Adsense

Jumaat, 13 Julai 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Remy lali kontroversi

Posted:

Remy lali kontroversi

BERTEMU dengan aktor Remy Ishak atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak baru-baru ini yang hadir ke Kosmo! untuk sesi fotografi promosi filem 29 Februari, jelas kelihatan susut sedikit berat badannya, wajahnya juga kelihatan sedikit cengkung.

Persoalan timbul adakah ia mungkin kerana jangkitan paru-paru yang dihidapinya sehingga dimasukkan ke hospital awal Jun lalu masih belum sembuh atau susah hati kerana kontroversi yang tidak berkesudahan?

Ujar Remy: "Saya sudah okey tetapi masih perlu menjaga kesihatan. Dulu berat badan saya 73 kilogram tetapi sekarang 70 kilogram, mungkin itu menyebabkan wajah saya sedikit cengkung, tidur tidak cukup dan jadual kerja yang padat, bukannya susah hati."

Jika dihitung kontroversi yang membabitkan dirinya tidak terhitung dek jari, malah saban hari ada sahaja hari-hari yang mengejutkan dirinya dengan cerita panas terutama sejak cintanya bersama aktres Tiz Zaqyah diumumkan kepada khalayak.

Isu bergaduh di laman sosial dan terbaharu, bersikap panas baran sehingga memukul kekasih hatinya itu.

"Saya tidak tahu macam mana cerita itu timbul tetapi saya telah beri penjelasan. Bagi saya inilah cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi apabila saya memutuskan untuk bergelar seorang pelakon.

"Hubungan saya dan Tiz masih okey tidak ada sebarang masalah, apa sahaja cerita yang keluar mengenai kami, hanya kami yang tahu kebenarannya sebab yang menjalani hubungan cinta itu adalah kami bukan orang di luar sana.

"Apa yang penting saya dan Tiz saling percaya dan hubungan kami kuat," kata Remy yang berusia 30 tahun.

Ditanya lagi, menyesal atau tidak mengumumkan hubungan cintanya bersama Tiz kepada khalayak, tertawa sambil berfikir panjang, memikirkan jawapan yang tepat barangkali.

"Orang berhak untuk bercakap dan fikir apa sahaja mengenai kami berdua, kerana pekerjaan kami sebagai pelakon," tuturnya.

Lebih matang

DI SEBALIK kontroversi yang melanda dirinya, karier lakonan Remy Ishak tetap berjalan lancar.


Biarpun tidak kisah dengan segala kisah panas tentang dirinya, akui Remy jauh di sudut hatinya terbit rasa sakit hati setiap kali membaca kisah kontroversinya sendiri.

"Siapa boleh terima apabila cerita kontroversi dan cerita tidak benar keluar di media, saya mengaku saya sakit hati dan agak tertekan membaca cerita sendiri.

"Ketika saya mula-mula berlakon pada usia awal 20-an dulu, saya akan melenting kerana tidak tahu bagaimana untuk menghadapi keadaan tersebut.

"Itu realitinya sebab saya juga manusia biasa yang ada hati dan perasaan, tetapi lama-kelamaan saya sudah lali dan buat tidak kisah dengan cerita yang keluar," katanya yang mula popular dengan drama Nur Kasih.

Tambah Remy, perkara pertama yang dilakukan setiap kali cerita panasnya keluar di media, dia akan menghubungi keluarganya di kampung.

"Saya akan terus telefon emak dan keluarga supaya mereka faham keadaan sebenar. Apabila keluarga tahu kisah yang betul, jadi tidak ada masalah pada saya, orang lain mahu bercakap apa sahaja, saya tidak peduli," luahnya.

Bercakap mengenai kontroversi, ujar Remy, dia lebih suka jika namanya disebut kerana produk lakonan tetapi lumrah dunia hiburan tidak dapat lari daripada kisah sensasi.

"Kontroversi ada baik dan buruknya. Sesetengah kontroversi merupakan publisiti yang menaikkan nama artis tetapi bagi saya kontroversi sangat tidak baik. Saya lebih suka orang kenal menerusi kerja yang saya lakukan sahaja," ucapnya yang menyambung kontrak selama dua tahun lagi sebagai duta produk Dashing.

Masih laris

Remy mungkin antara artis yang bertuah. Walaupun kisah kontroversinya tidak berkesudahan dan ramai pelakon lelaki baharu muncul tetapi kerjaya lakonannya berjalan seperti biasa malah, produk lakonannya ditayangkan berturut-berturut.

Selepas filem Jiwa Taiko dan Aku, Kau dan Dia, pada 30 Ogos depan Remy bakal muncul pula dengan filem 29 Februari hasil arahan Edry Abdul Halim.

SELAGI parut tidak mendatangkan mudarat dan apabila disolek tidak kelihatan, Remy tidak akan mengubah ciptaan Tuhan.


"Bertuah? Mungkin ini bayaran yang diterima oleh orang yang selalu teraniaya dan difitnah seperti saya (ketawa). Kalau ikutkan sebab saya tidak ambil pusing segala kisah kontroversi kerana tujuan saya masuk ke dunia lakonan untuk ketengahkan bakat lakonan.

"Apa pun yang terjadi, apabila tiba bab kerja saya akan beri fokus seratus peratus. Kerja tetap kerja, saya harus berusaha kerana lakonan periuk nasi saya," balasnya.

Bukti komited Remy terhadap kerjaya, dia yang mengalami kecederaan sehingga dahinya terpaksa dijahit ketika menjalani penggambaran filem Bravo 5 di Tapah, Perak tidak kisah dengan parut yang ditinggalkan kesan daripada kecederaan tersebut.

Tidak mendapatkan sebarang rawatan kulit untuk menghilangkan parut di dahinya, kata Remy, dia bimbang untuk melakukan sebarang rawatan kulit di wajahnya.

"Ramai yang memberi nasihat untuk saya mendapatkan rawatan atau melakukan sesuatu untuk menghilangkan parut, tetapi saya tidak mahu.

"Setiap kali terfikir untuk membuat rawatan, fikiran saya akan berkata mengubah ciptaan Allah adalah haram, jadi selagi parut itu tidak mendatangkan mudarat dan apabila disolek tidak kelihatan, saya okey sahaja," jawab Remy.

Cerita mati Sharon Stone

Posted:

Cerita mati Sharon Stone

SHARON STONE


PADA tahun 2001, aktres Sharon Stone hampir menemui ajal kerana mengalami masalah jangkitan kuman dalam otak sehingga terlantar koma. Waktu itu, doktor memberitahu bahawa peluang untuk beliau hidup agak tipis.

Namun, tanpa disangka, satu keajaiban telah berlaku. Ia dialami aktres tersebut sewaktu dalam koma. Menurut Stone, sewaktu koma, beliau telah melihat objek cahaya putih datang ke arahnya, sebelum tersedar dari koma selepas itu.

"Sebaik saya melihat cahaya putih tersebut, saya seperti sedang berjalan dalam sebuah lorong dan kemudian bertemu dengan orang-orang yang saya kenali tetapi sudah mati, namun mereka semua seperti hidup semula.

"Saya juga berasa seperti berada dalam keadaan yang sangat sempit dan diberi pilihan untuk bergabung dengan mereka yang saya lihat atau berjalan mengikut cahaya. Saya akhirnya memilih untuk berjalan ke arah cahaya," cerita Stone tentang pengalaman ketika dalam koma.

Stone juga mengaku, sewaktu berada dalam koma, beliau juga telah mengalami banyak hal magis yang berlaku dan sukar untuk dijelaskan dengan logik.

Tambahnya: "Saya tak tahu apa yang membuat saya kembali hidup. Biarlah waktu yang menjawab."

Saya tak rasa ia seksi - Fathia

Posted:

Saya tak rasa ia seksi - Fathia

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

FATHIA (kanan) dalam majlis yang dihadirinya baru-baru ini.


NAMANYA pernah 'meletup' satu ketika namun kini kembali suram. Itu situasi yang terjadi kepada pelakon muda Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latiff yang kini kurang mendapat liputan, tidak sepanas isunya yang dikatakan kurang berdisiplin.

Bagaimanapun, baru-baru ini, namanya kembali menjadi perhatian apabila Fathia menghadiri sebuah majlis anjuran majalah tempatan.

Selain menjadi bualan kerana telah mengoyakkan gaun yang dipakai kerana terlalu teruja pada suatu ketika dahulu, gaun hitam dan kelabu yang dipakai Fathia turut menjadi isu. Bagi segelintir pihak, gaun tersebut dilihat agak menjolok mata terutamanya apabila Fathia berada dalam posisi menundukkan badan sehingga memperlihatkan sebahagian payudaranya.

Fathia yang dihubungi semalam mengulas lanjut kisah baju seksi yang menampakkan sebahagian payudaranya kepada Kosmo!.

Kosmo!: Fathia kini dilihat kurang muncul di kaca televisyen mahupun di layar perak. Boleh ceritakan sedikit perkembangan terkini?

FATHIA: Sebenarnya, saya baru sahaja selesai menduduki peperiksaan dan ia membuatkan saya tidak boleh memberi komitmen terhadap dunia seni. Namun kini, saya sudah mula bercuti semester selama dua bulan dan akan kembali sibuk di lokasi penggambaran. Saya juga ada terima tawaran berlakon beberapa drama dan juga filem antaranya sebuah telemovie yang berjudul Seruling Kasih. Kemudian ada sebuah telemovie untuk tayangan RTM iaitu Wasiat Rindu serta drama episod Bawang Putih Bawang Merah untuk slot Samarinda untuk TV3. Saya juga ada menerima tawaran untuk filem yang berjudul Darah Panas.

Jadi bila anda akan tamat belajar?

Insya-Allah, saya akan habis belajar hujung ini dan akan sambung ambil LLB (sijil undang-undang). Pelajaran merupa keutamaan saya kini. Sebab itu, saya macam sekejap ada dan sekejap tiada (dalam dunia hiburan).

Baru-baru ini, anda menghadiri sebuah majlis dan segelintir pihak berpendapat anda berpakaian seksi hingga menampakkan sebahagian payudara. Boleh komen?

Saya tidak tahu mahu komen apa-apa (ketawa). Itu baju saya sendiri. Tiada niat apa-apa untuk menunjuk atau apa pun. Saya hanya rasa mahu pakai sesuatu yang cantik untuk pergi ke acara tersebut. Mungkin ramai yang bercakap, tapi bagi saya sendiri, baju itu tidak seksi.

Oleh kerana berpakaian begitu juga, ada yang mengatakan anda tidak pandai menjaga penampilan?

Saya sudah biasa dengan kata-kata orang. Jadi, diri ini sudah lali dengan perkara begini. Saya pun tidak kisah, kerana orang berhak memberi pendapat mereka.

Jika dahulu, mereka kata anda tidak berdisiplin dan kini, kisah penampilan anda pula ditimbulkan. Anda pernah rasa bosan dengan kontroversi yang sering melanda diri?

Saya tidak pernah berasa bosan. Itu pendapat masing-masing, saya tidak dapat berbuat apa-apa. Tidak semestinya berpakaian begitu, mereka patut nilai dari luaran sahaja sebelum mengenali seseorang itu. Namun kini saya sedar, patut lebih berhati-hati dengan apa yang dipakai. Saya juga boleh terima nasihat yang diberikan kepada saya.

Jadi anda tidak kisah dengan pandangan atau kritikan orang?

Memang kata orang tidak boleh hendak dihentikan. Tapi, bila saya berdisiplin, orang masih akan bercakap saya tidak berdisiplin. Jika betul saya lakukan begitu, mungkin mereka boleh tampil dengan tunjukkan bukti. Tak apalah, apa yang pasti, saya akan lebih berhati-hati selepas ini.