Hip
Air mata iringi majlis pernikahan Nurul, Eric MAJLIS pernikahan bertemakan perkahwinan dalam taman Inggeris bertukar menjadi hujan air mata sebaik penyanyi berkulit hitam manis, Nurul Huda Abdul Wahab dan pasangannya, Eric Daniel Depp diijabkabulkan di Duchess Place, di ibu kota, semalam.
Ketika bekas isteri komposer terkenal, Ajai, diberi peluang untuk berucap di depan 200 tetamu, dia teresak-esak menangis. Malah ketika sidang media yang menjadi penutup kepada majlis indah dihadiri ahli keluarga Nurul dan rakan terdekat itu, manik jernih masih membasahi pipinya. Majlis pernikahan itu cukup mendebarkan dirinya, tidak ubah seperti perkahwinan pertama buatnya.
"Saya cukup terharu kerana apa yang dirancang berjalan lancar. Majlis ini mengujakan kerana ia dipenuhi dengan tangisan air mata dan penuh emosi. Dia lelaki yang menyenangkan, memahami dan apabila memandang dirinya, seolah-olah saya memandang diri saya. Sememangnya bukan mudah untuk menjadi diri saya selama ini dan tidak sangka, lelaki ini hadir untuk saya," katanya sebak.
Nurul turut membuka rahsia, sesi perkenalannya dengan lelaki Perancis bermula menerusi rakan baiknya, pelakon Zahida Rafik, yang turut hadir meraikan hari gembiranya.
"Allah menghantar dia untuk saya dan semuanya bermula apabila Zahida memperkenalkannya kepada saya ketika mahu mendekati produk Herbalife yang menjadi perniagaan suami kini.
"Saya hairan dan kecewa dengan tohmahan orang terhadap Zahida selama ini. Dia sebenarnya berhati mulia kerana sudah membantu mendirikan sebuah masjid (perkahwinan)," katanya yang percaya, lelaki baik hadir dalam keluarga yang baik juga.
Antara rakan artis lain yang hadir memeriahkan majlis ialah Amy Mastura, Misha Omar dan Jehan Miskin. Majlis diacarakan Ieda Moin dan Shah Shamsiri.
Cantik bak puteri diraja, Nurul yang memakai gaun polos putih mutiara hasil sentuhan Rizman Ruzaini dan solekan Deq Sha turut terharu apabila ibu serta bapa mentuanya, Germaine dan Roland Depp hadir merestui perkahwinan mereka.
Sepanjang majlis, Germaine, seperti menantunya, tidak dapat menahan sebak bercampur gembira dengan perkahwinan itu. Dalam ucapannya, dia turut menitiskan air mata hingga terpaksa ditenangkan Eric, yang berlari ke arahnya lalu merangkul erat wanita terbabit.
Selepas menceritakan minat dan latar belakang anak sulungnya sambil memberitahu, dia teringatkan kata-kata anaknya ketika kecil, Erc mahu mengahwini dirinya, Nurul pula memeluk ibu mentuanya sambil diperhatikan Roland yang turut tidak dapat mengawal emosinya.
"Kami berasal dari perkampungan kecil di Perancis. Eric anak yang baik dan suka mencuba perkara baru sejak kecil lagi. Ketika usia kecil, dia ada memberitahu saya, dia hanya mahu mengahwini saya apabila besar nanti. Nampaknya dia tidak mengotakan janjinya. Walaupun dia anak tunggal, dia sudah memberi saya seorang anak perempuan (menantu) yang baik dan cantik sekali," katanya dalam bahasa Perancis sambil diterjemah pengacara majlis.
Majlis bertambah indah apabila Nurul turut diapit anak perempuannya, Ayu Nazirah, yang mengiringi laluan masuk ibunya sebelum dinikahkan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam, Jabatan Agama Islam, Wilayah Persekutuan, Azizan Othman.
Dengan hanya sekali lafaz, pengantin perempuan yang diwalikan abangnya, Rizal Abdul Wahab, selamat diijabkabulkan dengan mas kahwin RM80 dan cek hantaran bernilai 5,000 Euro (RM19,863.35) tepat jam 11.20 minit pagi.
Ayu punya dua ibu, dua bapa
TETAMU nyata tidak dapat melepaskan pandangan ke arah anak tunggal Nurul, Ayu Nazirah, 14, yang sentiasa setia berada di sisi ibunya. Daripada riak wajahnya, dia cukup gembira dengan perkahwinan kali kedua penyanyi itu, setelah lima tahun hidup sendiri.
Memiliki raut wajah persis ibunya dan mampu menyanyi dengan baik, Ayu berkata, dia gembira apabila ibunya sudah ada teman baru. Lebih menggembirakan dirinya apabila lelaki yang menjadi suami ibunya itu dianggap sebagai insan yang 'boleh dipercayai'.
"Tidak tahu bagaimana mahu menerangkan jenis kegembiraan yang saya alami ketika ini. Perkara ini sudah diberitahu ibu awal tahun ini dan saya menerimanya dengan hati terbuka. Sejak itu, saya cuba memanggilnya sebagai 'Daddy'.
'Sebelum ini, ibu ada juga memperkenalkan beberapa rakan lelakinya kepada saya, tetapi Daddy sangat berbeza kerana ketika bersamanya, saya rasa seperti berada di sisi ayah kandung. Tetapi apa pun, tempat ayah kandung saya tiada galang gantinya.
"Saya gembira kerana sudah ada dua ibu dan dua ayah untuk berkongsi sayang," kata pelajar Sekolah Berasrama Tun Fatimah di Johor Bahru ini, sambil memberitahu dia juga mahu mempelajari bidang seni.