Adsense

Rabu, 13 Jun 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Musim paling mencabar

Posted:

Musim paling mencabar

Musim paling mencabar

SEPANJANG dua musim program realiti TV Showdown dianjurkan oleh saluran 8TV sejak tahun 2010, ternyata ia membuka peluang kepada anak-anak muda yang berbakat tarian untuk bertanding dalam sebuah pentas yang besar.

Selain itu, menerusi program tersebut juga turut memperkenalkan beberapa jenis tarian seperti B-Boy dan Street Dance yang mungkin agak kurang dikenali sebelum ini.

Kini, program Showdown 2012 yang sudah memulakan saingan sejak 9 Mei lalu menyaksikan persaingan 12 kumpulan bagi merebut gelaran juara untuk musim yang ketiga.

Antara kumpulan yang bertanding seperti Dem Lepak Boyz, D'Vol Blacky Wacky, E.G.S Monster, Inversion, Kitta Move, Project Elementz, Soul Gang, Soul Krazy, Syko Breakerz Crew, The Hype, Walawei dan We Taking Over.

Bagaimanapun selepas tujuh minggu bertanding, grup D'Vol Blacky Wacky, E.G.S Monster, Inversion, Syko Breakerz Crew dan The Hype sudah tersingkir. Kini tinggal Dem Lepak Boyz, Kitta Move, Project Elementz, Soul Gang, Soul Krazy, Walawei dan We Taking Over yang sedang memberi persembahan terbaik untuk memastikan mereka mampu sampai sehingga pusingan final.

Berkesempatan bersua muka dengan dua kumpulan yang bertanding iaitu Dem Lepak Boyz dan dan Soul Krazy baru-baru ini, mereka sependapat mengatakan persaingan musim ini sangat mencabar.

Salah seorang wakil kumpulan Dem Lepak Boyz, Mohammad Faridh Mohd. Yasin atau lebih dikenali dengan panggilan Killer Khef berkata, rata-rata kumpulan telah membuat persiapan yang cukup rapi.

"Salah satu perkara yang paling menarik mengenai program pada kali ini apabila kebanyakan kumpulan yang bertanding sebenarnya pernah bersaing semasa musim yang pertama dan kedua.

"Dengan pengalaman yang telah diperoleh semasa menyertai Showdown sebelum ini, kami berusaha sebaik-baiknya untuk menampilkan aksi tarian yang mampu memikat hati juri," ujarnya.

Bercerita lebih lanjut mengenai kumpulannya itu, Faridh memberitahu, enam ahli kumpulan Dem Lepak Boyz pernah bersaing di pentas program realiti tarian tersebut. Antaranya, kumpulan Battle Crew dan Borneo Soul Breakerz pada musim pertama serta Force 136, Blazin Squad dan Borneo Crew semasa musim kedua.

Ujarnya, pada musim ini mereka telah sepakat untuk membentuk sebuah kumpulan baharu bagi meneruskan perjuangan dalam pentas Showdown serta memberikan saingan kepada kumpulan-kumpulan yang lain.

"Melihat kepada persaingan yang berlaku pada musim pertama dan kedua, ternyata musim ini lebih banyak memberi cabaran dan agak sukar menjangka kumpulan mana yang boleh bertahan atau tersingkir.

"Sebagai kumpulan yang mempunyai kekuatan menerusi jenis tarian B-Boy, kami akan cuba menampilkan yang terbaik dengan menerapkan elemen-elemen menarik agar tarian yang dipersembahkan memiliki keunikan tersendiri," jelasnya.



Ditanya mengenai sasaran kumpulannya itu selain bergelar juara, Faridh menyatakan mereka mahu menjadi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menceburi bidang tarian.

Guru tarian

Dalam saingan Showdown musim ini, Soul Krazy merupakan satu-satunya kumpulan yang terdiri daripada semua ahli wanita yang berjaya melayakkan diri sehingga ke peringkat Top 12.

Lee Yen Yen atau lebih dikenali sebagai Becky selaku ketua kumpulan tersebut berkata, jika pada dua musim lepas tiada kumpulan wanita yang berjaya layak sehingga ke peringkat akhir, kali ini mereka mahu membuktikan penari wanita mampu pergi lebih jauh dalam program ini.

"Sebenarnya kami semua merupakan guru tarian di sebuah kelas tarian yang dikenali sebagai Passion Danze Studio. Namun, kami tidak anggap kerjaya kami sebagai guru tarian memberi kelebihan dalam pertandingan ini.

"Setelah beberapa minggu persaingan berlangsung, kami melihat setiap kumpulan yang bertanding sememangnya sangat bagus. Maka, kami tidak boleh terlalu yakin dan memandang rendah terhadap keupayaan kumpulan lain," ujarnya.

Ketika ditanya apa yang membuatkan mereka berminat untuk menyertai rancangan tersebut, Yen Yen menyatakan penyertaan mereka dapat memberi peluang untuk mengasah lagi bakat tarian yang dimiliki.

"Sebagai tenaga pengajar kami cuma memberi tunjuk ajar kepada para pelajar tentang teknik asas tarian sahaja. Dengan menyertai rancangan ini, kami mampu menajamkan lagi skil serta mencipta gerak tari baharu," ujarnya.

Giliran E..G..S Monster

Pada saingan yang berlangsung pada minggu lalu, nasib ternyata tidak berpihak kepada kumpulan E.G.S Monster yang tidak dapat meneruskan saingan apabila gagal memberikan saingan kepada kumpulan lain.

Sewaktu persembahan yang berlangsung di KL Life Centre, Kuala Lumpur, kumpulan yang diwakili empat orang anak muda itu mendapat jumlah markah yang paling sedikit menerusi undian melalui khidmat pesanan ringkas penonton.

Biarpun ia merupakan percubaan kali kedua setelah pernah berada di pentas Showdown pada musim lalu, mereka masih lagi gagal untuk memberi sebuah persembahan yang mampu membuat juri memilih mereka.

Dengan saingan bertemakan tarian 'Dubstep', setiap kumpulan yang bertanding telah diberikan beberapa rentak lagu seperti remix, figure mix serta skrillex remix dan mereka perlu menampilkan aksi tarian menerusi rentak lagu tersebut.

Salah seorang ahli kumpulan tersebut, Mohamad Nadzri Che Saipolliza atau Kimi berkata, ketika menyertai Showdown musim kedua, mereka berjaya melayakkan diri ke pusingan Top 12, namun sudah tersingkir pada minggu pertama.


PERJUANGAN E.G.S Monster sekali lagi terkandas apabila tersingkir pada minggu lalu.


"Sebelum ini ahli kumpulan kami terdiri daripada enam orang, tetapi dua orang daripada rakan kami tidak dapat turut serta kerana mempunyai komitmen masing-masing dan kini tinggal kami berempat sahaja.

"Namun, yang menariknya tentang kami, sehingga kini memang tidak ada guru yang mengajar kami tentang tarian. Biasanya setiap malam kami berempat akan berkumpul di rumah salah seorang ahli kumpulan dan pada masa itu kami akan berlatih serta mereka cipta gerak tarian baharu," ujarnya.

Bagaimanapun, mereka kini terpaksa menerima hakikat bahawa nasib masih lagi tidak menyebelahi mereka untuk bersaing ke peringkat seterusnya apabila sekadar layak sehingga ke peringkat Top 8 sahaja.

Zizan 'berlakon' filem Cina

Posted:

Zizan 'berlakon' filem Cina

Zizan 'berlakon' filem Cina

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


ZIZAN RAZAK


GABUNGAN tiga suara selebriti terkenal Malaysia, Zizan Razak, Harun Salim Bachik dan Sharifah Shahira, filem Cina Ghost Buddies yang kini dialih suara ke bahasa Melayu dengan judul Kawan-Kawanku Hantu begitu menarik untuk ditonton seisi keluarga.

Filem komedi yang diterbitkan oleh Astro Shaw Sdn. Bhd. dengan kerjasama Double Vision Picture Sdn. Bhd. itu merupakan sebuah filem Cina terbitan Singapura lakonan pelawak terkenal Singapura, Mark Lee dan pemegang anugerah Pelakon Hong Kong Terbaik, Maggie Shiu.

Apa yang menarik, ketiga-tiga Zizan, Harun dan Shahira masing-masing tidak hanya mengalih suara untuk satu karakter sahaja tetapi mampu mengalih suara lebih daripada tiga karakter dalam filem Kawan-Kawanku Hantu.

Menjadi satu cabaran buat Zizan, Harun dan Shahira untuk memastikan setiap dialog yang diucapkan untuk setiap babak bersesuaian dan mencuit hati tetapi masih mengekalkan jalan cerita asal filem Ghost Buddies. Filem Kawan-Kawanku Hantu yang dialih suara oleh tiga pelakon itu kini dapat ditonton secara eksklusif di Astro First.

Menurut Pengurus Saluran Astro First, Shoba Devi, objektif utama versi alih suara dihasilkan untuk filem ini adalah supaya ia dapat ditonton oleh semua penonton sama ada dalam bahasa Cina atau bahasa Melayu.

"Astro First cuba mencipta kelainan dengan menggunakan inisiatif alih bahasa berbanding penggunaan sari kata kerana selain dapat menyuntik cita rasa tempatan ke dalam filem itu, mereka juga percaya ia juga dapat membuka ruang kepada filem seumpama itu untuk melebarkan capaian kepada seluruh penonton di Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, ungkap Pengurus Besar Tayangan Unggul Sdn. Bhd. iaitu Gayatri Su-Lin Pillai: "Melihat kepada sambutan yang baik terhadap filem Ghost Buddies di Singapura, kedua-dua produksi iaitu Astro Shaw dan Double Vision mengambil peluang menghasilkan filem alih bahasa khas buat penonton di Malaysia."

Tambah Gayatri, filem versi alih suara Kawan-Kawanku Hantu itu juga menggunakan khidmat pelawak-pelawak popular di Malaysia dan mereka telah memberi satu interpretasi kandungan yang segar, hebat dan lucu dalam filem tersebut.

Bagi melanggan filem Kawan-Kawanku Hantu, boleh kunjungi portal Astro First di Saluran Astro 480 dan ikuti langkah-langkah yang disertakan.

Setiap pembelian akan dicajkan

ke bil semasa pelanggan. Kadar caj

telco akan dikenakan untuk setiap khidmat pesanan ringkas. Untuk maklumat lanjut, layarilah www.astro.com.my/astrofirst.

Lohan yang salah - James

Posted:

Lohan yang salah - James

Lohan yang salah - James


LINDSAY LOHAN didakwa punca berlaku kemalangan antara keretanya dengan sebuah trak baru-baru ini.


Kisah Lindsay Lohan kemalangan dengan sebuah trak pada minggu lalu nampaknya masih belum berpenghujung.

Walaupun Lohan kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem terkininya, Liz And Dick, masih ada pihak yang mahu memanjangkan cerita tersebut.

Kali ini, pemandu trak yang hanya mahu dikenali sebagai James memberitahu punca kemalangan yang membuat kereta dipandu bintang tersebut remuk teruk kerana kesilapan Lohan sendiri.

Menurut laporan Dailymail, James mendakwa dia mengalami kerugian besar selepas insiden tersebut.

"Dia yang melanggar belakang trak saya. Dia yang bersalah," ujar James.

Dia turut memberitahu mempunyai ramai saksi tentang perlanggaran tersebut.

"Saya tahu ada saksi yang merakam kejadian itu. Itu sebagai bukti saya tidak bersalah," katanya lagi.

Sementara itu, ada khabar yang mengatakan insiden tersebut sengaja dirancang oleh James untuk mendapatkan duit daripada Lohan.