Adsense

Khamis, 19 Julai 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Filem terbaik Shuhaimi Baba

Posted: 18 Jul 2012 06:54 AM PDT

BUKAN kerja senang menghasilkan Tanda Putera. Sebuah karya yang sangat rumit, filem itu menuntut 1001 inci pengalaman yang ada dalam diri pengarahnya, Datin Paduka Shuhaimi Baba serta barisan pelakon utamanya, Rusdi Ramli dan Zizan Nin.

Antara sebab utama mencabarnya Tanda Putera adalah kerana jalan ceritanya sendiri yang dianggap paling berani serta paparan kisah benar yang penuh tragik membabitkan dua bekas pemimpin tertinggi negara, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein serta timbalannya, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman.

Selain itu, Shuhaimi juga berdepan cabaran memanfaat teknologi pembikinan filem yang canggih dengan bersandarkan bajet mencecah sehingga RM4.5 juta.

Paling berani dalam konteks filem ini tentunya paparan mengenai tragedi 13 Mei 1969 yang selama ini dianggap isu sensitif dan bagaimana huru-hara itu berjaya dipulihkan dengan bijak oleh Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail serta Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.


Bercakap lebih mendalam mengenai Tanda Putera, Shuhaimi berkata, tujuan utama dia menghasilkan filem itu adalah untuk menunjukkan betapa besarnya pengorbanan yang dilakukan kedua-dua pemimpin itu (Tun Abdul Razak & Tun Dr Ismail) tatkala memegang tampuk pemerintahan Malaysia.


"Zaman mereka adalah zaman yang sangat mencabar. Mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran terhebat yang berlaku dalam negara kita selain masalah kesihatan sendiri yang sangat meruncing. Namun mereka sanggup ketepikan masalah kesihatan demi kesejahteraan rakyat.

"Tanda Putera adalah gabungan kisah dan watak benar yang saya adun bersama watak-watak 'fictional' yang relevan dengan situasi pada masa itu. Tujuan utama saya menghasilkan filem ini adalah untuk menunjukkan betapa hebatnya nilai persahabatan dan pengorbanan yang pernah dilakukan oleh bekas pemimpin kita.

"Tujuan utama Tanda Putera dihasilkan juga bukanlah untuk mengungkit sejarah lama yang menyedihkan seperti 13 Mei, sebaliknya menjelaskan punca sebenar kenapa ia berlaku dan bagaimana kebijaksanaan pemimpin negara kita menanganinya dengan pantas.

"Tidak ramai generasi muda hari ini yang tahu apa itu 13 Mei dan kenapa ia sebenarnya tercetus. Ia angkara pihak komunis (PKM) dan anasir subversif yang mahu menghancurkan negara kita. Merekalah yang menjadi dalang dan pembakar kepada ketegangan kaum kerana mahu menjajah negara ini.

"Bagi saya ini semua adalah fakta yang pernah kita belajar daripada buku-buku sejarah tapi buat pertama kali, kita tonjolkan dalam filem ini agar kita lebih peka dengan ancaman yang pernah cuba menghancurkan negara kita. Saya sedar penonton hari ini sudah cukup matang dan boleh berfikir dengan sendiri.

"Sudah sampai masanya kita sebagai anak Malaysia, peka dengan sejarah negara kita sendiri agar kepincangan yang sama tidak akan berulang dan dijadikan iktibar.

"Apa yang jelas, selepas Malaysia berpisah dengan Singapura, komunis mula menyelinap masuk ke bandar-bandar di negara ini untuk mencetuskan huru-hara.
Sebab itulah adanya babak seperti mereka memasang strategi dan membuat intipan.

"Komunis juga mahu membunuh orang-orang penting dalam Malaysia dan antara yang menjadi mangsa adalah bekas Ketua Polis Negara, Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Hashim dan Ketua Polis Perak. Malah satu ketika Tugu Negara juga pernah diletupkan komunis.

"Namun lebih penting, filem ini adalah mengenai nilai kemanusiaan, perjuangan serta persahabatan yang sangat hebat dalam diri Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail. Inilah yang saya mahu kongsi dengan penonton," jelas Shuhaimi kepada Harian Metro, kelmarin.

Beliau berkata lagi, Tanda Putera membabitkan tenaga kerja seramai 250 kru petugas dan fasa paling rumit adalah pada tahap rekaan produksi serta penggunaan kesan khas digital (VFX) bagi babak zaman terbabit (1960-an & 1970-an).

"Kami menggunakan format HD-2K yang lebih baik daripada HD dengan khidmat nasihat pakar. Kini saya berharap pihak korporat di negara kita akan menyokong filem ini dengan menganjurkan tayangan khas untuk golongan tertentu seperti pelajar dan generasi muda," kata Shuhaimi yang mendapat pembiayaan bajet daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC).

Sementara itu, pelakon serba boleh Zizan Nin ketika dihubungi akui. memang satu tugas paling berat baginya apabila diberi peluang memegang peranan Tun Dr Ismail.

"Berat... memang berat. Ini kerana ia watak sebenar dan bukan rekaan. Saya perlu jadi 'Tun Dr Ismail' dan membayangkan diri saya sebagai diri beliau dan berada pada situasi zaman itu. Gerak tubuh, dan pemikiran saya kena dekat dengan Tun Dr Ismail.

"Sebelum ini memang saya pernah bawa peranan Tun Dr Mahathir Mohamad namun ia bagi pementasan muzikal. Ini berbeza dengan Tanda Putera kerana ia filem drama berat.

"Selama tiga bulan saya tumpukan perhatian kepada pembikinan filem ini termasuk sesi latihan. Saya juga sempat berjumpa Tawfik (anak sulung Tun Dr Ismail) untuk mendapatkan gambaran mengenai personaliti ayahnya dan membaca buku The Reluctant Politician: Tun Dr Ismail and His Time, berkali-kali agar mendapatkan informasi tambahan mengenai beliau.

"Bagi saya Tun Dr Ismail seorang yang sangat tegas dan ketegasan beliau turut menyelamatkan negara kita daripada kancah merbahaya. Saya gembira kerana filem ini membuka minda saya untuk lebih mengenali siapa pemimpin kita dan bagaimana kita seharusnya bersatu padu untuk berjaya dan dihormati," ujar Zizan.

Tanda Putera turut dibintangi dengan cemerlang oleh Faezah Elai sebagai Toh Puan Rahah Mohd Noah, Linda Hashim (Toh Puan Norashikin Mohd Seth), Che Kem (Tunku Abdul Rahman), Norman Hakim (Tun Hanif Omar), Sahee Shamsuddin (Datuk Seri Najib Tun Razak ketika muda), Razif Hashim (Johari Tun Razak ketika muda) dan Ali Steven Shorthose (Dr Macpherson).

Filem ini juga dilakonkan ramai pelakon lain bagi watak pembantu seperti Hasnul Rahmat (Tun Hussein Onn), Nasrizal Ngasri (Datuk Harun Idris), Ida Nerina (Kak Jah Steno), Kavita Sidhu (Kara), Riezman Khuzaimi (Sarjan Aman), Kuza (Maimon), Zaefrul Nordin (Koperal Musa), Ika Nabella (Zarah), Zoey Rahman (Johan), Ahya U (Zaman) dan Alan Yun (Allen).

Ia antara lain mengisahkan bagaimana Tun Abdul Razak dan sahabatnya, Tun Dr Ismail berusaha memulihkan kestabilan negara selepas tragedi 13 Mei dan berdepan dengan penyakit kronik masing-masing. Filem ini dipenuhi dengan babak mendebarkan dan berakhir dengan adegan yang menyedihkan.

Ia bakal ditayangkan pada suatu tarikh yang akan diberitahu kelak walaupun awalnya dikatakan akan menemui penonton pada September ini. Pun begitu Shuhaimi dalam mendapatkan maklum malas daripada pelbagai lapisan penonton, sudah menganjurkan beberapa tayangan khas berbentuk 'focus group', baru-baru ini. Apa yang membanggakan, rata-rata termasuk generasi remaja memberikan maklum balas positif terhadap Tanda Putera.

Bagi penulis, filem ini tidak syak lagi ini karya terbaik Shuhaimi Baba yang seharusnya ditonton setiap rakyat Malaysia yang cintakan negara dan menghargai perjuangan pemimpin terulung khususnya Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/18


Hayad ke arus perdana

Posted: 18 Jul 2012 06:29 AM PDT

BARANGKALI ramai masih asing dengan kumpulan vokal duo baru yang menggelarkan diri mereka Hayad. Namun, gandingan dua anak muda berbakat besar dalam bidang muzik ini, Rafiq Bakar, 28, dan Fadhli Zaihan, 24, sebenarnya sudah bergerak secara bebas sejak ditubuhkan tiga tahun lalu (2009).

Single pertama mereka berjudul Terbaik Untukku dan hanya dimainkan di laman sosial. Dua lagi lagu yang turut menaikkan nama Hayad ialah Teman dan Pilihanku (bersama Caprice). Malah Hayad sudahpun mempunyai ramai peminat setia dan popular di kalangan penuntut institusi pengajian tinggi tempatan di luar sana.

Apapun persepsi orang, Rafiq yang mewakili kumpulan itu percaya, sudah sampai masanya mereka mencuba nasib dalam muzik arus perdana yang lebih komersil.
Kini, mereka bernaung di bawah pengurusan Aryuna Entertainment.

"Kami pertaruhkan genre muzik R&B dan soul. Walaupun ia bukan 'trend' terkini, kami percaya ia masih mempunyai ramai peminat. Semoga kemunculan kami dalam arus perdana diterima peminat dengan baik.

"Lebih menarik, semua lagu yang dimuatkan dalam album ini adalah ciptaan kami sendiri. Bukannya kami 'syok sendiri' atau tidak percaya dengan kebolehan komposer lain, sebaliknya kami ingin menyampaikan mesej pada peminat dengan cara sendiri sekali gus lebih memberi kepuasan pada karya dihasilkan," katanya.

Ditanya kenapa memilih nama Hayad, kata Rafiq, pihaknya sepakat untuk menamakan kumpulan itu Hayad sempena nama adiknya, Dayah yang banyak membantu dalam menghasilkan lagu dan lirik untuk kumpulan itu.

"Apabila nama Dayah diterbalikkan ia menjadi Hayad. Fadhli juga tidak mempersoalkan nama adik saya dipilih sebagai nama kumpulan ini kerana ia diputuskan selepas perbincangan sebelum ini.

"Tidak timbul sebarang isu pun nak letak nama adik siapa di sini kerana kami memang berkawan baik dan sudah kenal hati budi masing-masing sekali gus memudahkan kami bergabung dalam kumpulan ini," katanya yang ditemui di sesi pradengar album terbaru mereka yang berlangsung di Carne Y Vino Restaurant & Lounge, Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.

Bagi Fadhli, mereka juga sudah bersedia mental dan fizikal serta bersaing secara sihat dalam bidang muzik tanah air.

"Perjalanan kami masih jauh dalam bidang seni dan apa saja cabaran dan kontroversi yang datang pada Hayad, kami bersedia untuk mengharunginya bersama-sama nanti.

"Bidang seni tempatan memang tidak pernah sunyi dengan gosip mahupun kontroversi kerana ia sebahagian daripada asam garam sebagai artis," katanya.

Mengulas lanjut mengenai album mereka, kata Fadhli, ia memuatkan sebanyak enam lagu dan akan dilancarkan selepas Aidilfitri nanti. Album ini dihasilkan dengan kerjasama Upbeatz Networking Sdn Bhd.

"Enam lagu yang menarik untuk peminat ialah Melodi, Janji, Luar Biasa, Benar-Benar Cinta, Jawapan dan Separuh Dariku. Pihak kami masih belum putuskan lagu mana yang akan dijadikan single album ini.

"Secara peribadi, kami menyukai lagu Luar Biasa kerana ia menarik dan mempunyai makna yang tersendiri buat kumpulan ini. Semua lagu yang dihasilkan bukan saja menyentuh kisah cinta sebaliknya kehidupan sendiri dan orang sekeliling.

"Insya-Allah, kami akan lebih bersemangat untuk menghasilkan karya yang lebih baik lagi jika album ini diterima peminat nanti," katanya yang akan menjayakan program amal bersama anak-anak yatim sempena Ramadan ini.

Sebelum ini, Hayad pernah mewakili remaja dalam kempen WWF-Save The Day pada 2010. Tidak ketinggalan, Hayad turut membuat gubahan lagu untuk artis tempatan iaitu Cinta Teragung dendangan Hazama bersama Kunci Demak.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/18