Adsense

Jumaat, 6 Julai 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Debaran bertarung di gelanggang final

Posted:

Debaran bertarung di gelanggang final

TAHUN ini Bintang RTM 2012 (BRTM 2012) kembali lagi dengan misi yang sama iaitu mencari penyanyi berkualiti. Bermula dengan uji bakat membabitkan 2,000 orang peserta dari seluruh Malaysia pada bulan Mac lalu, kemudian jumlah dikurangkan kepada 16 orang untuk program yang mula bersiaran pada Mei lalu.

Buat pertama kalinya hanya enam peserta sahaja yang dipilih untuk ke final BRTM 2012. Kebiasaannya terdapat lapan sehingga 12 peserta, namun tahun ini jumlah peserta dikurangkan untuk memberi lebih fokus kepada pemilihan juara selain menyuntik elemen yang berbeza dalam program yang sudah bertahan lebih daripada 30 tahun itu.

Enam peserta yang layak ke final BRTM 2012 terdiri daripada Aisha, Shazia, Christine, Hafsyam, Fitri dan Arie Famree.

Kesemua peserta mempunyai kekuatan tersendiri, sementelah mereka telah menjadi plihan pihak juri memandangkan BRTM 2012 masih mengekalkan format penjurian seratus peratus. Undian hanya dibuka untuk pemilihan kategori Bintang RTM 2012 Paling Popular sahaja.

Tidak dapat menyembunyikan debaran di hati masing-masing ketika sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, kata mereka berenam BRTM 2012 memberi pengalaman berbeza dan mematangkan diri dalam memburu impian sebagai penyanyi.

Mereka bakal masuk ke gelanggang final BRTM 2012 pada pukul 8.30 malam Ahad, 8 Julai ini di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur dan penonton boleh menyaksikannya menerusi siaran langsung di saluran TV2.

Hafsyam cuba konsisten

Pemuda kelahiran Kota Belud, Sabah, Mohd. Hafsyam Noordin, 25, tidak menyangka percubaan pertama kalinya menyertai program mencungkil bakat nyanyian terbesar yang disertainya BRTM 2012 akan membawanya sehingga ke final.

Katanya: "Pertama kali mencuba tidak sangka sampai ke final. Saya bersyukur kerana menyertai BRTM 2012 bukan sahaja memburu impian sebagai penyanyi tetapi saya telah mengutip pelbagai pengalaman berharga yang tidak akan saya lupakan sepanjang hidup."

Pada malam final BRTM 2012, Hafsyam akan menyanyikan lagu Percayalah Sayang nyanyian asal oleh penyanyi Vince dan sebuah lagu baharu yang berjudul Kata Maaf.

Arie tidak putus asa

Rakan satu negeri Hafsyam iaitu Arie Famree antara finalis yang memberikan persembahan paling konsisten sepanjang BRTM 2012 berlangsung, malah vokal uniknya juga sering dipuji oleh juri. Layak ke final menepati tekaan ramai pihak termasuk penonton setia BRTM 2012.

Persembahannya yang konsisten mungkin kerana Arie tidak pernah kenal erti putus asa menyertai banyak pertandingan nyanyian termasuk program realiti televisyen seperti Akademi Fantasia dan Mentor.

"Saya memang minat menyanyi, sebelum ini saya pernah masuk program Akademi Fantasia musim kesembilan tetapi hanya layak sehingga Top 30 sahaja, begitu juga dengan program Mentor. Mulanya kecewa juga tetapi ibu yang banyak memberi semangat untuk saya terus berusaha.

"Niat saya masuk BRTM 2012 kerana saya suka menyanyi, dapat ke final atau tidak, saya langsung tidak pernah terfikir kerana pengalaman gagal di beberapa buah program nyanyian sebelum itu. Apabila nama saya diumum sebagai peserta final, memang terkejut, sampai sekarang pun saya seperti tidak percaya," kata pelajar bidang perubatan itu lagi.

Meminati penyanyi Beyonce dan Jaclyn Victor kerana vokal luar biasa mereka, kata Arie, meskipun dia kini belajar dalam bidang perubatan. Namun jika ditakdirkan rezekinya dalam bidang seni, dia akan memberi komitmen seratus peratus kerana cita-citanya adalah untuk bergelar seorang penyanyi.

Arie bakal mendendangkan lagu pilihan, Kasih Berubah nyanyian asal penyanyi Ferhad dan sebuah lagu baharu ciptaan Hazami berjudul Mencintaimu.

Fitri minat nyanyian sejak kecil

Peserta yang berasal dari Kuala Kangsar Perak, Fitri Hakim Omar Walid telah meminat bidang nyanyian sejak berusia 10 tahun. Sebelum menyertai BRTM 2012, Fitri terlebih dahulu bergelar naib juara Bintang Klasik Nasional 2010.

Tidak tamat di situ, Fitri mencabar dirinya untuk menyertai BRTM 2012 kerana percaya dengan kualiti program yang banyak melahirkan nama besar seperti Ramlah Ram dan Jamal Abdillah.

"Sasaran saya menyertai BRTM 2012 kerana ia satu-satunya program nyanyian yang menggunakan kuasa juri profesional seratus peratus. Buktinya sudah jelas, meskipun saya sedar banyak program nyanyian lain yang lebih popular tetapi kualiti yang tetap akan kekal berbanding populariti.

"Sebelum ini saya menyertai Bintang Klasik Nasional, konsepnya berbeza kerana dalam pertandingan itu saya dikehendaki menyanyikan lagu tradisional sahaja tetapi dalam BRTM 2012 skopnya lebih meluas dan saya bebas membawakan apa sahaja genre lagu yang diinginkan," tutur remaja berusia 19 tahun itu lagi.

"Saya memilih untuk menyanyikan lagu hit Anuar Zain, Bila Resah dan sebuah lagu baharu ciptaan Jari dan Suri Leo berjudul Cinta Bukan Pelangi," katanya yang pernah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Bintang Kecil RTM pada tahun 2003.

Muzik dunia Shazia


INILAH barisan finalis Bintang RTM 2012 yang bakal berentap di peringkat final pada Ahad, 8 Julai ini.


Pemilik nama sebenar Nurul Shazia Mohd. Rozaini atau Shazia memberitahu muzik sudah menjadi darah dagingnya tambahan minatnya terhadap bidang muzik mendapat restu kedua-dua ibu bapanya.

Menyertai BRTM 2012 atas dorongan keluarga, pelajar jurusan muzik Universiti Teknologi Mara, Shah Alam ingin belajar daripada bawah sebelum bergelar seorang penyanyi.

"Saya minat muzik sebab itu saya ambil jurusan muzik di universiti, mendapat peluang sertai BRTM 2012 umpama satu latihan amali buat saya. Bukan sekadar menyanyi tetapi saya diajar pelbagai perkara seperti memilih lagu yang sesuai dengan vokal, imej, cara menjawab soalan dengan baik dan banyak ilmu yang tidak akan saya peroleh jika tidak masuk BRTM 2012," katanya.

Gadis yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu juga tidak kisah andai dirinya lambat popular kerana dia seorang yang mementingkan kualiti.

"Bergelar juara atau tidak, saya tidak kisah kerana banyak lagi ilmu yang perlu saya pelajari sebelum benar-benar bersedia untuk menjadi seorang penyanyi. Usia saya juga baru 19 tahun, perjalanan masih panjang, saya akan utamakan pelajaran terlebih dahulu sebelum memburu impian sebagai penyanyi," balas yang akan menyanyikan lagu pilihan Cinta Adam & Hawa dendangan asal oleh Misha Omar dan sebuah lagu baharu berjudul Cinta Tanpamu pada final nanti.

Christine belajar bahasa Melayu

Tidak pernah terfikir menyertai BRTM 2012, Christine Chua Yea En yang berasal dari Johor Bahru mencabar dirinya untuk mempelajari bahasa Melayu sepantas mungkin, kini Christine boleh berbangga apabila mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih.

"Sebelum menyertai BRTM 2012 saya kurang bertutur dalam bahasa Melayu, memang satu cabaran besar buat saya kerana harus belajar dalam masa yang singkat. Bayangkan saya dikehendaki menyanyikan lagu dalam Bahasa Melayu sedangkan lidah saya masih belum fasih.

"Sekarang saya boleh bercakap bahasa Melayu dengan lancar, satu pengalaman dan pelajaran berguna buat saya. Jika saya tidak masuk BRTM 2012 sehingga sekarang Bahasa Melayu saya masih lemah," luah Christine, 16, yang akan mendendangkan lagu Sekilas Senyumanmu nyanyian asal oleh Fauziah Lattif dan sebuah lagu baharu berjudul Cinta Semalaman pada Ahad ini.

Aisha terkejut

Vokalnya cukup lembut, sekali dengar gaya pertuturannya persis Datuk Siti Nurhaliza. Peserta yang berasal dari Kuantan, Pahang, Aisha Masnamimi Safie mengatakan dia cukup terkejut apabila namanya diumumkan sebagai peserta akhir yang layak ke final BRTM 2012.

"Mulanya saya menyangka tidak dapat ke final kerana ingatkan hanya lima orang sahaja yang layak tetapi apabila nama saya diumumkan, memang terkejut sangat sebab tidak percaya. Saya jadi kaku dan menangis sebab terlalu gembira," ujarnya.

Tambahnya: "Siapa yang tidak mahu menang tetapi itu semua terpulang kepada rezeki, jika ditakdirkan saya menang saya bersyukur. Saya tahu bukan mudah untuk menjadi penyanyi. Sepanjang program BRTM 2012, kami semua diajar pelbagai perkara. Memiliki suara yang sedap semata-mata bukanlah tiket untuk bergelar penyanyi yang hebat jika tidak disulam dengan ilmu seni."

Aisha yang merupakan Juara Pertandingan Bintang Klasik 2006 akan menyanyikan lagu Kisah Hati dendangan asal oleh penyanyi Alyah dan sebuah lagu baharu berjudul Fantasi ciptaan Omar K dan lirik oleh Sleen pada final BRTM 2012.

