Adsense

Rabu, 13 Jun 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Kalis kontroversi

Posted: 12 Jun 2012 03:21 PM PDT

Hip

LAGAKNYA berpakaian seragam jururawat bernama Azura memang sangat berbeza dengan penampilan dan cerita yang sering dipaparkan di media mengenai Zarina Anjoulie.

Sememangnya nama Zarina Anjoulie tidak dapat dipisahkan dengan pelbagai cerita sensasi, panas dan kontroversi mengenai kehidupan sosial peribadinya.

Jarang sekali untuk ada cerita mengenai bakatnya sebagai pelakon. Mungkin kerana kehebatan cerita panas peribadinya menjadikan kemampuan sebenar sebagai pelakon tidak dipandang langsung. "Ada baik, ada kelemahannya. Memang saya tahu cerita peribadi lebih menarik minat orang media berbanding penampilan sebagai pelakon.

"Kebaikannya, saya sudah ada publisiti. Tak kiralah ia dilihat publisiti baik atau sebaliknya. Tapi sekurang-kurangnya boleh membantu mempromosikan diri saya apabila filem lakonan saya ditayangkan nanti," katanya.

Seorang yang dilihat periang, Zarina memang sangat peramah tatkala berada di lokasi penggambaran filem Amukan Buas Frankenstein Tempatan (ABFT) arahan Mamat Khalid di sekitar Taiping, Perak.

Walaupun agak tekun dan tidak boleh berenggang melayan pesanan Blackberry (BBM), dia masih ada masa bergurau senda dengan barisan kru produksi filem ini. Dalam filem ABFT, dia memegang watak Azura, seorang jururawat yang bertugas di sebuah kampung.
Dia kemudian diminta untuk merawat penduduk kampung yang sudah bertukar menjadi makhluk aneh akibat menjadi bahan uji kaji sebuah makmal sains.

ABFT adalah filem kedua daripada Mamat selepas Amir Dan Lukman Ke Laut. Sebelum itu, Zarina menjalani penggambaran filem Ular terbitan KRU Studio dan membuat persiapan untuk memenuhi undangan bagi rakaman program bertaraf antarabangsa Fear Factor yang dijangka dilakukan di Afrika Selatan.

"Tiga filem berturut-turut sepanjang tahun ini, saya rasa sudah memadai. Selepas ini, nak berehat.

Saya nak belajar dalam kursus English Legal System di sebuah kolej di ibu negara. "Selepas ini, saya nak memperlahankan lakonan sementara waktu. Lagipun, tahun depan sudah ada tiga filem lakonan saya menunggu masa untuk ditayangkan.

"Ketika banyak pihak berminat bercerita mengenai hal berkaitan peribadi, saya bersyukur sebab ada pengarah yang mahu menawarkan saya berlakon seperti Mamat Khalid. Tidak disangka pula, saya mendapat undangan untuk terbabit dalam program TV, Fear Factor. Semua itu di luar jangkaan saya kerana tidak menyangka ada pihak yang tahu untuk mempergunakan bakat saya," jelasnya.

Daripada nada perbualan ini, Zarina seolah-olah sudah tidak mahu ambil pusing dengan minat orang memperkatakan mengenai kehidupan peribadinya.

"Memang tidak ada apa yang hendak saya cerita. Tapi ada beberapa pihak yang desak dengan macam-macam pertanyaan. Bukan pasal lakonan tapi mencari cerita kontroversi. Kalau sudah itu yang dicari oleh mereka, apa boleh saya buat," kata wanita berusia 25 tahun ini.

Berdarah campuran Melayu, Iran dan Scotland, Zarina mula dikenali di pentas lakonan menerusi drama bersiri Anak Pontianak terbitan Pesona Pictures arahan oleh Datuk Paduka Shuhaimi Baba.

Mengulas berlakon di bawah arahan Mamat Khalid, dia mengaku kali ini ada perasaan gelisah kerana berasakan tidak memberikan mutu lakonan terbaik sedangkan sudah berusaha sebaik mungkin.

"Walaupun pengarah tak cakap apa-apa, tapi saya tetap berasa tidak senang hati.

Macam tak puas, ada sesuatu yang tidak kesampaian dalam menghidupkan watak yang diberikan.

"Tapi saya memang sangat berbesar hati, puas dan bangga kerana dapat berlakon dengan nama besar dalam filem seperti Awie, Adi Putra, Sofi Jikan dan Jehan Miskin. Saya masih dianggap baru dalam bidang lakonan.

"Peluang berlakon bersama mereka satu pencapaian yang besar dalam kerjaya saya," jelasnya lagi.