Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Jalani kehidupan lebih tenangMENGALAMI masalah keretakan rumah tangga pastinya menjadi satu pengalaman yang cukup pahit buat dua orang pelakon popular iaitu Mohamed Hadi Putera Halim atau lebih popular dengan Adi Putra dan Rita Rudaini Mokhtar. Bagaimanapun, segala permasalahan yang telah melanda kedua-dua pelakon itu tidak pernah sesekali mematahkan semangat mereka untuk terus bergiat aktif dalam dunia lakonan. Bagi Rita, dia sudah lali dengan masalah rumah tangga yang berlaku dengan suaminya iaitu Aidil Zafuan Abd. Radzak yang juga pemain bola sepak kebangsaan dan pasrah menerima apa sahaja ketentuan Ilahi. "Selepas saya pulang dari Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan umrah baru-baru ini, saya akui kehidupan saya sekarang semakin tenang dan sudah mampu menerima apa sahaja yang berlaku kehidupan sekarang. "Namun, saya juga ada berdoa untuk suami dan saya pohon sekiranya dia merupakan insan yang terbaik buat kami sekeluarga, saya berharap agar kami dapat didekatkan kembali," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Balistik di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini. Jelas Rita, biar apapun keputusan yang akan dibuat oleh suaminya itu selepas ini, dia kini mahu menjalani kehidupan yang lebih gembira bersama kedua-dua anaknya iaitu Airit Rayyan Rizqin, 3, dan Airit Rafiqa Arjuna yang kini berusia setahun. Ujarnya, selepas pulang dari Mekah, sudah terdapat perubahan dalam dirinya apabila kembali menjalani kehidupan yang lebih ceria sehingga menimbulkan persoalan ahli keluarganya. "Sekarang, kalau diminta hadir ke mahkamah pun saya tidak kisah dan mampu berhadapan apa sahaja situasi dengan lebih tenang. Paling penting saya mahu jalani kehidupan dengan lebih gembira tanpa memikirkan sebarang masalah," ujarnya. Menurut pelakon berusia 36 tahun itu, memandangkan kehidupannya tidak lagi bersama suami, kini dia mengambil keputusan untuk kembali berkecimpung secara aktif dalam dunia lakonan. Ujarnya, matlamat utama dia mahu aktif berlakon bukan semata-mata mahu mengecap nikmat populariti, sebaliknya ingin mencari nafkah untuk membesarkan kedua-dua anaknya itu. "Apa yang saya lakukan sekarang ini bukan untuk mencari glamor kerana untuk menjalani kehidupan sekarang, saya perlu kembali bekerja kuat untuk mencari rezeki demi anak-anak. "Apapun yang berlaku saya mahu anak-anak membesar di hadapan mata saya dan berasa sangat lega kerana mereka kurang meragam biarpun saya sudah mula sibuk menjalani penggambaran," ujarnya. Utamakan anak Meskipun kehidupannya kini sudah mula sibuk dengan jadual penggambaran, Rita memberitahu, dia sesekali tidak akan mengabaikan kedua-dua anaknya itu dan akan sentiasa bersama mereka sekiranya ada masa terluang.
Menurutnya, dia juga telah mengupah seorang pengasuh yang kini sudah tujuh bulan bekerja dengannya dan sesekali akan membawa kedua-dua anaknya dan pengasuh tersebut ke lokasi penggambaran. "Walaupun sekarang ini saya mencari rezeki dengan berlakon, tetapi kerjaya lakonan menjadi nombor dua dan anak-anak tetap menjadi keutamaan saya. Kalau boleh saya ingin sentiasa bersama di samping mereka setiap masa. "Kalau ada masa terluang atau tidak menjalani sebarang penggambaran saya memang jarang berada di rumah dan lebih suka membawa mereka keluar berjalan-jalan," ujarnya yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem Balistik bersama Adi Putra dan Rosyam Nor. Ditanya mengenai persiapan untuk Hari Raya Aidilfitri pula, segala persiapan sudah selesai dilakukan termasuk menyediakan pakaian untuk dirinya dan kedua-dua anaknya itu. "Tahun ini kami akan beraya di kampung halaman saya di Kangar, Perlis. Saya sendiri sudah menyiapkan empat pasang baju, manakala kedua-dua anak saya pula masing-masing sudah siap dua pasang baju Melayu dan dua baju kasual," ujarnya. Perbaiki hubungan Berbanding Rita, ternyata nasib lebih menyebelahi pelakon Adi Putra yang kini sudah pun berbaik semula dengan isterinya, Zuhaidah Yusof setelah mereka hampir-hampir bercerai baru-baru ini. Adi yang turut ditemui pada majlis yang sama memberitahu, kehidupannya bersama isteri kembali normal dan berharap agar segala masalah yang pernah berlaku dapat dilupakan. "Hubungan saya dan isteri sekarang menjadi lebih erat setelah apa yang berlaku. Namun, segala kelemahan yang wujud dalam hubungan kami sebelum ini akan diperbaiki lagi. "Saya sedar sebagai manusia biasa memang bukan seorang insan yang sempurna dan tidak terlepas daripada membuat sebarang kesilapan. Kini, kalau ada sebarang perkara yang timbul kami akan berbincang bersama-sama," jelasnya. Sementara itu, pelakon kelahiran Singapura itu memberitahu, selepas selesai menjalani penggambaran filem Balistik, dia akan berangkat ke Mekah pada 6 Ogos ini untuk mengerjakan umrah. Ketika ditanya apakah yang membuatkannya untuk ke Mekah sekali lagi setelah berbuat demikian tiga bulan lepas, Adi memberitahu, dia memang mahu merasakan sekali lagi nikmat mengerjakan umrah semasa bulan Ramadan. "Pada tahun lalu saya telah pergi ke Mekah buat kali pertama pada bulan puasa, kemudian saya berpeluang untuk mengerjakan umrah buat kali kedua bersama Triways Travel pada bulan April lalu. "Apa yang boleh saya katakan suasana berada di sana pada bulan Ramadan dan hari biasa sememangnya sangat berbeza. Bagi saya, begitu banyak momen-momen indah yang dilalui sewaktu mengerjakan ibadah puasa di Mekah," ujarnya. Bagaimanapun, pelakon itu memberitahu, dia akan pergi berseorangan tanpa ditemani isteri, namun sudah merancang untuk membawa isteri dan ibunya ke Mekah pada bulan Februari 2013. | ||
Posted: Bieber mesra peminatOleh NOOR ASHREEN ISMAIL
SEORANG remaja lelaki bertubuh kurus dengan wajah comel tidak perlu berbuat apa-apa untuk menarik perhatiaan peminat. Cukup dengan melontarkan senyuman dan mempersembahkan bakat yang ada, dia sudah mampu membuat jutaan hati peminatnya cair. Begitulah kuatnya tarikan, aura serta fenomena Justin Bieber atau nama sebenarnya Justin Drew Bieber sejak awal kemunculannya pada tahun 2009. Pelantun lagu Baby ini, telah hadir ke Malaysia serta mengadakan sidang akhbar bagi mempromosi album terbaharunya yang bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini. Bieber yang hadir di Malaysia buat kali kedua telah membuat sidang 'peminat' yang dianjurkan oleh MTV Asia dan Universal Music Malaysia yang mana ia juga telah dihadiri oleh 100 peminat yang bertuah. "Saya sangat gembira dapat hadir ke Malaysia buat kali kedua. Saya sangat sayangkan peminat saya di Malaysia. Tidak mustahil jika saya akan datang lagi ke sini kelak," tutur Bieber memberi ucapan kepada peminatnya yang menjerit tidak henti. Walaupun Bieber lewat lebih dua jam ke sidang tersebut, namun peminat yang hadir setia menanti kehadiran idola mereka. Jejaka berusia 18 tahun ini telah menyampaikan sebanyak tujuh buah lagu, kompilasi daripada album lama dan baharunya. Antara lagu-lagu yang dinyanyikan ialah Baby, One Less Lonely Girl, Fall, Die In My Arms, Boyfriend, Be Alright dan As Long As You Love Me. Persembahan Bieber dan sikapnya yang begitu ramah dengan peminat termasuk menarik seorang peminatnya naik ke pentas telah membuat semua penggemarnya seperti terkena histeria. Malah, semua lagu yang didendangkan kekasih Selena Gomez ini turut dinyanyi bersama oleh peminatnya yang sentiasa melaungkan rasa I Love You (Aku cinta kamu) kepada penyanyi itu. Pada sidang akhbar tersebut juga, MTV Asia membuat kejutan buat Bieber dengan menghadiahkan sebuah gitar yang mana belakang gitar tersebut telah dilekatkan dengan ucapan ratusan peminatnya daripada laman Twitter. Sementara itu, Bieber sempat menjawab beberapa soalan daripada media yang dipilih serta beberapa peminat sebelum menamatkan sidang akhbar yang berlangsung selama kurang 45 minit itu. Bieber bercakap mengenai album baharunya yang berjudul Believe yang disifatkan sebagai mempunyai banyak perbezaan dari album terdahulunya iaitu My World. "Semasa My World, proses siap hanya dalam tiga minggu, namun Believe kali ini mengambil masa agak lama iaitu lapan hingga sembilan bulan. "Ini kerana saya banyak terlibat dalam pembikinan album kali ini. Saya terlibat dalam penulisan lirik serta penerbitan album ini yang membuat ia mengambil masa agak lama," ujarnya. Tambah Bieber, dia sengaja memilih tajuk album kali ini Believe (percaya) dan tajuknya juga bermaksud seperti memiliki sesuatu yang memberi inspirasi. "Saya tahu semua orang juga punya halangan dan rintangan. Ini kerana kehidupan tidak sempurna dan saya rasakan muzik saya juga boleh memberi inspirasi kepada semua," akhiri Bieber. | ||
