Adsense

Khamis, 24 Mei 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Nyaris Maut, Nassier Wahab Trauma

Posted: 24 May 2012 02:42 AM PDT

Nassier Wahab
PETALING JAYA: Penyanyi Nassier Wahab tidak dapat melupakan peristiwa ngeri yang berlaku kepadanya dan keluarga apabila terlibat dalam kemalangan di kilometer 433.7 Bukit Beruntong pada Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, Nassier berkata, kereta Honda Accord miliknya yang dipandu oleh seorang pembantu peribadi melanggar pembahagi jalan berulang kali.
"Pada waktu itu hujan turun dengan lebat dan kami sekeluarga sedang dalam perjalanan dari Pulau Penang menuju ke Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan nyanyian.
"Entah macam mana tiba-tiba kereta itu hilang kawalan dan terus melanggar pembahagi jalan. Mujurlah kami selamat. Cuma isteri saya yang duduk di bahagian belakang bersama anak patah tulang bahu.
"Ketika kereta sedang berpusing, saya hanya berserah kepada Tuhan dan berdoa supaya tiada kereta lain yang melanggar kami. Sehingga ke hari ini kami masih trauma dengan kejadian itu," katanya di sini, Khamis.
Tambah Nassier, dia kecewa kerana tidak sempat mengucapkan terima kasih kepada sepasang suami isteri warga emas yang sanggup meredah hujan bagi membantu kami," katanya.
Sementara itu menurut Nassier, beliau terus dihantui trauma apabila dia dan abangnya yang pulang dari bengkel kereta pada Khamis (hari ini) sekali lagi nyaris terlibat dalam kemalangan.
"Ketika kami dalam perjalanan, saya ada bercakap kepadanya yang kita patut bersyukur kepada Allah kerana masih memberi kehidupan di dunia ini dan redha dengan apa yang berlaku.
"Sebaik sahaja kami menukar lorong ke kanan, tiba-tiba sebuah lori telah melanggar beberapa kereta di lorong tengah.
"Kami terkejut dan mujurlah Allah menggerakkan hati kami untuk beredar dari lorong tersebut," tuturnya.
Dalam nada syukur, Nassier turut melahirkan rasa sedih apabila kereta kesayangannya itu remuk dan menelan kos sebanyak RM10,000 untuk membaikinya.
"Memang saya menangis melihat kereta saya hancur kerana ia dibeli hasil daripada titik peluh saya menyanyi. Tetapi bila fikir semula, duit boleh dicari, nyawa pula tiada pengganti.
"Bagaimanapun, berdasarkan apa yang berlaku, saya ingin menasihati semua untuk berhati-hati ketika memandu terutamanya ketika hujan," ujarnya.

- ---

Marsha Tidak Kisah Dituduh 'Gedik'

Posted: 24 May 2012 02:31 AM PDT

Marsha
PETALING JAYA: Penyanyi dan pengacara Marsha Milan Londoh tidak berkecil hati terhadap segelintir pihak yang menuduh dirinya "gedik".
Menurut wanita berusia 27 tahun ini, dia tidak mahu memikirkan hal itu sebaliknya lebih selesa memberi tumpuan kepada dunia seni yang diceburi sejak tujuh tahun lalu itu.
"Kalau hendak diambil kira setiap apa yang orang katakan pada kita, memang pening jadinya. Saya sedar ramai orang yang memandang remeh akan kewujudan saya dalam industri.
"Mereka anggap saya hanya tahu buat gedik selain kewujudan saya dilihat seperti tidak memberikan sumbangan tetapi saya tidak berkecil hati dan enggan memikirkan perkara itu," katanya  baru-baru ini.
Pengacara program Propaganza di Astro Ria itu berkata, atas kesedaran tersebut dia sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu kerjanya agar dapat meyakinkan khalayak terhadap kebolehannya dalam bidang seni.
"Saya tahu bukan mudah untuk mengikis persepsi orang jika kita sudah diberikan sesuatu jolokan. Sama juga kesnya dengan saya di mana orang akan tetap labelkan saya seorang yang gedik walau apa pun saya lakukan.
"Namun, saya berusaha untuk meningkatkan kualiti dalam apa juga kerja yang diceburi. Saya tidak pernah berputus asa untuk meyakinkan masyarakat terhadap bakat yang dimiliki dan bukan sekadar berperangai gedik dan menggoda semata-mata," jelasnya.
Ditanya mengenai kehidupannya selepas kontroversi tuduhan dia menelan pil dipercayai bertujuan untuk membunuh diri sebelum ini, Marsha berkata dia mahu melupakan kisah hitam itu.
"Saya semakin bersemangat selepas lapan bulan kes itu berlalu. Saya akui kejadian itu benar-benar membuatkan saya tertekan dan trauma tetapi kini saya sudah stabil.
"Saya berharap agar 2012 akan menjadi tahun yang baik dalam kerjaya dan kehidupan peribadi. Lagipun, pada tahun ini saya mahu mengeluarkan beberapa buah lagu dan kerjaya lakonan juga kian berkembang," tuturnya mengakhiri perbualan.

- ---

Tuduhan Enggan Hadir Promosi Jatuhkan Zizan Razak

Posted: 23 May 2012 11:12 PM PDT

Zizan Razak
PETALING JAYA: Pelawak dan pengacara Zizan Razak (Raja Lawak) menyifatkan tuduhan dia sukar memberikan kerjasama bagi menjayakan promosi beberapa buah filem lakonannya adalah cubaan pihak tertentu untuk menjatuhkan kerjayanya.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 28, berkata dakwaan itu adalah tidak adil kerana dia dan pihak pengurusan tidak pernah melanggar sesuatu perjanjian dan komitmen jika ia sudah diatur dari awal.
"Tidak adil untuk menyalahkan saya semata-mata apabila saya gagal melibatkan diri dalam promosi sesebuah filem. Saya dan pengurusan tidak pernah melanggar perjanjian jika ia sudah dimaklumkan lebih awal.
"Masalahnya, ada syarikat produksi meminta komitmen saya pada saat-saat akhir sedangkan jadual saya bagi tarikh dan waktu tersebut sudah diisi dengan urusan lain. Apabila saya tidak dapat memenuhinya, timbul pula cerita saya sukar memberikan kerjasama," katanya ketika dihubungi di sini, petang Rabu.
Terbaru, Zizan sekali lagi didakwa enggan terbabit dalam rangka promosi filem Jalan Kembali... Bohsia 2 terbitan Skop Productions kerana sudah terikat dengan penggambaran filem lain.
Ditanya mengenai perkara itu, Zizan berkata dia tidak mendengar apa-apa berhubung dakwaan tersebut.
Namun, dia lebih menghargai jika ada pihak yang tidak berpuas hati agar menyatakan terus kepadanya daripada hanya tahu "cakap belakang".
"Saya belum mendengar mengenai perkara itu lagi. Setakat ini, saya dan pihak Skop tidak mempunyai sebarang masalah.
"Tidak adil untuk tuduh saya enggan beri kerjasama kerana pada malam tayangan perdana filem itu baru-baru ini, saya sempat singgah walaupun saya mempunyai kerja di luar Kuala Lumpur pada keesokan paginya," jelas Zizan.
Mengenai perasaannya berhubung isu tersebut, Zizan berkata dia berasa terkilan kerana dipersalahkan sewenang-wenangnya atas masalah yang turut disebabkan oleh pihak lain.
"Saya sudah penat mendengar tuduhan sebegini. Kalau diikutkan hati, memang saya sudah malas hendak. Saya sedar bukan mudah untuk puaskan hati semua pihak tetapi seboleh mungkin saya akan berusaha untuk tidak membuat keputusan dan tindakan yang akan menyusahkan pihak lain," akuinya.
Bercakap mengenai tahap kesihatannya sejak kembali bekerja selepas dua minggu berehat akibat keradangan otot, Zizan berkata dia bersyukur kerana keadaannya bertambah baik.
"Alhamdulillah keadaan kesihatan saya bertambah baik untuk kembali bekerja seperti biasa. Sebelum ini, saya terlalu memaksa diri bekerja siang dan malam sehingga jatuh sakit.
"Kini, saya belajar untuk lebih menghargai kesihatan diri," katanya yang bakal memulakan penggambaran filem terbaru Bikers Kental terbitan Tayangan Unggul dalam masa terdekat.

- ---