Adsense

Rabu, 1 Ogos 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Bakal timang cahaya mata ketiga

Posted: 31 Jul 2012 07:15 AM PDT

HAMPIR dua tahun menyepi daripada dunia seni selepas mendirikan rumah tangga, pelakon kecil molek, Juliana Ibrahim, 31, muncul semula dengan telemovie Bertemu Kasih bergandingan dengan pelakon Zizan Nin dan Faizal Hussein.

Selesai menjalani penggambaran telemovie berkenaan sebulan yang lalu, dia mengakui rindu untuk berlakon semula selepas lama berehat dan sibuk menguruskan keluarga.

Kembali menetap di tanah air selepas kerap berulang-alik ke kampung suami di Belanda sebelum ini, baginya inilah masa untuk aktif semula dalam bidang lakonan.

Ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Aquila Emas Sdn Bhd dan Hotel Federal bersama anak yatim, baru-baru ini, Juliana yang hadir bersama suami, Pelle Aardewerk dan anak kelihatan berseri-seri dan bahagia.


"Saya tidak pernah berhenti dan tiada istilah berhenti daripada bidang lakonan kerana inilah minat saya sejak dulu. Syukur suami memahami dan kini dia sudah mendapat pekerjaan di sini sebagai pengurus di syarikat teknologi maklumat (IT).


"Dengan kehadiran suami di sini mudahlah untuk saya kembali aktif dan mungkin tidak sukar lagi bagi penerbit atau sesiapa untuk mencari saya selepas ini.

"Tidak sangka juga sekembalinya ke tanah air, saya mula menerima pelbagai tawaran berlakon dan mengacara beberapa program," kata ibu kepada Luna Alyssa, 3, dan Alaia Zahira, 2, ini.

Selain gembira dengan kepulangannya ke tanah air di tambah pula suami dapat terus menetap di sini, Juliana juga berkongsi saat gembira apabila dia kini hamil tiga bulan dan bakal menimang cahaya mata ketiga.

"Saya teruja dan tidak sabar menantikan kelahiran ini. Jika sebelum ini saya dikurniakan dua cahaya mata perempuan dan jika diizinkan kelahiran kali ini biarlah lelaki. Namun saya menyerahkan segala-galanya pada Allah untuk menentukan soal jantina anak. Apa yang penting kami berdua dalam keadaan sihat dan selamat.

"Mungkin ada sesetengah orang beranggapan masa ini tidak sesuai untuk saya hamil, apatah lagi saya baru aktif semula bimbang tawaran berkurangan, bagi saya rezeki setiap orang sudah ditetapkan Allah.

"Walaupun sedang hamil, saya tidak menolak jika mendapat tawaran berlakon asalkan ia bersesuaian dengan keadaan diri saya kerana bagi saya, hamil bukan alasan untuk berehat panjang. Lagipun suami lebih menggalakkan saya bergerak aktif sepanjang tempoh kehamilan," katanya.

Selain mula sibuk dengan tawaran berlakon, Juliana juga mempunyai perancangan bakal membuka perniagaan dengan menjadi pengedar pakaian kanak-kanak jenama Dendilion yang berpusat di Bali, Indonesia.

"Tidak pernah terfikir saya bakal membuka perniagaan, namun gerak hati melihat fesyen yang cantik di samping jahitan yang kemas dihasilkan Dendilion menarik minat saya untuk mempromosikan jenama itu yang belum pernah memasuki pasaran negara ini.

"Tidak sangka minat saya mendapat sokongan dan kerjasama daripada seorang teman yang akan sama-sama berkongsi untuk mempromosikan jenama itu di sini.

"Insya-Allah segala-galanya sedang dalam perancangan dan jika tiada halangan, semua pakaian Dendilion akan dijual di butik rakan di Damansara selewat-lewatnya hujung tahun ini," katanya.

Bercerita mengenai sambutan hari raya tahun ini, ia sangat bermakna buat Juliana apabila pertama kali dia dapat meraikan bersama suami dan anak-anak di sini dalam tempoh waktu yang lama selepas suaminya berjaya mendapatkan pekerjaan tetap di sini.

Jika sebelum ini, dia dan suami sering terkejar-kejar berulang-alik ke Belanda, namun semua itu sudah tidak menjadi masalah, sebaliknya dia gembira dapat meraikannya bersama-sama dengan keluarga di Shah Alam.

Menurut Juliana, pengalaman menyambut hari raya sebelum ini memberi banyak peluang kepada suaminya untuk memahami budaya masyarakat Melayu di samping mencuba menu masakan yang biasa dihidangkan pada pagi Aidilfitri.

Katanya, suami juga berpuasa dan setakat ini tiada masalah buat suami dalam melakukan segala amalan dan suruhan yang wajib dilakukan orang Islam pada bulan Ramadan.

"Saya tidak pernah memaksa suami dalam melakukan sesuatu, namun melihat kesungguhannya berpuasa dan melakukan perkara wajib menambah semangat saya untuk membantunya.

"Suami juga sudah mula menyukai masakan rendang dan lemang walaupun pada mulanya dia agak janggal dengan masakan yang dihidangkan, tetapi lama kelamaan dia sudah biasa, malah makanan pedas kini menjadi menu kegemarannya.

"Suami juga cepat menyesuaikan diri dengan suasana dan saya tiada sebarang masalah untuk membantunya memahami cara hidup dan budaya di sini, malah suami mengerti apa yang perlu dan tidak untuk dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/31


Soseh Soseh: Lepas popular mula curang

Posted: 31 Jul 2012 07:04 AM PDT

KISAH artis yang mula dikenali dan kenal erti popular kemudiannya mula lupa asal usul bukanlah perkara baru dalam dunia seni.

Rasanya sudah banyak kali SS dengar kisah sebegini kerana kehidupan baru sebagai artis jauh lebih hebat dan sekali gus membuatkan mereka lupa akan kehidupan lama.

Terbaru, SS terdengar pula cerita mengenai seorang bintang realiti yang khabarnya sudah mula melupakan kekasihnya yang sebelum ini banyak berjasa dengannya. Kiranya, hubungan cinta selama bertahun-tahun sebelum dia popular tidak lagi ada nilainya.

Maklumlah apabila sudah menjadi terkenal, pilihan akan lebih banyak depan mata.


Dulu kalau muka berkarat dan gaya selekeh, sekarang semua sudah berubah dan ramai pula yang datang menghimpit.


Jadi, kekasih yang dulunya banyak berkorban untuknya sudah tidak dipandang lagi. Rasanya kisah sebegini memang 'bernanah telinga' mendengarnya kerana ramai sangat artis terutamanya bintang program realiti yang bersikap begitu.

Lebih parah sebelum ini sampai terus tidak mengaku ada tunang dan isteri lagi hanya kerana tidak mahu saham jatuh kononnya. Teman yang menceritakan kisah bintang realiti ini bukan sengaja ingin menyampaikan gosip, sebaliknya dia hanya geram dan rasa marah apabila kawannya itu yang kini sudah dikenali sanggup berlaku curang kepada kekasihnya yang selama ini berkorban untuknya.

Sebaik tamat menyertai sebuah program realiti popular ini, artis tadi khabarnya terus menjalin hubungan dengan seorang lagi artis secara diam-diam.Peliknya, kekasih lama masih lagi ada dan pandai pula artis baru ini menyorokkan hubungan barunya itu dan tidak pula rahsia jahatnya terbongkar.

Sekarang ini kata teman SS itu lagi, artis yang memang menjadi kegilaan ramai itu sejak menyertai program realiti itu memang sedang bermadu asmara dengan kekasih barunya dan tanpa segan silu membawanya ke khalayak ramai.

Khabarnya, banyak kali juga bintang realiti tadi muncul di beberapa majlis rasmi dengan kekasih barunya itu. Bukan main lagi gayanya, romantis dan begitu intim macam pasangan baru berkahwin.

Kekasihnya yang memang percaya dan baik itu pula terus saja diperdaya kononnya ingin hidup mati dengannya tanpa mengetahui yang teman lelakinya itu curang padanya.

Ada juga teman-teman yang menegur tapi dimarahi pula oleh artis tadi dengan alasan dia tahu apa yang dilakukannya.

Tambah kawan SS itu lagi, artis tadi yang sudah dikenali lama sebelum popular itu memang mula lupa diri dan sekarang sikapnya juga banyak berubah berbanding sebelumnya.

SS: Teringat pula pada kisah seorang penyanyi popular yang dihalang bertemu tunangnya semata-mata ingin menjaga reputasi sebagai artis terkenal.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/31