Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Irma bidadari RedzaTIDAK pernah berniat mengerjakan umrah untuk dipertemukan jodoh, namun itu yang terjadi dalam kehidupan realiti pelakon Irma Hasmie. Pertemuan yang berlaku secara tidak sengaja di Tanah Suci Mekah rupa-rupanya adalah petunjuk awal pelakon Irma Hasmie Ibrahim bakal menamatkan zaman bujangnya. Saat melakukan tawaf yang ketujuh menjadi detik pertemuan antara Irma dan keluarga Redza. Sapaan daripada seorang wanita, Datin Azizah Osman yang kini berpangkat ibu mertua kepada Irma menjadi pembuka cerita kepada sebuah kisah cinta yang masih belum bertajuk. Bibit perkenalan itu berlanjutan selama 10 hari sepanjang mereka di kota Mekah, sebelum ibu mertuanya menyuarakan hasrat untuk melamar Irma ketika mahu berangkat pulang ke tanah air. "Apa yang boleh saya katakan ialah jodoh itu berlaku tidak secara terus, tetapi saya sudah boleh agak. Sangkaan saya tidak meleset apabila ibu mertua saya menyampaikan hasrat untuk merisik saya melalui orang tengah yang merupakan rakan kami. "Seterusnya, berita itu disampaikan pada keluarga saya. Katanya mahu menghantar rombongan merisik. Daripada merisik, terus ditetapkan tarikh bertunang dan pada majlis bertunang terus disahkan tarikh berkahwin," tutur Irma yang ditemui selepas selesai majlis pernikahannya di Dewan Persidangan Kompleks Perbadanan Putrajaya pada Jumaat lalu. Titisan air mata tumpah membasahi pipi selepas mereka berdua sah bergelar suami isteri. Segalanya telah dipermudahkan dan perkenalan singkat itu berakhir di jinjang pelamin. Satu anugerah yang cukup besar rahmat buat Irma dan Redza sendiri. Irma telah menerima sejumlah tiga dinar (RM2, 220) sebagai mas kahwin dan 11 berbalas 13 dulang hantaran. Tanpa diduga, pelakon itu juga menerima wang hantaran sebanyak RM33, 333.33 sebagai hadiah pernikahan mereka daripada pihak lelaki, sedangkan menurut Irma, dia tidak meminta wang hantaran sempena bergelar isteri Redza. BIDADARI. Rezda menyifatkan Irma sebagai bidadari dalam hidupnya. Biarpun semuanya berlaku dengan pantas, Redza yang berusia 31 tahun memberitahu, dia yakin dengan 'anugerah' Tuhan kepadanya, lebih-lebih lagi selepas sepasang mata redup itu terpanah melihat Irma sewaktu bidadarinya itu berada di hadapan pintu Kaabah. "Cinta saya kepada Irma bermula di tempat suci. Apa yang lebih istimewa lagi ialah cinta kami bermula antara Irma dan keluarga saya, dan itu membuatkan saya lagi terharu. "Saya yakin dengan apa yang Tuhan beri kepada saya. Sesungguhnya Irma merupakan pemberian Tuhan yang terlalu istimewa kepada saya. Saya akan jadi suami yang penyayang kepada Irma. "Saya mahu Irma jadi isteri yang solehah kepada saya dan keluarga serta hormat orang tua" luah Redza yang merupakan seorang ahli perniagaan. Karier selepas kahwin Berubah status daripada bujang ke isteri orang pastinya memberi satu kelainan kepada pelakon dan pengacara ini. Semua akan berjalan seperti biasa, cuma dari segi waktu sahaja yang perlu dibahagikan. "Kalau dulu saya bujang, kini sudah berumahtangga, jadi tambah lagi satu komitmen iaitu tanggungjawab saya sebagai seorang isteri. "Tentang kerjaya memang tiada masalah. Saya masih aktif dalam bidang pengacaraan dan lakonan selepas berumah tangga. Lagipun suami juga tidak menghalang saya bekerja asal tahu batas sebagai seorang isteri," katanya. Sedia maklum kerjaya isteri di hadapan lensa kamera, Redza langsung tidak mempunyai masalah dengan kerjaya bidadarinya itu. "Sebagai isteri, Irma perlu tahu batas-batas dia dan jaga nama baik keluarga dan suami, juga perlu bijak mengatur jadual antara kerja dan keluarga," bicara Reza dengan tenang. Bulan madu IRMA