Zahiril kecewa buku dirampas

Posted:

Zahiril kecewa buku dirampas

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


ZAHIRIL ADZIM memohon dikembalikan semula buku-buku karyanya yang telah dirampas oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor.


BOGEL Menuju Tuhan. Jika baca judulnya sahaja, sudah tentu ada tanggapan negatif terhadap buku hasil karya pelakon berbakat, Zahiril Adzim itu.

Khabarnya Zahiril terpalit kontroversi gara-gara buku karyanya itu dikatakan telah dirampas oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Zahiril yang ditemui pada sidang akhbar drama Mana Hilangnya Juwita di Bukit Jelutong, Selangor baru-baru ini

Kosmo! : Apa perkembangan terbaharu Zahiril?

Zahiril: Sekarang ini saya sedang sibuk dengan penggambaran Mana Hilangnya Juwita dan itu sahaja. Memang kini saya fokus terhadap drama itu sahaja. Ia bukan kerana tiada tawaran lain, namun, tiba bulan puasa kelak saya ingin meluangkan masa bersama isteri. Maklumlah ini merupakan puasa pertama saya dengannya. Jadi, saya ingin berehat daripada melakukan sebarang aktiviti. Selain itu, saya sedang menanti tayangan filem Juvana.

Bagaimana pula jika ada tawaran yang baik? Adakah sememangnya Zahiril ingin berehat sepanjang bulan Ramadan?

Itulah perancangan asalnya. Namun, tidak mustahil, jika ada tawaran baik yang datang kemungkinan juga saya akan pertimbangkan tawaran tersebut. Tahun-tahun sebelumnya, saya banyak bekerja, jadi tahun ini saya mahu meluangkan masa bersama isteri pula.

Buku tulisan anda, Bogel Menuju Tuhan dirampas. Kenapa buku itu dirampas?

Ini mungkin kerana judulnya yang tidak sesuai. Jabatan agama (JAIS) merampas buku saya. Semasa merampas, mereka kata ingin berikan kepada mufti untuk membaca buku tersebut. Saya tidak kisah kerana dalam buku itu hanyalah puisi semata-mata. Ia juga tidak ada unsur-unsur untuk memesongkan akidah. Sebelum dirampas, buku saya sebenarnya telah diluluskan dan telah pun dijual.

Adakah ia memberi kesan kepada Zahiril sendiri, mungkin serik untuk menulis buku lagi?

Tidak sama sekali. Sebenarnya saya agak kecewa kerana buku saya diadili sedemikian rupa oleh orang yang bagi saya mempunyai kelayakan akademik yang baik.

Adakah buku tersebut masih lagi boleh dijual kini?

Selepas merampas buku-buku saya itu, tiada pula mereka memanggil untuk bertanya apa-apa. Cuma saya minta untuk pulangkan semula tiga buah buku yang dirampas tersebut. Walaupun hanya tiga buah sahaja, namun ia merupakan maruah kita. Ini kerana apabila orang dapat tahu buku tulisan saya dirampas, orang akan salah anggap terhadap penulis yang bukan-bukan.

Setakat ini, adakah Zahiril pernah dilemparkan dengan kata-kata negatif impak daripada kejadian ini?

Tiada apa-apa. Perkara ini tidaklah sehingga jadi kecoh sangat. Namun, ada yang marah dan mempersoalkan mengapa buku ini dirampas. Ini kerana bagi mereka yang telah membacanya, mereka tahu apa isi yang sebenar buku itu.

Mungkin selepas ini, apabila ingin menulis buku, anda akan berhati-hati memilih judul?

Saya tidak fikir begitu. Sebelum ini judul yang saya ingin berikan ialah berkenaan dengan puisi-puisi yang ada dalam buku itu. Judulnya sebenarnya merangkumi isinya itu. Pada mulanya juga, saya tidak terfikir untuk menjualnya, namun, ada pihak yang berminat dan ingin mencetaknya. Judul pertamanya juga ialah Berjalan Bogel Menuju Tuhan. Oleh kerana terlalu panjang, judulnya itu dipendekkan menjadi Bogel Menuju Tuhan.

Portman, Ben kahwin Ogos?

Posted:

Portman, Ben kahwin Ogos?


NATALIE PORTMAN bersama teman lelakinya, Benjamin Millepied.


PASANGAN Natalie Portman dan Benjamin Millepied dilaporkan merancang perkahwinan mereka pada bulan Ogos ini. Berita tersebut pertama kali bocor apabila seorang sumber memberitahu In Touch Weekly tentang perancangan pernikahan pasangan tersebut. Sumber tersebut mengatakan bahawa Natalie dan Benjamin atau Ben akan berkahwin pada tanggal 5 Ogos.

"Mereka merancang untuk berkahwin di Big Sur, California pada tarikh tersebut. Lokasi itu dipilih kerana ia merupakan tempat kesukaan Portman apabila dia mahu berehat," ujar sumber tersebut lagi.

Berita tentang rencana perkahwinan mereka itu telah mematikan khabar angin sebelum ini kononnya pasangan tersebut telah berkahwin secara senyap.

Mereka bagaimanapun memang telah bertunang sejak tahun 2010 dan dikurniakan seorang bayi lelaki pada Jun tahun lepas.