Adsense

Jumaat, 6 Julai 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Masa untuk kami ‘berpisah’

Posted: 05 Jul 2012 07:16 AM PDT

BERTAHUN-TAHUN lamanya peminat melihat dirinya bak 'sepi sekuntum mawar merah'. Sudah jutaan kali juga dia menjawab dan menepis persoalan mengenai bilakah dia akan menjadi isteri orang.

Rimas, malu dan kadangkala bingung, Norzila Aminuddin atau Ella bagaimanapun akan tetap membalas setiap soalan 'cepumas' seperti itu dengan senyuman dan kemanjaan dirinya. Apa yang jelas, dia selalu 'survive' setiap kali berdepan situasi sebegitu dengan pihak media.

Namun tanpa gosip yang heboh seperti artis lain, tiba-tiba dengan satu kejutan, baru-baru ini, Ella, 46, akui dia akhirnya sudah bertemu putera hatinya, malah akan mendirikan rumah tangga dalam waktu terdekat.

Nyata mulut Ella kini tidak lagi terkunci malah dalam pertemuan dengan rocker handalan yang baru menjuarai program realiti Mentor 3 itu, segala teka silang kata sudah mampu diisi dengan jujur.


Seperti seadanya, Ella tersenyum riang. Namun kali ini ia nampak jauh lebih riang. Jelas sekali itu menterjemahkan perasaannya yang kini sangat bahagia dan membilang hari.


"I am sooooo.... happy and I really love this feeling!" jerit kecil penyanyi lagu Sembilu dan Dua Insan Bercinta ini.

Mana tidaknya, Ella akan menamatkan zaman solonya bersama seorang jejaka, Azhar Ghazali yang sebenarnya sudah sembilan tahun mencuri hatinya. Lelaki berusia 30-an yang berasal dari Muar, Johor itu ber tugas sebagai juruterbang di sebuah syarikat penerbangan tempatan.

Pasangan ini dijadual bernikah malam esok (Sabtu) selepas Isyak dalam satu majlis sederhana di kediaman keluarga Ella di Klang, Selangor.

Namun dalam tawa dan senyuman berbicara soal cinta dan perkahwinan, terlintas pula persoalan mengenai kakak kandung Ella, Rozita Aminuddin atau lebih dikenali sebagai Jojie.

Selama ini Jojie ibarat bayang-bayang kepada Ella kerana mereka sukar dipisahkan. Segala-galanya mengenai Ella ada pada Jojie.

Sebagai sahabat paling karib, mereka tidak pernah berenggang sejak hari pertama pembabitan Ella dalam dunia hiburan. Jojie yang pernah muncul sebagai pelakon dalam filem Hanya Kawan, dikenali sebagai pengurus dan pembantu peribadi yang sangat setia.

Mereka selalu berkongsi rasa dan pengalaman dalam setiap saat.

Kini bagaimana agaknya perasaan Jojie yang terpaksa 'melepaskan' adik kesayangannya ke tangan bakal suaminya?

"Apa yang seharusnya dirasakan seorang kakak apabila adiknya hendak berkahwin? Jawapannya, saya terlalu bersyukur dan gembira untuk Ella. Saya selalu menunggu saat ini dan berdoa untuk adik saya itu. Akhirnya detik itu akan terjadi.

"Saya lega kerana hati Ella akhirnya terbuka menerima seorang lelaki untuk menjadi pelindung kepada dirinya. Jadi sayalah manusia yang paling seronok untuknya. Bukan saja Ella, saya sendiri yang jadi berdebar menunggu hari perkahwinan Ella.

"Ramai orang tahu, kami berdua sudah terlalu rapat sebagai adik-beradik dan sahabat karib. Walaupun saya kena 'lepaskan' Ella dan berpisah dengannya, saya tetap percaya hubungan akrab kami akan tetap kekal seperti dulu sampai bila-bila. Biar kami jadi BFF (Best Friends Forever)!" kata Jojie tersenyum.

Tambah Jojie lagi, seperti anggota keluarga lain, dia yakin Azhar akan mampu menjaga adiknya itu dengan sempurna.

"Saya yakin Azhar boleh membimbing Ella ke satu dunia baru yang bahagia. Mereka berdua saling melengkapi dan menerima antara satu sama lain dengan cukup terbuka. Apa yang penting, Azhar sangat menghormati orang lain dan memahami Ella seadanya.

"Saya sebenarnya akan ada di sisi Ella dalam soal tugas. Itu masih lagi tanggungjawab saya sejak dulu kerana saya faham apa kehendak Ella dalam persembahan," katanya.

Ella sendiri terharu kerana Jojie adalah individu paling sibuk dalam menguruskan pelbagai hal penting menjelang hari besarnya, esok.

"Jojie pula yang tidak lena tidur kerana asyik berfikir macam-macam perkara bagi memastikan semuanya berjalan lancar," kata Ella sambil tertawa.

Hanya mengundang ahli keluarga terdekat, sanak-saudara serta sahabat karib kedua-dua belah pihak, Ella lebih inginkan unsur kesederhanaan untuk majlis pernikahannya itu.

Penyanyi kelahiran Gelugor, Pulau Pinang ini akan mengenakan busana berwarna putih sentuhan pereka fesyen terkenal, Syaiful Bahrim. Abang kandungnya, Mohd Norizam Aminuddin sendiri akan menjadi wali kepada Ella.

"Semuanya sederhana dan memang kami berdua sepakat untuk melaksanakan mana yang wajib dulu. Majlis persandingan pula akan kami lakukan pada 1 Disember nanti di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya.

"Saya sebenarnya sangat menghormati permintaan keluarga bakal suami saya yang tidak mahu majlis ini menjadi terlalu gah memandangkan mereka memang orangnya bersederhana.

"Terus terang saya sangat bersyukur dengan ketentuan takdir yang tersurat buat diri saya tapi saya tak nafikan saya begitu gementar menempuh saat menjadi seorang isteri.

"Alhamdulillah saya dikelilingi mereka yang begitu menyayangi saya terutama Azhar yang begitu memahami dan tidak henti menyokong karier saya selama ini. Saya gembira kerana kami akhirnya sampai ke satu fasa penting dalam hidup kami.

"Azhar sebenarnya memberikan perspektif yang berbeza dalam hidup saya. Dia bukan sekadar menghormati saya dan keluarga saya. Sepanjang mengenalinya, sejak sembilan tahun lalu dan seterusnya menjadi lebih akrab sejak tiga tahun kebelakangan ini, saya boleh sifatkan Azhar sebagai lelaki yang sangat matang.

"Saya yakin dan percaya yang Azhar mampu membimbing saya dalam perkahwinan ini, insya-Allah," ujar Ella.

Azhar dan keluarganya datang merisik Ella pada 17 Jun lalu sebelum mereka bersetuju menetapkan tarikh pernikahan itu. Pada hari perkahwinan, mempelai perempuan akan menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak lelaki.

Apa pula komen ringkas Azhar sendiri terhadap Ella?

"Saya bersyukur dan tentunya sangat gembira kerana akhirnya kami akan disatukan. Ella sangat istimewa buat diri saya. Apa yang penting, saya selalu berdoa agar kebahagiaan kami akan berkekalan sampai ke akhir hayat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/05


Laluan ke Hollywood

Posted: 05 Jul 2012 07:07 AM PDT

SEBAIK kelibat dua gadis cilik ini kelihatan dalam studio petang Rabu lalu, jelas terlihat semangat dan kesungguhan yang ada pada mereka.

Mana tidaknya, ibarat memikul segunung tanggungjawab, baik Syazwani Sapari mahupun si tinggi lampai, Alisya Razman Adam masing-masing mewakili Malaysia dalam Kejohanan Seni Persembahan Dunia atau World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Hollywood, California, Amerika Syarikat bermula hari ini hingga 15 Julai depan.

Bersandar pada wajah manis dengan bakat luar biasa, kedua-dua anak muda penuh semangat ini berlainan lapangan iaitu Syazwani yang kini berusia 12 tahun mewakili negara untuk kategori penyanyi dan Alisya,15, pula beraksi dalam kategori tarian.

Jelas Syazwani, anak sulung tiga beradik juga kelahiran Kuala Lumpur ini, peluang terpilih ke pentas WCOPA adalah satu penghargaan buat dirinya yang sememangnya meletakkan sepenuh fokus kepada nyanyian dan mengimpikan minatnya ini sebagai satu kerjaya profesional satu hari nanti.


"Alhamdulillah kerana ada pihak yang nampak akan kehadiran dan bakat saya selama ini walaupun tanpa publisiti atau hebahan mengenai diri saya. Ia ibarat satu penghargaan buat saya secara peribadi kerana terpilih mewakili negara adalah satu tanggungjawab yang besar, namun jelas meletakkan usaha saya ke satu tahap yang jauh lebih tinggi.


"Saya fikirkan ini adalah hadiah atas usaha keras saya selama ini," katanya.

Tambah Syazwani yang juga juara program realiti cilik, Kamilah Bintang, WCOPA sudah pasti menjadi satu penanda aras buat dirinya untuk terus bekerja keras pada masa depan.

"Cabaran paling berat buat saya ketika ini adalah membuat persediaan bagi persembahan di sana nanti dan pada masa yang sama saya harus membawa buku pelajaran untuk mengulangkaji pelajaran. Maklumlah, September nanti saya akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Pelajaran tetap menjadi keutamaan, cuma peluang beraksi di pentas WCOPA juga satu impian saya selama ini. Syukur peluang itu terbentang di depan mata dan sudah pasti saya tidak sekali-kali mensia-siakannya. Insya-Allah saya cuba membahagikan masa dengan sebaik-baiknya walaupun ada kalanya ia memang memenatkan.

"Bagaimanapun, apa yang menjadi paksi saya adalah kemenangan dan pengiktirafan buat Malaysia di sana. Buat masa ini, saya mengikuti kelas vokal bersama Deja Moss selama dua bulan sebagai persediaan, selain berlatih sendiri setiap hari untuk memastikan persembahan saya itu nanti berbeza dan menarik," katanya lagi.

Syazwani yang sudahpun memiliki sebuah album berjudul Wani yang mengandungi lima lagu solo seperti Cintamu Bermakna, Mengejar Bintang, Tralala, Teman Setia dan Sabar sudah bersedia untuk WCOPA ini.

Jelasnya yang menjadikan Datuk Siti Nurhaliza dan Celine Dion sebagai idolanya akan bertanding dalam lima genre untuk kategori nyanyian 11 hingga 12 tahun. Bakal menyampaikan lagu One Moment In Time, Syazwani akan dinilai berdasarkan genre Pop, Rock, Kontemporari, Asli dan Terbuka.

Lain pula bagi Alisya yang akan mempertaruhkan gerak tarinya di pentas WCOPA nanti.

Mendapat pendedahan awal dalam lapangan tarian sejak berusia empat tahun lagi menjadi lesen buatnya untuk memberikan sesuatu yang berbeza di kejohanan antarabangsa itu nanti.

Jelas anak bongsu daripada dua beradik yang dilahirkan di Virginia, Amerika Syarikat ini, apa yang penting adalah persediaan baik dari segi fizikal mahupun mental kerana dalam situasi seperti ini, bertanding di peringkat antarabangsa mewakili negara, tekanan harus diletak jauh agar tidak mengganggu fokus pada persediaan.

"Saya hanya ingin memberikan persembahan yang menarik di sana nanti. Soal untuk menang dan menerima trofi sudah tentu sasaran utama, namun jujurnya saya hanya ingin menterjemahkan segala ilmu dan pengalaman yang ada dalam dunia tarian ini. Sejak dulu, inilah minat dan kesungguhan saya.

"Justeru, di pentas WCOPA ini, saya ingin berkongsi persembahan tarian saya dengan semua penonton. Saya ingin sekali memberikan inspirasi kepada mereka menerusi gerak tari, ekspresi wajah, permainan muzik dan kejujuran dalam tarian itu nanti," katanya yang kini berlatih dengan jurulatihnya, Fairul Zahid.

Alisya yang masih belajar di tingkatan empat di Sekolah Menengah Sri Aman, Petaling Jaya ini pernah dinobatkan Penari Wanita Terbaik di Short & Sweet Dance Malaysia Competition tahun lalu dan diangkat dalam kategori khas, Anugerah Pengarah dalam majlis yang sama pada 2010.

Bakal bertanding dalam lima gaya persembahan iaitu Jazz, Lirikal, Etnik, Teater Muzik dan Terbuka, Alisya juga akan bertanding dalam kategori Peragaan untuk gaya Pengucapan Komersial.

Menurutnya yang sudahpun bersedia dengan strategi dan formula tarian tersendiri, WCOPA masih sebuah pertandingan besar yang membuatkannya gementar dan gugup.

"Memang saya bimbang kerana tanggungjawab membawa nama negara. Namun, saya hanya memandang satu titik saja iaitu ingin ke depan dan merangkul semua emas jika boleh," katanya berseloroh.

Pasukan Malaysia yang mendapat tajaan daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan wakil penganjur, Matme turut menghantar lapan lagi calon lain dalam kategori berlainan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/05