menerima mas kahwin sebanyak tiga dinar atau RM2,220 pada majlis pernikahannya dengan Redza, Jumaat lalu. Usai majlis resepsi di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang, Selangor semalam, Irma dan Redza masih belum mempunyai perancangan lokasi bulan madu mereka. Akur dengan putaran masa yang berlalu dengan begitu pantas, Irma akan bertandang ke majlis pihak lelaki pada hujung minggu ini. "Kami memang menyimpan hajat besar untuk mengerjakan umrah lagi. Kalau ada rezeki, boleh kerjakan haji terus. "Jujurnya kami memang sibuk. Biar selesai dulu dengan majlis, kemudian baru akan fikir tentang bulan madu, tapi tak tahu pula kalau ada hadiah pakej percutian nanti," seloroh Irma. Tidak menolak kehadiran zuriat jika rezeki besar itu hadir dalam masa terdekat, Irma dan Redza terima dengan hati yang terbuka. "Takkan nak sekat rezeki, kalau awal, kami terima. Harapan kami berdua agar memperoleh zuriat yang soleh dan solehah," ulasnya ringkas. | ||
Zarina segan tonton lakonan sendiri Posted: Zarina segan tonton lakonan sendiriOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
SEBELUM filem berjudul Aku, Kau Dan Dia ditayangkan pawagam, nama pelakon Zarinatasha Jamalullail, 23, belum lagi dikenali ramai, meskipun pernah muncul sebagai finalis pertandingan Dewi Remaja 2010/11 dua tahun lalu. Bagaimanapun, baru-baru ini namanya menjadi sebutan ramai gara-gara dakwaan yang mengatakan suaminya telah membayar sejumlah wang kepada penerbit filem tersebut untuk memotong beberapa babak romantik, terutamanya melibatkan dirinya dan aktor Pekin Ibrahim. Zarina menafikan gosip yang mengaitkan suaminya itu. Dia menjelaskan pemotongan beberapa babak merupakan permintaannya sendiri, memandangkan penampilannya yang kini bertudung. Malah, ia sudah dipersetujui Pierre Andre selaku pengarah dan pihak penerbit iaitu Tayangan Unggul Sdn. Bhd. Pada masa yang sama, pelakon itu juga mengakui agak risau mengenai tanggapan segelintir penonton terhadap kemunculannya dalam filem berkenaan, terutamanya tentang penampilan dan imejnya. "Saya tidak mahu kemunculan saya dalam filem ini akan dijadikan isu oleh mana-mana pihak. Penggambaran filem ini dilakukan pada bulan Mac 2011, sedangkan saya mengambil keputusan untuk mengubah imej pada akhir tahun lalu. "Memang saya mengaku ada timbul sedikit perasaan segan sewaktu menontonnya. Namun, segalanya sudah berlalu dan saya sendiri sebenarnya tidak jangka untuk berubah dalam tempoh yang begitu cepat," ujarnya yang kini sudah mendirikan rumah tangga. Seiring dengan perubahan imej yang dilakukannya, Zarina menjelaskan bahawa berkemungkinan besar filem Aku, Kau Dan Dia akan menjadi filem terakhir lakonannya setelah membuat keputusan untuk tidak mahu berlakon. "Sehingga kini saya tidak pernah berlakon dalam mana-mana filem atau drama selepas filem ini. Setelah mendirikan rumah pada bulan Disember 2011, saya hanya menjadi suri rumah tangga sepenuh masa. "Lagipun suami tidak terlalu menyokong untuk saya meneruskan karier sebagai pelakon, tetapi akan mempertimbangkan sekiranya ada watak yang sesuai dengan imej saya sekarang. Kalau boleh saya begitu berminat mahu menceburi bidang pengacaraan pula," ujarnya. Filem yang sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 28 Jun lalu mengisahkan tentang gadis bernama Mia yang kehilangan tunangnya, Ilhan (Pekin) setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Bagi mengubat kerinduan setelah kehilangan tunang tersayang, Mia mencipta sebuah lagu yang didedikasikan kepada Ilhan. Namun begitu, Mia pula terlibat dalam kemalangan jalan raya dan koma selama dua minggu. Selain menampilkan Zarina, Pekin dan Remy Ishak, filem