Berita Harian: Hip |
Posted: 23 May 2012 03:30 PM PDT Hip Rozita Che Wan tidak bersara daripada lakonanPELAKON drama sensasi, Rozita Che Wan menegaskan dia akan berlakon tanpa had umur sekaligus menjelaskan tidak ada istilah bersara daripada bidang seni yang diceburinya. Tidak pernah terfikir kehadirannya tergugat, dia tetap terus berdiri di landasan bakatnya yang tersendiri. Selagi ada tawaran, selagi itulah wajahnya akan dilihat menghiasi layar skrin.Kalau ada rezeki dan ditawarkan sehingga saya tua, saya akan terus berlakon dan begitulah sebaliknya. - Rozita Che Wan, Pelakon "Saya meletakkan semua itu kepada rezeki. Kalau ada rezeki dan ditawarkan sehingga saya tua, saya akan terus berlakon dan begitulah sebaliknya. Seperti lumrah, apabila saya sudah berusia nanti, tawaran pun berkurangan, permintaan sedikit serta bayaran pun tidak tinggi."Kita lihat saja sampai mana rezeki saya. Lagi pun, saya tidak merancang, biarlah semuanya berjalan seperti biasa tanpa perlu dirancang. "Kalau ada anak raja mahu meminang saya, mungkin pasti saya akan berhenti berlakon dan itu semua bergantung pada keadaan," katanya dengan nada cukup ceria. Di sebalik itu, biar pun dirinya dilihat tidak merangkul mana-mana anugerah atau pengiktirafan, Rozita atau mesra dengan panggilan Che Ta tidak kecewa kerana dia masih berada dalam kalangan pelakon yang dikenali ramai. "Daripada situ, saya sudah berada di kalangan popular dan terbaik secara tidak langsung. Biar pun tidak menang, tapi saya tetap diiktiraf di dalam golongan terbaik dan popular. Cuma belum sampai rezeki saya lagi untuk dinobatkan sebagai pemenang," tambahnya lagi. Rozita ditemubual selepas dijemput merasmikan cawangan baru kedai emas Habib Jewels dan Pandora di Paradigm Mall, Kelana Jaya, semalam. Hadir sama ialah Pengarah Urusan Habib Jewels Sdn Bhd, Datuk Meer Sadik Habib dan isterinya Datin Zarida Noordin. Penampilan dirinya sentiasa dijaga meskipun hampir memasuki era 40-an. Ibu tunggal kepada dua anak, Rozita sentiasa tampil dengan bergaya walau ke majlis mana pun yang dihadirinya. Mana tidaknya, bagai tidak menang tangan mengendalikan aktiviti seninya, daripada bidang lakonan sehinggalah menjadi duta serta penampilan untuk pelbagai barangan kecantikan dan perhiasan wanita. Dipilih kerana dirinya sendiri yang menggemarkan barang kemas, Rozita terharu dan gembira kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan jenama tersebut. Menyentuh mengenai kerjaya seni pelakon berasal dari Sungai Petani, Kedah ini, dia agak sibuk dengan aktiviti penggambaran drama dan telefilem sehingga November ini. Jadual seninya penuh dengan tanggungjawab sebagai pelakon dan duta kepada produk kecantikan wanita. Baru saja selesai dengan penggambaran telefilem Kasihnya Qasih, beberapa hari lalu, kini pelakon itu akan kembali ke lokasi menjayakan wataknya sebagai pelakon utama di samping Fahrin Ahmad dan Nabil Raja Lawak, dalam drama bersiri 13 episod iaitu Cinta Octopus. Selepas itu dia terbabit dengan menjayakan penggambaran drama bersiri 52 episod terbitan RTM. Setakat ini belum ada lagi tawaran filem yang perlu dijayakan, hanya barisan drama dan telefilem. Turut muncul menghiasi rancangan seperti Oh My English dan bual bicara Semanis Kurma. Walaupun tiada rehat, Rozita akui sudah biasa dengan kehidupannya yang padat dengan kerja, kerana bukannya baru di dalam industri seni tempatan, malah sudah lali dengan asam garam kehidupan sebagai selebriti. Tiada beza dengan tahun sebelumnya, dia juga menyatakan rezekinya dalam bidang lakonan tidak pernah putus walaupun semakin ditelan usia. Tidak merasakan pelakon muda seperti Nora Danish, Fasha Sandha, Nur Fathia dan banyak lagi sebagai pesaing mahupun pencabar, kerana masih mendapat tempat di dalam dunia lakonan dengan watak lebih pelbagai dan semakin berkembang dari semasa ke semasa. "Tidak menjadi satu masalah untuk menghayati watak walaupun setiap karakter yang diberikan. "Saya tetap akan memberi tumpuan sebaik-baiknya apabila menerima skrip. Bagi mengelakkan daripada lupa skrip, saya elakkan daripada menerima tawaran berlakon dengan rapat. Lagipun, saya juga nak pastikan karektor yang diberikan tidak bertindih dengan lakonan yang terdahulu," katanya. |
Mesyuarat SENIMAN di tempat terbuka Posted: 23 May 2012 03:22 PM PDT Hip Dijangka ramai ahli hadir, tiada usul panas dibangkitkanMESYUARAT Agung Tahunan Ke-14 (AGM), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Sabtu ini akan diadakan di tempat terbuka iaitu di Dataran Karyawan, Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Hulu Selangor. Ia adalah sebagai simbolik menuntut hak sama rata setiap ahli memilih calon kepimpinan mereka.Memang sebelum ini belum pernah mana-mana AGM diadakan di luar secara terbuka kerana apa yang bakal dibincangkan dan diusulkan ahli adalah sulit, namun ia tidak menyalahi perlembagaan asalkan tidak mengganggu ketenteraman awam. - Yusof Kelana, Setiausaha Kehormat SENIMAN Setiausaha Kehormat SENIMAN, Yusof Kelana berkata, keputusan membawa AGM itu keluar dari ruang tertutup kerana menjangkakan mesyuarat itu bakal dihadiri ratusan ahli yang ingin mengetahui siapakah pemimpin terbaru mereka."Memang sebelum ini belum pernah mana-mana AGM diadakan di luar secara terbuka kerana apa yang bakal dibincangkan dan diusulkan ahli adalah sulit, namun ia tidak menyalahi perlembagaan asalkan tidak mengganggu ketenteraman awam. "Begitupun tidak ada usul yang akan dibincangkan kerana sehingga kini, Ahli Jawatankuasa SENIMAN sendiri tidak menerima apa-apa usul dalam tempoh ahli boleh berbuat demikian. "Seperti di dalam perlembagaan, tarikh akhir menghantar usul adalah tujuh hari sebelum AGM dilakukan, namun sekiranya ada usul, ahli boleh mengemukakan selepas pemilihan jawatankuasa baru berakhir," katanya sambil menjelaskan Pawagam Mini P.Ramlee, FINAS yang biasa dijalankan AGM hanya mampu memuatkan 100 orang saja. "Saya tidak rasa AGM ini akan panas kerana dua calon presiden yang bertanding hanya merebut jawatan dan bukan untuk mengekalkan jawatan, situasi ini berbeza. "Kita juga tidak menyediakan pengawal keselamatan kerana merasakan ahli yang hadir adalah daripada mereka yang cukup matang dan tidak gemarkan kekecohan berlaku," katanya yang sudah enam penggal dilantik menjadi jawatankuasa SENIMAN. Mengikut pindaan perlembagaan baru, mulai tahun ini jawatankuasa SENIMAN yang dipilih akan memegang jawatannya selama tiga tahun mewakili satu penggal. Begitupun Yusof menegaskan akan melepaskan jawatan Setiausaha untuk memberi laluan kepada kepimpinan baru menerajui SENIMAN yang berfungsi membela nasib anak seni tanah air. "Selain saya, Harun Salim Bachik (Presiden) dan Wafa Abdul Kadir (Bendahari) akan melepaskan jawatan dan tidak akan bertanding untuk penggal baru ini. Sudah sampai masanya saya melepaskan jawatan ini selepas pernah berkhidmat 12 tahun sebagai jawatankuasa dengan empat presiden yang berlainan. "Kami mahu melihat kepimpinan baru ini akan terus berjuang membawa nama SENIMAN setinggi-tingginya. Lakukanlah apa saja perubahan demi memastikan SENIMAN terus relevan membela kebajikan anak seni," katanya. Sementara itu, Yusof mengingatkan kepada ahli untuk melunaskan yuran keahlian yang tertunggak untuk membolehkan ahli mengundi. "Pendaftaran ahli baru SENIMAN sudah pun ditutup 19 Mei lalu dan bagi ahli lama yang belum membayar yuran keahlian, mereka boleh berbuat demikian sebelum AGM bermula pada hari yang sama untuk membolehkan mereka mengundi jawatankuasa baru," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |