Adsense

Jumaat, 6 Julai 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Hantaran RM50,000

Posted: 05 Jul 2012 03:41 PM PDT

Ella nikah esok, mula hidup baru bersama lelaki pilihan pada usia 46 tahun

ESOK bermulalah lembaran baru dalam hidup penyanyi rock wanita negara, Ella Aminuddin, 46. Mengucapkan selamat tinggal kepada zaman solo, Ella dijangka bernikah dengan lelaki pilihan, Azhar Ghazali yang juga seorang juruterbang Firefly, selepas solat Isyak.
Lebih manis, demi memenuhi permintaan ibu Yang Asmah Yong, 85, yang sudah lama berharap Ella bertemu jodoh, acara akad nikah akan berlangsung di rumah keluarga di Teluk Gadong, Klang.

HIP diberitahu, pada majlis dirancang, pihak lelaki akan menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang serta wang hantaran yang dianggarkan bernilai RM50,000.

Walaupun jodoh tiba ketika usia mencecah 46 tahun, keluarga Ella gembira akhirnya penyanyi itu bertemu pasangan hidup.

Semalam, penyanyi yang popular dengan lagu Sembilu itu sepanjang hari sibuk membuat persiapan pernikahan. Difahamkan, Ella berkunjung ke butik pereka busana Syaiful Baharim untuk membuat pengubahsuaian terakhir pada busana yang akan disarung.
Ella juga dikatakan menyempurnakan amalan berinai, semalam.

Kakak Ella, Saidatul Nisa ketika dihubungi HIP mengakui, Ella terlalu sibuk menguruskan persiapan akhir hingga tidak sempat melayan panggilan media.

Saidatul Nisa berkata, sebagai kakak, dia gembira dengan niat adiknya mendirikan rumah tangga. Dia dapat melihat kegembiraan pada wajah Ella yang bakal bergelar raja sehari.

Malah seluruh ahli keluarga turut tumpang gembira dan menerima jodoh Ella.

"Alhamdulillah Ella bertemu jodoh. Memang kalau boleh, dari dulu dia mahu berumah tangga tetapi belum ada rezeki. Mungkin baru sekarang Tuhan hendak menemukan jodohnya," katanya.

Majlis persandingan Ella dan Azhar dijangka diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 1 Disember depan.

PROFIL

Nama: Norzila Aminuddin
Lahir: 31 Julai 1966 di Gelugor, Pulau Pinang
Pendidikan: Sekolah Menengah Perempuan Tunku Ampuan Rahimah, Klang.

Didie tak kisah

Posted: 05 Jul 2012 03:35 PM PDT

Mahu jadi pengacara unik, kerja kuat untuk kelangsungan hidup

USIANYA hampir mencecah 40 tahun, namun aksi gila-gila ketika mengacara majlis sering 'menjadi', malah dianggap identiti diri. Sekalipun dikritik, Didie Alias tidak pernah ambil pusing dengan apa orang kata.
"Bagi saya ini adalah kerjaya dan saya harus melaksanakannya demi meneruskan hidup.

"Hari ini kita lihat tidak ramai pengacara wanita, jika adapun, tiga atau empat orang saja. Saya harus mencari kelainan untuk memberi pengalaman berbeza kepada penonton," katanya yang ditemui pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-55 BH, malam kelmarin.

Didie yang tampil dengan gaun kembang putih ala Marilyn Monroe menghiburkan lebih 300 kakitangan BH yang sepakat mengenakan pakaian bertemakan warna merah dan putih.

ABPBH buka dimensi baru
"Saya akui, Didie Alias hari ini berbeza dengan diri saya dulu. Ini semua kerana landasan yang disediakan BH menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). Saya bangkit selepas nama dicalonkan dalam majlis itu.

"Penghargaan yang paling besar dan bermakna dalam hidup saya adalah selepas memenangi Artis Komedi Wanita Popular sempena sambutan ke-25 ABPBH," katanya yang akur dengan populariti mampu membawa artis lebih jauh.

Majlis makan malam BH turut diserikan artis undangan seperti Black dan Alyah. Black menyampaikan dua lagu iaitu Sofea Jane dan Teman Pengganti.