Posted: Sila terima imej saya – SitiOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
PADA tanggal 14 Julai lalu para peminat penyanyi terkenal antarabangsa Sami Yusuf sepatutnya dihiburkan dengan persembahan penyanyi itu sempena konsert Salaam Tour Sami Yusuf yang buat julung-julung kalinya diadakan di Malaysia. Bagaimanapun, konsert yang berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam itu terpaksa ditangguhkan pada saat akhir atas beberapa sebab yang tidak dijelaskan dengan lebih lanjut oleh pihak penganjur. Selain peminat, antara individu yang agak kecewa dengan penangguhan tersebut pastinya penyanyi tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza memandangkan beliau telah berkolaborasi dengan penyanyi kelahiran Teheran, Iran itu dalam konsert di Singapura pada 8 Julai lalu. Siti yang ditemui pada majlis pelancaran minyak pelincir jenama Avantec keluaran Lubri Oil Corporation (M) Sdn. Bhd. di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur baru-baru ini meluahkan rasa hampa apabila konsert tersebut terpaksa ditangguhkan. Kosmo!: Apakah perasaan Siti apabila mendapat tahu konsert Salaam Tour Sami Yusuf dibatalkan pada saat-saat akhir? SITI: Sudah tentu saya berasa sedikit terkilan dan kecewa memandangkan tinggal beberapa hari sahaja konsert berkenaan akan berlangsung di Malaysia. Pastinya bukan saya sahaja yang kecewa, malah para peminat Sami Yusuf turut hampa kerana hasrat mereka untuk menyaksikan persembahan Sami tidak menjadi kenyataan. Bilakah anda diberitahu oleh penganjur tentang penangguhan konsert tersebut? Saya diberitahu oleh pihak penganjur tiga hari sebelum konsert berlangsung. Ketika diberitahu saya memang agak terkejut, tetapi tidak tahu punca mengenainya dan itu adalah urusan antara Sami dengan pihak penganjur. Sekiranya Sami datang semula ke Malaysia dan memilih anda untuk menjayakan konsertnya, adakah anda akan bersetuju? Bagi diri saya sendiri, memang langsung tiada masalah untuk berkolaborasi dengan Sami. Kalau jadual saya memang kosong, saya tidak akan keberatan untuk menerima tawaran yang diberikan. Lagipun saya sudah pernah berkesempatan membuat persembahan bersama Sami di Singapura baru-baru ini. Malah, ia merupakan satu penghormatan buat diri saya apabila diundang membuat persembahan dengan penyanyi bertaraf antarabangsa sepertinya. Selain itu, baru-baru ini terdapat kontroversi membabitkan para peminat yang saling berbalah mengenai gambar-gambar anda yang dimuat naik dalam Instagram. Mereka berbalah tentang isu rambut, aurat dan imej anda. Apakah komen anda mengenai perkara tersebut? Saya sedar terdapat beberapa komen negatif daripada segelintir peminat apabila terdapat beberapa gambar saya mendedahkan rambut. Namun, seperti yang sudah banyak kali saya maklumkan, saya sememangnya masih lagi belum bertudung litup dan sekadar mengenakan selendang sahaja. Jadi, saya sangat berharap agar para peminat dapat menerima keadaan saya sekarang kerana isu saya bertudung ini merupakan perkara lama. Namun, keinginan untuk bertudung pada suatu hari nanti tetap ada. Apakah projek terbaharu anda sekarang? Setakat ini masih belum ada lagi sebarang projek terbaharu yang akan dilakukan, kecuali saya akan melancarkan produk kosmetik terbaharu SimplySiti yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Pada bulan Ramadan ini saya memang tidak akan membuat sebarang persembahan, kecuali hadir pada majlis-majlis berbuka puasa sekiranya diundang oleh mana-mana pihak. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |