Adsense

Khamis, 31 Mei 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Sentiasa sayang Malaysia

Posted:

Sentiasa sayang Malaysia

Sentiasa sayang Malaysia

BAGI penggemar lagu-lagu berunsur ketuhanan, nama penyanyi Maher Zain sudah tentu nama yang bukan asing. Semenjak membuat kemunculan di Malaysia dua tahun lalu, penyanyi tersebut lantas menjadi pujaan peminat.

Mula dikenali ramai menerusi lagu-lagu seperti Thank You Allah, The Rest of My Life dan Insha Allah, kemunculan penyanyi tersebut seperti mengembalikan semula fenomena irama nasyid yang hampir tenggelam. Malah lagu-lagunya turut diterima baik seperti lagu-lagu pop.

Menariknya, semasa mengadakan konsert yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam pada Oktober 2010, tiket untuk menyaksikan konsert tersebut habis dijual, biarpun penyanyi berkenaan baru kali pertama ke Malaysia.

Kini, penyanyi kelahiran Lebanon yang kemudiannya berhijrah ke Sweden dan mencipta nama sebagai penyanyi di sana merupakan antara penyanyi antarabangsa yang paling kerap membuat persembahan di negara ini.

Pada 16 Jun ini, Maher Zain sekali lagi kembali menjejakkan kaki ke Malaysia untuk menghiburkan para peminatnya sempena konsert Maher Zain - Forgive Me Live In Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Dianjurkan oleh Marctensia dan Awakening serta One Drop Perfumes selaku penaja bersama, turut membuat kemunculan istimewa pada konsert tersebut ialah rakannya, Irfan Makki dan Raef.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama Kosmo! baru-baru ini, penyanyi berusia 31 tahun itu memberitahu, dia sudah bersedia untuk menggegarkan Stadium Merdeka dengan persembahan yang akan memberi kenangan tersendiri kepada tetamu yang hadir.

"Setakat ini segala persiapan untuk konsert pada 16 Jun berjalan dengan lancar. Boleh dikatakan saya memang memberi tumpuan terhadap persiapan yang dilakukan agar peminat berpuas hati dengan persembahan saya nanti.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh menjelaskan lebih terperinci mengenai bentuk persembahan yang dilakukan. Kalau boleh saya mahu ia menjadi satu kejutan kepada para peminat yang hadir," ujarnya.

Mengenai lagu-lagu yang akan dinyanyikan semasa konsert tersebut, Maher menyatakan sebanyak 23 buah lagu yang akan dipersembahkan menerusi album pertama, Thank You Allah dan album kedua iaitu Forgive Me.

Menurutnya, selain mahu memberikan pelbagai kejutan kepada peminat yang bakal menyaksikan konsertnya itu, penyanyi tersebut memberi jaminan terdapat kelainan yang akan ditampilkan berbanding konsert-konsert yang pernah dilakukan sebelum ini.


MAHER ZAIN kini muncul dengan album kedua, Forgive Me. Dia akan mengadakan konsert di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 16 Jun ini sempena mempromosi album tersebut.


"Mengikut perancangan, saya juga bakal mempersembahkan sebuah lagu yang pernah dipopularkan oleh seorang artis antarabangsa. Jadi, saya berharap agar para peminat tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan konsert saya nanti," ujarnya serba ringkas mengenai perancangan tentang konsert tersebut.

Ketika ditanya tentang kenangan paling manis yang pernah dilalui sepanjang mengadakan konsert di negara ini, Maher memberitahu terdapat satu peristiwa yang tidak dapat dilupakannya sehingga sekarang.

"Terlalu banyak kenangan manis yang telah saya lalui, namun yang paling tidak dapat dilupakan sewaktu saya mengadakan konsert yang berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam dua tahun lalu.

"Semasa mempersembahkan lagu berjudul Freedom, penonton menggunakan telefon bimbit mereka untuk memberikan cahaya terang di dalam stadium dan saya berasa seolah-olah seperti berada di alam lain. Saya anggap itu merupakan kenangan yang cukup istimewa," jelasnya.

Rumah kedua

Semenjak mencipta nama di Malaysia, Maher Zain sememangnya sudah selalu menerima undangan pelbagai penganjur untuk membuat persembahan di beberapa buah negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Sarawak.

Ditanya mengenai perasaannya terhadap undangan yang diterima, penyanyi tersebut beranggapan ia merupakan rezeki dan sangat berterima kasih kepada para peminat yang selalu memberikan sokongan terhadap kerjayanya selama ini.

"Sebenarnya saya sangat terharu dengan sambutan yang diterima setiap kali berpeluang menghiburkan peminat di negara ini. Tidak keterlaluan sekiranya saya anggap Malaysia sudah seperti rumah kedua saya.

"Sejujurnya saya juga sangat cintakan Malaysia kerana suasananya yang aman dan masyarakat pelbagai kaum dapat hidup bersama. Saya menganggap negara ini boleh menjadi contoh kepada negara-negara Islam yang lain," luahnya.


MAHER ZAIN memberitahu, dia dan isterinya pernah berbincang untuk terus menetap di Malaysia kerana terlalu menyukai negara ini.


Menurutnya, dia juga pernah berbincang dengan isterinya bahawa tidak mustahil mereka akan terus menetap di Malaysia pada masa akan datang kerana persekitaran negara ini yang dirasakan sangat sesuai buat mereka.

Tiada diskriminasi

Sebagai seorang muslim yang membesar dan menetap di sebuah negara yang majoriti penduduknya bukan Islam seperti Sweden, kemungkinan untuk menjadi mangsa diskriminasi pastinya agak tinggi.

Bagaimanapun, Maher Zain meluahkan rasa syukurnya kerana sehingga kini dia tidak pernah didiskriminasi oleh mana-mana pihak, malah mampu melaksanakan tanggungjawabnya sebagai penyanyi lagu-lagu dakwah dengan baik.

"Alhamdulillah, setakat ini saya belum pernah mengalami sebarang perkara yang buruk. Walaupun kehidupan saya di kelilingi masyarakat yang berbilang agama, tetapi kami saling menghormati dan mereka tidak pernah menghalang apa yang saya lakukan.

"Sebelum ini, saya pernah tidak pernah mengamalkan ajaran Islam selama 15 tahun, meskipun saya seorang muslim. Kini, saya sangat berbangga kerana dilahirkan sebagai seorang Islam," ujarnya.

Ujarnya, memandangkan minatnya yang mendalam terhadap bidang muzik, Maher bertekad untuk meneruskan usaha-usaha dakwah menerusi nyanyian dan berharap agar lagu-lagunya dapat terus diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Skandal seks RM300 juta Ziyi

Posted:

Skandal seks RM300 juta Ziyi

Skandal seks RM300 juta Ziyi

Zhang Ziyi dan gambar kanan merupakan pegawai tertinggi kerajaan China, Bo Xilai. Mereka didakwa mempunyai hubungan sulit dan telah tidur bersama sebanyak lebih 10 kali sejak tahun 2007.


NAMA aktres China, Zhang Ziyi tiba-tiba meledak pada minggu ini. Namanya meledak bukan kerana projek filem terbaharu, sebaliknya kerana dakwaan 'projek seks' beliau bersama beberapa pegawai tertinggi kerajaan China.

Berita tersebut kini menjadi bahan utama hampir semua media China dan Taiwan. Malah berita tersebut juga kini merebak ke seluruh dunia menerusi beberapa laporan di internet.

Ziyi didakwa merupakan 'teman setia tidur' seorang pegawai tertinggi kerajaan bernama Bo Xilai, dan hal itu diakui sendiri oleh Bo Xilai kepada satu sumber.

Untuk servis pertama kali dengan Ziyi pada tahun 2007, Bo Xilai memberitahu beliau telah membayar sebanyak RM2.9 juta kepada aktres tersebut. Mereka kemudian telah tidur bersama lebih 10 kali sepanjang tahun 2007 hingga 2011.

Bo Xilai turut mengatur temu janji aktres yang terbabit menerusi filem hebat seperti Crouching Tiger, Hidden Dragon, Rush Hour 2 dan Memoirs of a Geisha itu dengan seorang lagi pegawai tertinggi kerajaan yang turut membayar Ziyi dengan jumlah RM4.9 juta untuk hubungan seks mereka.

Ia menjadi bertambah hangat kerana 'projek seks' Ziyi bersama Bo Xilai dan beberapa pegawai kerajaan lain serta orang kenamaan China sepanjang 10 tahun berkecimpung sebagai aktres didakwa bernilai RM300 juta!

Segala persoalan tersebut bagaimanapun belum mempunyai jawapan. Ini kerana aktres yang sepatutnya hadir ke Festival Filem Cannes di Perancis untuk mempromosi filem terbaharunya, Dangerous Liaisons tidak menghadiri majlis berprestij tersebut. Jika beliau hadir ke majlis tersebut, barangkali berita yang sedang hangat diperkatakan ini akan menemui jalan penamat dengan kenyataan yang diberi Ziyi.

Sebaliknya, aktres berusia 33 tahun itu memberi alasan bahawa ketidakhadirannya ke majlis tersebut kerana beliau kini sedang sibuk di lokasi penggambaran filem The Grangmasters.

Realitinya, menurut laporan beberapa media China, Ziyi kini tidak dibenarkan meninggalkan republik tersebut sehingga siasatan ke atas kes tersebut selesai.

Beliau juga gagal dihubungi pihak media yang mahu mendapatkan pengesahan mengenai pendedahan skandal seks tersebut.

Bagaimanapun dalam blog peribadi miliknya, Ziyi pada 30 Mei lalu hanya menulis: "Banyak orang boleh membuat angin menjadi hujan". Ia umpama satu penafian terhadap isu yang sedang dihadapi kini.

Sebelum ini, pada tahun 2010, Ziyi telah dituduh menyalah guna duit kutipan dana untuk tabung gempa bumi di Sichuan, China. Dana tersebut dilaporkan berjaya dikutip sebanyak RM3 juta, bagaimanapun Ziyi mendakwa beliau hanya mampu mengutip sebanyak RM1.2 juta sahaja.

Malah pada tahun 2009, aktres tersebut tersangkut dakwaan menipu seorang ahli perniagaan yang pada waktu itu mempunyai skandal dengannya melibatkan nilai jutaan ringgit. Padahal, pada waktu sama, beliau sedang bertunang dengan seorang jutawan bernama Vivi Nevo.

Mereka bagaimanapun berpisah pada tahun 2010.

Luahan hati Vanidah

Posted:

Luahan hati Vanidah

Luahan hati Vanidah

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

VANIDAH IMRAN kini lebih memberi fokus terhadap pengajian dan keluarganya berbanding aktif sebagai pelakon.


SUDAH lama tidak mendengar khabar aktres cantik Vanidah Imran, 39, selepas dia tidak lagi terikat dengan program Nona. Wajah pelakon itu juga tidak banyak menghiasi drama mahupun filem. Jika adapun sekadar beberapa drama seperti drama 7 Gerhana arahan Hans Isaac dan juga filem Misteri Jalan Lama arahan Afdlin Shauki.

Bertemu dengan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21 (2008) itu pada majlis pelancaran projek Inspirasi Selebriti bersama Macy di Pusat Beli-Belah Citta, Kosmo! menemubual Vanida yang lebih mesra disapa Vee itu sekali gus mengetahui keluh resah pelakon itu terhadap dunia seni dan juga kegembiraannya menyambung kembali pelajarannya yang sekian lama tergendala.

Boleh kongsi apakah perkembangan Vanidah dalam dunia seni sekarang?

Saya baru sahaja habis penggambaran drama Tanah Kubur terbitan Astro Oasis. Saya menjayakan satu episod untuk drama itu iaitu Susuk. Selain drama, saya juga akan muncul untuk filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki pada September depan.

Sekali lagi anda berlakon di bawah arahan Afdlin. Kenapa Afdlin, tetapi tidak pengarah lain?

Saya selesa dengan arahan Afdlin begitu juga Hans Isaac. Bukan bermaksud saya tidak selesa dengan pengarah lain tetapi Afdlin dan Hans kerap menawarkan saya watak yang mencabar. Afdlin dan Hans bukan sahaja faham dari segi jadual saya tetapi mereka tidak pernah cakap saya sudah tua untuk membawa watak cinta. Filem Untuk Tiga Hari, saya akan berlakon di samping suami, Rashidi dan membawakan watak hero dan heroin yang bercinta.

Seperti kedengarannya anda kecewa dengan pengarah lain?

Pemikiran orang Asia tidak sama seperti di Hollywood yang mana mereka lagi menghargai pelakon yang lebih berumur. Sebagai contoh, Datuk Michelle Yeoh yang membawakan watak heroin dalam filem The Lady. Kenapa dia dipilih? Kerana pengalaman dan kehebatannya dalam lakonan. Kebanyakan pengarah kita pula lebih gemar mengambil muka-muka baharu untuk menjadi hero dan heroin. Tetapi saya kena faham penerbit buat filem untuk duit. Pasaran filem Malaysia juga kecil, tidak seperti di Indonesia.

Sudah berapa lama anda berlakon dan sampai bilakah anda rasa akan meneruskan bidang lakonan ini?

Kebelakangan ini, saya sudah tidak terlalu tumpu kepada bidang lakonan. Apa yang penting sekarang adalah keluarga dan pelajaran saya. Saya terpaksa mengehadkan aktiviti seni kerana ingin memberikan tumpuan lebih kepada pengajian saya di Universiti Terbuka Malaysia.

Kenapa anda mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran?

Saya perlu meningkatkan potensi diri demi masa depan anak-anak. Masa muda dahulu, tidak mahu belajar sekarang baru terhegeh-hegeh hendak sambung belajar. Saya juga mahu anak-anak saya iaitu Mikail Aimran, 8, dan Mariyam Rashika, 7, yang sedang membesar mencontohi dan berbangga dengan pencapaian saya. Malah, suami saya Rashidi juga sudah memiliki segulung Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM).