Gosip Artis Malaysia |
Neelofa Tiada Masalah Berkawan Dengan Anzalna Posted: 02 Jul 2012 06:05 PM PDT PETALING JAYA: Pelakon Neelofa memberitahu dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk berkawan dan bertegur sapa dengan Anzalna pada masa akan datang kerana menganggap persengketaan antara mereka sudah berakhir. Pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor, 23, itu berkata, dia tidak menyimpan sebarang dendam kepada Anzalna, 24, kerana aktres itu sudah melaksanakan tanggungjawabnya memohon maaf ekoran kenyataan fitnah yang dikeluarkan di akhbar Berita Minggu pada 10 Jun lalu. "Tiada masalah untuk kami berkawan selepas ini. Sebelum timbul kes ini pun saya pernah bertegur sapa jika terserempak di majlis atau acara tertentu. "Saya sudah terfikir untuk memaafkan dia selepas dia gagal menjawab notis tuntutan yang dikeluarkan pada tempoh hari. Apabila dia bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan dalam surat akuan itu, saya tiada masalah untuk berdamai," katanya. Neelofa berkata demikian selepas sidang media permohonan maaf daripada Anzalna kepadanya di Hotel Royale Bintang, Mutiara Damansara, di sini, petang Isnin. Kenyataan maaf secara terbuka itu turut disaksikan Presiden Seniman Zed Zaidi, Biro Aduan dan Perundangan Seniman Zahrin Ishak dan peguam kedua-dua aktres terbabit. Neelofa berkata, dia tidak mahu memanjangkan lagi isu berkenaan dan berpuas hati dengan permohonan maaf daripada Anzalna kerana ia mengikut ketetapan yang dimintanya dalam surat perjanjian yang dikeluarkan. "Saya sudah memaafkan dia kerana dia bersetuju memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam surat akuan itu. Kes ini pun sudah selesai pada hari ini. "Cuma dia tidak boleh menyebut nama saya dalam mana-mana kenyataan di khalayak atau media dan tidak memanjangkan lagi hal," katanya. Ditanya mengenai kemungkinan untuk mereka berlakon bersama pada masa akan datang, Neelofa berkata dia tidak keberatan untuk bekerjasama jika tawaran yang diterima menepati cita rasanya. "Saya tiada masalah untuk bekerjasama dan berlakon bersama jika ada tawaran yang bersesuaian selepas ini. Jika ia melibatkan kerja, saya akan profesional dan meneruskan kerjasama itu," katanya. Sementara itu pada majlis tersebut, butir-butir mengenai syarat dalam surat perjanjian antara dua aktres berkenaan tidak didedahkan atas alasan sulit dan peribadi. Kedua-dua aktres itu bagaimanapun tidak bersemuka atau bersalaman selepas sidang media berkenaan. Anzalna dilihat pantas meninggalkan majlis tanpa sempat ditemu ramah dengan alasan dia sedang bergegas ke lokasi penggambaran drama di Shah Alam, dekat sini. Konflik antara dua aktres itu tercetus ekoran kenyataan Anzalna yang dianggap sebagai satu fitnah oleh Neelofa dalam artikel bertajuk "Anzalna Bidas Neelofa" menerusi akhbar berkenaan. Susulan itu, dalam sidang media khas pada 13 Jun, Neelofa melalui peguamnya Ahmad Hidayat Md Nor dan Mohd Irwan Mohd Mubarak telah mengeluarkan notis yang menuntut Anzalna mengemukakan bukti dalam tempoh tujuh hari atas kenyataan yang dikeluarkannya. Menerusi laporan akhbar pada Sabtu lalu, Neelofa berkata, dia menetapkan beberapa syarat kepada Anzalna dalam sepucuk surat sebagai jaminan agar aktres itu memohon maaf secara ikhlas dan bukan kerana terpaksa. - --- |
Posted: 02 Jul 2012 06:04 PM PDT SHAH ALAM: Pelakon jelita, Erra Fazira tetap berpegang teguh dengan prinsip tidak akan berkongsi mengenai kisah rumah tangganya kepada umum kerana ia akan mengeruhkan lagi keadaan. Erra berkata, dia akan terus berdiam diri kerana bimbang kenyataannya nanti akan disalah ertikan oleh sesetengah pihak yang akan membawa kepada masalah yang lebih besar. "Saya akan terus berpegang kepada kata-kata saya sebelum ini dan akan terus berdiam diri daripada meluahkan mengenai perihal rumah tangga saya," ujarnya selepas ditemui semasa pelancaran drama bersiri Mana Hilangnya Juwita di sini, Isnin. Tambah Erra, dia juga belum bersedia untuk membuka mulut dengan isu yang sedang hebat diperkatakan itu dan akan bertahan selagi terdaya. "Tiada rumah tangga yang sempurna dan begitu juga saya dan itu adalah perkara biasa bagi pasangan yang berkahwin," ujarnya. Sebelum ini, media melaporkan