Adsense

Khamis, 21 Jun 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Suami Ana tak pernah halang

Posted: 20 Jun 2012 07:48 AM PDT

ADA segelintir pengarah di luar sana yang khabarnya masih takut-takut untuk menyunting pelakon wanita ini selepas dia mendirikan rumah tangga.

Itulah dilema dialami pelakon yang cukup dikenali menerusi aksi beraninya dalam filem Mantra, Ana Dahlia selepas bergelar isteri kepada anak tukang masak terkenal, Datuk Chef Wan iaitu Mohd Nadzri Redzuawan (Chef Riz), sejak tujuh bulan lalu.

Hakikatnya, cinta pemilik nama sebenar Diyana Mastura Jaafar, 29, ini tidak pernah luntur dalam bidang lakonan sampailah sekarang.

Malah, Ana juga masih menanti tawaran watak yang benar-benar mencabar kemampuannya sebagai pelakon baru sekali gus mengukuhkan lagi nama yang sedia ada.


Pelakon jelita yang juga bekas pramugari AirAsia ini sangat bertuah kerana suami cukup memahami dan memberi sokongan padu kepadanya untuk meneruskan karier dalam bidang seni tempatan.


"Suami tidak pernah menghalang saya berlakon asalkan saya tahu membahagikan masa antara karier dan rumah tangga serta menjaga batas-batas sebagai isteri. Saya juga dipesan agar menjaga nama baik keluarga kedua-dua belah pihak.

Maklumlah, suami sibuk menguruskan restoran miliknya dan hanya pulang ke rumah pada jam 11 malam.

"Kalau saya berlakon, selalunya waktu penggambaran akan berakhir waktu yang lebih kurang sama. Justeru, lebih baiklah saya berlakon dan melakukan perkara yang diminati untuk mengelakkan saya berasa bosan duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa langsung.

"Apa yang penting, kami akan tetap dapat habiskan masa berkualiti bersama apabila kami bersama di rumah," katanya.

Sebagai pendatang baru, Ana akui tidak kisah bawa watak pembantu dalam drama dan filem asalkan karakter itu meninggalkan kesan mendalam pada penonton.

Antaranya, dia melakonkan watak antagonis, Sufi dalam drama bersiri 13 episod, 3 Janji arahan Heykal Hanifah yang diterajui Liyana Jasmay, Shahrizal Jaszle, Shah Iskandar dan Hanez Suraya yang melabuhkan tirainya di TV3, baru-baru ini.

"Sufi, gadis yang lemah lembut dan nampak baik hingga Dalia (lakonan Liyana) sendiri tidak tahu dia sebenarnya jahat hingga ke penghujung episod cerita ini.
Namun watak antagonis ini belum betul-betul jahat untuk mencabar lakonan saya," katanya.

Terbaru, Ana ditawarkan beraksi watak utama dalam drama 7 Ramadani arahan Shahrulezad Mohameddin sempena tayangan bulan puasa nanti di TV3 yang akan memulakan penggambarannya tidak lama lagi. Dia bakal bergandingan dengan pelakon baru Fir AF dan Elly Suriaty, selaku teraju utamanya.

"Sebenarnya, Abang Ezad mencari saya menerusi laman facebook dan dia terus tawarkan saya berlakon dalam drama terbaru arahannya itu selepas berjaya menghubungi saya.

"Memang saya sudah lama ingin bekerja dengan Abang Ezad kerana tidak dapat bekerjasama dengannya pada tahun lalu. Pada masa sama, selepas baca skrip cerita ini, saya terus tertarik untuk bawa watak Anang, gadis lemah lembut anak orang kaya. Watak yang ditawarkan juga ada kelainan dari yang pernah dilakonkan sebelum ini," katanya.

Antara lakonannya sebelum ini ialah drama Bukan Untukmu yang disiarkan di TV9 dan Metro Skuad pula di TV2.

Ana ditemui di majlis meraikan pemenang bertuah, Nur Syazana Mat, 25, dan empat sahabatnya menikmati makan malam istimewa bersama barisan pelakon utama drama bersiri untuk Slot Lestary TV3, 3 Janji yang berlangsung di Luna Bar, Hotel Pacific Regency, Jalan P Ramlee, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kata Ana, selain suami, ayah mentuanya, Chef Wan juga adalah pengkritik tetap lakonannya ketika ini.

"Papa juga kerap menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) bertanya khabar saya dan Riz. Saya sendiri turut meminta dia menonton lakonan saya di kaca TV dan selalunya komen yang diberikannya sangat membina untuk saya meningkatkan prestasi sedia ada.

"Pada peringkat awal, saya rasa takut dan segan dengan Papa tapi beliau sendiri selalu tunjukkan tiada jarak antara kami dan sangat mesra kerana dia menyayangi saya sama seperti anak-anak kandungnya yang lain.

"Apabila kami berjumpa, papa akan peluk saya dengan erat sama seperti dia melayan anak-anak sendiri. Malah, Papa juga sudi meraikan hari jadi saya pada 21 Jun, Riz (28 Jun) dan Serina (1 Jun) yang kebetulan jatuh pada bulan yang sama, baru-baru ini.

"Setiap kali ada masa lapang, kami akan berjumpa di rumah Papa sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan sedia ada," katanya.

Barangkali ramai yang tahu, Ana juga cekap di dapur dan dialah yang memasak di rumah walaupun suaminya chef terkenal.

"Riz memang suka 'air tangan' saya di rumah. Menu wajib suami yang dia tak pernah jemu sejak kami berkahwin adalah Sup Tulang, Tom Yam Merah dan Kangkung Goreng Belacan. Selalunya saya tidak mahu orang 'kacau' kalau saya di dapur kerana saya memang jenis pantas kalau memasak.

"Sesekali Riz juga memasak makanan kegemaran saya iaitu Nasi Goreng Yeongchow yang cukup istimewa kerana ada daging salai di dalamnya. Selain itu, ialah sajian pencuci mulut 'creme brulee' yang nampak seperti puding karamel," katanya.

Seperti pasangan muda lain, Ana dan Riz nampaknya tidak terlepas apabila mula dilontarkan soalan mengenai cahaya mata.

"Maklumlah, anggota keluarga lain termasuk adik ipar saya, Serina sudah pun ada dua anak. Cuma saya dan Riz yang belum lagi ada rezeki. Kalau diikutkan kami berdua memang dah bersedia untuk menimang cahaya mata dan melengkapkan lagi rumah tangga kami.

"Kami sudah berjumpa doktor dan nampaknya kami suami isteri tiada masalah kesihatan untuk dapat anak sendiri. Cuma masanya belum lagi.

"Saya bersyukur kerana keluarga saya dan mentua tidak mendesak cukup memahami kerana mereka tahu saya akan 'stress' apabila orang kerap bertanya soal anak.
Bagi saya, soal anak bergantung pada rezeki dan ketentuan Tuhan," katanya.

Apapun, akui Ana, rumah tangganya tetap bahagia.

"Saya berdoa semoga rumah tangga kami kekal hingga ke akhir hayat. Sebagai isteri, saya akui memang sukar untuk berjauhan dengan suami tapi nak buat macam mana kerana masing-masing ada tanggungjawab dan komitmen pada karier masing-masing," katanya.


Kegemilangan muzik Rock

Posted: 20 Jun 2012 07:34 AM PDT

SEBUT saja pentas Battle of The Bands atau Juara-Juara Rock 1980-an dan awal 1990-an, pasti teringat kepada lagu-lagu kumpulan rock kapak seperti Lefthanded, Bloodshed, Sofea dan Burnmarks.

Kumpulan terbabit masih diingati mengubah senario rock negara ini menerusi konsert rock 'live' dan lagu-lagu menyelitkan petikan gitar solo memukau dan pantas.

Apapun, kehebatan itu boleh disaksikan semula apabila konsert bertajuk Tribute To Rock Legend 2 diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ampang, Selangor pada 7 Julai ini.

Konsert bermula jam 8 malam akan menampilkan persembahan pelbagai gitaris rock hebat seperti Man Kidal, Joe Burnmarks, Mohd Noor Hendrix, Hamdan Bloodshed dan Sofea.


Apa lebih menarik, setiap mereka akan bergandingan kumpulan baru dan anggota sezaman yang banyak membuat 'session' untuk studio rakaman.


Joe yang dianggap sebagai Malmsteen Malaysia tampil bersama Get Back sementara pemain bass Lefthanded, Yan akan mempamer aksi bersama Md Noor, anggota Rusty Blade. Pemain gitar bass, Yunos yang pernah bergandingan bersama arwah gitaris Lefthanded, Samad juga akan menjayakan persembahan itu.

Man Kidal, perintis dan pelopor menyadur memperkenal bunyi muzik luar seperti kumpulan Deep Purple, Iron Maiden, Rising Force dan Michael Schenker Group (MSG) terhadap arena muzik rock Malaysia, akan bergandingan bersama gitaris lain menyampaikan lagu keramat Jimi Hendrix bertajuk Manic Impression.

Bercakap pada sidang media Tribute To Rock Legend 2 di Satay Station, Ampang Waterfront, Ampang, baru-baru ini, Man Kidal berkata peluang berada di pentas bersama gitaris rock hebat Malaysia adalah antara momen terbaik yang mereka cuba rasai.

"Saya mahu menjawab pelbagai pihak pernah mengajukan soalan bertanya kepada saya, apakah muzik rock sudah pupus? Jawapannya tidak. Ini kerana rock tetap akan mekar dan segar dalam ingatan setiap peminat genre ini dan akan terus dimainkan sampai bila-bila.

"Setiap gitaris ada keunikan masing-masing dan mereka akan menyusun lagu-lagu rock 1970-an dan 1980-an atau apa saja. Usia tidak menjadi halangan kerana Ritchie Blackmore mahu pun Akira Takasaki yang lebih tua daripada kami atau sebaya dengan Yngwie Malmsteen masih tetap bersemangat bermain gitar dengan persembahan bertenaga seperti dulu.

"Kami hadir dengan penampilan dan ekspresi lebih matang. Kami mahu mendedahkan generasi muda aspek teknikal dan menjadikan konsert ini sebagai platform terbaik mengenali muzik rock secara terus tanpa mendengar rakaman studio," katanya.

Joe, gitaris kumpulan Burnmarks pernah bergelar pemenang pertama Juara-Juara Rock Malaysia, menganggap gitaris rock atau 'shredder' negara ini seperti atlit sukan.

"Jika anda melihat ahli sukan negara bertarung dalam acara mereka, kami ibarat bertarung dalam acara petikan gitar dengan menjayakan persembahan selama satu jam atau lebih. Apa yang penting, kami ada 'leader' seperti Man Kidal atau Md Noor yang handal dan banyak membantu memperkuatkan imej gitar rock tempatan," katanya.

Hamdan, gitaris asal Bloodshed dan pemain keyboard, Judy, juga kembali bersama tiga anggota baru iaitu vokalis, Wan Zamri serta Joe (bass) dan Ewan (dram).

Tiket konsert Tribute To Rock Legend 2 berharga RM35 dan dianjurkan Sla Event dan Qlimax Design. Konsert Tribute To Rock Legend 1 pada 1 Mei lalu disertai oleh Sons of Adams, Lola &Friends, Get Back dan Napoleon Bonaparte. Untuk pertanyaan atau tiket, hubungi talian 014-6440229 atau 019-3037718.