Adsense

Isnin, 11 Jun 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Zizan sayang Jue

Posted:

Zizan sayang Jue

Zizan sayang Jue

HUBUNGAN akrab antara aktres muda Juliana Evans atau Jue dengan aktor, pelawak dan pengacara popular Zizan Razak sudah lama diketahui khalayak semenjak mereka membintangi filem Hantu Bonceng. Namun, baik Jue mahupun Zizan tidak pernah memberi pengesahan secara rasmi tentang status hubungan mereka. Jawapan klise yang diberikan hanyalah sebagai teman rapat sahaja.

Bagaimanapun kemesraan luar biasa antara Jue dan Zizan disaksikan Kosmo! ketika mereka bertemu sempena ulang tahun kedua Mesra Mall di Kerteh, Terengganu yang turut menayangkan filem terbaharu lakonan mereka iaitu Mael Lambong.

Pertemuan tersebut merupakan yang pertama kali selepas lima bulan Jue meninggalkan tanah air demi menggenggam segulung ijazah dalam bidang pengajian filem, video dan media di Universiti Michigan, Amerika Syarikat. Jue pulang ke tanah air pada minggu lalu kerana cuti musim panas dan akan berada di Malaysia sehingga Aidilfitri ini.

Pengakuan tidak pernah terungkap di bibir masing-masing, namun tingkah laku dan lirik mata ketika ditemu bual tidak dapat menyembunyikan perasaan sebenar mereka berdua. Apabila ditanya rindu atau tidak kala berjauhan, jawapan yang diberi juga cukup jujur.

Sambil memandang Zizan, 28, yang berada di sebelahnya, Jue berkata: "Memang rindu sebab lama tidak jumpa. Ini kali pertama kami berjumpa selepas saya pulang ke Malaysia. Sebelum ini, Zizan sibuk dengan penggambaran filem Bikers Kental di Thailand. Kami belum sempat berborak panjang lagi."

Jue dan Zizan hanya tertawa dan saling berpandangan apabila disoal apakah hadiah yang dibawa pulang Jue untuk Zizan dan apakah kejutan yang dilakukan oleh Zizan kepadanya.

"Memang saya ada beli hadiah untuk dia, saya tidak boleh beritahu, saya ada simpan di rumah. Kejutan dia untuk saya, mana boleh beritahu, rahsia," ucap Jue malu-malu.

Jue dan Zizan yang sudah berkenalan selama lima tahun masih memilih untuk mengklasifikasikan hubungan mereka sebagai teman rapat, meskipun kedua-dua mereka sudah bertemu dengan keluarga antara satu sama lain. Zizan juga tanpa berselindung memberitahu, dia menyayangi Jue.

"Saya sayangkan Jue tetapi masih ada pagar. Betul, saya pernah jumpa keluarganya, ibunya banyak beri saya nasihat. Begitu juga dengan Jue, dia pernah jumpa ibu bapa saya. Ibu saya suka dan senang dengan Jue," kata Zizan tanpa berselindung.

Jue juga memberitahu, keluarga tidak membantah persahabatannya dengan Zizan, malah ibunya juga cukup senang terhadap perhubungan mereka.

"Mungkin sebab Zizan selalu tolong saya dan kami rapat, jadi keluarga saya juga baik dengannya. Zizan baik, selalu mengambil berat tentang diri saya, dia kelakar. Siapa yang tidak suka dengan dia (ketawa)," seloroh Jue yang membawakan watak seorang ejen perisik bernama Maria dalam filem Mael Lambong.

Fokus pada pengajian

Jue yang berusia 23 tahun bagaimanapun memberitahu dia belum bersedia untuk mempunyai komitmen dalam sebarang hubungan cinta kerana ingin memberi fokus terhadap pengajiannya yang akan tamat pada tahun 2014.

"Sebenarnya, saya tidak percaya pada cinta jarak jauh. Kalau saya bercinta dengan Zizan sekali pun, kami masing-masing sibuk dan berjauhan, saya lebih pentingkan pelajaran. Zizan kata mahu kahwin sebelum umur 30 tahun, jadi saya tidak masuk dalam senarai.

"Saya belum tentu akan pulang ke Malaysia selepas tamat pengajian kerana saya ingin bekerja dan menimba pengalaman di sana terlebih dahulu. Memang kami selalu berhubung, tetapi kalau sibuk kami buat hal masing-masing. Jika bercinta, saya akan terikat dengan komitmen dan saya belum bersedia," ujar Jue yang bakal menjalani penggambaran filem Dampak pada hujung bulan ini.

Jawab Zizan pula, dia juga memikirkan hal yang sama. Kesibukan jadual kerjanya membataskan dia untuk menyulam cinta dengan mana-mana gadis. Buat masa ini, fokusnya hanya pada kerjaya yang sedang berkembang.

"Alhamdulillah, saya tengah seronok bekerja. Siang dan malam, saya hanya bekerja sampai sakit. Saya tidak mahu kalau saya ada kekasih, dia akan rasa terabai kerana jika bekerja, telefon pun saya tidak pegang, jadi saya tidak mahu perkara itu berlaku. Lebih baik tidak terikat dengan sesiapa," beritahunya yang saling berhubung dengan Jue menerusi Twitter dan juga telefon.

JULIANA EVANS dan Zizan sekali lagi berganding dalam filem berjudul Mael Lambong. Mereka mengaku enggan memberi komitmen terhadap cinta kerana sibuk dengan kehidupan masing-masing.


Sungguhpun begitu, mereka tidak menolak jika ditakdirkan bertemu jodoh. Luah Zizan: "Saya tidak kisah bertemu jodoh dengan sesiapa pun, saya akan terima kerana itu kerja Allah. Cuma saya rancang sebelum umur 30 tahun, saya mahu berkahwin, tetapi tidak tahulah terlaksana atau tidak. Buat masa ini saya belum bersedia untuk kahwin."

Bercerita tentang pengalaman hidup Jue sebagai seorang pelajar universiti di Amerika, keceriaan terpancar pada riak wajahnya tanda dia bahagia, walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga dan teman-teman. Tiga bulan pertama perasaan rindunya terhadap keluarga sukar dikawal.

Tak nak balik Malaysia

"Seronok belajar di negara orang, mula-mula perasaan rindu sukar dikawal kerana lokasi tempat tinggal saya terletak di kawasan pedalaman. Nasib baik saya dapat teman serumah rakyat Malaysia yang pandai masak masakan Melayu, jadi terubat sedikit perasaan rindu pada keluarga," ujarnya.

Jelas Jue selepas tamat pengajian, dia tidak mahu segera pulang ke tanah air sebaliknya mahu menyambung kursus lakonan jangka pendek di Los Angeles dan mencuba nasib sebagai pelakon serta model di sana terlebih dahulu.

"Setakat ini keputusan pelajaran saya pun okey, jadi memang saya rancang untuk bekerja dan timba pengalaman di Amerika kerana di sana lebih banyak peluang. Tidak tahu bila saya akan pulang ke Malaysia, sebab saya sendiri tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa hadapan," jawabnya jujur.

Bukan hanya mahu meluaskan kerjaya seni, tegas Jue, terlalu banyak sebab mengapa dia membuat keputusan untuk tidak pulang ke tanah air selepas tamat pengajian.

"Saya mahu mencuba nasib, berjumpa dengan orang baharu, mengembara, banyak benda yang saya ingin buat. Walaupun saya mempunyai kerjaya di Malaysia, tetapi saya tidak mahu tersekat di Malaysia selamanya tanpa melihat peluang di luar," jelas pelakon itu.

Jika di Malaysia, ke mana sahaja kakinya melangkah ada sahaja mata yang memandang kerana status artis. Namun, berbeza apabila dia berada di Universiti Michigan, status artis terlucut dengan sendirinya, hanya pelajar Malaysia sahaja yang mengenalinya sebagai artis.

"Hanya pelajar Malaysia sahaja yang tahu, saya tidak pernah beritahu yang saya seorang artis di Malaysia. Kalau ada yang tahu sebab pelajar Malaysia di sana yang beritahu pelajar lain. Buat masa ini, saya menjalani kehidupan sebagai pelajar yang normal," kata bekas kekasih Sam, Bunkface itu lagi.

Watak Mael Lambong yang dibawa dengan cemerlang oleh Zizan ketika menyertai program Maharaja Lawak bersama Johan diangkat sebagai watak utama filem Mael Lambong arahan Ahmad Idham yang akan mula ditayangkan pada 21 Jun ini.

JULIANA atau Jue kini seronok menjalani kehidupan sebagai pelajar di Universiti Michigan, Amerika Syarikat.


Biarpun watak itu hanya diciptakan untuk program Maharajawa Lawak, namun populariti watak Mael Lambong melebihi jangkaannya membuatkan Zizan bimbang. Ujarnya, dia bimbang andai apa yang dipersembahkan dalam filem tersebut tidak sama seperti yang dibayangkan oleh penonton.

Elemen komedi

"Jujurnya saya bimbang sebab Mael Lambong lebih popular daripada Zizan. Harapan itu terlalu tinggi, saya bimbang Mael Lambong versi filem tidak dapat kalahkan Mael Lambong versi Maharaja Lawak. Apa yang saya boleh cakap, saya sukakan Mael Lambong versi filem kerana wataknya lebih berkembang," katanya.

Tidak hanya sarat dengan elemen komedi, Mael Lambong juga penuh dengan karakter yang segar. Bagi memberikan yang terbaik, Zizan mengalami kecederaan pada lengan kirinya ketika babak berlawan dengan watak Tiger lakonan Taiyudin Bakar.

Selain itu filem yang memperoleh klasifikasi umum itu mempunyai babak berlawan antara Zizan dan Jue yang dirasakan tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak. Enggan memberi sebarang komen mengenai babak yang dimaksudkan, Zizan berharap agar filem tersebut bebas kontroversi.

"Saya berharap babak itu tidak akan menimbulkan sebarang isu dan mendapat sokongan penonton. Memang filem Mael Lambong antara lakonan terbaik saya, saya cuba buat yang terbaik. Saya tidak buat lawak sepanjang filem, cuma situasi Mael Lambong yang membuatkannya jadi komedi," terangnya lagi.

Demi Moore makin ceria

Posted:

Demi Moore makin ceria

Demi Moore makin ceria


DEMI MOORE


Setelah bercerai dengan Ashton Kutcher, ternyata aktres Demi Moore mengambil masa yang agak lama untuk melupakan bekas suaminya itu. Namun, kini dia seakan-akan sudah dapat menerima hakikat terhadap penceraiannya itu.

Baru-baru ini aktres yang popular menerusi filem Ghost itu dilihat semakin ceria dan kelihatan asyik bergurau dengan beberapa orang rakannya ketika sedang menikmati hidangan di sebuah restoran.

"Semua orang di meja makan itu asyik ketawa semasa mereka berbual. Malah, Moore juga dilihat lebih santai dan seperti sudah melupakan apa yang telah berlaku terhadap dirinya sebelum ini," ujar satu sumber yang berada di restoran berkenaan.

Selain bermesra dan bergurau dengan rakan-rakannya, aktres itu juga turut melayan dengan baik para pekerja restoran serta beberapa pengunjung lain.

Beego mengaku pegang tangan Rozita

Posted:

Beego mengaku pegang tangan Rozita

Beego mengaku pegang tangan Rozita

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

BEEGO mengaku berpegang tangan dengan Rozita Che Wan, namun ia terjadi atas dasar kerja sewaktu sama-sama terbabit dalam drama Chef Cinta.


SETELAH dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan beberapa artis lelaki seperti Shahir AF dan Zain Saidin, kini tiba-tiba pelakon janda popular Rozita Che Wan dikatakan bercinta pula dengan Beego.

Biarpun Rozita pernah menafikan mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan Beego pada akhir bulan lalu, kali ini timbul pula gosip berkenaan kedua-dua pelakon tersebut apabila dilihat berpimpin tangan semasa di pusat beli-belah Pavilion dan The Curve.

Sementara itu, Beego pula pada bulan Februari lalu pernah memberitahu Kosmo! bahawa dia sedang menjalinkan hubungan dan sudah bertunang dengan seorang ahli perniagaan bernama Azlina pada April 2011.

Ingin mendapatkan kepastian terhadap status sebenar mengenai hubungan Rozita dan Beego, Kosmo! telah menghubungi kedua-dua pelakon berkenaan bagi mendapatkan penjelasan yang sebenar terhadap gosip yang timbul.

Kosmo!: Benarkah Beego dan Rozita Che Wan pernah keluar berdua-duaan sambil berpimpin tangan?

Beego: Tidak. Saya sendiri sangat hairan apabila cerita ini timbul. Memang kami berdua ada berpimpin tangan, tetapi ia hanya satu lakonan sewaktu kami menjalani penggambaran drama Chef Cinta. Mungkin individu atau pihak yang melihat dan menyebarkan gosip tersebut tidak tahu yang kami sedang menjalani penggambaran, sehingga menyebarkan cerita yang tidak benar.

Bagaimana boleh timbul gosip tersebut?

Itu saya tidak tahu. Saya ingin menegaskan bahawa lelaki yang dimaksudkan keluar berjalan-jalan dengan Rozita sambil berpimpin tangan di Pavilion dan The Curve itu bukan saya.

Jadi, anda memang tidak pernah keluar berdua-duaan dengan Rozita?

Memang kami tidak pernah keluar berdua-duaan sehingga sekarang. Kalau ada yang nampak saya dan Rozita berdua, itu semasa kami menjalani penggambaran drama Chef Cinta yang dilakukan di Port Dickson dan sekitar Kuala Lumpur. Saya minta maaf, kalau boleh saya tidak mahu mengulas mengenai perkara ini dengan lebih lanjut.