berkenaan juga dibintangi beberapa orang pelakon lain seperti Harun Salim Bachik, Marisa Yasmin dan Nash. Cinta halimunan Setelah mengarahkan lapan buah filem, pelakon dan pengarah Pierre Andre mengakui filem Aku, Kau Dan Dia merupakan filem terbaik yang pernah dihasilkannya setakat ini. Menurut Pierre, menerusi filem tersebut juga dia dapat memperbaiki lagi mutu pengarahan dan menyatakan para penonton akan dapat melihat perbezaan berbanding filem-filem arahannya sebelum ini. "Jalan cerita yang dipaparkan dalam filem ini merupakan pengalaman yang pernah saya lalui sendiri, terutamanya ketika saya pernah dikaitkan bercinta dengan halimunan atau individu yang sebenarnya tidak wujud. "Bagaimanapun, ia tidaklah dipaparkan secara langsung dan apabila filem ini siap dihasilkan, ternyata ia turut menyentuh perasaan saya kerana kisah cinta yang digambarkan memang sangat berbeza," jelasnya. Ujar Pierre, salah satu kelainan dan keunikan terhadap filem tersebut apabila kisah percintaan yang berlaku sememangnya agak sukar dijangka dan segala jawapan hanya dapat disaksikan penonton pada pengakhiran cerita. Sementara itu, ketika ditanya mengenai pemilihan pelakon pula, Pierre menjelaskan ia dibuat menerusi perbincangan dan persetujuan yang telah dibuat olehnya dan pihak penerbit. Ujarnya, pemilihan Remy Ishak dan Pekin sebagai teraju utama kerana kekuatan tersendiri yang dimiliki kedua-duanya, manakala Zarina pula dipilih kerana merasakan dia sangat sesuai membawakan watak Mia berdasarkan raut wajah dan karektor dirinya. "Walaupun saya mempertaruhkan pelakon baharu untuk memegang watak utama, tetapi Zarina telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dan sangat berpuas hati dengan lakonannya," ujarnya memuji pelakon tersebut. | ||
Posted: Cruise, Holmes cerai
JUMAAT lalu barangkali menjadi hari paling buruk buat aktor Tom Cruise apabila isterinya, Katie Holmes mendedahkan kepada media bahawa dia telah memfailkan penceraian terhadap perkahwinan mereka. Terlihat sentiasa bahagia dan romantik sepanjang lima tahun berkahwin dengan aktor tersebut, keputusan Holmes begitu mengejutkan banyak pihak. Apa sahaja alasan ibu kepada Suri itu? Menurut satu sumber, Holmes meminta cerai daripada Cruise kerana mendakwa lelaki itu terlalu mengatur kehidupannya dan anak mereka, Suri yang kini berusia enam tahun. Selain itu, Holmes juga dikatakan tidak bersetuju dengan kepercayaan Scientology yang diamalkan oleh aktor berusia 49 tahun itu. "Dia terlalu mengongkong dan mengatur kehidupan Suri. Dia juga berasa seperti robot. Holmes sudah tidak dapat bertahan dan berasa ini adalah saat yang tepat untuk bercerai," ujar sumber tersebut. Sumber tersebut juga menambah, keputusan Holmes yang menjadi terkenal menerusi drama bersiri Dawson's Creek itu membuah rasa lega buat kedua-dua orang tuanya. Katanya: "Ini kerana selepas Holmes berkahwin, ibu dan bapanya berasa telah kehilangan anak kesayangan mereka itu. Jadi bila Holmes mahu bercerai, mereka bahagia." Selepas mengumumkan sedang dalam proses penceraian, Holmes juga kini mengambil tindakan agresif apabila mahu merebut hak penjagaan anak mereka. Sementara Holmes sudah sedia untuk berperang di mahkamah dengan suaminya, Cruise dilaporkan begitu kecewa dan sedih dengan tindakan isterinya mahu bercerai. Malah, dua minggu sebelum Holmes memfailkan penceraian, Cruise menyatakan: "Saya bertuah kerana telah berkahwin dengan dia (Holmes)." Pasangan tersebut telah berkahwin di Itali pada November 2006. Cruise merupakan duda kepada aktres Nicole Kidman dan telah mempunyai seorang anak sebelum berkahwin dengan Holmes. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |