Adsense

Selasa, 7 Ogos 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Siti Saleha Dan Gajet Raya

Posted: 07 Aug 2012 07:08 PM PDT



TIGA tahun berada dalam industri membuatkan si gadis manis ini semakin matang untuk menempuh cabaran dalam arus industri seni tempatan.
Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd. Baharum mengakui dia ingin dikenali kerana bakat yang dicurahkan dan bukan dengan kontroversi atau isu yang remeh dikaitkan dengan empunya diri.
Bicara gadis berusia 22 tahun ini juga, setelah namanya dikenali melalui drama Nora Elena yang menggabungkan dirinya dengan aktor sensasi, Aaron Aziz, dari situ dia mengambil keputusan untuk melangkah ke peringkat yang lebih serius dalam kariernya sebagai seorang pelakon.
"Tapi saya tidak mahu terus naik dan lama-kelamaan terus tenggelam. Jika boleh saya mahu kekalkan keseimbangan tersebut. Oleh itu, jika tidak muncul dalam drama, saya akan muncul di layar perak pula.
"Semestinya populariti itu sesuatu yang baik, namun perlu lihat juga dari segi apa. Saya mahu populariti meningkat dari segi bakat yang saya tampilkan dan bukan kontroversi atau isu remeh-temeh yang tidak berbaloi," tutur Saleha yang ditemui di set penggambaran telemovie Syawal, Aidil dan Fitri di Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.
Aktiviti Ramadan
Walaupun ketika bulan Ramadan, Saleha masih aktif mengambil tawaran berlakon seperti biasa. Namun apa yang berbeza, dia memenuhi jadual di bulan Ramadan ini dengan banyak mengambil tawaran penggambaran telemovie serta program raya.
Antara telemovie sempena Ramadan yang melibatkan dirinya juga termasuklah Aku, Dia dan Tong Sampah yang bakal bersiaran di TV9.
"Sepanjang bulan Ramadan ini, saya banyak ambil tawaran berlakon telemovie memandangkan masa penggambaran yang singkat tidak seperti drama atau filem yang mengambil masa lebih lama.
"Jadi, saya banyak fokus kepada telemovie dan menghadiri sesi fotografi yang telah diatur. Selain itu, saya juga banyak menghadiri program berbuka puasa," tambahnya lagi.
Bagaimanapun, jika tidak terbabit dengan aktiviti bekerja, gadis kelahiran England ini pasti pulang ke rumah bapanya yang terletak di Klang, Selangor untuk berbuka serta bertarawih bersama keluarganya.
"Alhamdulillah, setakat hari ini, saya sudah sempat berbuka bersama keluarga dan melakukan solat tarawih memandangkan masjid hanya bertentangan dengan rumah," tutur Saleha lagi.
Menambah cerita mengenai kegemaran juadah berbukanya, bicara Saleha, dia jarang memasak. Jadi, antara menu juadah yang menjadi kegemaran Saleha ketika mengunjungi bazar Ramadan ialah nasi tomato, ayam percik, sate, rojak, murtabak serta air soya.
Aidilfitri dan teknologi
Sementara itu, menyentuh mengenai aktiviti Aidilfitrinya, saban tahun dia akan beraya di rumah bapanya serta rumah saudara-mara yang terletak di kawasan Lembah Kelang sahaja.
"Memandangkan saya tiada kampung, jadi saya hanya beraya di sini sahaja sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
"Namun, mungkin raya tahun ini berbeza, kerana pada 1 September ini, sepupu saya bakal melangsungkan perkahwinan di Terengganu. Mungkin juga kami akan ke sana, insya-Allah," cerita Saleha tentang jadual rayanya.
Ketika ditanya mengenai persiapan raya, jawab Saleha, dia hanya mengamalkan kesederhanaan setiap kali menjelang Aidilfitri. Akuinya, dia bukan jenis yang perlu berbelanja besar untuk membeli barang atau pakaian baharu di musim perayaan.
"Saya bukan jenis yang semuanya perlu beli baharu, dan saya tidak kisah untuk memakai semula pakaian yang lepas. Kami sekeluarga begitu, sangat mudah. Begitu juga di rumah yang mana kuih-muih dan juadah banyak juga yang dibeli," katanya.
Namun cerita Saleha, walaupun mengamalkan kesederhanaan dalam berbelanja, suasana raya mereka sekeluarga sangat meriah memandangkan bapa Saleha mempunyai bilangan ahli keluarga yang sangat besar.
"Ayah saya ada 14 orang adik-beradik. Jadi, bayangkan jika hari raya pertama bila semua saudara-mara berkumpul termasuk sepupu-sepupu saya, memang meriah.
"Lagi bertambah meriah kini, kerana ada antara sepupu yang telah berkahwin dan telah melahirkan cahaya mata. Jadi, ia suasana yang pastinya sangat riuh rendah pada beberapa hari di awal Aidilfitri nanti," ucap Saleha penuh keterujaan.
Ditanya tentang perbezaan raya kini dan dahulu, dia memberitahu jika dahulu mereka sama-sama berkumpul dan bermain bunga api serta mercun sesama sepupu yang hadir, sayangnya budaya itu kini bagai sudah dilupakan.
Menurut pengamatan dirinya, generasi kini lebih gemar menghabiskan masa dengan teknologi seperti lebih banyak meluangkan masa bersama gajet yang mereka miliki.
"Selalunya, apabila saudara-mara datang ke rumah, yang muda pasti masuk ke dalam bilik dan membuat kerja masing-masing serta tidak berkomunikasi.
"Sebenarnya teknologi ini, ada baik dan buruknya. Seronok juga kadangkala kita melayan permainan di iPad mahupun di telefon bimbit kita, tapi, apa yang tidak baiknya, apabila kita melawat keluarga, dan yang muda ini, sedang bermain dengan gajet mereka.
"Tidak bagus juga, kerana pada saya jika ke rumah saudara, saya akan menghargai mereka dengan bersembang bersama. Ini kerana, setahun sekali kita dapat berkumpul dan berjumpa saudara-mara," cerita Saleha panjang lebar.
Bagaimanapun, apa yang pasti, apabila bersama sepupu-sepupunya, mengambil banyak gambar bersama keluarga dan saudara-mara merupakan satu perkara yang harus dilakukannya.
Katanya, itu kegunaan gajet yang dimiliki iaitu untuk merakam gambar kenangan bersama.

- ---

Aidil disuruh fokus hal kahwin

Posted: 07 Aug 2012 07:04 PM PDT



KERATAN Kosmo! 19 Jun 2012.



PETALING JAYA – Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam meminta pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak supaya memberi keutamaan kepada hal-hal perkahwinan berbanding dengan karier bola sepak.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad berkata, kes mahkamah ini melibatkan hubungan suami isteri dan perkara ini tidak boleh dibuat main-main.
"Saya minta peguam nasihat plaintif (Mohd. Aidil) kena ambil kira mana lebih penting sama ada kes mahkamah atau main bola, kena korban salah satu, ini tentang hidup mati, pahala dosa, kalau tidak main bola tidak berdosa," tegur Wan Mahyuddin dengan tegas.
Wan Mahyuddin berkata demikian semasa sebutan kes permohonan kembali taat yang difailkan Mohd. Aidil terhadap isterinya, pelakon, Rita Rudaini Mokhtar supaya dia dan dua anak mereka, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 1, menetap di rumah yang disediakan di USJ1 di sini.
Perkara itu terbangkit susulan permintaan peguam syarie, Datuk Zaidi Mohd. Zain yang mewakili Rita supaya Mohd. Aidil mengemukakan dokumen berhubung ketidakhadiran plaintif dalam prosiding kes pasangan itu semalam.
Mohd. Aidil gagal menghadiri prosiding semalam kerana menjalani latihan bola sepak di Austria.
"Alasan yang diberi munasabah tapi perlu ada dokumen bertulis bukan secara lisan dan sambil lewa," kata beliau.
Terdahulu peguam syarie Noor Azlina Che Hassan yang mewakili Mohd. Aidil memaklumkan plaintif kini berada di Austria selama dua minggu mulai 4 Ogos hingga 17 Ogos kerana latihan bola sepak.
Sehubungan itu, beliau yang hadir bagi pihak peguam syarie Ahmad Nazib Johari iaitu peguam kepada Mohd. Aidil bersetuju mengemukakan salinan surat pengesahan bertulis daripada plaintif sekiranya dia gagal hadir ke mahkamah kelak.
Noor Azlina berkata, dia juga telah memfailkan afidavit jawapan kepada bantahan Rita berhubung permohonan kembali taat dan diserahkan kepada defendan semalam.
Merujuk arahan mahkamah supaya kedua-dua pihak berunding bagi mencari jalan penyelesaian, peguam memberitahu setakat ini tiada rundingan dibuat secara rasmi antara kedua-duanya.
Wan Mahyuddin menetapkan 3 Oktober depan untuk sebutan semula bagi defendan memfailkan afidavit balasan terhadap jawapan plaintif.
Permohonan kembali taat difailkan Mohd. Aidil pada 15 Mei lalu iaitu hari yang sama dia menarik balik permohonan cerai terhadap Rita walaupun mereka tidak lagi tinggal sebumbung selepas Mohd. Aidil bertindak meninggalkan rumah kelamin di Damansara.
Pasangan itu bernikah secara rahsia di Songkhla Thailand pada 28 Februari 2008 kerana tidak mendapat restu keluarga Mohd. Aidil.
- ---

Makanan Penuh Meja Buat Awal Terkejut Ketika Berbuka

Posted: 07 Aug 2012 06:51 PM PDT

Awal Ashaari. - Foto oleh KEVIN TAN
PETALING JAYA: Pengalaman menjalani ibadat berpuasa buat pertama kali sebagai seorang suami memberikan keseronokan luar biasa bagi pengacara dan pelakon popular Awal Ashaari (Awal).
Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 31, berkata, keseronokan yang dialami sejak awal Ramadan itu sukar diungkapkan dengan kata-kata kerana hampir setiap hari dia akan ditemani isterinya aktres Scha Al-Yahya untuk bersahur dan berbuka.
"Seronok sangat apabila ada teman yang sentiasa berada di sini pada hampir setiap hari. Saya dan isteri akan pastikan kami berbuka bersama jika tiada komitmen kerja.
"Walaupun ini adalah tahun pertama kami menyambut puasa bersama, segalanya berjalan dengan baik kerana sistem tolak-ansur dan diplomatik yang kami amalkan," katanya ketika ditemui di Menara Star di sini.
Pasangan bernikah pada 4 Mei lalu di Hotel Pullman Lakeside.
Katanya, kedatangan Ramadan turut mendedahkannya kepada pengalaman baru mengenai cara berbuka dan bersahur yang lazim diamalkan keluarga mertuanya.
Awal bersama isterinya Scha. - Foto oleh SHAARI CHE MAT
"Saya belajar perkara baru mengenai cara berbuka dan bersahur. Jika selama ini, saya dan keluarga tidak mengambil nasi atau makanan berat untuk berbuka tetapi ia bertentangan dengan keluarga Scha.
"Pada mulanya, saya terkejut juga apabila melihat lauk-pauk yang banyak di atas meja ketika kami berbuka bersama tetapi lama-kelamaan saya mula menyesuaikan diri. Apa-apa pun, saya dan Scha menjalani Ramadan secara sederhana dan ringkas," kongsinya.
Beralih kepada kerjaya, pengacara program hiburan Melodi ini berkata, kerinduan pada set penggambaran membuatkan dia tidak sabar untuk kembali berlakon selepas setahun setengah berehat.
"Saya mahu berlakon semula. Sudah setahun setengah tidak berlakon, saya berasa terlalu rindu untuk kembali ke set (penggambaran).
"Saya rindukan suasana, kemeriahan dan pengalaman ketika penggambaran berlangsung. Malah, peminat juga tidak henti-henti bertanya bila saya akan berlakon?" katanya yang kali terakhir berlakon pada tahun lalu menerusi siri Dunia Kita.
Selain mengacarakan Melodi di TV3 bersama Zizan Razak, Awal juga baru menyiapkan rakaman program terbaru berjudul Awal Lagi.
Program bual bicara yang dikendalikannya itu mula ditayangkan pada 7 Julai lalu pada setiap Sabtu pukul 8.30 malam di TV9.
- ---

Caroline Mula Terikut Tabiat Ella

Posted: 07 Aug 2012 06:50 PM PDT

Caroline
PETALING JAYA: Juara program Mentor musim keenam, Caroline semakin terikut-ikut dengan Ella yang lebih gemar duduk di rumah jika tidak melakukan sebarang aktiviti.
Caroline atau nama sebenarnya Puteri Caroline Mohd Kamel berkata, dia yang kini tinggal bersama mentornya itu turut terpengaruh dengan sikap dan personaliti penyanyi popular tersebut.
"Kak Ella gemar menghabiskan masa di rumah apabila dia tidak mempunyai sebarang aktiviti dan saya mula terbiasa dengan tabiatnya itu.
"Bagaimanapun kami sering melakukan pelbagai aktiviti di rumah bagi mengelakkan daripada kebosanan," katanya.
Dalam pada itu, Caroline berkata, walaupun personaliti Ella kelihatan manja tetapi sebenarnya penyanyi lagu Permata Biru itu sangat bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap orang lain.
Ia merupakan sifat tersembunyi ratu rock negara itu yang mungkin tidak diketahui oleh masyarakat dan peminatnya.
"Mungkin apa yang orang nampak mengenai dirinya bukan mewakili siapa dia yang sebenarnya kerana Ella adalah seorang wanita yang sangat sensitif dan sentiasa mengambil berat terhadap orang lain," katanya.
Sementara itu, Caroline sedang menunggu untuk single pertamanya yang berjudulMelawan Arus Cintamu dimainkan di stesen radio tempatan dalam masa terdekat ini.
Dia juga tidak sabar untuk melihat reaksi pendengar terhadap lagu ciptaan komposer terkenal, Ajai itu.
- ---