartawan akan berterusan," katanya.

Tidak lengkap rasanya kalau tidak bertanyakan cerita cintanya dengan penyanyi popular Awie Rafael.

"Kami bahagia dan semoga hubungan ini berakhir dalam fasa yang diimpikan setiap wanita iaitu perkahwinan. Dalam usia begini, sudah selayaknya saya berumah tangga. Pun begitu, segala kata putus terletak pada Awie dan saya pula hanya boleh mendoakan yang terbaik saja," katanya yang enggan bercakap panjang lebar mengenai hubungan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/05


Formula lama lagu raya

Posted: 05 Aug 2012 07:24 AM PDT

SEBULAN membawa impak, begitulah kuasa lagu-lagu raya suatu ketika dulu. Saban tahun diputar setiap kali menjelang Ramadan dan Syawal, namun ia tidak pernah menjemukan halwa telinga.

Kuasa lagu kala dulu memang cukup besar, terdengarnya amat ikhlas, klasik dan 'mahal'. Berbeza situasi kini apabila lagu raya era baru bagaikan rapuh jiwa dan jarang bertahan sebagai karya yang layak diangkat malar segar.

Ada bingkisan yang bagus namun berdepan pula permasalahan apakah karya yang baik itu dapat diperdengarkan kepada umum kelak? Kesulitan inilah yang membuatkan bilangan penghasilan lagu raya saban tahun semakin mengecil jumlahnya.

Enggan beralah dengan stigma keadaan, penyanyi, pelakon dan pengacara, Ghadaffi Ismail Sabri atau lebih dikenali dengan panggilan Dafi di kalangan peminat, tampil dengan single raya.


Diberi judul, Nikmat Lebaran lagu ciptaan Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) dan lirik oleh Siso Kopratasa, bingkisan terbaru daripada Dafi itu meminjam konsep lagu raya lama.


"Ini lagu raya pertama saya hasilkan. Sebelum ini, pernah juga saya menyanyikan lagu raya tetapi lebih kepada kolaborasi secara duet bersama bintang Akademi Fantasia.

"Nikmat Lebaran ini lagu ciptaan Pak Ngah sementara liriknya ditulis Siso.
Pembikinan lagu ini amat mengujakan dan saya sangat berpuas hati bekerjasama dengan kedua-dua pemuzik itu.

"Saya memilih Pak Ngah kerana dia adalah mahaguru lagu etnik. Dia pilihan pertama dan terakhir saya, jika tidak memperoleh lagu daripada beliau, saya ibaratnya tak buat lagu raya pun tidak mengapa," katanya.

Akui Dafi, bekerjasama dengan beliau amat mudah kerana dia hanya maklumkan kemahuannya untuk memiliki lagu 'old school' seperti lagu raya era 50-an hingga 80-an.

"Beliau serahkan dua lagu kepada saya, namun saya memilih Nikmat Lebaran.
Sebelum rakaman lagu ini, saya buat sedikit rujukan misalnya dari segi penghayatan dan mempelajari lenggok lagu tradisional.

"Saya berharap lagu ini memenuhi kehendak pendengar juga piawaian pihak radio.
Harapan saya moga ia menjadi lagu raya malar segar," katanya.

Menyorot perjalanan seni Dafi kebelakangan ini, pemuda berwajah comel itu banyak menghabiskan masa di negara jiran, Indonesia sejak Januari lalu.

Bermula dengan persembahan yang dijayakan, Dafi dilamar menjadi artis naungan TransCorp, sekali gus diberi kepercayaan mengendalikan program Selebrita Siang yang bersiaran pada jam 12 tengah hari, setiap Isnin hingga Rabu di saluran Trans7.

Peluang berganda diterimanya apabila dipilih menerajui projek 'pilot' drama Dara Kahwin Lari. Sekiranya 'pilot' itu mendapat sambutan, Dafi akan terbabit dalam siri episod yang panjang.

"Berlakon dalam Dara Kahwin Lari tidak begitu membuatkan saya janggal kerana saya melakonkan watak pemuda dari Malaysia, jadi saya masih boleh bertutur bahasa ibunda kita. Berbeza dengan Selebrita, saya perlu mengacarakan dalam bahasa Indonesia.

"Walaupun bahasa Melayu dan bahasa Indonesia kalau kita dengar lebih kurang sama, tetapi tetap ada jurangnya. Contoh mudah, kalau di sana 'gampang' itu senang, di sini maksudnya anak haram. Lucu, kalau di sini ertinya kelakar, di Indonesia ia membawa pengertian 'comel'.

"Mengenai cara bekerja pula, sebenarnya antara Malaysia dan Indonesia tiada beza. Sama saja 'standardnya' dan yang membezakan hanya pasaran mereka luas," katanya.

Jika ada yang menyifatkan sikap media Indonesia ekstrem dalam mencari bahan gosip, namun setakat ini dia belum berdepan dengan masalah.

"Mungkin mereka lebih provokatif daripada wartawan Malaysia, namun saya percaya jika kita mengendalikan situasi dengan baik, tiada sebarang isu yang akan timbul.

"Salau apa pun, saya sudah mempersiapkan mental dan fizikal untuk menghadapi sebarang situasi kerana dunia hiburan tidak dapat lari daripada kontroversi.

"Hujung tahun ini kontrak saya akan tamat dengan mereka. Belum membuat sebarang keputusan untuk menyambung kontrak, apa yang pasti kerjaya seni saya di sana akan tetap diteruskan," katanya.

Meneruskan perbualannya, selepas Ramadan nanti, Dafi yang dilahirkan menerusi program Akademi Fantasia 5, mahu menghasilkan album terbaru selepas kali terakhir muncul dengan album pertama pada 2008.

Pembikinan album ini menampilkan Ajai sebagai produser dan ia dijangka memuatkan enam lagu yang bakal menyerlahkan kematangan Dafi dari segi nyanyian.

"Semestinya saya mahukan sesuatu yang lebih matang seiring peningkatan usia saya. Namun, matang itu bukan bermaksud saya perlu berubah muzik kepada lagu yang berat, nyanyian yang berat dan bernada tinggi, akan tetapi pilihan lagu mampu dinikmati golongan dewasa walaupun rancak.

"Saya tidak menyasarkan untuk menjadi penyanyi bernada tinggi tetapi saya mahu dikenali sebagai penyanyi yang sentiasa ada peningkatan dan rajin memperbaiki diri untuk menjadi penghibur yang baik," katanya ditemui pada majlis pradengar lagu Nikmat Lebaran yang berlangsung Rabu lalu di Restoran Paradiso di Jalan Titiwangsa 1, Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/05