Harian Metro: Rap |
Posted: 12 Jul 2012 06:40 AM PDT BARU setahun berada dalam industri hiburan, nama Izara Aishah Hisham sudah terpahat kukuh dalam kotak fikiran peminat drama Melayu. Lakonannya sebagai pelajar kolej yang akhirnya berkahwin dengan rakannya, lakonan Aiman Mentor dalam drama Vanilla Coklat memberi impak tersendiri. Meskipun pelakon jelita itu mengakui masih 'hijau' dan banyak lagi yang perlu dilakukannya bagi memberikan yang terbaik kepada persembahannya, namun setiap watak yang dibawanya berjaya memberikan impak yang besar. Terbaru, kemunculannya dapat disaksikan menerusi drama Naziha yang mengisi slot Zehra di TV3, yang bersiaran mulai 15 Jun lalu. Drama itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Ryzal Jaafar, Erry Putra, Zain Saidin, Amar Baharin, Nik Zaris Nellydya, Nadia Kesumawati dan Mustapha Kamal. Drama Naziha mengisahkan Naziha dikurniakan raut wajah yang amat cantik dan menjadi pujaan lelaki. Naziha tidak mempunyai ramai kawan perempuan kerana mereka cemburu terhadap kecantikan dan kepandaian yang dimilikinya. Meskipun digilai ramai lelaki namun Naziha tidak pernah melayan kerenah mereka. Namun Farouk (Erry Putra) tidak pernah berputus asa untuk mendekati Naziha.
"Saya banyak bersedih dan menangis terutama mengenangkan cinta pertama saya terhadap Adam (Ryzal Jaafar) tidak kesampaian kerana fitnah Farouk. Walaupun saya gembira kerana penonton 'bersimpati' dengan watak Naziha tetapi dalam hati kecil ini, saya teringin untuk membawakan kelainan dalam lakonan saya selepas ini. "Andai kata sebagai isteri pun, berilah peluang kepada saya membawa perwatakan yang berbeza. Saya bimbang juga nanti lama-kelamaan penonton jemu dengan lakonan saya dan saya takut orang akan mula memberi komen negatif," katanya. Di kalangan artis seangkatannya, Izara dilihat lebih menonjol dan semua itu kerana kerja kerasnya selama ini dan berusaha memperbaiki mutu lakonannya dari semasa ke semasa. "Untuk mendapat 'penghayatan' watak sedih dan insan teraniaya, saya selalu menonton filem Bollywood yang heroinnya bijak bermain emosi. Sambil menyanyi (miming) dan menari, mereka masih dapat menyerlahkan ekspresi wajah sama ada dalam keadaan sedih atau gembira. "Saya amat mengagumi lakonan Madhuri Dixit dan Datuk Shah Rukh Khan. Saya sering menonton filem lakonan mereka berdua. Apabila mereka bersedih, penonton turut menangis sama. Apabila mereka ketawa, penonton pun ikut ceria. Saya banyak belajar daripada lakonan mereka. "Pelakon tempatan yang saya meminati adalah lakonan Maya Karin dan Kak Ogy (Fauziah Ahmad Daud) kerana mereka memberikan lakonan semula jadi. Kejayaan setiap lakonan apabila kita dapat mengajak penonton merasai sama setiap getaran yang kita lalui, suka atau pun duka," katanya yang baru saja selesai penggambaran drama Naziha yang diterbitkan sebanyak 13 episod. Tambah Izara berikutan sambutan yang amat baik terhadap Vanilla Coklat, drama itu akan dibawa ke layar perak. "Insya-Allah saya dan Aiman kekal membawakan watak masing-masing tetapi khabarnya ada juga pelakon lain yang akan digugurkan. Untuk filem, Asia Media Content kekal menjadi penerbitnya. "Alhamdulillah rezeki saya dalam bidang lakonan berjalan lancar dan pada masa sama, saya akan terus belajar menjadi pelakon yang bagus," katanya. Bukanlah artis namanya jika hidup tanpa gosip dan untuk menghindari segala percakapan yang tidak baik di belakangnya, Izara bersedia untuk berlaku jujur dengan media. "Kalau perkara yang diajukan wartawan itu benar, saya akan mengaku dan kalau sebaliknya, sudah tentu saya tidak akan memberi sebarang pengesahan. Saya berada dalam lapangan ini kerana minat dan untuk mencari rezeki. Saya tak mahu memeningkan kepala dengan kontroversi yang tidak berkesudahan. "Saya tak mahu apabila saya menafikan kebenaran, orang mula mengusik rahsia diri saya. Sebagai artis, saya juga berhak hidup tenang dan saya juga tidak akan meletakkan kepercayaan dengan begitu mudah terhadap orang di sekeliling," katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan butik terbaru Cosry iaitu Cosry Purple Label (CPL) di The Curve, Mutiara Damansara, Selasa lalu. Memiliki personaliti yang menarik dan meraih populariti dalam industri seni, Izara dilantik sebagai duta CPL selama setahun. Dia gembira dengan tawaran itu kerana meskipun dilantik sebagai duta, dia tidak terlalu terikat dengan syarat digariskan Cosry yang diterajui 'orang kuatnya', Ariff Quasri Md Nor selaku Pengarah Urusan Cosry Wise (M) Sdn Bhd dan Putra Aziz sebagai Ketua Pereka. Selain Arif dan Putra, CPL turut diterajui rakan kongsi mereka, Najmie Noordin yang bertindak selaku Pengarah Label. Jelas Izara, pada setiap acara yang diadakan CPL, pastinya dia akan menyarungkan busana CPL, namun untuk acara luar, mereka memberi kebebasan kepadanya untuk mencuba busana ciptaan orang lain juga. "Tetapi kalau sudah menjadi duta CPL, lebih baik saya menggayakan busana CPL saja. Sebagai artis, banyak acara yang perlu dihadiri dan dengan adanya CPL berdiri teguh di belakang, saya tidak perlu bimbang lagi mengenai apa yang perlu dipakai. CPL juga didatangkan lengkap dengan aksesori lain seperti kasut dan beg tangan. "CPL adalah butik baju yang sudah siap, pilih saja yang mana berkenan di hati. Jika Cosry Couture yang terletak di Bangsar lebih kepada baju pengantin tetapi di CPL, konsepnya lebih kasual, santai dan sesuai digayakan di semua acara iaitu baju kurung, jubah dan kebaya. "Putra juga bijak menyuai padan kebaya renda dengan seluar tanpa menjejaskan keanggunan kebaya itu yang memang tinggi nilai tradisionalnya," katanya. "Saya suka fesyen dan ia adalah kesukaan setiap wanita tetapi untuk menceburi dunia perniagaan, saya akan memilih bidang lain. Saya belum boleh untuk mengumumkannya tetapi bukanlah saya akan bergelar ahli perniagaan dalam masa terdekat ini," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/12 |
‘Saya belum buat album’ Posted: 12 Jul 2012 06:25 AM PDT BELUM sampai seminggu kemenangan juara baru Bintang RTM 2012, Aisha Masnamimie Safieis, 23, sudah ada khabar angin mendakwa gadis itu pernah menghasilkan album sebelum ini. Ahad lalu, Aisha berjaya menewaskan lima finalis lain pada pentas akhir pertandingan nyanyian tertua itu dengan dua persembahan hebatnya menerusi lagu Kisah Hati (Alyah) serta lagu baru Fantasia (ciptaan Omar K). Kemenangan itu sekali gus mengubat kedukaan apabila pernah kecundang dalam satu program realiti sebelum ini, malah berjaya membuktikan pemilihannya sebagai peserta 'wildcard' oleh juri ke final tidak sia-sia. Bagaimanapun, bagaikan lumrah, ada juga yang tidak berpuas hati mempersoalkan kemenangan gadis kelahiran Kuantan, Pahang ini padahal pertandingan itu sudahpun berakhir.
"Sebenarnya, memanglah saya pernah merakamkan single sebelum ini. Namun, single berkenaan berkubur begitu saja tanpa sempat dipromosikan mahupun diputarkan di mana-mana stesen radio. Malah single itu akhirnya menjadi simpanan peribadi saya saja. "Memang pada awalnya saya merakamkan single itu dan cuba menjadikannya produk untuk menembusi lapangan seni namun tidak kesampaian. Pada waktu itu saya masih mentah lagi dalam bidang ini dan apabila tawaran datang, saya pun memanglah tidak teragak-agak. Namun, tidak sangka pula begitulah nasib single berkenaan," katanya. Bakal pulang ke kampung halamannya dalam masa terdekat, ditanya mengenai perkembangan terbaru sejak tamat pertandingan itu, Aisha berkata, RTM sudah menetapkan beberapa persembahan buatnya. "Pihak RTM sudah menghubungi saya dan ada beberapa persembahan pentas sudah menanti. Di samping itu, seperti yang dijanjikan, single saya juga sudahpun mula diputarkan di beberapa stesen radio. "Namun pada masa sama, saya tidak mahu bergantung kepada RTM semata-mata dan sedang berusaha untuk mempromosikan sendiri single berkenaan. Biarlah usaha kedua-dua pihak berjalan seiring dan berharap segalanya akan membuahkan hasil," tambahnya. Sementara itu, mengulas mengenai isu berkenaan, penerbit Bintang RTM 2012, Mohd Yusni Mohd Ali berkata, dia pun baru mendapat tahu dan hal berkenaan akan dibawa ke pihak atasan. "Saya pun terkejut apabila dikhabarkan mengenai Aisha pernah membuat album, namun tidak mahu membuat tindakan terburu-buru. Hal ini belum dipastikan lagi kesahihannya dan perbincangan bersamanya akan dibuat untuk mengetahui cerita sebenar. "Namun, saya tidak rasa ada masalah dan tidak akan menggugat penyertaan Aisha kerana saya sudah melihat cakera padat terbabit seperti yang dimaksudkan. Ia bukanlah album seperti yang digembar-gemburkan dan hanya mengandungi satu lagu saja pun," ujar Yusni. Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/12 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |