Berita Harian: Hip |
Posted: 14 Jul 2012 03:33 PM PDT Maya Karin akui tidak mudah disogok kemewahan atau janji manis lelaki yang sudah berpunya Dua tahun sendirian selepas rumah tangga yang dibinanya dengan lelaki Inggeris, Muhammad Ali atau Steven Shorthose putus di pertengahan jalan, Maya Karin mengakui kekosongan hatinya belum diisi. Bukan tiada lelaki yang cuba mendekati, malah anak kelahiran Bayreuth, Jerman ini sudah bersedia untuk memulakan hidup baru tetapi kesemuanya berakhir tanpa jawapan pasti. Menghela nafas panjang, Maya atau nama lengkapnya, Maya Karin Roelcke yang dihubungi ketika sela masa rehatnya daripada penggambaran filem terbaru arahan Osman Ali, Jwanita di Kijal, Terengganu pantas memintas apabila perbualan mula dihalakan kepada sisi peribadinya. "Saya terlalu sibuk sepanjang enam bulan pertama 2012, nak dating pun tiada masa," kata aktres berusia 33 tahun ini sebagai helah mengapa dia masih bersendirian. Luka perpisahan apabila perkahwinannya kandas pada 17 Julai 2010 beransur sembuh dan Maya sendiri enggan menoleh kepada laluan silam yang cuma menorehkan semula getar kekecewaan. Memandang ke depan, bintang utama Anak Halal dan Pisau Cukur itu memberitahu, hatinya sudah kembali terbuka menerima kehadiran lelaki untuk bertakhta di sudut hatinya. "Saya kurang pasti mengapa sesetengah lelaki hanya menunjukkan kesungguhan pada permulaan, tetapi lama kelamaan hubungan itu mula tawar dan menyerlahkan ketidakselesaan. "Apakah kerana status saya sebagai selebriti membuatkan mereka rasa tergugat dan berat untuk mendekati? Jika itu yang ada dalam fikiran, mereka silap. "Tiada bezanya antara Maya Karin dan wanita lain, cuma yang membezakan adalah kerjaya yang dipilih kerana ia membuatkan saya dikenali," katanya dalam nada kebingungan. Tidak memandang darjat atau pangkat, apatah lagi kemewahan, Maya berkata, dia cuma mengimpikan kehadiran seorang lelaki yang berani dan memiliki pendirian yang tinggi. Selesa mengemudi bahtera hidupnya secara sederhana, Maya berkata, dia berharap dipertemukan dengan jejaka yang berani mencuba sesuatu yang baru tanpa perlu terlalu menyogok dirinya dengan kemewahan. "Saya seorang yang ringkas. Saya lebih tertarik kepada lelaki yang berani mencuba dan percaya pada diri sendiri. "Saya tidak pandang bangsa, warna kulit atau rupa. Cukup jika dirinya mempunyai cita-cita dalam hidup, berkeyakinan dan berpekerti mulia," kata Maya yang tidak lama dulu pernah dihimpit gosip menjalin cinta dengan pelakon lelaki popular, Remy Ishak. Status janda tidak pernah membuat Maya terdesak, malah dia tidak mudah digula-gulakan dengan kemewahan atau janji manis lelaki berpunya. "Saya tidak mahu menyusahkan diri sendiri. Jika sudah tahu segala kemungkinan dan kesulitan yang bakal ditempuhi, mengapa perlu memilih jalan itu? Saya sentiasa sematkan di fikiran, di luar sana ramai lagi lelaki yang masih bujang cuma barangkali, jodoh belum sampai. "Saya tidak perlu terhegeh-hegeh seolah-olah terlalu terdesak mencari pengganti. Itu bukan cara saya. Saya tidak mahu dibebani masalah yang mampu ditepis dari awal," kata Maya mempertahankan prinsip dirinya. Produser usah kedekut buat perubahan Akui Maya Karin, selepas Cun dan Ombak Rindu, rezekinya dalam lakonan terbuka luas sekali gus membakar semula semangatnya yang pernah terhenti apabila langsung tidak mengambil sebarang tawaran sepanjang 2010. "Alhamdulillah saya masih kekal relevan ketika industri rancak dipenuhi oleh mereka yang bersemangat dan hadir dengan pelbagai idea luar biasa. "Cuma saya sedikit gusar apabila sepanjang 2012, kebanyakan filem gagal mencatat kutipan memberangsangkan. Sebagai pengkarya situasi itu agak merisaukan, apatah lagi selepas berbulan kami bertungkus lumus di lokasi penggambaran. "Sambutan perlahan itu umpama satu isyarat supaya produksi tidak ambil ringan soal pembikinan filem. Jangan cuma indah pada luaran tetapi pengisiannya tidak menitikberatkan kualiti. "Usah nafikan hak penonton yang semakin teliti memilih filem bagaimana yang mahu ditonton. Penerbit jangan kedekut jika mahu membawa produk mereka ke satu tahap membanggakan, " hujah Maya yang berharap produser dan pengarah filem lebih bertanggungjawab dan tidak hanya memikirkan keuntungan segera. MAYA KARIN
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |