Adsense

Rabu, 9 Mei 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Cabaran menjiwai watak Uji

Posted: 08 May 2012 07:50 AM PDT

MELAKONKAN watak Uji ketika zaman remaja dalam filem Untuk 3 Hari arahan Afdlin Shauki adalah peluang keemasan buat pelakon muda Ainul Aishah menimba ilmu dengan pengarah yang menjadi idolanya, sepanjang enam tahun berkecimpung dalam bidang seni tanah air.

Lebih bermakna, Ainul berpeluang bekerja dengan barisan pelakon berkaliber iaitu Vanidah Imran (watak utama Uji dewasa), Rashidi Ishak dan Fauziah Ahmad Daud (emak Uji) dalam filem diadaptasi daripada novel popular Ahadiat Akashah.
Tidak ketinggalan, penampilan Zizan Raja Lawak yang melakonkan watak Shidee ketika zaman remaja.


Walaupun watak pembantu dan membabitkan sebanyak sepuluh babak, pemilik nama sebenar Ainul Aishah Azizon mengakui sangat teruja bekerjasama dengan semua idolanya dalam bidang seni.

"Secara peribadi, saya seronok berlakon dalam filem ini kerana dapat bekerja dengan pengarah yang cukup dihormati dalam bidang seni iaitu Afdlin dan produser filem terkenal yang menerbitkan filem Ombak Rindu, Sharad Sharan dari Tarantella Pictures Sdn Bhd.

"Walaupun tidak baca novel berkenaan tetapi kami banyak berbincang siang dan malam dengan pengarah dan barisan pelakon utama filem ini untuk menjiwai watak diserahkan dengan baik," katanya.

Ainul berkata, watak Uji memberi cabaran besar buatnya sebagai pelakon muda. Bagaimana cabaran itu dilakukan sebaik mungkin mengikut kehendak skrip dan pengarah.

"Cabaran paling besar ialah ketika menjiwai watak Uji yang banyak melatah dalam filem ini. Pada peringkat awal, saya beritahu Afdlin tidak boleh buat babak melatah itu dengan 'natural' tapi beliau berjaya meyakinkan saya untuk buat babak itu seperti dikehendaki ceritanya.

"Saya akui Afdlin pengarah yang selamba tetapi garang ketika di lokasi, namun saya tetap ingin bekerjasama dengannya dalam filem ini. Bukan saja Afdlin, saya turut berasa gementar bekerja dengan seorang lagi idola dalam bidang seni iaitu Kak Fauziah (Ogy) yang menjadi emak Uji dalam filem ini.

"Walaupun hanya terbabit satu babak saja dengan Kak Ogy, saya tidak dapat sembunyikan perasaan gementar itu. Tapi, kita akan buat babak itu sebaik mungkin apabila kita takut buat silap dengan artis senior yang dihormati sepertinya.

"Bagaimanapun, penggambaran filem ini sudah selesai awal tahun lalu tapi produser belum putuskan lagi bila tarikh tayangan filem ini di pawagam tempatan," katanya.

Dalam perkembangan lain, selepas tamat kontrak tiga tahun dengan syarikat pengurusan bakat Aquila Emas Sdn Bhd bermula April lalu, Ainul juga merancang untuk bergerak sendiri menguruskan karier seninya.

"Saya putuskan untuk tidak sambung kontrak dengan Aquila Emas kerana sudah memperlahankan aktiviti seni kerana ingin fokus pada bisnes keluarga.

"Saya keluar dari Aquila Emas bukan kerana ada masalah dengan pihak mereka sebaliknya ingin memperlahankan aktiviti seni buat masa ini. Saya percaya, kini sudah cukup ilmu dalam bidang seni untuk bergerak sendiri menguruskan karier seni.

"Jika saya merancang untuk aktif semula dalam bidang seni, saya berhasrat mencari seorang pengurus baru untuk menguruskan karier seni dan bukan bernaung di bawah pengurusan bakat lagi seperti dulu," katanya.

Ditanya sama ada dia tidak berasa rugi meninggalkan karier seni ketika tawaran berlakon mencurah, Ainul menegaskan, bidang bisnes adalah sebagai jaminan masa depannya.

"Kalau artis lain kejar glamor dan populariti, saya pula sebaliknya tak ada apa lagi yang nak dikejar pun dalam bidang seni. Saya memperlahankan aktiviti seni bermula April tahun lepas dan sudah dua tahun tidak aktif berlakon," katanya.

Namun Ainul berkata, dia akan mempertimbangkan tawaran buat projek telefilem jika skrip yang ditawarkan menarik.

"Saya terikat dengan bisnes sebab itu saya terpaksa buat projek yang tidak ambil masa yang panjang. Buat masa ini, saya banyak dapat tawaran buat projek drama bersiri tetapi saya terpaksa menolaknya kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen," katanya.

Kali terakhir, Ainul berlakon ialah dalam telefilem 696 Kilometer dan filem terakhir lakonannya pula ialah Histeria arahan James Lee.

TRIVIA AINUL

  • Kali terakhir anda menangis?
    Bila dapat tahu kanak-kanak mangsa culik, Nayati Shamelin Moodliar sudah kembali ke pangkuan keluarga.
  • Tabiat pelik diri sendiri?
    Sukar tidur malam, obses dengan Blackberry dan i-Phone
  • Hadiah paling mahal pemberian kekasih?
    Kasih sayang
  • Aktor Hollywood yang menjadi idola?
    Johnny Depp
  • Kereta mewah idaman?
    Porsche
  • Aset yang nak dibeli?
    Bangunan untuk empayar bisnes
  • Destinasi percutian idaman?
    Maldives



  • Tuah penjual kuih

    Posted: 08 May 2012 07:22 AM PDT

    TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Hanya sekali mencuba, dia muncul sebagai pemenang hadiah utama Peraduan Undi dan Menang, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011).

    Di atas kejayaannya itu, Nor Aini Khalip, 31, membawa pulang sebuah kereta Nissan Livina X-Gear 1.6(A) tajaan Edaran Tan Chong Motors bernilai RM79,894.50. Berasal dari Hutan Melintang, Perak, kemenangan itu tidak pernah dijangka ibu kepada tiga cahaya mata yang juga seorang penjual kuih.

    "Menyertai peraduan ini, tujuan utamanya sudah tentu saya berharap untuk menang. Kalau bukan hadiah utama pun tidak mengapa, tapi andai kata dapat yang besar lagi bagus.

    "Terus-terang saya seperti orang bermimpi. Saya tidak pernah jangka memperoleh semua ini kerana saya baru kali pertama mencuba nasib dalam Peraduan Undi dan Menang ABPBH. Saya sangat bersyukur atas rezeki yang diberi oleh-Nya," katanya.


    Akui Nor Aini, sewaktu dihubungi penganjur yang memaklumkan kemenangan dia meloncat-loncat kegembiraan kerana tidak percaya. Tambahan pula, dia sudah lama memasang angan untuk memiliki kereta baru memandang kereta yang dipunyai ketika ini teramat uzur.


    "Hendak beli kenderaan bukan senang, apatah lagi saya bekerja sebagai penjual kuih manakala suami pula cuma seorang pemasang wayar. Anak ada tiga orang, bila ada duit lebih sikit terpaksa ketepikan niat kerana harus utamakan mana yang perlu.

    "Alhamdulillah, Tuhan mendengar suara saya dan dengan adanya kereta ini bolehlah saya bergerak dan menggunakannya untuk berniaga," katanya yang masih kelihatan seperti orang bermimpi.

    Jangka hayat ABPBH pada penganjuran tahun ini melewati usia 25 tahun, tetapi mengapa baru sekarang Nor Aini mencubanya? Menjawab pertanyaan itu, dia berkata, keinginan untuk mencuba datang secara tiba-tiba.

    "Keluarga, adik-beradik dan kawan-kawanlah yang mendorong dan membantu saya mencuba peraduan ini. Mungkin mereka tahu saya hasrat hati saya untuk membeli kereta. Berkat bantuan mereka juga, saya memberanikan diri untuk mencuba.

    "Sebanyak 20 borang penyertaan dihantar dan memang tidak sangka percubaan pertama ini membawa tuah pada saya. Saya juga tidak bercadang menjualnya dan seperti dimaklumkan tadi, mahu menggunakan kenderaan ini untuk berniaga,"
    katanya yang tiba di Kuala Lumpur sebelah pagi kelmarin dengan menaiki bas sebelum dijemput oleh abangnya untuk ke Majlis Penyampaian ABPBH2011 yang berlangsung di Holiday Villa, Subang Jaya, pada sebelah petangnya.

    Membuatkannya tambah terkesima sewaktu majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarang Kumpulan Berita Harian juga selaku Penaung ABPBH2011, Datuk Mior Kamarul Shahid sambil diiringi Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk ABPBH2011, Hanizam Abdullah dan Zainuri Misfar, Nor Aini berkongsi pentas dengan pelakon pujaan Aaron Aziz.

    "Saya memang meminati Aaron dan mengundinya untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dan Bintang Paling Popular . Tidak sangka hari ini saya berpeluang melihatnya secara dekat," katanya.

    Selain Nor Aini, penyampaian hadiah buat pemenang-pemenang bertuah peraduan Undi dan Menang pusingan awal dan akhir turut disampaikan. Antara hadiah yang dimenangi berupa barang kemas tajaan Rafflesia, Apple iPad 16GB, Canon EOS DSLR (EOS 1000D), Blackberry Torch, Sony PS3 COnsole, Samsung Galaxy TAB 10.0, Apple iPOD Torch dan wang tunai.

    Beralih kepada pelakon kacak juga bintang Ombak Rindu, Aaron Aziz, dia juga tidak bercadang menjual kereta yang dimenanginya atas penganugerahan gelaran Bintang Paling Popular ABPBH2011, kerana ia mempunyai nilai sentimental yang tinggi.

    "Saya tidak akan menjual kereta ini kerana saya menganggap ia hadiah peminat buat saya. Mereka meluangkan waktu dan berhabis wang untuk mengundi dan memastikan saya menang, justeru saya putuskan menyimpannya sebagai kenang-kenangan bersama peminat," ujarnya.

    Tidak hanya membawa pulang Nissan Teana 2.5L bernilai RM167,020 itu, Aaron juga membawa pulang hadiah sampingan, seutas rantai mutiara Rafflesia bernilai RM250,000 dan barangan tajaan Avon.

    Bagi dua lagi kategori yang dimenanginya Pelakon Filem Lelaki Popular dan Anugerah Artis Lelaki Paling Popular Online, Aaron menerima wang tunai bernilai RM3,000, dua rantai mutiara Rafflesia yang kedua-duanya bernilai RM10,000 serta barangan sumbangan Avon.

    Penyerahan hadiah kepada pemenang kategori lain turut disempurnakan dan kesemua mereka menerima hadiah wang tunai bernilai RM3,000 untuk artis solo manakala RM5,000 (berkumpulan) berserta rantai mutiara Rafflesia bernilai RM10,000 serta barangan sumbangan Avon.

    Antara yang hadir adalah Hafiz AF7, Jaclyn Victor, Ning Baizura, Shila Amzah, Tasha Shila, Johan Ariff As'ari, Maya Karin, Fizz Fairuz, Fasha Sandha (hadir bersama suami, Jejai), Johan Raja Lawak, Didie Alias, Fara Fauzana dan Faizal Ismail.

    Johan berkata, kemenangannya dalam kategori Pelakon Komedi Lelaki Popular pastinya terpahat sebagai satu kenangan indah yang tidak mungkin dilupakan.

    "Tidak sampai sebulan memenangi gelaran itu, saya dikhabarkan berita gembira apabila stesen radio Era kembali dipilih pendengar sebagai stesen nombor satu berbahasa Melayu. Tambah mengharukan, Pagi di Era yang dikendalikan saya bersama Hanif dan Ray, diumumkan program waktu pagi paling popular berbahasa Melayu.

    "Saya tidak kata saya mempopularkan kembali Era kerana percaya ini hasil kerja berpasukan. Tetapi percaya kemenangan di ABPBH2011 yang lalu, salah satu faktor pendengar kembali tertarik untuk mendengar Era," katanya menganggap rezeki yang melimpah ruah rezeki buat anak-anaknya.

    Bagi Maya Karin pula, yang mengungguli kategori Pelakon Filem Wanita Popular, dia sudah terbiasa dengan situasi menang dan kalah dalam penganjuran ABPBH.
    Justeru, dia lebih senang sekiranya mengamalkan sikap 'tidak terlalu gembira jika menang dan tidak kecewa apabila kalah'.

    "Siapa yang tidak gembira menang dan lebih bermakna jika kemenangan itu dinilai berdasarkan hasil kerja bukan kerana populariti semata-mata. Seperti tahun ini, saya percaya pembabitan dalam projek yang bagus seperti Ombak Rindu membuatkan peminat kembali mengundi saya untuk kategori itu," katanya.

    Penyampai hadiah petang itu juga tidak melupakan pemenang Anugerah Khas. Datuk Siti Nurhaliza yang pernah bergelar Bintang Paling Popular sebanyak tujuh kali, pada penganjuran ABPBH2011, 8 April lalu, diumumkan sebagai penerima Anugerah Seri Perak.

    Siti membawa pulang seutas rantai mutiara Rafflesia bernilai RM25,000. Turut menerima hadiah sama, Datuk Sheila Majid yang menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat. Beliau juga membawa pulang hadiah sampingan wang tunai RM3,000 dan barang tajaan Avon.

    Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, penganjuran ABPBH kali ini memperkenalkan kategori Online. Jika Aaron muncul pemenang Anugerah Artis Lelaki Paling Popular Online, penyanyi Stacy mewakili kategori wanita.

    Manakala trofi Artis Anggun Bergaya Lelaki dan Wanita, dimenangi Adi Putra serta Ziana Zain. Sementara Super Junior mengungguli Anugerah Artis/Selebriti Asia Paling Popular.

    Kesemua pemenang kategori itu kecuali Super Junior menerima rantai mutiara Rafflesia bernilai RM10,000.

    Artis yang memberi komitmen jitu sepanjang Siri Jelajah ABPBH2011 dilakukan, turut mendapat penghargaan daripada pihak Berita Harian selaku penganjur.
    Mereka yang menerima anugerah itu adalah Fizz Fairuz, Along Cham, Yana Shamsudin, Awi Rafael, Shila Amzah, Shaheizy Sam dan kumpulan Forteen.

    Menghangatkan lagi majlis petang itu, semestinya persembahan nyanyian daripada Hafiz AF7 yang menyampaikan lagu Ombak Rindu dan Kamelia, Bintang Idola Berita Harian 2012.