Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Anzalna mula mengorak langkahSEBAGAI pendatang baharu dalam dunia lakonan tempatan, tidak sukar buat pelakon Anzalna Nasir untuk menerima banyak tawaran lakonan. Apatah lagi dengan memiliki raut wajah yang jelita, pastinya dia mampu menjadi rebutan penerbit atau pengarah untuk memegang peranan utama dalam sesebuah drama. Bagaimanapun, pelakon tersebut seakan-akan tenggelam dan kerap kali dibayangi rakan seangkatan yang lain dalam bidang seni seperti Neelofa dan Izara Aishah. Bermula pada tahun ini, barulah kehadiran pelakon itu mula disedari ramai. Mengakui namanya agak kurang dikenali sebelum ini, Anzalna menafikan ia berlaku kerana dibayangi kedua-dua orang rakannya itu yang terlebih dahulu dikenali ramai. Sebaliknya, ia berpunca daripada watak yang selalu dibawanya dalam beberapa drama lakonannya sebelum ini. "Saya akui selama ini saya jarang mengambil tawaran berlakon yang memerlukan saya membawakan watak utama, biarpun tawaran sebegitu memang banyak saya terima. Ketika awal kemunculan saya dahulu dalam bidang ini, saya lebih gemar membawakan watak pembantu atau antagonis. "Mungkin itu yang menyebabkan penglibatan saya dalam dunia lakonan kurang disedari ramai. Namun, dengan segala pengalaman yang diperoleh sepanjang hampir setahun bergelar pelakon, kini saya sudah bersedia sekiranya ditawarkan memegang watak utama," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Indera Joned baru-baru ini. Ketika ditanya apa yang menyebabkan dia bersedia untuk memegang watak utama, pelakon yang berasal dari Kuala Lumpur itu menjelaskan kini dia sudah mempunyai keyakinan yang cukup tinggi berbanding ketika mula-mula bergelar pelakon dahulu. Ujarnya, sebelum ini dia tidak mempunyai tahap keyakinan yang cukup tinggi dan pengalaman yang cukup luas untuk menerima tawaran memegang watak utama serta tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak terutama sekali penerbit atau pengarah. "Saya percaya tanpa adanya keyakinan pasti saya tidak mampu untuk memberikan yang terbaik. Jadi, langkah paling tepat yang saya lakukan adalah dengan menerima watak pembantu sahaja terlebih dahulu bagi menimba seberapa banyak pengalaman dalam bidang ini. "Berbekalkan pengalaman yang diperoleh sepanjang bergelar pelakon selama hampir setahun, kini saya mula mendapat keyakinan dan sudah tiba masanya untuk berhadapan dengan cabaran yang lebih besar lagi agar kerjaya lakonan saya semakin berkembang," ujarnya. Sebagai langkah permulaan, pelakon berkenaan berkata dia bersetuju menerima tawaran untuk memegang watak utama dalam drama bersiri Indera Joned yang sudah mula bersiaran sejak 21 Mei lalu pada pukul 9 malam setiap hari Isnin di TV3.
Menurut Anzalna, dalam drama tersebut dia memegang watak utama sebagai Dr. Sara, seorang pensyarah yang sering melakukan kajian terhadap artifak lama dan mengakui watak yang dibawakan itu agak berbeza dengan drama lakonannya sebelum ini. "Pada mulanya saya agak berbelah bahagi sama ada mahu menerima atau menolak tawaran untuk berlakon dalam drama ini, tetapi apabila difikirkan kembali sampai bila saya perlu tolak setiap tawaran yang menawarkan saya memegang watak utama. "Bagaimanapun, saya tetap bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan oleh pengarah, Fairuz Loy untuk membawakan peranan sebagai Dr. Sara. Sekarang ini perasaan saya memang cukup berdebar untuk menunggu reaksi daripada penonton terhadap drama ini," ujarnya. Selain Anzalna, drama pengembaraan 'Indiana Jones' versi komedi itu menampilkan pelakon-pelakon seperti Aiman Hakim Redza (Epul), Puteri Sarah (Rina), Hairul Azreen (Aiman), Syazwan Zulkifli (Izzi), Qushairi Razali (Jaafar Ringgo) dan Idris Md. Diah (Prof. Dr. Azli). Drama bersiri 13 episod terbitan Grand Brilliance itu mengisahkan tentang Epul yang mendapat kuasa aneh apabila terjumpa gelang kepunyaan Indera Joned, seorang legenda yang cukup terkenal kerana mempertahankan harta berharga daripada dirampas oleh Bintara Hitam dan rakan-rakannya. Tayang kekasih Ketika ini pastinya sudah ramai peminat yang tahu bahawa hati Anzalna kini sudah menjadi milik seorang jejaka yang dikenali sebagai Mohamad Hanif Mohamad Zaki. Hampir setahun bercinta, pelakon berkenaan mengakui sedang melalui fasa bahagia bersama kekasihnya. Namun begitu, tindakannya yang gemar menayangkan kekasihnya sama ada melalui laman sosial Twitter miliknya, tampil bersama dalam majlis-majlis tertentu dan terbaharu menerusi majalah Mangga edisi Mac lalu ternyata telah menimbulkan persepsi negatif segelintir pihak. "Apa salahnya kalau saya bertindak menayangkan kekasih kepada khalayak, sekurang-kurangnya saya tidak perlu berselindung atau menyembunyikan status diri. Lagipun apa yang saya lakukan ini tidak menyakiti hati mana-mana pihak. BARISAN pelakon drama bersiri Indera Joned (dari kiri) Hairul Azreen, Anzalna, Aiman Hakim, Syazwan Zulkifli, Puteri Sarah dan Qi Razali. "Sejujurnya, saya bukan individu yang memiliki ramai kawan dan Hanif juga merupakan teman saya yang paling rapat. Jadi, dia yang kerap berada di sisi saya ke mana-mana sahaja termasuk menemani saya apabila diundang ke sesebuah majlis," jelasnya. Tegas pelakon yang semakin dikenali ramai menerusi drama Mahabbah itu lagi, perkara mengenai menayang kekasih sewajarnya tidak menjadi isu yang terlalu besar, asalkan dia dan kekasihnya tidak membuat sebarang kesalahan atau melanggar batas. "Tidak semestinya setiap masa dia perlu bersama saya kerana kalau ada masa terluang saya juga akan berkumpul bersama ahli keluarga," ujarnya lagi. Biarpun kekasihnya itu masih berasa selesa menjalinkan hubungan cinta dengan artis seperti dirinya, tetapi Anzalna memberitahu kekasihnya tetap risau apabila ada cakap-cakap belakang yang mengatakan dia sekadar mahu menumpang populariti apabila bercinta dengan seorang pelakon. "Mengenai perancangan untuk mendirikan rumah tangga pula, kami belum pernah berbincang hal itu. Saya memang meletakkan sasaran untuk berkahwin pada usia 26 tahun, namun itu semua bergantung kepada keadaan dan Hanif sendiri pun tidak kisah," jelasnya. | ||
Posted: Versus milik HujanMENJADI juara sulung Versus, Hujan membawa pulang RM200,000 dan mereka mahu menggunakan duit tersebut untuk melebarkan bisnes Hujan. HUJAN menjadi juara sulung program realiti Versus. Ia bukan satu kejutan, malah satu keputusan yang tepat telah dibuat oleh para pengundi untuk menobatkan band tersebut sebagai juara. Program tersebut sekali gus menjadi kayu ukur buat populariti Hujan yang pernah dibenci oleh segelintir peminat pada awal kemunculan mereka, dan kredibiliti sebuah band tempatan yang bukan picisan. Seperti mana yang diberitahu oleh mereka saban minggu bahawa Hujan mahu khalayak melihat sisi lain dan keupayaan mereka bermain dengan kreativiti, disiplin dan memahami dengan baik konsep pertempuran Versus. Bukan ingin menafikan kredibiliti empat band lain. Siapa yang boleh menyangkal tentang betapa maju dan kreatif karya hasil band Go Gerila! atau Black & Parallax yang memang memberi persembahan luar biasa setiap minggu. Begitu juga 6itxh Sense dan Sofazr yang tidak gentar bersaing menghasilkan karya terbaik pada setiap minggu. BLACK & PARALLAX disarankan agar membentuk terus band tersebut kerana mereka mempunyai kualiti yang baik untuk dihidangkan kepada peminat muzik tempatan. Namun untuk Hujan, sejak minggu pertama pertempuran, mereka telah melanggar semua kubu pertahanan empat band lain dengan rakus. Setiap minggu, karya yang dihasilkan tidak pernah sama, namun jauh sekali meninggalkan identiti Hujan sendiri. Mereka terbang bebas dengan kreativiti yang tidak bersempadan. Malah pada malam final, menerusi sedutan temu bual yang dipaparkan, Noh dan teman band lain tidak berhenti menyeru peminat mereka yang digelar sebagai Raingers agak tidak lalai dan terus mengundi mereka untuk muncul juara. Di atas pentas setiap kali selepas membuat persembahan juga, Noh tidak segan silu menyuruh Raingers mengundi mereka. Mereka tampak benar-benar ingin menang. "Kami memang ingin menang dan tak sangka kami betul-betul menang," ujar Noh dalam sidang akhbar yang diadakan sejurus tamat final Versus yang berlangsung di U8, Shah Alam, Selangor. Hujan membawa pulang RM200,000 hasil persembahan mantap serta kreatif mereka untuk lagu Dan Bila Esok dan Lamunan Terhenti (pusingan medley mash-up), sebuah lagu baharu Ke Arah Selatan dan lagu battle, Pawana. 6IXTH SENSE turut memberi saingan dengan membuat persembahan terbaik mereka. Dengan duit kemenangan tersebut, mereka mahu gunakan ia untuk melebarkan bisnes, memperkemas studio rakaman dan memberi sama rata kepada setiap ahli yang telah bertungkus-lumus memerah otak untuk menjadikan impian mereka muncul juara terlaksana. Sementara itu, pada malam final tersebut, Black & Parallax membawa lagu Merisik Khabar dan Sekadar Di Pinggiran, serta sebuah lagu baharu berjudul Aku Versus Kamu, Go Gerila! dengan lagu Biso Bonar dan Curiga serta lagu baharu yang diberi judul Hadiah, Sofazr mempertaruhkan Basikal dan Inilah Nasibku bersama lagu baharu mereka, Berakhir dan 6ixth Sense dengan lagu Warisan dan Fiona serta lagu baharu berjudul Hossi. Lima buah band yang bertanding telah menunjukkan keupayaan mereka, malah dalam masa sama, sewaktu bertempur, semua 'senjata' telah dikeluarkan demi membuktikan kredibiliti. Biar tewas, namun secara tidak langsung, setiap band telah berjaya mengutip banyak pelajaran untuk memantapkan kualiti mereka sebagai sebuah band yang padu. - MALIAH SURIP | ||
Zhou, Vicki bergaduh di lokasi Posted: Zhou, Vicki bergaduh di lokasiVICKI ZHOU PELAKON ganti sering diperlukan dalam sebuah produksi. Bagi filem aksi, pelagak ngeri diperlukan bagi menggantikan pelakon untuk melakukan adengan berbahaya. Begitu juga untuk adegan bogel dalam filem yang mana jika pelakonnya mengelak untuk melakukan aksi ranjang tersebut, pelakon ganti diperlukan. Namun bagi aktres terkenal China, Zhou Xun, dia memerlukan pelakon pengganti untuk mengelakkan dirinya daripada berlakon dalam babak yang sama bersama pelakon jelita Vicki Zhou. Kedua-dua aktres tersebut telah digandingkan dalam filem Painted Skin 2. Ujar sumber kepada Maydaily: "Di lokasi filem Painted Skin 2, Zhou Xun dan Vicki Zhou sering bergaduh sehingga menendang kerusi. Puncanya bagaimanapun tidak diketahui. Paling teruk, kini Zhou Xun meminta agar pihak produksi menggunakan pelakon ganti untuk menggantikan dirinya ketika berlakon dalam babak yang sama dengan Vicki Zhou." Menurut sumber itu lagi, kedua-dua aktres tersebut juga langsung tidak pernah berkomunikasi sepanjang penggambaran filem tersebut. Nampaknya, khabar mengenai pergaduhan kedua-dua aktres ini secara tidak langsung bakal memberi impak sama ada negatif atau positif untuk filem tersebut yang bakal ditayangkan mulai esok, 7 Jun. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |