Adsense

Khamis, 24 Mei 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Bisa Lily Poison

Posted:

Bisa Lily Poison

Bisa Lily Poison

NAMA sebenarnya panjang berjela. Nicole Elikolani Valiente Prescovia Scherzinger yang merupakan gadis kacukan Hawaii-Rusia-Filipina hadir mengisi langit populariti Hollywood pada tahun 2001 dengan menganggotai kumpulan Eden's Crush yang lahir menerusi program realiti televisyen, Popstar.

Sisi yang silih berganti, sebaik Eden's Crush muncul dengan single, Get Over Yourself (Goodbye) yang berjaya meraih kedudukan dalam kedudukan Top 10 pada carta Billboard Top 100, dia terus dilamar untuk menjadi vokalis The Black Eyed Peas.

Namun disebabkan ketika itu dia masih mengikat kontrak bersama Eden's Crush, posisi tersebut terpaksa dilepaskan sebelum diserahkan kepada Fergie.

Kerjayanya sebagai vokalis Eden's Crush kemudian berkecai apabila dia mengundur diri dan hanya bergerak solo menggunakan nama pentas Nicole Kea sebelum menganggotai kumpulan Pussycat Dolls pada tahun 2003.

Namun, dia lebih selesa bergerak solo apabila secara rasmi menarik diri daripada kumpulan itu pada tahun 2008.

Tuah badan apabila bakatnya turut dilihat serasi menghiasi kaca televisyen, layar perak dan dunia peragaan.

Kini figura yang dikenali dengan nama komersialnya, Nicole Scherzinger melebarkan pengaruh apabila meraih kepercayaan penerbit filem arus perdana di Hollywood bagi mempamerkan aksi antagonis dalam filem Men in Black 3 yang menjengah pawagam seluruh negara pada hari ini.

Bantuan Led Zeppelin

Bukan mudah tugas Nicole kerana untuk mendalami wataknya sebagai Lily Poison dalam Men in Black 3, dia perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada pengarah filem itu, Led Zeppelin.

Katanya bagi merealisasikan watak tersebut, dia menjadikan muzik berat sebagai sumber inspirasi.

"Saya mendengar muzik-muzik gelap selain mendapat tunjuk ajar daripada Led Zeppelin. Akhirnya saya peroleh hala tuju yang diinginkan kerana muzik merupakan sumber inspirasi utama saya.

"Saya banyak belajar daripada jurulatih lakonan dan dia memberikan tip yang gila-gila demi mendalami karakter Lily Poison, anda pasti tidak mahu mendengarnya," katanya bersulam tawa kepada media antarabangsa ketika hadir pada tayangan perdana Men in Black 3 di Los Angeles baru-baru ini.

Nicole turut mengharapkan filem lakonan sulungnya itu menjadi batu asas paling ideal dalam mencorakkan kariernya ke hadapan.


NICOLE berharap penglibatannya dalam Men in Black akan membuka mata penerbit dan pengarah di Hollywood terhadap bakat lakonannya.


Namun, dia mengakui berdepan sedikit rasa gementar apabila dirinya sentiasa menjadi fokus kamera setiap kali beraksi.

"Sangat menakutkan apabila berada di set penggambaran, lebih senang sebenarnya untuk membuat persembahan di hadapan audiens kerana kita boleh merasai tenaga orang ramai.

"Namun apabila hanya ada anda dan kamera di hadapan dan semuanya hanya memfokuskan anda, terasa sangat canggung.

"Saya membesar dengan pentas teater dan banyak beraksi di atas pentas, ini kali pertama saya melihat diri sendiri di layar besar dan diharapkan semuanya berjalan lancar," ujarnya.

Dalam Men in Black 3 yang kembali menampilkan dua pelakon utamanya iaitu Will Smith (sebagai Ejen J) dan Tommy Lee Jones (Ejen K) menerusi kisah mengenai Ejen J yang kembali pada era 1960-an untuk membantu Ejen K ketika muda (lakonan Josh Brolin) dari[pada serangan makhluk asing itu, Nicole mengakui Will banyak memberikan dorongan buat dirinya apabila berkaitan dengan lakonan.

"Tidak ada satu babak pun menggandingkan saya dengan Will tapi dia menjadi kawan rapat saya dan dia merupakan salah seorang jejaka yang bijaksana yang saya kenali serta banyak memberikan motivasi," puji Nicole.

Salah pakai

Sebagai selebriti gred A, fesyen pemakaian Nicole khususnya dalam khalayak ramai sering menarik perhatian umum.

Kadangkala pakaian yang digayakan mungkin tidak sesuai dengan tempat dan majlis. Hal yang sedemikian terjadi kepada penyanyi lagu Don't Hold Your Breath itu.

Sewaktu Nicole menghadiri tayangan perdana Men in Black 3 di The Odeon Leicester Square, London, England pada 16 Mei lalu dia hampir dilabelkan dengan istilah mangsa fesyen akibat tersalah memakai dres berbelah di paha ketika melangkah pada acara karpet merah majlis tersebut.

Akibatnya, dres berwarna hitam tanpa tali bahu rekaan Cengiz Abazoglu Haute Couture hampir mendedahkan bahagian atas pahanya ketika ditiup angin dan penyanyi itu terpaksa memegang bahagian sisi kiri dan kanan busananya itu bagi mengelakkan kejadian memalukan berlaku.


FIGURA jelita ini menjadikan muzik berat sebagai sumber inspirasi untuk menghasilkan lakonan terbaik bagi filem Men in Black 3.


Dres dramatik seumpama itu pernah digayakan oleh aktres Angelina Jolie ketika majlis Academy Awards 2012 pada Februari lalu hasil rekaan Atelier Versace menggunakan material baldu.

Bagaimanapun, penampilan Nicole pada majlis itu bersama teman lelakinya yang merupakan seorang pelumba kereta formula satu, Lewis Hamilton tetap mencuri tumpuan.

Kekasih

Sebelum ini, pasangan itu dikhabarkan telah berpisah pada penghujung tahun 2011 namun hal itu dinafikan oleh Nicole dan mendedahkan kepada media bahawa dia masih menyayangi teman lelakinya itu.

"Saya masih sayangkan dia dan sukar untuk saya bercerita mengenai hal ini pada masa sekarang. Kami masih bersama," luahnya.

Malah, sebelum sambutan Hari Valentine pada bulan Februari lalu, pasangan itu dikatakan kembali bersama dan perasaan cinta sesama mereka semakin kukuh.

Penyanyi itu menambah dia masih bersama kekasihnya itu yang pertama kali bertemu pada tahun 2007.

"Saya percaya pada cinta seperti gadis-gadis lain dan kita akan sentiasa mencari teman hidup yang serasi sehingga bertemu. Buat masa sekarang kami belum ada perancangan untuk berkahwin dalam tempoh terdekat," ujarnya.

Buka, tutup fail cerai Adi Putra

Posted:

Buka, tutup fail cerai Adi Putra

Buka, tutup fail cerai Adi Putra

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


KEMBALI bersama. Adi menegaskan dia tidak pernah melafazkan talak terhadap isterinya, Zuraidah.


BAGAI angin bertiup kencang, isu perceraian Adi Putra atau nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putra Halim, 31, dan isteri, Zuhaidah Yusof, 37, terus menghiasi dada akhbar dan tidak kurang juga di kaca televisyen. Adi telah membuka fail penceraian terhadap isterinya itu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 11 Mei lalu dan selepas 10 hari, Adi sebaliknya menutup semula fail tersebut.

Tidak ingin memberi ruang orang ramai membuat spekulasi salah tentang status mereka, Adi dan isteri telah mengatur satu sidang akhbar di Chatz Brasserie, Hotel Park Royal, Kuala Lumpur bagi merungkai segala persoalan.

Kosmo!: Kenapa anda mengambil keputusan bercerai, adakah atas sebab yang serius?

Adi: Ya. Ia berkait tentang persefahaman yang mana memang serius dalam hubungan suami isteri. Bohong jika orang kata saya dan isteri tidak memperbaiki perhubungan ini. Namun di sini saya mahu tekankan, keputusan memfailkan penceraian tidak bererti bercerai. Ramai yang keliru. Tapi ia juga bermakna akan kemungkinan perlu (bagi saya dan isteri) menghadiri perundingan dan harus mengambil iktibar dari situ. Dalam fail perceraian tersebut, saya meletakkan tidak persefahaman (sebagai alasan untuk kami bercerai), supaya mungkin kami berdua diberi tempoh dalam sembilan hari untuk memikir panjang. Jika kita sudah rujuk kepada mahkamah syariah maknanya kita perlu fokus. Maknanya ini realiti yang kita akan hadapi. Setelah sembilan hari, menggerakkan hati saya dan isteri untuk saya menutup fail (kes) perceraian tersebut.

Bila waktu Adi betul-betul nekad membuat keputusan untuk memfailkan perceraian?

Keputusan dibuat setelah saya pulang dari umrah 8 Mei lalu. Kami pergi bersama-sama ke mahkamah secara baik dan buka fail dan tutup fail juga secara baik. Selepas pulang dari umrah kami membuat keputusan itu.

Adakah anda sudah lafazkan talak?

Ada spekulasi yang mengatakan saya dan isteri sudah bercerai. Tidak sama sekali. Saya buka fail perceraian yang bermaksud mungkin akan rujuk kepada perceraian mahupun merujuk kepada konsultan.

Semasa pergi ke mahkamah, apa perasaan Adi?

Perasaan saya ketika itu merasakan perkahwinan kami ini telah sampai ke penghujungnya.

Apa yang membuatkan anda menukar keputusan tersebut?

Kami sudah diberi tempoh sembilan hari untuk kami fikirkan semula tentang keputusan untuk bercerai. Kami gunakannya bagi memperbaiki hubungan kami dan akhirnya kami mampu mendapat apa yang dimahukan dalam hidup. Kehidupan seperti mana yang kita pilih. Perkara itu kami telah bincangkan dan saya rasa saya boleh menyifatkan ia sebagai satu hidayah yang mana saya tidak dapat mengulas panjang kerana ia di luar jangkauan saya.

Apakah persefahaman yang dicapai itu? Adakah mungkin ada campur tangan pihak lain seperti keluarga atau rakan-rakan? Adakah Adi sentiasa memberi peluang terhadap perkahwinan ini?

Keluarga kami tidak terlibat kerana perkara ini adalah urusan kami berdua, suami isteri. Ya, memang saya sentiasa memberi peluang. Kita boleh merasa kerana kita tinggal bersama dan punya naluri.

Empat penyanyi legenda pukau penonton

Posted:

Empat penyanyi legenda pukau penonton

Empat penyanyi legenda pukau penonton


(DARI kiri) ZAINAL ABDIN, Sheila Majid, Jamal Abdilah dan Amy Search bakal menghiburkan peminat mereka di Johor Bahru dan Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat ini.


BUKAN mudah untuk mengumpulkan empat nama besar dalam industri muzik tanah air di bawah satu bumbung dan pentas yang sama.

Namun, tidak mahu kalah dengan faktor kekangan masa setiap legenda tersebut, Afro Zapin Venture Sdn. Bhd. menggabungkan Jamal Abdillah, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Amy Search dalam The Legendary Concert 2012-Dulu, Kini dan Selamanya.

Kali pertama bergabung di pentas yang sama, ternyata mereka masing-masing berkongsi keterujaan mempamerkan magis buat peminat di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah pada 5 Mei yang lalu walaupun hanya 2,000 penonton hadir, persembahan mereka amat memuaskan.

Tanggal 19 Mei lalu pula, konsert diteruskan di Stadium Pisa Pulau Pinang yang dihadiri lebih 5,000 penonton.

Konsert seterusnya di Johor Bahru pada 26 Mei ini. Seterusnya, sebagai penutup tirai, empat figura berwibawa ini akan menggamatkan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Jun ini.

Sebagai orang penting konsert, Zainal melahirkan rasa terujanya kerana sudah lama tidak muncul di konsert besar seperti ini.

"Selain bertujuan untuk menggabungkan empat legenda, saya juga ingin kembalikan nostalgia konsert berbayar yang sudah jarang dilakukan artis tanah air.

"Sebagai konsert berbayar, sudah pastinya banyak perkara akan dilakukan dan gabungan sebegini bakal memberi kepuasan dan pulangan yang berbaloi kepada peminat.

"Malah paduan tenaga empat legenda ini dapat mengumpulkan setiap peminat masing-masing yang tentunya sudah lama menunggu kami untuk bergabung di atas satu pentas," katanya sambil memberitahu sambutan yang diterima cukup menggalakkan.

Menurut Ratu Jazz, Sheila Majid, dia menerima pelawaan tersebut kerana diberitahu, sebahagian daripada hasil kutipan konsert akan disalurkan kepada rumah kebajikan.

Biarpun sering melakukan konsert-konsert solo, namun Jamal tidak dapat menyangkal keterujaannya untuk bergabung dengan legenda yang cukup disegani.

"Peluang untuk menyanyi bersama dengan tiga lagi legenda yang masing-masing cukup hebat membawakan genre mereka sendiri tidak harus saya lepaskan," katanya.

Seorang lagi legenda yang cukup terkenal, Amy pula merumuskan gabungan keempat-empat mereka bakal mencipta fenomena memandangkan masing-masing adalah daripada latar belakang muzik yang berbeza.

"Saya percaya kami masing-masing mempunyai pengikut tersendiri yang memang menunggu kami untuk bersama di atas satu pentas," katanya.

Bagi peminat peminat di Johor Bahru boleh mendapatkan tiket di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru, Plaza Angsana (aras bawah), dan boleh menghubungi nombor hotline di talian 012-745 9609 atau 019-215 5455.

Apa yang menarik, bagi setiap pembelian tiket berharga RM100 dan RM200 masing-masing layak mendapat satu tiket percuma manakala bagi pembeli tiket yang berharga RM300 dan RM600 masing-masing akan mendapat potongan harga sebanyak 15 peratus. Tiket adalah terhad.