Adsense

Rabu, 9 Mei 2012

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Sudah Ada Kekasih, Jehan Miskin Belum Sedia Kahwin

Posted: 08 May 2012 05:08 AM PDT

PUTRAJAYA: Pelakon Jehan Miskin mengakui masih belum bersedia untuk bergelar suami dan tidak menetapkan tempoh masa untuk mendirikan rumah tangga.

Jehan, 33, berkata, dia ingin memberi fokus kepada kariernya terlebih dahulu lebih-lebih lagi dia kini sibuk dengan urusan penerbitan program televisyen menerusi syarikat produksi miliknya, Mastermind Group.

"Walaupun sekarang ini musim artis-artis kahwin, cerita kahwin saya belum tiba lagi. Bagaimanapun saya akui sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang gadis dan hubungan kami sudah lebih daripada dua tahun.

"Jadi, bila dah sampai jodoh nanti, saya beritahulah. Walaupun usia saya semakin lanjut, tetapi biarlah buat masa ini kerjaya diutamakan dahulu," katanya.

Mengenai perkembangan teekini, Jehan baru sahaja selesai menjalani rakaman program MasterChef Celebrity (MC) di saluran Astro yang akan disiarkan tidak lama lagi.

Dia sanggup meluangkan masa untuk beberapa hari dengan belajar pelbagai masakan sebelum menyertai program tersebut.

"Apabila ditawarkan menyertai MC, saya terus menerimanya walaupun tidak tahu memasak. Ketika itu, saya ingin mencabar diri adakah saya mampu melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

"Dan beberapa hari sebelum rakaman, saya belajar memasak daripada seorang teman.

"Bayangkan, daripada tidak tahu apa-apa tentang masakan, kini saya mampu memasak pelbagai jenis makanan. Bagaimanapun, ketika rakaman dibuat, ada juga masakan saya yang tidak menjadi," selorohnya.

Sementara itu, sebanyak empat buah filem lakonan Jehan bakal ditayangkan pada tahun ini iaitu Apokalips, Awan Dania The Movie, Sepah The Movie dan Prince Of The City.

Manakala pada pertengahan bulan ini, Jehan akan menjalani penggambaran filem Amukan Frankenstein Tempatan, arahan Mamat khalid

Dira Tidak Beri Impak Sebagai Pengacara Melodi

Posted: 08 May 2012 05:06 AM PDT

PETALING JAYA: Pengacara Melodi, Dira Abu Zahar kurang memberikan impak kepada penonton dan disifatkan tidak sesuai mengendalikan program hiburan tersebut.

Menurut penerbit Melodi, Azman Abd Ghafar, walaupun Dira banyak menunjukkan kemajuan, tetapi dia tidak mempunyai keserasian bersama gandingannya, Zizan Razak.

"Sudah setahun dia bersama Melodi dan telah menunjukkan banyak kemajuan berbanding di awal kemunculannya.

"Bagaimanapun, apa yang pihak kami lihat, tempat Dira mungkin bukan di Melodi, tetapi dia mungkin sesuai mengacarakan program-program berbentuk pengembaraan," katanya yang ditemui selepas rakaman siaran langsung Melodi di Sri Pentas TV3, di sini, Ahad.

Tambah Azman, kenyataan yang diberikan itu bukan kerana ingin mengambil kesempatan terhadap Dira yang dikaitkan dengan dakwaan kes pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur sehingga mencetuskan kontroversi pada April lalu.

"Pihak kami bukan ingin mengambil kesempatan terhadap kelemahan Dira. Cuma apa yang dilihat, dia kurang menyerlah di Melodi dan berdasarkan rating penonton, kewujudannya tidak menunjukkan perbezaannya.

"Apa-apapun, pihak kami belum membuat sebarang keputusan sama ada ingin mengekalkannya bersama Melodi ataupun tidak. Biarlah kes dia selesai dahulu," ujarnya.

Sejak hampir sebulan ketiadaan Dira dalam Melodi, program tersebut kerap menggandingkan Zizan bersama bekas-bekas pengacaranya seperti Wahid dan Fauziah Ahmad Daud.

Malah, Awal Ashaari juga cuba digandingkan dengan Zizan sebelum ini sehinggalah pihak Melodi memutuskan untuk menggunakan khidmat Awal secara sepenuh masa bermula 20 Mei ini.

Gambit Keliru Mahu Jadi Pelakon Atau Tidak?

Posted: 08 May 2012 05:05 AM PDT

PUTRAJAYA: Pelakon Gambit Saifullah menjelaskan masih keliru dengan hala tuju kariernya sama ada mahu kekal sebagai seorang pelakon atau melakukan bidang profesional lain setelah kecewa dengan industri seni tempatan.

Gambit atau nama sebenarnya Mohd Saifullah Rosli, 27, berkata, walaupun dirinya jauh ketinggalan berbanding rakan-rakan seperjuangan, namun ia bukanlah satu isu besar untuk dia meneroka kerjaya seninya.

"Sudah setahun saya berehat daripada berlakon. Selain kecewa dengan cara kerja industri tempatan, saya masih tak tahu apa yang diinginkan untuk dijadikan sebagai karier tetap.

"Malah saya tak tahu sama ada nak teruskan berlakon atau mungkin sambung belajar dalam bidang psikologi di luar negara.

"Mungkin orang akan kata sudah terlambat untuk berfikir tentang masa depan, tetapi bagi saya, usia bukannya penghalang tetapi kita harus berfikir sebaik-baiknya untuk mengenali diri dan apakah perkara yang boleh membuatkan kita gembira dengan kerja itu," katanya yang ditemui pada majlis resepsi Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya di di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC), di sini, malam Ahad lalu.

Tambah graduan Diploma Kejuruteraan Mekanik dan Automotif di Kolej WIT ini, kekeliruan yang melanda mengenai masa depannya itu tiada kaitan dengan kontroversi yang pernah dialaminya sebelum ini.

"Kontroversi yang berlaku tiada kaitan pun dengan impian saya dan saya bukan mengejar wang, sebaliknya kepuasan diri.

"Alhamdulillah setakat ini peminat-peminat faham dan masih menyokong dengan setiap perkara yang saya lakukan," ujarnya.

Memandangkan pelakon ini berehat seketika, dia sedang sibuk dengan penerbitan rancangan pelancongan bersama penjaga gol bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat.

"Buat masa ini, fokus saya lebih ke arah kerja di belakang tabir dengan menghasilkan beberapa program dokumentari dan pengembaraan.

"Cuma, dengan apa yang dibuat sekarang, tidak bermakna saya berhenti terus daripada dunia lakonan," tegasnya.

Gambit pernah membintangi filem Misteri Jalan Lama, Cinta, Susuk, Rasukan Ablasa, Hantu Bukit Cina dan Karipap Karipap Cinta.

Lelaki Muda Bukan Pilihan Cinta Stacy

Posted: 08 May 2012 05:04 AM PDT



PETALING JAYA: Penyanyi remaja Stacy meminta agar para peminat tidak menyalahertikan keintimannya dengan anggota kumpuan VIP iaitu Fadlan Hazim Anuwar (Fadlan) dengan menganggap mereka sebagai pasangan kekasih.

Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam, 22, berkata pada hakikatnya mereka hanya akrab sebagai sahabat kerana sudah saling mengenali sejak beberapa tahun lalu.

"Memang saya rapat dengan Fadlan. Secara kebetulan tiga anggota lain kumpulan tersebut iaitu Adam, Marlon dan Yandy berasal dari Sabah, maka sebab itu kami menjadi rapat dan serasi.

"Boleh tanya kepada anggota VIP yang lain kami rapat macam adik-beradik tetapi tidak sampai ke tahap bercinta seperti yang digembar-gemburkan," katanya kepada mStar Online, baru-baru ini.

Stacy menambah, dakwaan yang mengatakan dia bercinta dengan jejaka berusia 20 tahun itu adalah tidak logik kerana secara peribadinya dia lebih selesa menjalin hubungan dengan lelaki lebih matang.

"Dia terlalu muda untuk saya seperti pangkat adik. Kalau pun saya hendak bercinta, biarlah lelaki itu lebih tua. Paling tidak pun biarlah lebih tua setahun dua daripada saya.

"Terus-terang, saya kurang berminat dengan lelaki yang lebih muda," jelasnya sambil menolak tuduhan kononnya Fadlan dikatakan punca hubungannya dengan Akim berakhir.
Fadlan (VIP)

Dalam perkembangan lain, Stacy berkata penglibatan dalam program Mania (Astro Ria) sejak lebih sebulan lalu membantu perkembangan kerjayanya apabila dia berpeluang untuk merakamkan lagu dengan komposer terkenal Indonesia, Ahmad Dhani.

Katanya, lagu duet bersama penyanyi baru Indonesia, Alexa Key berjudul Kimia Di Antara Kita itu sudah dirakamkan di Jakarta, Indonesia pada hujung Mac lalu.

"Lagu itu berentak pertengahan, tidak terlalu rancak atau perlahan. Ia sebuah komposisi yang segar dan berbeza daripada lagu-lagu yang pernah saya rakam sebelum ini.

"Saya difahamkan lagu itu akan dimuatkan dalam projek album khas Ahmad Dhani iaitu Antara Kuala Lumpur dan Jakarta dan akan dipasarkan pada tahun depan," kongsinya.

Azza Tidak Terbeban Hantar Suami Pergi Kerja

Posted: 08 May 2012 05:03 AM PDT






PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Nor Azzarima Zawari atau Azza (Elite) menganggap bukan satu beban apabila terpaksa menghantar suaminya Azlan Zulaily,25, yang bekerja sebagai Pramugara AirAsia ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) setiap hari.

Azza berkata, dia tidak berasa susah walaupun perlu berada pada pukul 4 pagi di LCTT kerana dia juga perlu keluar rumah awal untuk ke lokasi penggambaran.

"Bagus juga kena hantar di ke LCCT kerana selepas itu saya boleh terus ke lokasi penggambaran sekiranya jadual memerlukan saya tiba awal di lokasi awal.

"Ia tidak menjadi masalah buat saya malah gembira dapat menghantar suami ke tempat kerja," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Azza berkata, walaupun dia sering ditinggalkan kerana bidang tugas suaminya menuntut pengorbanan itu, Azza berkata, Azlan akan tetap pulang ke rumah apabila habis waktu kerja walaupun kadangkala perlu bertugas untuk penerbangan luar negara.

"Alhamdulillahlah kebanyakan tugasan Azlan adalah untuk penerbangan domestik, jadi dia akan balik ke rumah walaupun sudah lewat," ujarnya.

Tambah Azza, sebagai suami isteri mereka perlu mempunyai sikap tolak ansur untuk memastikan rumah tangga yang baru dibina itu bertahan sehingga ke akhir hayat.

Sementara itu, Azlan berkata, perkahwinan yang dilaluinya menjadikan dia lebih bertanggungjawab selain berasa bertuah kerana memiliki Azza yang sangat memahami dan banyak bertoleransi terutamanya dalam soal remeh temeh.

"Azza sebenarnya seorang yang kelakar dan suka berterus terang. Itu adalah antara sifatnya yang saya kagumi dan tertarik dengannya," kata Azlan.

Azza, 34 dan Azlan, 25 diijabkabulkan pada 1 April lalu di Bukit Antarabangsa dekat sini.

Dia sebelum ini pernah berkahwin dengan Mohd Ehsan Tun Ahmad Zaidi Adruce pada 14 Februari 2001 di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur dan berpisah pada tahun 2005.

Hasil perkahwinan pertama itu mereka tidak mendapat cahaya mata sebaliknya Azza memilih untuk memelihara seorang anak angkat iaitu Marissa Janna yang kini berusia tujuh tahun.

Kerana Percaya, Awal Tidak Sekat Kerjaya Scha

Posted: 08 May 2012 05:02 AM PDT



PUTRAJAYA: Pelakon dan pengacara, Awal Ashaari memberitahu tidak akan menyekat kerjaya seni isterinya iaitu Scha Al-Yahya selepas kedua-dua mereka bergelar suami isteri.

Awal berkata, dia meletakkan kepercayaan penuh terhadap isterinya itu dan yakin Scha tahu batasannya sebagai isteri orang.

"Tiada sebab mengapa saya perlu menghalang kerjaya seni isteri saya kerana sebelum berkahwin pun memang itu kerjayanya.

"Saya menaruh keyakinan penuh Scha akan menjaga diri dan lebih peka terhadap tawaran yang diterimanya selepas ini," ujarnya kepada mStar Online.

Pasangan itu selamat bernikah dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Pullman, Putrajaya dekat sini pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Scha berkata, dia akan mengikut jadual suaminya sebelum menerima sebarang tawaran berlakon selepas ini untuk memastikan dia sentiasa berada di sisi suaminya jika Awal tidak mempunyai sebarang komitmen.

"Kalau tak ikut jadual Awal takut nanti jadual kami akan bercanggah yang akhirnya menyebabkan kami tidak dapat meluangkan masa bersama," katanya.

Sementara itu, Scha berkata dia dan Awal sudah bersedia untuk menimang cahaya mata namun menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Ilahi.

Scha berkata, dia tidak meletakkan sebarang bilangan anak yang diinginkan namun suka untuk mempunyai sebuah keluarga yang besar.

"Awal dan saya datang daripada keluarga yang besar dan tidak kisah jika diberikan anak yang ramai," katanya.

Dalam perkembangan lain, Awal memberitahu mereka akan berangkat ke New York selama 10 hari selepas majlis resepsi yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.

Awal berkata sejurus kembali ke tanah air mereka berdua akan kembali bekerja seperti biasa.