rumah tangga yang dibina Erra bersama suaminya Engku Emran Engku Zainal Abidin dikatakan goyah apabila timbul pelbagai dakwaan yang mengaitkan pasangan itu. Dalam pada itu, mengulas mengenai status yang ditinggalkan di laman Twitter miliknya baru-baru ini yang berbunyi "suatu hari saya akan bersuara", Erra memberitahu ia adalah sekadar luahan biasa bagi seorang manusia. Ujar Erra, perkara itu terjadi apabila dia sangat tertekan dengan pelbagai tohmahan dan cakap-cakap kurang enak mengenai dirinya dan suami sehingga menyebabkan dia tertulis luahan itu. "Saya kelihatan kuat tetapi ada kalanya saya tewas dengan emosi kerana tertekan dengan keadaan sekeliling namun nasib baik saya cepat sedar akan tindakan itu," katanya. Sementara itu, Erra memberitahu, dia tidak lagi mengambil peduli dengan tohmahan yang dilemparkan sebaliknya memberikan fokus kepada kerjayanya sebagai seorang pelakon. Dia kini sibuk dengan pelbagai aktiviti sehingga menyebabkan dia tiada masa untuk melayan cerita-cerita kurang enak berkaitan dirinya. "Sekarang sangat sibuk dengan undangan lakonan dan rasanya itu adalah cara paling baik untuk tidak berfikir mengenai kekecohan yang berlaku," katanya. Erra bakal muncul dalam drama bersiri Mana Hilangnya Juwita di samping pelakon antaranya seperti Lisa Surihani, Datin Umi Aida dan Zahiril Adzim. Ia bakal menemui peminat pada 9 Julai ini, pukul 10 malam di saluran Astro Ria. - --- |
Posted: 02 Jul 2012 06:03 PM PDT SHAH ALAM: Pelakon filem Appalam, Raja Ilya mengakui dia hampir mahu membunuh diri akibat tertekan kerana putus tunang selepas gambar kontroversinya bersama seorang lelaki tersebar hampir dua tahun lalu. Raja Ilya, 27, berkata, tindakan itu dibuat selepas tunangnya nekad meninggalkannya akibat menerima tekanan daripada pihak keluarga lelaki yang malu dengan penyebaran gambar itu. "Ketika gambar itu disiarkan dalam sebuah akhbar saya sebenarnya telah mempunyai kekasih lain dan kami telah pun bertunang. "Saya telah diberi kata dua oleh keluarga tunang sama mahu memilih kerjaya sebagai pelakon atau pun bersama tunang? Jadi, saya membuat keputusan untuk mengorbankan kerjaya saya semata-mata untuk bersama tunang ketika itu. "Tetapi isu gambar tersebut sentiasa dibangkitkan sehingga tunang saya memutuskan tali pertunangan kami awal tahun lalu. "Akibat daripada kejadian itu saya menjadi tertekan sehingga menyebabkan saya mengambil pil tidur berlebihan. Perbuatan buruk saya itu menyebabkan nyawa saya hampir-hampir melayang," ujarnya selepas ditemui pada sidang media majlis pelancaran drama bersiri Mana Hilangnya Juwita di sini pada Isnin. Tambah Raja Ilya, akibat perbuatan itu, hampir dua minggu dia terlantar di hospital kerana menghadapi masalah buah pinggang. "Alhamdulillahlah saya kembali pulih dan saya sedar itu adalah tindakan bodoh yang pernah saya lakukan," katanya. Dalam pada itu, Raja Ilya mengakui telah bergaduh besar dengan seorang wartawan yang menyiarkan gambar tersebut selepas setahun menyimpan perasaan marah. Dia terserempak dengan wartawan tersebut dalam sebuah kapal terbang semasa ingin ke sebuah destinasi. "Saya tidak faham mengapa dia ingin berbuat begitu kepada saya sehinggakan hidup saya hampir-hampir musnah. "Ketika itu juga pelbagai masalah menimpa diri saya tambahan pula emak saya disahkan menghidap kanser. Bayangkan perasaan saya ketika itu. Memang saya bertekak dengan dia dan dia berjanji untuk membersihkan nama saya. Saya akan pegang pada janji itu," ujarnya. Sementara itu, Raja Ilya berkata, dia sudah bersedia untuk kembali bangkit dan membina nama sebagai pelakon yang disegani di negara ini. Katanya, cukuplah setahun setengah dia membazirkan masa dengan bersembunyi dan setia kepada lelaki yang tidak menghargai cintanya. "Saya sudah tidak kisah apa yang orang ingin kata tentang saya kerana apa yang penting keluarga tahu apa yang saya buat. "Sekarang adalah masa untuk memperkenalkan kembali nama saya yang sudah tercalar," katanya. Raja Ilya bakal muncul dalam sebuah drama bersiri berjudul Mana Hilangnya Juwita di saluran Astro Ria bermula 9 Julai ini, pukul 10 malam. - --- |
You are subscribed to email updates from Gosip Artis Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |