Adsense

Khamis, 31 Mei 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Berpada-pada jadi jahat

Posted: 30 May 2012 06:49 AM PDT

BERTEMU pelakon cantik ini di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini adalah masa terbaik untuk dia bercerita mengenai saat indah yang bakal ditempuhi.

Mungkin juga dia cuba mengalih perbualan daripada ditanya kemelut lama atau ingin terus meletak sepenuhnya fokus kepada jalan cerah di hadapan.

Jelas Izreen Azmindar Mohd Aznam, 26, kini tiada lagi rasa gusar menyelubungi jiwanya kerana apa yang mampu disimpulkan, semua kisah pahit itu sudah lama berlalu. Apa yang menjadi keutamaannya kini, perancangan meniti alam perkahwinan dan mengorak langkah sebagai anak seni terlanjur rezeki datang melimpah-ruah.

"Alhamdulillah dan saya bersyukur dengan apa yang sudah tersurat buat saya.

Inilah yang dikatakan takdir yang sudah ditentukan buat kita sebagai manusia.
Walaupun pernah saya tidak henti menangis kerana mengenangkan nasib menjadi pendatang baru dalam dunia lakonan serta kisah kontroversi yang pernah mengaitkan nama saya sebelum ini, akhirnya apa yang diimpikan menjadi kenyataan.


"Siapa sangka, selepas hampir enam tahun sebagai pelakon, baru kini saya rasa selesa dengan kepercayaan daripada banyak produksi serta peminat mula buka mata dengan bakat yang dipamerkan. Alhamdulillah kerana usaha dan kesungguhan ini akhirnya diberikan ganjaran yang setimpal dan mampu saya anggap hadiah buat diri sendiri.

"Sekarang apa yang penting adalah terus berusaha memperbaiki mana yang kurang dan lemah selain terus memasang niat untuk menjadi yang terbaik," katanya yang baru saja selesai penggambaran drama siri Jangan Ambil Padang Kami dan bersedia ke set drama Suri pula selepas ini.

Tambahnya lagi, selain lapangan lakonan yang sudah boleh membuatkannya tersenyum bangga, wanita yang ramah dan rendah diri ini sedang menghitung hari menjelang saat bahagia dengan lelaki idaman.

Mengenali Muhamad Riza Baharudin juga seorang jurukamera produksi berusia 29 tahun sejak akhir tahun lalu ketika berlakon dalam drama Tentang Dhia, hatinya mula terusik dan yakin dengan keikhlasan dan kejujuran yang ditunjukkan.

Lantas tanpa perlu gusar dan berteka-teki, Izreen menerima kunjungan merisik daripada pihak lelaki pada 10 Disember lalu sebelum melangsungkan majlis pertunangan yang hanya dihadiri keluarga dan teman terdekat pada 1 Januari lalu.

Izreen dan tunangnya, Riza, kemudian sepakat memilih tarikh 30 Ogos ini untuk majlis akad nikah dan keesokan harinya untuk majlis resepsi di kampung halamannya di Jitra, Kedah.

"Inilah detik bahagia yang saya nantikan. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan dan kami sepakat untuk melangsungkan perkahwinan pada penghujung Ogos ini yang kebetulan pada tarikh lahir saya yang ke-27. Inilah jodoh dan suratan buat kami berdua.

"Semuanya berlaku terlalu pantas dan kami bersyukur kerana keluarga menjadi tulang belakang yang tidak henti menyokong dan membantu. Apa yang membuatkan saya yakin pada Riza adalah ketelusan hatinya dan sikap jujur yang ada padanya benar-benar membuatkan saya tersentuh. Perkenalan kami memang singkat, namun keserasian dan persefahaman yang ada membuatkan kami yakin untuk mengikat perjanjian hidup.

"Soal lakonan tidak pernah menjadi penghalang kerana bakal suami adalah orang yang bekerja dalam industri. Dia memang memahami dan tidak pernah menghalang untuk saya terus aktif kerana sejak awal kami berkawan, dia sudah tahu minat dan kesungguhan saya dalam lapangan ini. Cuma saya kena memilih skrip yang bersesuaian selepas ini.

"Maklumlah walaupun bakal suami saya 'sporting' tapi kadang-kadang saya kena tegur juga kalau banyak sangat babak berpegangan atau berpelukan. Malah dia juga pesan agar jangan lagi saya melakonkan watak antagonis yang melampau seperti menjadi pelacur kerana tidak gemar menonton dan bimbang akan persepsi orang sekeliling," katanya.

Izreen berkata, dia sedia terima segala teguran dan menghormati permintaan tunangnya itu.

"Selama ini, dia lelaki yang setia mendengar segala macam rungutan dan masalah saya. Bukan sekadar menjadi sahabat, dia juga penguat semangat untuk saya terus berdiri sebagai seorang pelakon.

"Doakan kebahagiaan kami berdua berpanjangan," katanya yang pernah membintangi drama Gelora Di Hati Sara 2, Sutera Maya, Isabella, Nenek Kebaya dan Samson Delaila.

Nama pelakon popular ini mula dikenali selepas melakonkan watak Cikgu Zakiah dalam drama yang mencetuskan fenomena, Juvana selepas lebih lima tahun berkelana membina nama. Namun ketika itu juga saat namanya berada di atas, episod 'teka-teki' termasuk dengan pelakon Johan Asha'ri pula datang menghimpit.

Tatkala kisah lama itu mula ditanyakan, graduan jurusan kewartawanan di Akademi TV3 ini enggan mengimbau kembali kerana lebih suka bersikap optimis.

Jangan Ambil Padang Kami realistik, jujur

MENYENTUH soal lakonannya pula, Izreen bersyukur kerana semakin dekat dengan tarikh perkahwinannya, makin banyak pula tawaran lakonan yang diterima.

Meskipun pernah juga terdengar akan stigma kononnya seseorang pelakon wanita itu akan hilang populariti sebaik berkahwin, semua itu hanya satu pandangan individu semata-mata kerana setakat ini jelasnya, rezeki buatnya melimpah-ruah hingga ada yang terpaksa ditolak kerana jadual yang bertindih.

"Alhamdulillah kerana tidak mudah meraih kepercayaan orang dan kini ramai pula yang datang yakin akan bakat saya. Itu semua adalah berkat kesungguhan dan usaha saya selama ini yang tidak pernah jemu untuk terus belajar.

"Insya-Allah setakat ini saya sudah pun habis penggambaran tiga buah filem iaitu Pecah bersama Tony Eusoff dan Fizz Fairuz, Pak Pong arahan sulung Fauzi Nawawi dan Penjara bersama Erra Fazira dan Marsha. Semuanya mungkin akan ditayangkan penghujung tahun atau awal tahun depan," katanya.

Terlanjur bercerita soal lakonan, kini wajah Izreen sedang rancak diperkatakan apabila muncul bersahaja melakonkan watak Akmar dalam drama siri Jangan Ambil Padang Kami tayangan Astro Ria.

Jelasnya yang menyifatkan drama siri terbitan Suhan Movie & Trading Sdn Bhd itu adalah sebuah plot cerita realistik dan begitu menarik, watak Akmar adalah dimensi berbeza buatnya sepanjang bergelar anak seni.

"Bayangkan, saya perlu melakonkan watak seorang pengkid yang awalnya menaruh perasaan kepada Mai lakonan Sheira Ayob. Inilah pertama kali saya melakonkan watak sebegini kerana sebelum ini saya banyak diberi kepercayaan melakonkan watak jahat saja. Memang mencabar dan sukar kerana saya perlu mendalami perasaan dan emosi watak sebegitu.

"Namun saya memang tertarik sejak awal meneliti skripnya lagi kerana drama siri ini memang sesuatu yang berbeza dan bebas baik dari sudut lakonan mahupun penyampaian dialognya kerana pengarahnya, Joeza Rasidi, begitu menitikberatkan soal kebebasan kepada barisan pelakon dalam menghidupkan watak masing-masing,"
katanya.

Jangan Ambil Padang Kami turut menampilkan bintang-bintang popular lain termasuk Betto Kusyari, Elfira Loy, Sheira Ayob dan Syazwan Zulkifli.

Pastikan temujanji anda untuk mengikuti pergolakan yang berlaku kepada sekumpulan remaja di kawasan perumahan flet dalam usaha mereka mempertahankan padang yang menjadi satu-satunya tempat untuk mereka berkumpul dan bermain pada setiap Isnin, jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104 Astro).




Kenangan Aku Sudirman

Posted: 30 May 2012 06:43 AM PDT

BIARPUN jasadnya sudah tiada, namun jasa yang ditinggalkan tak pernah hilang. Bersandarkan cinta yang dalam pada kerjaya seni Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad berjaya melakarkan sejarahnya tersendiri. Bahkan, semangat patriotik dalam karya dendangannya masih segar hingga kini.

Menyedari impak besar Sudirman yang pernah mendapat jolokan Penghibur Milik Masyarakat dan Seniman Rakyat itu, Astro melancarkan kempen 'Aku Sudirman' sejak 11 Mei lalu.

Hampir sebulan berlangsung, kempen memberi peluang kepada generasi muda untuk lebih mengenali siapa Sudirman dan perjuangannya sampai ke kemuncak.

Sehubungan itu, pada Ahad ini, jam 8.30 malam akan berlangsung Konsert Kenangan Aku Sudirman di Stadium Bola Sepak, Cheras, Kuala Lumpur yang membabitkan artis popular tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk AC Mizal, Jaclyn Victor, Ziana Zain, Misha Omar, Hafiz, Adira, Azlan and The Typewriter, Hujan, Hazama, Alyah, Rahim Maarof dan Osbon.


Tidak ketinggalan, konsert itu turut disertai barisan pelakon filem HOORE! HOORE! arahan Saw Teong Hin seperti Akim, Kilafairy dan bintang baru, Norfarah.

Masuk adalah percuma dan kehadiran orang ramai sangat dialu-alukan untuk menyaksikan konsert nostalgia ini.

Mengimbau sejarah lalu, ketika hayatnya Sudirman pernah menempa nama dalam Malaysia Book of Records pada 1986 kerana kejayaan mengadakan konsert gergasi percuma di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Konsert menghiburkan itu berjaya memukau hampir 100,000 warga kota yang hadir.

Bukan itu saja, Sudirman yang juga anak jati Pahang berjaya melengkapkan coretan indah pada era kegemilangannya apabila menjadi artis pertama memenangi Anugerah Penyanyi Asia di Albert Hall, London pada 1989. Hingga kini, kejayaan itu menjadi kebanggaan negara.

Bagaikan 'mutiara' yang bersinar, Sudirman cukup dikenali penyanyi, penghibur, penggubah lagu, peguam, penulis, pengarang (buku kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan dan pelakon. Malah, sepanjang pembabitan arwah dalam industri muzik, sebanyak 168 buah lagu sudah dirakamkan.

Melengkapi pelbagai genre lagu, Sudirman berjaya menyemarakkan semangat patriotik ke dalam jiwa masyarakat menerusi sumbangan seninya. Ini berikutan, kebanyakan lirik lagu Sudirman cukup menyentuh jiwa masyarakat.

Oleh itu, bagi melengkapkan kempen khas anjuran Astro, kerjasama dijalin dengan syarikat rakaman Warner Music Malaysia Sdn Bhd untuk menerbitkan album Aku Sudirman - Satu Interpretasi yang memuatkan lagu popular arwah. Antara artis generasi muda terbabit seperti AwanBand, The Kebayas (Suki, Adira, Shamini), XPDC Junior, Hujan, Altimet & DJ Fuzz dan Taxi.

Album yang diberi nama Aku Sudirman - Suatu Interpretasi itu sudah berada di pasaran sejak hujung Mei lalu.

Di platform TV juga, Astro melalui saluran Astro Ria, Astro Prima, Astro Awani dan Hitz TV berselang-seli menayangkan program berkaitan Allahyarham seperti Di Sebalik Pembikinan Filem HOORE! HOORE!, Trek Selebriti Sudirman, Cerita Artis Malaysia (Noorkumalasari), Konsert Hoore Hoore Aznil, filem Kami.

Pastinya, kenangan dan semangat juang yang tinggi Allahyarham Sudirman kini dapat dirasakan generasi muda tanah air selepas mengetahui latar belakang penyanyi bertubuh genit itu.

Sempena kempen ini juga Harian Metro sebagai rakan media rasmi memberi peluang kepada pembaca memperoleh dua keping tiket untuk menyaksikan Konsert Kenangan Aku Sudirman di bahagian hadapan pentas.

Hanya membawa satu keratan asal artikel ini, penukaran perlu dibuat esok, Jumaat (1 Jun 2012), bertempat di lobi Balai Berita The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, 31, Jalan Riong, Kuala Lumpur bermula jam 10 pagi.

Selain tiket, turut ditawar 100 helai t-shirt, 100 bekas minuman dan 15 unit album Aku Sudirman - Satu Interpretasi bagi pembaca yang datang membuat pertukaran awal.

Memandangkan jumlah tiket dan cenderamata yang terhad sila buat penebusan dengan segera dan berkonsepkan 'siapa cepat, dia dapat'.